Tuesday, 28 October 2025

Resensi Buku Rumah Untuk Alie

 Rumah Untuk Alie


Ketika menjuri Pertandingan Pembaca Bestari peringkat Negeri Perak anjuran SSTP baru-baru ini, ada beberapa orang peserta mengangkat buku Rumah Untuk Alie sebagai buku yang diulas. Kedengaran sangat menarik, lebih-lebih lagi gaya mereka mengulas dalam pelbagai aspek dan sisi pandang menimbul rasa mahu cari tahu.

Isu kesihatan mental, perkembangan psikologi, egoistik orang dewasa dan buli sangat seiring dengan isu pendidikan dalam negara masa kini. Lalu ambil tahu dan cuba baca karya ini. 

Buku ini merupakan karya tulisan sorang penulis muda Lenn Liu, atau Regita Cahyani. seorang penulis yang peka terhadap isu-isu dalaman remaja dan realiti keluarga dalam masyarakat moden. Diterbitkan pada tahun 2024 oleh Nukilan Biruni, karya ini hadir dalam bentuk catatan naratif kontemporari yang menyentuh perasaan, merentasi 259 halaman yang menyulam emosi, tekanan, dan harapan.

Pembaca dibawa menyelami dunia batin seorang remaja perempuan bernama Alie, atau Alie Ishala Samantha. Remaja ini tinggal bersama seorang ayah dan 4 orang abang.

Watak-watak keluarga lelaki yang egois, terutama ayahnya dan sikap abang-abang yang tidak menjadi pelindung. Namun ada juga yang masih berbaik hati, tetapi keegoan dan takluk kuasa sang ayah lebih menguasai situasi.

Alie tidak hanya ditimpa malang dengan kematian ibu, jauh daripada itu dia dianggap sebagai punca kepada kematian. Jalan cerita dikembangkan dengan penuh sentimen kesyahduan, bungkam rasa. Dera emosi dan dera rasa berlaku di rumah dan di sekolah.

Bapa dan keluarga yang sepatutnya menjadi benteng kepada kesejahteraan seorang remaja belasan tahun tidak berlaku. Dera jiwa dan buli di sekolah menjadikan emosi semakin tidak terkawal.

Buku yang sangat bagus dibaca oleh semua lapisan pembaca remaja, dewasa dan ibu bapa. Begitu juga kepada para pendidik. Karya ini menyelami jiwa mangsa dera rasa dan dera emosi.

Adakah Alie berjaya menemukan rumah impiannya? 

Adakah dia mahu turut mengikuti ibunya ke rumah yang lebih abadi daripada lingkungan manusia ego?

Ayuh.... Bacalah dengan nama Tuhanmu.

#bangsamembacabangsaberjaya #terusmembaca #membacatanpahenti #bacaandigital

No comments:

Post a Comment

ULASAN BUKU : JOSE RIZAL, MELAYU AGUNG

  Tajuk : Jose Rizal; Melayu Agung Penulis : Carlos Quirino Penterjemah : Puspawati Rosman Penerbit: idbe  Buku tulisan sejarawan ulung Fili...