Perang Dunia Pertama. Karya terjemahan AJP Taylor terbitan IBDE Ilham Sdn Bhd. Kulitnya kelihatan sebuah buku langka yang barangkali kurang diminati, tetapi kelangkaan pada kulit luarnya dan juga kebanyakan buku di reruai IBDE kelihatan klasik, maka tarikan untuk membelek buku terbitan syarikat ini semakin kuat. Reruai IBDE merupakan reruai kedua disinggahi di PBAKL 2023.
Tidak rugi membelek buku-buku di reruai ini. Banyak karya besar terjemahan daripada penulisan Arab, Inggeris dan lainnya. Perang dunia Pertama, Perang Dunia Kedua menarik begitu menarik untuk diimbas sepintas lalu. Cara penulisan penterjemahannya amat lancar untuk dibaca.
Sehelai peta Eropah yang 1914 dan 1918 merupakan cenderamata atas pembelian buku ini. Peta ini barangkali kelihatan tiada apa-apa yang mengujakan. Sebenarnya peta ini sangat penting lagi mengujakan. Ada perbezaan kecil pada peta yang menatijahkan satu sejarah tekal sampai kini. Pada 1914 kelihatan sebuah empayar Khalifah Uthman tetapi dalam peta 1918 yang ada ialah peta Turki dan pemisahan Syiria, Lubnan, Iraq, Armenia, Georgia dan sebagainya.
Buku ini lunak untuk dibaca. Bahasanya mudah seolah-olah menonton sebuah doku-sejarah yang sarat fakta dan maklumat serta timbul pula persoalan. Foto-foto hitam putih rakaman sebenar sudah tentu akan menambahkan lagi keasyikan membaca dokumen sejarah ini.
14 tajuk memenuhi 311 halaman sarat dengan fakta sedia untuk dihadam. Disebabkan bukan nak ambil peperiksaan kertas sejarah, maka membaca karya ini tak perlu serius sangat. Tak payah nak hafal apa-apa fakta pun, sekadar santapan minda untuk ambil peduli. Nanti baca tentang Perang dunia Kedua pula.
Berikut tentang pengarang cuplikan laman sesawang riwayat
---
A.J.P. TAYLOR (1906-1990) ialah seorang ahli sejarah dan seorang pengulas media Inggeris. Dilahirkan di Birkdale, Lancashire dan mendapat pendidikan di Universiti Oxford. Beliau paling terkenal dengan karyanya mengenai sejarah Eropah, khususnya mengenai sejarah dua perang dunia. Beliau adalah Fellow Kolej Magdalen, Oxford dan seorang profesor sejarah moden di Universiti Oxford. AJP Taylor terkenal dengan pendekatan kontroversi dan sudut pandang lain terhadap sejarah, beliau menolak pandangan tradisional tentang sejarah dan menawarkan perspektif baru tentang peristiwa dan memperkenalkan watak-watak yang lain pada masa lalu. Antara lain, beliau juga terkenal dengan kebolehannya menjelaskan konteks peristiwa sejarah yang sukar difahami kepada khalayak umum. Taylor menerbitkan beberapa buku sepanjang kerjayanya, termasuk "The Origins of the Second World War" (1961), "The First World War: An Illustrated History" (1963), "The Struggle for Mastery in Europe 1848-1918" (1954) dan "Bismarck: The Man and the Statesman" (1955). Beliau juga sering menjadi penyumbang kepada akhbar dan majalah dan muncul di televisyen dan radio sebagai pengulas isu sejarah dan politik.
#MalaysiaMembaca
#MalaysiaMadani
#bangsamembacabangsaberjaya
#PBAKL
#terusmembacatanpahenti
No comments:
Post a Comment