Tuesday, 25 August 2015

Pantun mengkudu


Jika mahu menambah selera,
Berulamlah dengan buah mengkudu;
Kalau tak tahu elok bertanya,
Malu berdayung hanyut perahu.

Rebus mengkudu dalam belanga,
Dihiris-hiris jadikan kerabu;
Usah berseteru sesama bangsa,
Umpama kompang sumbang berpalu.

Bunga mengkudu dihinggap lebah,
Lebah tualang menghimpun madu;
Usah dikenang dosa yang sudah,
Dosa yang sudah menjadi sendu.

Gentas sebiji buah mengkudu,
Dicelur dengan petai belalang;
Daripada mengenang perkara yang lalu,
Baik merancang masa mendatang.

Batang mengkudu warnanya kuning,
Elok ditarah menyudip nasi;
Melihat durjana segera berpaling,
Nescaya indah budi pekerti.

Pantun Kembang Sepatu



Kembang sepatu puspa kirana,
Pancawarna penyeri halaman;
Akhirat dituju berladangkan dunia,
Teranglah hati disinar iman.

Cantik berkembang kembang sepatu,
Warna kuning sunguh berseri;
Lumut tidak lekat di batu,
Jika bergolek tidak berhenti.

Kembang sepatu petik setangkai,
Selit bunganya di sanggul perawan;
Biarpun molek sutera dipakai,
Dibawa ke ladang tiada bertahan.

Rerama hinggap menghisap madu,
Kembang sepatu madunya jernih;
Berladangkan dunia akhirat dituju,
Syurga abadi nikmat ditagih.


Monday, 11 May 2015

Pantun Inai


Mari serikan pengantin baru,
Pucuk inai dilumat-lumat;
Hidup jangan cari seteru,
Ramaikan teman banyakkan sahabat.

Batang inai elok dipangkas,
Makin dipangkas makin merimbun;
Satukan mempelai elok berlekas,
Nescaya terpelihara adap dan santun.

Inaikan jari pengantin baharu,
Inai digiling sambil bersila,
Dua jiwa telah bersatu,
Menjaga leluhur umat manusia.

Tunggul inai usah disepak,
Kelak berdarah si sibu jari,
Rindu kasih cinta semarak,
Langsung berjabat tangan tok kadi.

Lumatkan inai malam pengantin,
Petik inai pucuk yang muda,
Bersatu hati zahir dan batin,
Kasih di dunia kekal ke syurga.

Pantun; Kaktus


Pokok kaktus berbunga undah,
Bunga cantik daun tiada;
Kelindan putus berjahit sudah,
Kerja yang molek lagi sempurna.

Jangan memegang batang kaktus,
Durinya akan menusuk jari;
Penyu di pantai telur beratus,
Namun tak pernah menyombong diri.

Kaktus pokok tahan mentari,
Tanpa air masih berdaya;
Tetamu menjenguk jemput ke mari,
Erat silaturahim perkukuh saudara.

Tersesat di gurun panas terasa,
Cantas kaktus minum airnya;
Emas, perak juga suasa,
Elok mengikat batu permata.

Teguh berdiri kaktus di taman,
Semakin indah taman larangan;
Berhati-hati memilih teman,
Tersenyum wajah berkilas tangan.

Sunday, 10 May 2015

Pantun Simpur


Pokok simpur tumbuh di paya,
Bunganya besar kuning serupa;
Emas menyadur besi tembaga,
Lamalah lama berkarat juga.

Jika mahu membungkus nasi,
Daun simpur boleh diguna;
Jika mahu cantikkan besi,
Sadurlah dengan emas suasa.

Simpur banyak di Bandar Begawan,
Jadi hiasan sepanjang sungai;
Hendak emas, emas tempawan,
Molek disimpan elok dipakai.

Salut simpur berwarna merah,
Tempat semut membina sarang;
Mulut tersenyum hati nan marah,
Tanda nafsu dapat dikekang.

Anak desa memetik simpur,
Mahu membuat dangau di laman;
Bengkokkan tembaga dengan melayur,
Jinakkan syahwat dengan beriman.

Thursday, 7 May 2015

Pantun Kesidang


Kesidang wangi siang dan malam,
Bikin rasa tidak karuan;
Pegang janji bersungguh kalam,
Nyawa di badan jadi taruhan.

Pokok kesidang memanjat para,
Para buluh diikat jerami;
Adat berladang dibajak tenggala,
Adat berkasih janji ke mati.

Kalau mahu wangikan beranda,
Tanamlah kesidang bersama melati;
Kalau mahu harumkan nama,
Berbuat baik setulus hati.

Ditengah-tengah pokok redani,
Kanan kesidang kiri jeliti,
Bukan di kanan bukan di kiri,
Kasih tersemat di dalam hati.

Lautan Memunggah Mutiara

Guru adalah lautan memunggah mutiara
guru ibarat lilin
sudah tidak releven lagi ....
sampai bila mahu membakar diri
sudahnya api padam dan buana gelita kembali
lilin tidak betah dengan angin
hanya hembusan lembut anak tadika padamlah ia
apatah lagi dengusan kencang si bapa
nescaya lilin membeku tiada bercahaya
Yang paling molek
guru umpama lautan memunggah mutiara
mengapa...
kerana
tiada kehidupan tanpa lautan
bukan sahaja ikan, 
udang dan kepah memerlukan laut
manusia, unggas dan ungka siamang juga mahukan laut
laut penentu iklim dunia
bayunya lembut memuput bahagia
geloranya ganas mengubah suasana
ombaknya indah menjauh gulana
tsunami kejam mendidik manusia
bahasa laut sungguh luar biasa
cara tegurnya tidak sama
yang durjana dan keras kepala
dihempas umpama karang di kuala
yang cendekia didodoi dengan irama
hempasan laut bukan percuma
dalamnya mengandung mutiara
Itulah guru yang sebaiknya
ayuh kawan guru
ubah petitih baharu
kita bukan lagi lilin
kita adalah lautan
....cikgu sam

PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN

Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.