Salam Perpisahan
Pantai memutih dikunjung dayang,
Sipu-sipuan tuju ke bagan;
Andai kasih berpisah sayang,
Nescaya tuan mati beragan.
Batang belidah kayu lempung,
Benang suasa tenun sendiri;
Lama sudah kita sekampung,
Tibalah masa membawa diri.
Emas tempawan menyadur besi;
Gelang suasa mahal berharga;
Pergilah kawan membawa visi,
Berselang masa bertemu juga.
Rungkai sabak rembah berjuntai,
Rembah berpalit membasah randu;
Bagai ombak membadai pantai,
Kenangan diulit semarak rindu.
Tarian samba tiadalah susah,
Ayuh berdansa pakai sepatu;
Tiadalah hamba mahu berpisah,
Aturan masa memang begitu.
Dalam perigi menimba ikan,
Terik menyala sinar mentari;
Kalian pergi kami pasrahkan,
Sekali-sekala jengah ke mari.
Belidah : kayu untuk menenun
Sabak : sebak
Rembah : air mata
Randu : kekabu
Cg Sam 16/12/25
HRPB Ipoh

No comments:
Post a Comment