1.0 PENDAHULUAN
Kesusasteraan
adalah ciptaan seni yang dihasilkan melalui bahasa yang ditujukan kepada
khalayak iaitu pembaca melalui bahan bacaan seperti puisi dan prosa atau melalui penceritaan dan persembahan
seperti drama, bangsawan, pentomen dan sebagainya. Kesusateraan Melayu Tradisional
merupakan salah satu daripada elemen sastera yang telah berkembang pesat dalam sejarah
pembinaan negara ini. Banyak cerita besar sama ada berbentuk cerita panji,
hikayat, puisi, teromba, syair, gurindam seloka dan sebagainya telah lahir dan
memainkan peranan penting dalam perkembangan keilmuan.
Sastera
bukan semata-mata bahan bacaan atau hebahan santai tentang manusia. Sastera
memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Sejarah telah
membuktikan bagaimana kesusasteraan dan sasterawan menjadi agen perkembangan
pemikiran manusia. Sastera melalui pelbagai karya dan jenis telah berjaya
menaikkan semangat kebangsaan, patriotisme cintakan negara, semangat mencintai
agama, malah semangat dalammedan tempur. Melalui bahan bacaan, penulis karya
sastera menerapkan pelbagai elemen kepada pembaca dan pendengarnya.
Kesusasteraan
Melayu lama yang terpamer melalui cerita hikayat dilihat sangat menarik.
Perhatian akan diberikan kepada analisis gaya bahasa dan stilistik yang
digunakan dalam karya khasik iaitu Hikayat Iskandar Zulkarnain. Terdapat
beberapa ciri khusus dalam memahami bahasa Melayu klasik yang digunakan dalam
cerita hikayat. Antara cirri yang jelas terdapat dalam karya klasik adalah
seperti berikut;
i.
Ayat yang panjang, berulang, dan berbelit-belit. ( telah Maharaja Diraja mendengar sembah
peri halnya itu, telah Maharaja Diraja mendengar kelengkapannya alah oleh orang
Melaka itu, maka Maharaja Diraja terlalu marah; ia bertempik katanya, ‘Jikalau
atau di atas gajahku Binudam ini, Melaka seMelakanya Pasai sePasainya, jika
tiada dengan kudrat Allah mendatang, ku langgar kota Melaka itu.”) Sejarah Melayu m/s 145
ii.
Mempunyai banyak ayat pasif dan songsang
iii.
Menggunakan bahasa istana seperti; kakanda, adinda, bersiram, bersantap,
bertitah,
iv. Menggunakan
kosa kata klasik seperti; ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara),
sahaya, masyghul (bersedih)
v. Banyak
menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat) seperti. sebermula, alkisah,
hatta, adapun.
vi. Banyak
menggunakan partikel pun dan lah
vii. Menggunakan
aksara jawi, iaitu aksara yang dipinjam daripada bahasa Arab yang telah
ditambah dengan beberapa huruf tambahan.
viii. Telah
menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa
seperti alam bidang ilmu keagamaan, undang-undang, kesusasteraan, pemerintahan
dan pentadbiran, perubatan, falsafah, tasawuf dan kata-kata umum.
ix. Frasa
dan ayat pengaruh Arab terutama dalam kitab-kitab klasik Melayu seperti frasa ketahuilah
olehmu (dari terjemahan I’lamL, maka kemudian daripada itu
(dari Amma ba’du); atau pada ayat sunat berbuka atas tamar dan
lain-lain. Frasa dan ayat bentuk ini wujud hasil daripada terjemahan harfiah
daripada teks-teks bahasa Arab.
x. Unsur-unsur
falsafah Islam wujud dalam banyak tulisan Melayu seperti dalam bidang ilmu
Kalam, Tasawuf, ilmu Aqa’id al-Iman dan lain-lain. Ini berbeza dengan bahasa
Melayu zaman kuno atau Hindu.
2.0
HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN
Perbincangan
ini menggunakan teks Hikayat Iskandar Zulkarnain yang telah diselenggarakan
oleh Haji Khalid Muhammad Hussain terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka tahun 1986
(cetakan kedua). Penyusun memperolehi teks ini melalui micro-card Codek Orientalis
1969 yang diperolehi oleh Dewan bahasa dan Pustaka daripada Universiti Leiden.
Teks ini mengandungi pelbagai kekeliruan tentang jalan ceritanya, namun begitu
penyusun tidak membuat sebarang pembetulan bagi mengekalkan ketulenan isi teks.
Untuk memahami teks ini pembaca perlu membaca dari mula hingga akhir kerana ada
beberapa cerita yang melompat dari bab ke bab yang lain.
Dalam
pendahuluan buku tersebut, penyusun menyatakan kekeliruan itu berlaku
disebabkan oleh beberapa kemungkinan, antaranaya ialah kerana teks ini telah
diambil daripada terjemahan bahasa Arab dan Parsi lalu dicampur adukkan dengan
cerita-cerita Iskandar Zulkarnain dari bahasa lain. Ini memandangkan cerita
Hikayat iskandar Zulkarnain merupakan satu cerita hikayat yang sangat mahsyur
di serata dunia. Hampir semua bangsa di dunia mempunyai versi tersendiri akan
hikayat ini. Antara bangsa yang dinyatakan oleh penulis yang menjadikan cerita
Iskandar Zulkarnain dalam bangsa mereka ialah bangsa Yunani, Monggolia, Arab,
Parsi, Afganistan China, Eropah dan sebagainya.
Hikayat ini
terbahagia kepada 10 bab iaitu
i.
Asal usul Raja
Iskandar Zulkarnain
ii.
Raja iskandar
Zulkarnain dilahirkan
iii.
Nabi Khidir
menyelamatkan Raja Isklandar Zulkarnain
iv.
Raja Iskandar
Zulkarnaian menyebarkan agama Islam
v.
Raja Abud dari
negeri Jabarsa ditewaskan
vi.
Perjalanan Raja
Iskandar Zulkarnain ke Negara Maghrib
vii.
Raja Negara
Maghrib diIslamkan
viii.
Raja Salam
menewaskan Kaun Alwah
ix.
Raja Khabta
memeluk Islam
x.
Pengembaraan dan
perkahwinan Raja iskandar Zulkarnain
Serta diikuti
dengan Tafsiran bagi watak-watak yang melatari hikayat ini.
Sebagai
pegkhususan, analisis teks hikayat ini merujuk kepada aspek stilistik dan gaya
bahasa dari
muka surat 1 hingga 50 yang hanya melibatkan 2 bab sahaja iaitu Bab 1
dan 2 ( Bab 1Asal usul Raja Iskandar Zulkarnain ),
( Bab 2 Raja iskandar Zulkarnain
dilahirkan ).
Petikan daripada Hikayat Iskandar Zulkarnain
Bismillahir-rahmanir-rahim
Wa billahi
nasta’in (billahi alaihi)
HIKAYAT Sultan Iskandar Zulkarnain. Segala puji bagi
Allah Tuhan semesta Alam Yang Amat Kuasa pada berlakunya qudrat-Nya Yang Qadim,
dan yang menutupi segala kecelakaan hamba-Nya Yang Maha Murah. Ia yang tiada
dapat meliputi ia segala hajat maharaja, ia daripada akan segala budi dan
bicara dan puji dengan segala berbagai-bagai bahasa. Ia yang diharap oleh
segala hamba-Nya pada menghilang segala bala maha tinggi. Ia daripada diliputi
hamba-Nya segala sifat-Nya yang ada dapat disifatkan. Ia dengan di mana dan
tiada dapat ditentukan dengan pihak. Ia juga yang mengetahui yangtelah lalu dan
yang akan dating. Kami puji ia bahawanya dipermulia-Nya kami yang dengan segala
bini kami dan segala kekasih kami dan segala yang syahid dan salah lagi akan
dating. Akhir kami akan Kaujadikan.
( perenggan 1 muka surat 1)
GAYA BAHASA
DALAM TEKS HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN
Gaya bahasa ialah
cara penyampaian sesuatu prosa sama ada berbentuk lisan mahupun tulisan oleh
penyampai dalam meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan
kata-kata dan penyusunan
ayat untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan, secara tidak langsung akan dapat
memikat dan seterusnya menarik minat pembaca dan pendengar terhadap karya-karya
sastera. Gaya bahasa juga adalah bertujuan untuk memperlembutkan lagi makna
percakapan dan juga adalah untuk mengindahkan lagi bahasa itu.
Kamus Dewan
Edisi Empat memberikan beberapa definisi gaya bahasa. Antara definisi yang diberikan
ialah i. pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat; ii. cara
pemakaian bahasa, iii. cara penggunaan bahasa.
Dari sudut
kesusasteraan pula gaya bahasa merupakan satu elemen terpenting pengarang atau
pencerita dalam usaha menarik perhatian pembaca atau pendengar bagi membaca
atau mendengar hasil karya mereka. Menurut Gory Keraf, (1985:113) gaya bahasa adalah cara mengungkapkan
fikiran melalui bahasa secara khas yang memperlihatkan jiwa dan keperibadian
penulis (pemakai bahasa). Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga
unsur berikut ; kejujuran, sopan-santun dan menarik.
Mana Sikana (1986:159) pula mengatakan gaya bahasa
sebagai cara sesuatu bangsa itu menggunakan bahasa dalam karya seperti mengatur
bunyi, memilih diksi , membina ayat kemudiannaya dengan makna dapat membuktikan
tamadun dan ketiggian bangsa itu dalam karya. Mengikut pandangan Kris Mas (1988;13)
pula memahamkan gaya bahasa sebagai cara atau ragam bahasa itu dipakai ,
khususnya dalam tulisan atau karangan. Pengguna atau pemakai bahasa mempunyai
jenis-jenis yang khusus untuk maksud-maksud tertentu, seperti menghasilkan ilmu pengetahuan, berucap
pada khlayak, menulis dan membangkitkan perasaan
seni . Selain itu gaya bahasa juga dimaksudkan gaya seseorang penulis
menggunakan bahasa.
Kesimpulannya
gaya bahasa merujuk kepada penggunaan ragam
tertentu dalam bahasa tulisan yang digunakan secara sengaja untuk menimbulkan
kesan-kesan tertentu. Terdapat pelbagai gaya bahasa yang digunakan dalam
sesebuah karya bagi menimbulkan rasa minat pembaca untuk meneruskan bacaan
mereka. Antara gaya yang digunakan secara berleluasa dalam sastera hikayat
adalah doksologi, simile, metafora, kiasan, anaphora, analogi, asonansi, ayat
songsang dan sebagainya.
Berikut merupakan
beberapa penggunaan gaya bahasa yang dikenal pasti dalam Hikayat Iskandar
Zulkarnain.
Doksologi.
Doksologi ialah penggunaan kata-kata pujian kepada Tuhan dalam permulaan
cerita. Penggunaan doksokogi dalam hikayat ini dapat dilihat pada bab awal
lagi. Contoh jelas seperti berikut.
Bismillahir-rahmanir-rahim.
Wa billahi nasta’in
(billahi alih)
Hikayat Iskandar
Zulkarnain ini. Segala puji bagi Allah Tuhan segala alam Yang Amat Kuasa pada
berlakukan qudrat-Nya Yang Qadim, dan yang menutup segala kecelakaan hamba-Nya,
Yang Maha Murah.
( halaman 1, baris
1, perenggan 1)
3.0
PERBEZAAN ANTARA BAHASA MELAYU KLASIK DAN
MODEN DARI SUDUT MORFOLOGI
Contoh perkataan klasik yang terdapat dalam
teks Hikayat Iskandar Zulkarnain.
Bahasa Melayu klasik
|
Penerangan
|
Bahasa Melayu moden
|
Kata sahibul hikayat
Perenggan 2 m/s 32
|
Digunakan pada awal perenggan secara berleluasa.
Diambil daripada kata Arab iaitu Sahib yang bermaksud
umpunya dan Hikayat yang bermaksud cerita.
|
Menurut empunya cerita
Yang empunya cerita
Pemilik cerita
|
Sabda
( maka sabda Raja Darab)
Perenggan 6 m/s 18
|
Pengaruh daripada bahasa Arab. Samda bermaksud
berkata-kata. Dalam ilmu hadis sabda digunakan bagi merujuk kepada kata-kata
nabi. Penggunaan istilah sabda menunjukkan penghormatan kepada raja.
|
Titah
Kata
Perintah
Ucapan
|
Syahadan
( Syahadan dikatakan dirinya pada temannya…)
Perenggan 5 m/s 32
|
Diambil daripada perkataan Arab yang merupakan penanda
wacana atau kata hubung bagi mengaitkan antara perenggan dengan perenggan.
|
Selanjutnya
Maka
Lalu
|
Sebermula
( Sebermula Raja Radhiah pun berjalan …. )
Perenggan 2 m/s 129
|
Kata pangkal ayat. Banyak digunakan dalam awal perenggan.
|
Permulaan cerita
Pertama-tama
|
Hamba
( … pada hati hamba, kita terima … )
Perenggan 3 m/s 103
|
Kata ganti nama diri pertama
|
Saya
Aku
|
Lasykar
( … Raja Salam membelah lasykarnya …..)
Perenggan 2 m/s 207
|
Merujuk kepada gerombolan tentera.
|
Askar
Tentera
|
Ratna mutu manikam
( … bersemayam di geta bertatahkan ratna mutu manikam)
Perenggan 6 m/s 122
|
Pengaruh bahasa Sanskrit yang menunjukkan tentang keelokan
sesuatu.
|
Intan berlian
Permata yang mahal
|
Arakian
( Arakian dijanjikanoleh Nabi Khidir akan jin )
Perenggan 4 m/s 338
|
Penanda wacana yang digunakan pada awal perenggan.
|
Sesudah itu
Selepas itu
Kemudian
|
Ayapan
(… pada orang membawa ayapan itu.)
Perenggan 2 m/s 347
|
Makanan yang diberikan kepada orang yang diberi
penghormatan oleh raja.
|
Juadah
Jamuan
Makanan
|
Fiil
( … mendengar fiil Raja Khatba…)
Perenggan 2 m/s 302
|
Pengaruh bahasa arab yang merujuk kepada amal, pekerjaan,
perbuatan.
|
Kelakuan
Perangai
Keperibadian
|
Masygul
( maka masygullah hati Raja Iskandar….)
Perenggan 6 m/s 125
|
Diambil daripada perkataan Arab yang menunjukkan
perasaanyang berdukacita.
|
Sugul
Gundah gulana
Dukacita
Bersedih
|
Takjub
( Kami terlalu sekali takjub )
|
Kata adjektif yang menunjukkan perasaan kagum terhadap
sesuatu.
|
Terpesona
Menarik perhatian
|
Hatta
( Hatta maka dihimpunkan oleh raja …..)
|
Penanda wacana yang digunakan pada pangkal ayat untuk
mewujudkan kesinambungan idea.
|
Lalu
Kemudian
Maka
|
4.0
PERBEZAAN ANTARA BAHASA MELAYU KLASIK DAN
MODEN DARI SUDUT SINTAKSIS
Sintaksis adalah satu bidang bahasa
yang tugasnya mengkaji rumus-rumus yang menerbitkan ayat-ayat gramatis sesuatu
bahasa serta hukum-hukum tentang susunan kata yang menyebabkan terjadinya ayat
sebagai sesuatu bentuk binaan bahasa yang sempurna.Terdapat pelbagai definisi
yang telah diberikan untuk bidang ini.Antaranya definisi dari aspek makna dalam
sesuatu bahasa yang lain seperti bahasa Yunani, iaitu sun yang bererti “dengan”
dan tattein yang bererti “menempatkan bersama – sama”.Oleh yang demikian,
secara etimologi, sintaksis dapatlah diertikan sebagai “menempatkan kata – kata
secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat.
Namun, kebanyakan ahli bahasa di
Malaysia telah mendefinisikan sintaksis berdasarkan fungsi dan bidang
tugasnya.Contohnya definisi yang telah dinyatakan oleh Abdullah Hassan
1980:164,sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat, iaitu
bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu
frasa,atau menjadi klausa dan ayat merupakan unit terbesar.
Melalui
teks Hikayat Iskandar Zulkarnain terdapat banyak contoh penggunaan bahasa
Melayu klasik dan pengaruh daripada bahasa asing terutamanya Arab yang
membuktikan bahawa teks ini merupakan teks saduran. Berikut dikemukakan
beberapa contoh aspek sintaksis dalam teks tersebut.
Contoh i.
Penggunaan kata nama. Kata nama yang menjadi subjek sesuatu
ayat boleh terbentuk daripada kata nama am,kata nama khas,atau kata nama
terbitan. Penggunaan
kata nama am boleh dilihat pada ayat di bawah.
Diriwayatkan orang bahawa Raja Jerjis itu
makan minum tiada ia hajat air seni dan tiada dia hajat air besar.
( perenggan 3 m/s 4 )
Terjemahan
bahasa Melayu moden; Diberitakan bahawa Raja Jerjis tidak buang air kecil dan
air besar. Dalam ayat ini Raja Jerjis merupakan kata nama am yang menjadi inti
ayat tersebut.
Selain
itu terdapat juga penggunaan kata nama am seperti contoh berikut;
Setelah inanganda mendengar titah tuan
puteri itu, maka ia pun turunlah dari hadapan tuan puteri.
( Perenggan 2 m/s 11 )
Terjemahan
bahasa melayu Moden; Setelah mendengar titah daripada puteri, inangpun datang
menghadap. Dalam ayat ini kata nama am inang digunakan sebagai subjek ayat.
Contoh ii. Penggunaan kata ganti nama. Kata ganti nama ialah perkataan yang menjadi pengganti kata
nama khas dan kata nama am. Kata ganti nama boleh dibahagikan kepada dua golongan
kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama
diri terdiri daripada dua jenis iaitu kata ganti nama diri tanya iaitu
perkataan yang merujuk kepada orang atau benda dalam bentuk tanya. Ada tiga
kata ganti nama diri tanya iaitu apa, siapa, dan, mana. Kata ganti nama diri
terbahagi kepada tiga iaitu kata ganti nama dipi pertama, keuda dan ketiga.
Penggunaan kata
ganti nama diri pertama boleh dilihat pada ayat-ayat berikut
Setelah datang ia pada khemah Raja Iskandar. ( Perenggan 3
m/s 129 )
Terjemahan bahasa
melayu Moden; Diapun pergi ke khemah Raja iskandar.
Hai Raja Radhiah, aku segeralah akan berjalan. ( Perenggan
4 m/s 129 )
Terjemahan bahasa
Melayu Moden; Wahai Raja Radhiah, patik akan berjalan dengan pantas.
Adapun pada bicara hamba, baiklah kamu suruhkan orang
kepada Raja Zarwah memberitahu berhalanya itu besar tiada dapat memberi
manfaat. ( Perenggan 3 m/s 103)
Terjemahan bahasa
Melayu moden; Pada pendapat saya, maklumkan kepada Raja Zarwah bahawa
berhalanya yang besar tidak mempunyai kuasa.
Ketiga-tiga contoh
di atas menunjukkan penggunaan kata ganti nama diri pertama dan ketiga ia, aku
dan hamba digunakan dalam dialog oleh watak-watak dalam hikayat tersebut.
Penggunaan kata ganti nama diri ini disesuaikan dengan bahasa Melayu moden
menjadi dia, patik dan saya.
Contoh iii. Penggunaan ayat pasif dan songsang. Ayat pasif ialah ayat yang menekankan objek dan
perbuatannya berbanding ayat aktif yang menkankan si pelaku. Dalam konteks
cerita hikayat dan sastera Melayu lama penggunaan ayat pasif dan songsang
menunjukkan cara pemikiran dan sifat orang Melayu silam yang tidak mementingkan
ego individu. Contoh penggunaan ayat pasif dan songsang terdapat secara
berleluasan dalam hikayat ini.
Bahasawa Iskandar Zulkarnain itu anak Raja Darab Rumi, kata
setengah anak raja Raja Qilas, anak Raja Dawab Parsi itulah yang sahnya nescaya
lagi akan kami sebarkan asal bangsanya. Perenggan 5 m/s 3.
Terjemahan bahasa
Melayu moden : Kami akan membuktikan berpendapat Raja Iskandar Zulkarnain
anakanda kepada Raja Darab Rumi, Raja Qilas atau Raja Darab Parsi.
Contoh lain pada
perenggan pertama muka surat 41.
Kata sahibul hikayat, sebermula anak Raja Rom Puteri Safiya
Arqiya tiada pun selang dua bulan pada ayahnya, maka ketahuilah ia bahawa ia
hamil. Maka sukacitalah ayahnya. Maka ujarnya, “Hai anakku, terlalu bahagialah
kau bahawa aku pun tiada beranak lain akan ganti kerajaanku. Pada sekarang ini,
adalah olehnya ia dianugerahkan Allah Taala, apabila jadi anakmu laki-laki,
kukatakan kepada segala negeri bahawa ia anakku daripada isteriku yanglain,
supaya akan waris kebaikan kerajaan daripada aku.”
Terjemahan bahasa
Melayu Moden : Raja Rom sangat gembira apabila mengetahui Puteri Safiya Arqia
hamil dua bulan. Raja Rom menegatakan, sekiranya Puteri Safiya Arqia hamilkan
anak lelaki, baginda mahu mengakui putera itu adalah anakanda baginda daripada
isteri lain supaya putera itu boleh mewarisi tahta.
Setelah inanganda mendengar kata Puteri
Humani itu maka inganganda pun berkata “Hai tuan puteri, adakah didengar oleh
tuan puteri seorang daripada perempuan membunuh anaknya sebab menghekendaki
dunia yang fana ini?”
( Perenggan 5 m/s 7 )
Terjemahan
bahasa Melayu Moden; Setelah mendengar kata-kata Puteri Humani, inangpun
bertanya adakah Puteri Humani pernah mendengar tentang adanya ibu membunuh
anaknya sendiri untuk kesenangan dunia.
Contoh iv; penggunaan kata hubung dan yang
berulang-ulang. Kata hubung
dan. Dalam penulisan dan lisan kata hubung “dan” didapati
mengimplikasikan maksud kesinambungan atau pertalian, menggabungkan dua item
yang setara, serentak, maksud sebagai tambahan, perlakuan berurutan, penjelasan
lanjut, menambahkan sifat atau sesuatu suasana, dua atau lebih suasana yang
berlaku serentak dan sebab akibat. Penggunaan kata hubung dan hanya digunakan
sekali sahaja dalam satu-satu ayat. Sebaliknya sastera klasik menggunakan kata
hubung dan secara sewenaang-senangnya. Diulang-ulang beberapa kali dalam satu
ayat. Keadaan ini berlaku kerana pengaruh bahasa lisan dan pengaruh tatabahasa
Arab yang direrjemah secara harafiah. Bahasa Arab banyak menggunakan kata ‘wa’
(dan) dalam pembinaan ayatnya.
Contoh penggunaan kata hubung dan boleh
dilihat pada perenggan 1 muka surat 24.
Maka
segala orang penumpang itu menampung emas dan
perak akan mahligai itu dan mengeluarkan
segala peti dan permata dan manikam yang mulia-mulia dan disuruh oleh Puteri Humani menempah
seribu sarung pedang emas dan seribu
pelana daripada emas yang merah, bertatahkan ratna mutu manikam dan disuruhnya tempah seribu kolah daripada
emas dan seribu daripada perak dan disuruhnya perbuat sebuah geta
bertatahkan ratna mutu manikam dan
disuruhnya tempah kolah tiga kemuncak.
Penggunaan kata hubung dan juga terdapat pada
perenggan
3 muka
surat 256. Maka kabullahmereka itu,
menyembah api, dan berkirim surat
kepada Raja Bijah dan Raja Nabi dan Raja Alwah, ada mereka itu
menyembah berhala tiada dikabul ia mengikut agama majusi.
Contoh
v. Penggunaan ayat yang meleret-leret dan berulang-ulang. Secara umumnya
cerita sastera klasik memang menggunakan ayat yang panjang. Kepanjangan ayat
ini adalah disebabkan oleh penggunaan ayat yang meleret-leret dan kata yang
berulang-ulang. Keadaan ini berlaku kerana pengaruh sastera lisan serta ingin
menunjukkan kehebatan sesuatu seperti kehebatan seseorang raja. Kehebatan dan
kekuatannya digembar-gemburkan dengan sebegitu rupa.
Contoh penggunaan ayat yang panjang
meleret-lerat dan berulang-ulang boleh dolihat pada perenggan 1 muka surat 24
seperti berikut;
Maka
segala orang penumpang itu menampung emas dan
perak akan mahligai itu dan mengeluarkan
segala peti dan permata dan manikam yang mulia-mulia dan disuruh oleh Puteri Humani menempah
seribu sarung pedang emas dan seribu
pelana daripada emas yang merah, bertatahkan ratna mutu manikam dan disuruhnya tempah seribu kolah
daripada emas dan seribu daripada
perak dan disuruhnya perbuat sebuah
geta bertatahkan ratna mutu manikam dan
disuruhnya tempah kolah tiga kemuncak.
Dalam
contoh di atas pengulangan berlaku pada kata dan, ratna mutu manikam, kolah, seribu,
emas, perak, disuruhnya. Perkataan-perkataan ini bertujuan sebagai pemeri untuk
menunjukkan betapa hebatnya kekayaan dan kekuasaan raja. Malah ayat tersebut
juga sangat meleret dan panjang hingga mencecah 8 baris dan 67 patah perkataan
iaitu berdasarkan hikayat asal.
5.0
KESIMPULAN
Sastera
klasik seperti cerita hikayat merupakan salah satu daripada koleksi kesarjanaan
masyarakat Melayu zaman silam. Cerita hikayat bukan sekadar cerita untuk
berhibur bagi mengisi masa lapang setelah usai musim menuai atau untuk
bersenggang-senggang. Pembacaan sastera hikayat ini juga penting dalam
menaikkan semangat kepahlawanan para perajurit dam pendekar ketika berhadapan
dengan musuh. Berlaku penggunaan kata yang berulang, ayat panjang meleret-leret,
kemasukan pelbagai kata asing dan sebagainya menunjukkan bahaswa cerita hikayat
khususnya Hikayat iskandar Zulkarnain adalah satu bahan sastera yang sangat
mahsyur. Bukan sahaja diceritakan secara lisan oleh satu-satu bangsa, malah
ditulis dalam bentuk manuskrip oleh pelbagai bangsa di seantero dunia.
Peliharailah sastera klasik ini untuk tatapan generasi akan datang.
6.0
BIBLIOGRAFI
Ghazali Dunia, (1992), Sastera Melayu Lama: Prosa Dan Puisi,
Penerbitan Fajar Bakti,
Kuala Lumpur
Khalid Bin Muhammad Hussain, (1986), Hikayat Iskandar Zulkarnain, Dewan
Bahasa Dan
Pustaka, Kuala
Lumpur
Nik Safiah Karim et. All., (1994), Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, Dewan
Bahasa Dan
Pustaka, Kuala
Lumpur
_____ (1954), Sejarah Melayu, The Malaya Publishing House, Ltd, Singapore