Monday, 26 February 2024

TANGKAP BURUNG

 


Di sebuah kampung di Batu Kurau, Perak.

Kejadian pada waktu yang tidak tentu, ikut suka kaulah nak. Lepas makan dan kadang-kadang belum makan apa-apa pun. Pagi, tengah hari atau petang. Itu sahaja waktu yang dibenarkan. Apabila matahari dah terbenam aktiviti luar turut ditamatkan. Itu syarat tidak bertulis yang wajib kau patuhi.

Laung nama kawan kuat-kuat depan rumah. Bawah rumah pun boleh. Rumah kampung dibina tinggi. Tiang sama tinggi atau lebih tinggi daripada orang berdiri.

Tak sampai setengah minit, kawan kau akan turun rumah tanpa baju. Tapi kalau dia tak turun juga, baik kau cabut. Mak dia tak bagi keluarlah tu.

Apa operasi hari ni.? Tangkap burung? Lastik burung? Cari telur burung? Lokasi? Di mana-mana sahaja pun jadi. Depan rumah aku boleh. Belakang rumah kau boleh. Kampung seberang pun boleh. Atau ke mana-mana sahaja. Kampung ni sampai sepuluh kampung keliling adalah padang kita bermain.

Nak melastik, mudah sahaja. Hanya perlukan parang dan getah. Cantas pokok bercabang. Buat sendiri. Ketul batu kutip di mana-mana. Biasanya aktiviti melastik beroperasi di tepi belukar, hutan atau dalam hutan. 

Sekali sekali ada jugak yang buat kerja gila. Melastik dalam kawasan kampung. Peluru lastik jatuh atas bumbung. Kena pula atap rumbia yang dah reput. Batu masuk rumah. Kena tingkap. Kena dinding. Sah-sah makcik atau tok keluar jendela menjengah. 

"Bertuah punya budak... Anak sapa tu."

Menyorok balik semak sambil tahan gelak. Tapi kalau yang keluar tu pakcik, maka carilah tempat lain. Bukan sebab kena marah, tapi rasa takut tu lain macam.

Pernah juga kayu lastik dirampas. Jadi kayu api. Itu sebagai satu hukuman sebab tak reti nak balik makan.

Tak ada lastik kita ubah aktiviti. Tangkap burung. Bukan susah pun. Pergi kawasan semak. Nampak burung, sergah. Ligan ramai-ramai. Ligan sampai langgar dinding rumah orang. 

Biasanya burung yang dilihat bukanlah jenis burung yang terbang tinggi. Burung yang selalu main di tanah. Burung wak-wak, punai tanah, puyuh, merbah dan kadang-kadang ada burung merpati. 

Kebanyakan budak-budak dulu tak pakai kasut tapi pakai rantai tali kasut. Katanya banyak cacing. 🤣🤣🤣

 Aku budak kampung Batu Kurau.




No comments:

Post a Comment

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit