Saturday, 3 June 2023

Ahmad Albab Al Ceritera

 


Ahmad Albab Al Ceritera


Ahmad Albab Al Ceritera

Kisah bahari baharu direka

Hitam putih akan warnanya

Namun kekar sepanjang masa


Bermula kisah hilang ternakan

Ke hulu ke hilir mencari sakan

Sampai di gua ia temukan

Pintunya luas tak berkuncikan


Miskin melarat asalnya dia

Dapat berkahwin wanita dara

Cantik molek akan rupanya

Juga manis budi bahasa 


Beranaklah sudah akan isteri

Seorang putera comel sekali

Suka menangis tak mahu henti

Paduka ayahnya ia pun pergi


Pintu diketuk tangis berhenti

Ke pintu gua segera pergi

Tiadalah ia perlukan kunci 

Kerana kuncinya mentera sakti


Emas tempawan berpeti-peti

Hanya sayarat perlu patuhi

Kekayaan itu mesti dikongsi

Janganlah makan seorang diri


Pabila harta menjadi banyak

Tidaklah pula berkuasa bongkak

Tukang posto jadi terbeliak

Pandai membaca merangkak-rangkak


Seisi kampung bersuka cita

Tok penghulu turutlah sama 

Elaun ditambah kepada semua

Berkongsi laba harta dan kuasa 


Ayahanda pula tersangat bakhil

Segala benda menjadi musykil 

Janganlah kurang walau setahil

Bonda hanya terkebil-kebil


Ahmad Albab Al Ceritera

Mengubah nasib satu negara

Bukan hanya penglipurlara

Kisahnya mahsyur berkurun lama


Ahmad Albab adakah lagi

Jika wujud makmurlah negeri

Tamak haloba dan busuk hati

Dihumban ke gua di dalam peti


Itulah ceritera jadi teladan

Buat manusia sepanjang zaman

Hamba hanya mencoret coretkan

Agar marga sentosa aman


Cg Sam

Syawal 1442

Kg Kepayang Perak

Saturday, 29 April 2023

Sepantun Aidilfitri

 


Bulan purnama di balik awan

Cerah halaman bertambah seri

Usah sengketa mengundang rawan

Maniskan Roman di Aidilfitri


Bulan mengintai di balik awan

Terang cahaya nampak berseri

Sahabat handai rakan dan taulan

Di hari raya maaf diberi


Terang cahaya bulan purnama

Cerah berseri laman ibunda

Kongsi bahagia kita sesama

Sama ceria menghapus noda


Kredit foto: Kenny Sstar


Tuesday, 28 March 2023

Buku Muhammad Ibn Abd Al Wahhab




Tajuk : Muhammad Ibn Abd Wahhab

Penulis : Zakaria @ Mahmod Daud

Terbitan : DBP 2014

Halaman : 216

Ini sebuah buku biografi tentang sosok Muhammad Ibn Abd Wahhab, seorang Reformis agama yang sangat kontroversi. Siapa Muhammad bin Abd Wahhab?

Persoalan siapa beliau dan apa ajaran beliau banyak ditulis dan dibincangkan dari pelbagai sisi. Ada sisi positif dan tak kurang jua sisi negatif. Ada perbincangan secara ilmiah, ada juga perbincangan secara sambalewa yang hanya mahu mencaci dan melebel.

Nah.... Buku ini ditulis secara ilmiah dengan nilai akademik yang bermutu. Walaupun hanya dua ratus halaman tetapi memadai untuk mengambil tahu tentang sosok ini. Penulis buku ini merupakan pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kota Bahru.

Buku ini terbahagi kepada 4 bab besar iaitu 

Bab 1. Keturunan dan sejarah hidup

Bab 2. Dakwah dan perkembangannya

Bab 3. Pemikiran Muhammad Ibn Abd Wahhab

Bab 4. Pandangan sarjana dan ulama tentang pemikiran Muhammad Ibn Abd Wahhab

Bab akhir. Penutup.

Kata pujangga 'membaca menambah ilmu' kita baca buku ini dan tambah ilmu serta pengetahuan tentang Muhammad bin Abd Wahhab.

Berikut merupakan petikan daripada halaman 1 dan 2 buku ini. 

Muhammad ibn Abd al-Wahhab dilahirkan pada tahun 1115H bersamaan tahun 1703M di 'Uyaynah, iaitu sebuah daerah terletak kira-kira 45 kilometer di utara Riyadh, Arab Saudi.

Di daerah Uyaynah, tempat kelahiran beliau, terdapat dua keluarga yang terkenal dan berkedudukan tinggi. Pertama, keluarga al-Mu'ammar, iaitu keluarga Amir yang memerintah. Kedua, keluarga al-Musyrif, iaitu keluarga nenek moyang Muhammad ibn Abd al-Wahhab sendiri. Keluarga al-Musyrif merupakan sebuah keluarga yang terkenal bijak dan alim serta mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Keluarga ini berjaya melahirkan banyak ulama sehingga ada antaranya dilantik menjadi mufti dan kadi."

Keluarga beliau terdiri daripada keluarga yang baik, luas ilmu pengetahuan agama, alim dan bijak. Ayah beliau, Abd al- Wahhab, seorang ulama yang terkenal dan alim dalam pelbagai bidang ilmu keagamaan seperti ilmu fiqh, hadith, tafsir, 'Ulum al-Qur'an, bahasa Arab dan lain-lain. Beliau menjadikan masjid dan rumahnya sebagai tempat mengajar dan berdakwah. Sambutan yang diberikan oleh orang ramai sangat menggalakkan. Beliau banyak mengarang kitab fiqh mazhab Hanbali dan tafsir. Disebabkan beliau seorang ulama besar dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, beliau telah dilantik menjadi kadi di Uyaynah. Kemudian beliau dilantik pula sebagai kadi di Huraymila' setelah berpindah ke sana.

Pantun Seloka Kumpulan Cengal


 Pantun Seloka Kumpulan Cengal.

Ini pantun seloka ketika pulang dari Pendidikan Luar (PL) yang merupakan salah satu aktiviti kokurikulum yang wajib diikuti oleh kami pelatih maktab perguruan.

Institut Bahasa menawarkan dua lokasi sahaja iaitu Teluk Sekedeh di Lumut atau ke Gunung Ledang. Aku dan beberapa orang pelajar memilih ke Gunung Ledang, dan kami merupakan satu-satunya kumpulan yang ke sana.

Tarikh tepat PL ini tidak kuingati. Tetapi baitan pantun seloka masih tersimpan untuk nostalgia bersama 


Ke puncak Ledang dari IB

Urat saraf terasa sengal

kami sembilan pemuda-pemudi

itulah teras kekuatan CENGAL


Ketua kumpulan CENGAL berdedikasi

S.Samprizal nama diberi 

kami semua bersatu hati

Gunung Ledang sama didaki


 Mohd Samuddin dari kelantan 

suka berdendang lagu Hindustan

hati yang luka jadi tertawan

walaupun kami di dalam hutan


Kami semua bersatu bersetia 

menjadi pendidik juga pemimpin 

Lily Hafidza berkaca mata 

begitu juga Mohd Ariffin


Othman Abdullah tampan sekali

jadi pujan seantero negeri

bukit yang tinggi sanggup didaki

pokok yang kecil pun dia panjati


Kepadamu kekasih aku berserah 

dalam segar juga termangu 

siapa tak kenal Haniza Abdullah 

Cik Mek Molek dari Terengganu


Bersuluh di cermin jadi kegemaran 

walau di pekan atau di hutan 

inilah dia kak cik'ku sorang 

Cik Jelidah itulah gerangan


Suzana Juhari nampak pendiam

tapi ramahnya tak dapat digambarkan

di dalam sungai suka barendam 

di malam hari menggigil kesejukan 


Nora Ibrahim tak pandai berenang

sekali kuak teruslah karam

tegur marahnya jangan ditentang

mulutnya masin macamlah garam


Ustaz Zakaria Jurulatih disegani 

kumpulan CENGAL ia bimbingi 

kami semua berbesar hati

atas segala curahan bakti 


Cik Bernard pendaki hebat

sentiasa tersenyum walaupun penat 

kami semua mengadu tak larat 

langsung ia berhenti rehat


En Ng pakar ekologi

mengkaji pokok sampah dan tanah 

semasa pulang cedera di kaki

nasib baik tidaklah parah


Cik Zainab orangnya tinggi 

tidak setinggi si pokok langsat

 akan kami semat dihati 

segala amanat juga nasihat 


naik bukit macamlah unta

berenang di sungai macam buaya

turun bukit macam kura-kura

nampak seri di setiap muka

ke Gunung Ledang kami berjaya

kami pasti ke ambang Juara


Gayung menyahut Fatani menyambut

sepuh dan susuk jadi mainan 

tangan beralun bergerak lembut 

sekadar persembahan di malam kebudayaan


Pantun ini pantun seloka

sekadar tatapan rakan semua

silap dan salah kiranya ada

pohon kemaafan darilah hamba


Tuai padi antara masak

esok jangan layu-layuan 

mengintai Ledang antara dampak 

Nanti pucaknya kita kan tawan


S Samprizal Selamat 

IBKL

Tuesday, 11 October 2022

Si Kaduk Merenung

 Si Kaduk Merenung


Ayam jantan 

Ayam tambatan

Hilang tambat

Dimiliki orang

Janji salah dengar

Kata salah ucap

Tanah serelung

Hilang sepelaung

Kaduk meraung

Diamnya merenung

Pedih tak tertanggung

Nasib Kaduk oleh akal sendiri





Wednesday, 20 July 2022

KURANG AJAR

 Kurang Ajar


Melayu itu tersangat kurang


Kurang pada marah

Marahnya masih santun

Kurang pada cerca

Cercanya berlapik pantun

Kurang pada dengki

Dengkinya bersendi puji

Kurang pada harta

Hartanya zuriat cahaya mata

Kurang pada kata

Katanya bersulam firman dan sabda


Tersangatlah ia kurang pada dunia

Tetapi jika dunia Melayunya digugah

Bingkas ia tanpa berlengah

Ketika itu ia belajar 

Menjadi kurang ajar


Cg Sam 

Kg Kepayang 20/7/22

Saturday, 16 July 2022

Buku Guru Aini

 



Tajuk : Guru Aini

Penulis : Andrea Hirata

Penerbit : Jejak Tarbiah

Muka surat : 296

Andrea Hirata, penulisannya sangat hidup dan menghidupkan. Tema orang-orang biasa dalam perjuangan masyarakat yang sering kali mahu hidup secara luar daripada kebiasaan diangkat dengan santai tetapi sangat hidup dan berjiwa.

Dilihat pada tajuk sudah boleh ditanggap isi kandungan yang mahu disampaikan. Kisah perjuangan sang guru yang namanya Aini..... Itulah sangkaan pertama. Tetapi apabila dibaca, hatta sampai ke halaman 50 tiada pun watak guru yang bernama Aini. Yang ada ialah Aini seorang kanak-kanak perempuan yang berpenyakit misteri apabila berhadapan dengan mata pelajaran Matematik.

Matematik menjadi punca segala penyakit, menjadi bebanan tak terhitung, menjadi satu petaka dan punca hilangnya motivasi kepada kanak-kanak ini. Bagaimana pula dengan kanak-kanak lainnya yang belajar di sebuah pulau yang menjadi sekolah pertama penempatan oleh seorang guru muda yang baharu menamatkan pengajian dalam bidang keguruan? Itulah Desi Istiqomah.

Desi Istiqomah dilakarkan sebagai seorang gadis cantik, molek lagi mulus. Sangat bijak, malah yang terbijak dalam keluarga dan dalam kuliah. Tetapi punya parut yang kebiasaannya milik budak lelaki lasak. Gemar memakai baju muslimah yang dipadankan dengan kasut sukan. Kasut sukan itu menjadi satu pandangan pelik yang langsung tidak secocok dengan busana. Itulah pula perwatakan Desi.

Lahir dalam keluarga berada yang dijanjikan kemewahan, tetapi memilih pendidikan dan sangat taksub untuk bergelar ibu guru. Keguruan dilihat sebagai satu bidang yang banyak bebanan, tidak glamour, kurang pendapatan. Timbul telingkah pendapat antara Desi Istiqomah dengan ibunya, juga teman lelakinya. Memilih menjadi guru di kawasan pedalaman adalah muktamat.

Kecekalan jiwa seorang sarjana pendidikan yang bakal menerima penempatan pertama, sanggup bertukar tempat dengan rakan sekuliah agar ditempatkan di pulau mana sahaja. Lalu Pulau Batu Hampar yang tidak siapa pun ketahui kedudukannya dalam peta Indonesia menjadi lokasi penempatan pertamanya. Menjadi guru Matematik di sebuah sekolah luar bandar di pulau terpencil. 

Maka kisah perjuangan Ibu Guru Matematik bernama Desi Istiqomah bermula dengan begitu mengujakan, juga mengharukan. Apa kaitannya Guru Aini yang menjadi tajuk novel ini dengan gadis manis Desi Istiqomah? Ternyata perjuangan pendidikan itu berhadapan onak yang sama sahaja walau di mana juga guru itu berada.

PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN

Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.