Tuesday 28 March 2023

Buku Muhammad Ibn Abd Al Wahhab




Tajuk : Muhammad Ibn Abd Wahhab

Penulis : Zakaria @ Mahmod Daud

Terbitan : DBP 2014

Halaman : 216

Ini sebuah buku biografi tentang sosok Muhammad Ibn Abd Wahhab, seorang Reformis agama yang sangat kontroversi. Siapa Muhammad bin Abd Wahhab?

Persoalan siapa beliau dan apa ajaran beliau banyak ditulis dan dibincangkan dari pelbagai sisi. Ada sisi positif dan tak kurang jua sisi negatif. Ada perbincangan secara ilmiah, ada juga perbincangan secara sambalewa yang hanya mahu mencaci dan melebel.

Nah.... Buku ini ditulis secara ilmiah dengan nilai akademik yang bermutu. Walaupun hanya dua ratus halaman tetapi memadai untuk mengambil tahu tentang sosok ini. Penulis buku ini merupakan pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kota Bahru.

Buku ini terbahagi kepada 4 bab besar iaitu 

Bab 1. Keturunan dan sejarah hidup

Bab 2. Dakwah dan perkembangannya

Bab 3. Pemikiran Muhammad Ibn Abd Wahhab

Bab 4. Pandangan sarjana dan ulama tentang pemikiran Muhammad Ibn Abd Wahhab

Bab akhir. Penutup.

Kata pujangga 'membaca menambah ilmu' kita baca buku ini dan tambah ilmu serta pengetahuan tentang Muhammad bin Abd Wahhab.

Berikut merupakan petikan daripada halaman 1 dan 2 buku ini. 

Muhammad ibn Abd al-Wahhab dilahirkan pada tahun 1115H bersamaan tahun 1703M di 'Uyaynah, iaitu sebuah daerah terletak kira-kira 45 kilometer di utara Riyadh, Arab Saudi.

Di daerah Uyaynah, tempat kelahiran beliau, terdapat dua keluarga yang terkenal dan berkedudukan tinggi. Pertama, keluarga al-Mu'ammar, iaitu keluarga Amir yang memerintah. Kedua, keluarga al-Musyrif, iaitu keluarga nenek moyang Muhammad ibn Abd al-Wahhab sendiri. Keluarga al-Musyrif merupakan sebuah keluarga yang terkenal bijak dan alim serta mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Keluarga ini berjaya melahirkan banyak ulama sehingga ada antaranya dilantik menjadi mufti dan kadi."

Keluarga beliau terdiri daripada keluarga yang baik, luas ilmu pengetahuan agama, alim dan bijak. Ayah beliau, Abd al- Wahhab, seorang ulama yang terkenal dan alim dalam pelbagai bidang ilmu keagamaan seperti ilmu fiqh, hadith, tafsir, 'Ulum al-Qur'an, bahasa Arab dan lain-lain. Beliau menjadikan masjid dan rumahnya sebagai tempat mengajar dan berdakwah. Sambutan yang diberikan oleh orang ramai sangat menggalakkan. Beliau banyak mengarang kitab fiqh mazhab Hanbali dan tafsir. Disebabkan beliau seorang ulama besar dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, beliau telah dilantik menjadi kadi di Uyaynah. Kemudian beliau dilantik pula sebagai kadi di Huraymila' setelah berpindah ke sana.

No comments:

Post a Comment

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit