Friday, 13 March 2015

Anak Kecil

ANAK KECIL


Kalau roboh kota Melaka
Papan di Jawa hamba gantikan
Pertahan sungguh jiwa merdeka
Nyawa dan raga hamba pertaruhkan

1

Anak kecil main api

Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tanah terbentang berlimpah kurnia
Namun tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa
Yang dibawa
Yang ditaja
Cinta musnah dalam keringat merah

2
Kini masa berlalu pantas
Jalur Gemilang mengantikan
Bendera-bendera lanun dari serata maya
Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris
Memecah, memerintah

50 tahun berlalu sudah
Union Jack direntap bersemangat
Lambang citra warga berdaulat

3
Kata pak tua…
Susah benar mencapai merdeka
Kata kita ……..
Susah lagi mengekalkan kemerdekaan
Apa sajian mahu dihidang
Apa ramuan mahu ditambah
Apa silat mahu disembah
Apa langkah mahu dipencak
Apa pantun mahu digubah
Anak-anak yang tidak tahu apa-apa ini
Mana arahnya
Mana tujunya
Mana jalannya
Mana rumahnya
Dan mana kuburnya

Kita kata ini dunia kita
Yang kaya ya kaya raya
Yang miskin papa kedana

Saban malam merdeka
Berjoget dan pesta
Jantan betina tanpa usia
Terbaring berlumuran darah
Diselimuti bendera di jalan raya
Anak muda semuanya

4
Adakah kerana mengharap sedikit rasa
Anak-anak dari reban dan desa ini
Ditanggal maruahnya
Dicengkam jiwanya
Dibelenggu citranya
Hanya kerana mengharap sedikir rasa
Yang tidak punya perasaan
Rasa yang dibikin oleh wewenang dan abangan

5
Jika Rentap, Maharajalela, Mat Kilau, Bahaman
Atau seangkatan mereka
Hidup semula
Nescaya darah yang telah mengalir dahulu dibahu mereka
Akan mengalir semula dimata dan jiwa
Apa ertinya mengibarkan bendera
Jika jiwa menjadi hamba

Masa depan sungguh kelam
Adakah kan lenyap
Peristiwa semalam
Terbutanya hati
Terkunci mati
Maruah peribadi yang telah hilang


Gagaskan citra baru anak merdeka

No comments:

Post a Comment

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit