Tuesday, 9 January 2024

RESENSI BUKU + REPUBLIK MARGA SATWA


Tajuk: Republik Marga Satwa

Pengarang: George Orwell


Buku satira karya George Orwell ini dikarang pada tahun 1945 dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia. Terjemahan oleh IBDE menggunakan tajuk Republik Marga Satwa. Banyak penerbitan terjemahan buku ini dengan pelbagai tajuk tetapi yang ini lebih menarik. 

Kulit hadapan dicetak seperti buku langka. Lebih menarik lagi gambar babi berpakaian tentera lengkap dengan pangkat pada kedua-dua bahu serta lencana pingat pada dada kanan, menunjukkan babi ini bukan sebarangan.

Muka hadapan sudah menunjukkan isi ceritanya. Kisah pemberontakan bangsa binatang di sebuah ladang di England. Binatang bersekutu untuk menjatuhkan dan merampas ladang daripada tuan mereka dalam kalangan bangsa manusia. Binatang mahu bebas, tidak mahu diperas oleh manusia. '4 kaki baik 2 kaki jahat.' merupakan slogan para binatang.

Pemberontak bangsa satwa ini dimulai oleh seekor babi tua yang bijak bernama Major. Setelah mati diganti oleh babi yang pandai membaca serta berwawasan jauh bernama Snowball. Snowball sentiasa dicemburui oleh babi seusianya, bengis, tegas, bercita-cita besar. Napoleon namanya.

Kepimpinan beralih kepada Napoleon. Semakin lama komrad babi bernama Napoleon ini menjadikan ladang satwa sebuah Republik. Segala jenis binatang dalamnya wajib mentaati ketua. 9 ekor anjing bengis menjadi kubu kepada ketua. Para babi lainnya akur dan taat setia, sama ada setuju atau tidak angguk sahaja. Begitu juga binatang lain yang hidup sekandang. Kuda, biri-biri, keldai, tikus, babi hutan dan ramai lagi.

Binatang lain, ada yang membantah, ada yang cuba pertikai, ada yang buat tak tahu. Si keldai tua merupakan binatang yang paling panjang umur, yang paling tahu erti kehidupan sebagai binatang di ladang hanya berdiam dan berfalsafah.

Hukuman bunuh di khalayak satwa dikenakan kepada binatang yang engkar, yang belot akan pemimpin dari kalangan babi. Maka, kekuasan babi kekal. 

Rukun Tujuh yang menjadi pegangan para satwa berubah-ubah dengan penambahan satu dua perkataan menjadikan para babi lebih eksklusif. Arakian, hiduplah para babi dengan kemewahan, sehinggalah pertikaian antara pemimpin babi dan sekutu mereka dalam kalangan manusia berlaku di sebuah meja makan.

Satira yang tajam. Kritikan sosial dan kritikan politik yang tidak berlapik lagi.

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit