Friday, 11 September 2015

Pantun : Kucai


Mari menanam pokok kucai,
Diselang dengan bayam berduri;
Diam-diam orang yang pandai,
Umpama ubi diam berisi.

Jaga-jaga ayam serama,
Mematuk kucai patah tiga;
Ubi jangan berdiam lama,
Lama-lama berkayu juga.

Bertanam kucai juga peria,
Disiram air gunakan baldi;
Orang pandai kurang bicara,
 Orang pandir petah sekali.

Benih kucai di dalam langkap,*
Langkap diserah kepada tetamu;
Kalau tuan banyak bercakap,
Kelak sersingkap buruk lakumu.

Kucai digemal jual di kota,
Mahu dibeli Putera Mahkota;
Pandai pandailah bermain kata,
Kerana kata banyak berdusta.

Timbang kucai berat sekati,
Ditumis dengan cili padi;
Bicara itu suara hati,
Baitan kata gambaran budi.

* Langkap = Bahagian dalam tepak siri

No comments:

Post a Comment

PANTUN SARUNG

  Sarung Baju kurung hias kerongsang, Corak silang jahitan bonda; Kain sarung kain pasang, Dalam dulang sebagai tanda. Elok jahitan busana p...