Teks Pidato
Tajuk : KEPENTINGAN
PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT.
Assalamualaikum
warahmatullahi wabara katuh,
salam sejahtera,
salam satu Malaysia
Yang saya muliakan tuan
peneraju agenda
Yang arif lagi berdiri
di pasak kebenaran, para hakim yang budiman
Yang dikasihi
tuan-tuan, puan-puan sidang dewan yang dirahmati sekalian.
Tampilnya saya dalam
arena pidato ini untuk memperkatakan tajuk KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI
MAKLUMAT.
Sebelum gelanggang
dibuka,
dengar dahulu paluan
rebana,
Sebelum kata meningkah
bicara,
dengarkan dulu kupasan
tajuknya.
Apa
itu pendidikan teknologi maklumat? Dan apa itu pendidikan? Menurut Profesor Dr
Sidek Baba dalam bukunya yang berjudul Pendidikan Rabbani, Pendidikan ialah
proses memberikan asas asuh, pupuk dan bentuk. Para pelajar tidak semata-mata
menerima pengetahuan, maklumat dan ilmu, sebaliknya diasuh trampil cemerlang
dari sudut ilmu, peribadi dan akhlak.
Seterusnya
izinkan pula hamba menerangkan apa itu teknologi maklumat. Teknologi ialah
ciptaan baharu hasil inovasi dan sains. teknologi maklumat ialah ledakan
komunikasi baharu dengan menggunakan peranti input dan output berbantukan komputer.
Asasnya mudah, komputer dan talian. Melalui talian dan komputer, dunia menjadi
sangat kecil. Sekecil hujung jari. Malah jari-jarilah yang menjadi penghubung
dan mahaguru kepada ilmu dan maklumat. Dewasa ini, dunia teknologi maklumat sangat
cepat, pantas dan tuntas. Mengakses maklumat tidak lagi memerlukan set komputer
yang besar. Memadai dengan sebuah komputer mini sebesar buku latihan atau telefon
pintar yang boleh digenggam.
Tuan-tuan, puan-puan sidang
dewan sekalian.
Klausa
KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT bolehlah diertikan sebagai satu usaha
asuh, pupuk dan bentuk yakni mengasuh, memupuk dan membentuk manusia berbantukan
teknologi baharu. Dalam gelanggang pidato ini saya ingin mengupas bagaimana
teknologi maklumat menjadi wahana penting dalam pendidikan, khususnya untuk
pelajar di sekolah.
Melalui
teknologi maklumat, para pelajar bukan sahaja boleh berinteraksi dengan rakan
dari serata dunia, malah para pelajar boleh berinteraksi dan berdiskusi tentang
pelajaran. Frog vle misalnya menyediakan ruang pembelajaran atas talian atau
disebut ‘VERTUAL LEARNING’. Pembelajaran maya ini menyediakan ruang yang luas
untuk para pelajar – guru – ibu bapa berinteraksi antara satu sama lain. Bahan
pembelajaran boleh dimuat turun. Hasil tugasan pula dimuat naik setelah
disiapkan. Dalam tempoh yang singkat murid boleh mendapatkan maklum balas
daripada guru.
Bagaimana
pula dengan media sosial yang menjadi kegilaan sekarang ini. Media sosial
seperti facebook, twitter, instagram, weechat, telegram dan sebagainya boleh
dimanfaatkan untuk pendidikan. Murid-murid, guru-guru bersama ibu bapa boleh
mewujudkan kumpulan-kumpulan perbincangan tersendiri seperti kumpulan UPSR.
Melalui kumpulan ini ahli boleh mengemukakan apa jua persoalan, kemushkilan
berkaitan peperiksaan. Guru-guru pula boleh member tip-tip berguna untuk
diamalkan. Malah melalui pautan fail, urusan muat naik dan muat turun boleh
dilakukan. Dalam kaedah pembelajaran atas talian kumpulan perbincangan seperti
ini disebut sebagai forum. Antara universiti yang menggunakan kaedah ini ini
ialah Universiti Terbuka Malaysia.
Sidang
hadirin sekalian.
Sebagai
pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, latih tubi sangat penting.
Lebih-lebih lagi latih tubi soalan tahun-tahun lalu dan latih tubi soalan
daripada negeri-negeri lain. Soalan-soalan ini sebenarnya sangat mudah
diperolehi melalui internet. Terdapat banyak laman sesawang dan blog yang
menyediakan kemudahan mengakses soalan-soalan ini secara percuma. Nah! Apa
tunggu lagi. Sampan sudah di air, pendayung sudah di tangan. Mudiklah ke hilir
atau tongkahlah ke hulu. Ambil peluang memuat turun bahan tersebut. Jangan lupa
disimpan dalam pemacu dan dicetak untuk latihan.
Zaman
ini zaman atom. Zaman millennium. Zaman canggih dan zaman sibuk. Masa berlalu begitu cepat. Ibu bapa
terpaksa menggadai masa untuk menyara keluarga sehingga terbabas untuk
mengetahui perkembangan sekolah anak-anak. Tidak mengapa. Usah khawatir.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah membangunkan satu sistem yang dinamakan Sistem
Analisis peperiksaan Sekolah atau SAPS.
Sidang dewan yang
budiman.
Berdasarkan hujah dan fakta di atas, jelaslah bahawa
pendidikan teknologi maklumat merupakan satu kaedah pendidikan yang penting
kepada pendidikan Negara. Murid-murid akan lebih mudah menerima ilmu
pengetahuan dan pelajaran dengan berbantukan teknologi maklumat. Walau
bagaimanapun terpulanglah kepada cara penggunaannya. Justeru gunakanlah
teknologi dengan cara dan tujuan yang betul
Jalan yang gelap bawalah suluh
Lihat cahaya buat pedoman
Pendidikan teknologi maklumat jadi penyuluh
Tentu kecemerlangan dalam genggaman
Sekian,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.