Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.
Monday, 17 August 2026
PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN
Saturday, 15 August 2026
PANDUAN ASAS BERBALAS PANTUN
Elok busana putera puteri,
Kain songket benang suasa;
Laga bahasa minda bestari,
Atma bangkit perkasa bahasa.
Daun bidara jual di kota,
Di dalam raga susun selari;
Santun bicara bersusun kata,
Bertikam bahasa akal jauhari.
Dalam keraton hias suasa,
Diletak susun dayang nan ayu;
Budaya pantun lestari bangsa,
Sopan bersantun pusaka Melayu.
Cg Sam 8/8/26
Matang Gerdu
Wednesday, 15 July 2026
Pantun Pilih Memilih
Adat bertanding pilihanraya. Ada yang menang, ada yang kalah.
Emas tempawan hiasan dinding,
Keris sadur kanan dan kiri;
Andai tuan menang bertanding,
Janji ditabur jangan mungkiri.
Mengail ruan di Tasik Banding,
Di balik pokok asam jawa;
Kalau tuan kalah bertanding,
Jangan rajuk ditelan kecewa.
#pantun #memilihpemimpin
Monday, 15 June 2026
PANTUN SARUNG
Sarung
Baju kurung hias kerongsang,
Corak silang jahitan bonda;
Kain sarung kain pasang,
Dalam dulang sebagai tanda.
Elok jahitan busana puteri,
Kain satin anta kesuma;
Belah rotan sarung di jari,
Zahir batin setuju terima.
Kayu tempinis senjata tarung,
Kayu dipilih dengan petua;
Jari manis cincin disarung,
Disarung oleh bakal mentua.
Cg Sam 30/5/26
Petaling Jaya
PANTUN ANTA KESUMA
Anta Kesuma
Anta kesuma taman larangan,
Tempat puteri libur ceria;
Janji ditempa bukan anganan,
Hidup dan mati janji setia,
Cantik tenunan anta kesuma
Tenunan loreng oleh puteri,
Aduh penangan pandang pertama,
Adik kusunting sebagai suri.
Pakai baju anta kesuma,
Baju zirah kuasa sakti;
Tanda setuju janji bersama,
Senang susah hidup semati.
Pancawarna cenderawasih,
Bikin sukma bara membara;
Cindur mata pengikat kasih,
Anta kesuma tenunan sutera.
Indah sungguh mahligai saujana,
Tempat semayam ratna mutia;
Moga utuh ikatan terlaksana,
Bahagia teranyam sentiasa setia.
Cg Sam 1/6/26
Anta kesuma: berbunga-bunga / aneka bunga / baju sakti
PANTUN TANDING BERTANDING
Tanding bertanding
Tumbuh dedalu di dahan puding,
Dahan keranji menimpa gambir;
Sudah dipalu genderang tanding,
Fitnah dan janji mainan bibir.
Emas tempawan hiasan dinding,
Keris sadur kanan dan kiri;
Andai tuan menang bertanding,
Janji ditabur jangan mungkiri.
Mengail ruan di Tasik Banding,
Di balik pokok asam jawa;
Kalau tuan kalah bertanding,
Jangan rajuk ditelan kecewa.
Kala sanding usah menoleh,
Kain samping anugerah raja;
Tuan bertanding kami memilih,
Pilih pemimpin kuat bekerja.
Cg Sam 3/6/26
PANTUN PURA
Pura
Pintu gapura tersergam indah,
Indah berhias dian dan lilin;
Dalam bicara terselit madah,
Madah berkias makna dijalin.
Antapura mahligai kayangan,
Tempat semayam seri paduka;
Melihat dara senyum karangan,
Tambah cendayam berseri muka.
Tuan pendekar menarik kibar,
Berlayar datang ke Inderapura;
Hati terbakar resah berkobar,
Melihat kembang si anak dara.
Pura Cendana negeri Bahari,
Tempat raja adil bertakhta;
Dara teruna bersuami isteri,
Sempurna jiwa lebur derita.
Pura : kota/negeri
Gapura : pintu kota
Antapura : istana
Cg Sam 4/6/2026
PANTUN BAHARU - BAHARI
Baharu - Bahari
Kayu gaharu tiada berduri,
Tumbuh kekar tepi gedangsa;
Zaman baharu zaman bahari,
Sama mekar terowong masa.
Pucuk beluru sinar mentari,
Tumbuh rendang di hujung desa;
Yang baharu ganti bahari,
Kukuh berpegang di akar masa.
Enak berkudap dengan puteri,
Kudap penganan di pangkal aru;
Kekalkan adab seperti bahari,
Jadi pegangan zaman baharu.
Cg Sam 4/6/26
PANTUN DEWAL / DEWALA
Dewal, Dewala*
Makam tauhid namanya kota,
Kota bahari berdewal batu;
Biar pahit pandangan mata,
Dalam nubari ratna bermutu.
———————————-
Tepi perigi tumbuh mengkuang,
susun sekata dewala bata;
Kanda pergi ke medan juang,
Usah dinda berlinang mata.
———————————-
Burung kenari nyanyi tak jemu,
Di ranting jati langgam bersifat;
Dewala diri dengan ilmu,
Dewala hati dengan makrifat.
* tembok / dinding
Cg Sam 14/6/26
PANTUN SELAMPAI
Selampai
Selampai kuning kain sutera,
Silang di bahu cucuk peniti:
Waktu nan bening rendahkan suara,
Suara merayu Rabbul Izzati.
Menyelampai tetampan si anak dara,
Dalam keraton tatang serahi;
Hadapan Tuhan rendahkan suara,
Tanda memohon asih Ilahi.
Tutup rapat mulut serahi,
Jahit radup berawan larat;
Andai dapat asih Ilahi,
Makmur hidup dunia akhirat.
Selampai / tetampan : sejenis kain atau selendang sutera disilang pada bahu atau leher dalam majlis istana, kain penutup dulang, sapu tangan
Menyelampai : memakai selampai
Serahi : sejenis botol atau kendi berleher panjang
Asih : Kasih, sayang
Jahit radup : Sejenis jahitan pada lipatan
Cg Sam 15/6/26
SINOPSIS PEMBACAAN BUKU
Klik pautan di bawah.......
PAUTAN SINOPSIS PEMBACAAN BUKU
https://drive.google.com/drive/folders/1-Jm739NVoRvHfnU--jrWTN19uT1iIlTa?usp=drive_link
Saturday, 31 January 2026
PANTUN KAYA - MISKIN
Kaya - miskin
Tangga pangkin hala ke darat,
Buatan kekal kayu nan tahan;
Andai si miskin dibiar melarat,
Negaramu bakal dimurkai Tuhan.
Bias cahaya si bianglala,
Langit berseri semakin indah;
Jika si kaya merajalela,
Seisi negeri beroleh padah.
Kain layar lebar berhasta,
Berlayar malam tuju muara;
Si miskin dibiar selimut derita,
Nescaya alam akan bersuara.
Bunga muraya harum aroma,
Hinggap rerama menghirup sari;
Kaya raya bintang ternama,
Lebih ternama dengan memberi.
Cg Sam 22/12/25
Simpang Pulai
PANTUN MISKIN - KAYA
Miskin - kaya
Molek cahaya batu quarza,
Susun berpusing penghias langkap;
Miskin dan kaya usah dibeza,
Masing-masing jadi pelengkap.
Di atas pangkin pasang pelita,
Gubah sumandak bunga seruni;
Biarlah miskin ringgit dan harta,
Asalkan tidak kedana nurani.
Kalau berbedak malam gelita,
Tiada cahaya bilik puteri;
Miskin tidak meminta-minta,
Tapi si kaya wajib memberi.
Emas tempawan menjadi harta,
Hiasan molek diukir-ukir;
Harta tuan kaya berjuta,
Ada milik miskin dan fakir.
Cg Sam 22/12/25
Kg Kepayang Fair Park
PANTUN PERPISAHAN UNTUK SAHABAT
Salam Perpisahan
Pantai memutih dikunjung dayang,
Sipu-sipuan tuju ke bagan;
Andai kasih berpisah sayang,
Nescaya tuan mati beragan.
Batang belidah kayu lempung,
Benang suasa tenun sendiri;
Lama sudah kita sekampung,
Tibalah masa membawa diri.
Emas tempawan menyadur besi;
Gelang suasa mahal berharga;
Pergilah kawan membawa visi,
Berselang masa bertemu juga.
Rungkai sabak rembah berjuntai,
Rembah berpalit membasah randu;
Bagai ombak membadai pantai,
Kenangan diulit semarak rindu.
Tarian samba tiadalah susah,
Ayuh berdansa pakai sepatu;
Tiadalah hamba mahu berpisah,
Aturan masa memang begitu.
Dalam perigi menimba ikan,
Terik menyala sinar mentari;
Kalian pergi kami pasrahkan,
Sekali-sekala jengah ke mari.
Belidah : kayu untuk menenun
Sabak : sebak
Rembah : air mata
Randu : kekabu
Cg Sam 16/12/25
HRPB Ipoh
PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN
Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.
-
Dalam kehidupan Melayu, anjing dilihat sebagai haiwan yang menjengkelkan. Secara tradisionalnya, tidak ada Melayu yang memelihara anjin...
-
1.0 PENDAHULUAN Dari mana datangnya permata, Dari tanah digali-gali, Dari mana datangnya bahasa, Dari kata yang terbit ...
-
Oleh S.Samprizal B Selamat 1.0 PENDAHULUAN 1.1 Dengan jumlah penutur yang seramai lebih 300 juta orang, bahasa...













