Kira-kira pukul 10.30 malam 11 November 2019, semua peserta tiba di Hotel Citrus. Kelelahan yang ketara tetapi tetap gembira. Sudah dua hari berturut-turut keluar masuk Singapura. Arahan ringkas dan padat. Selesaikan makan malam dan pastikan bilik dikemaskan sebaiknya. Esok selepas sarapan kami akan terus ke Kulai.
Tapi sebelum itu, pemeriksaan dokumen tetap dilakukan. Menyemak semula passport antarabangsa peserta. Passport hanya akan dipulangkan semula di sekolah setelah tamat lawatan. Passport bukan perkara remeh, ini dokumen rasmi yang tinggi nilainya. Entah macam mana, kurang satu. Seorang peserta tiada passport. Gerakan mencari dilakukan secara serius. Kalau tak jumpa juga, esok pagi perlu buat laporan di balai polis Johor Bahru.
Hampir tengah malam, salah seorang guru pengiring maklumkan passport tersebut ada dalam simpanannya. Fuh.... Lega dan tidur pun enak sekali.
12 November, setelah bersarapan peserta bas satu sudah bersedia berlepas untuk lawatan penanda aras transformasi. Bas kedua masih punya masa beristirahat. Mereka akan ke Johore Premium Outlets. Kami hanya akan bertemu untuk makan malam sahaja.
Dalam bas ada beberapa kerusi kosong. Oh tidak. Ada peserta belum sampai. Buat semakan, memang betul, mesti belum bangun tidur lagi ni.....
Segera ke kaunter pendaftaran semak bilik mana belum serah kunci. Ambil kunci tambahan terus ke tingkat atas dan membuka pintu bilik. Aduhai ada empat orang peserta sedap membuta. Tanpa banyak bicara mereka dikejutkan. Terus bingkas bangun.
"Saya bagi masa 5 minit ja, pastikan siap sepenuhnya."
Sambil mereka mandi dan bersiap memakai kemeja t khas, bantu mereka mengemaskan apa yang patut. Senang ja. Setiap peserta memang diarahkan bawa plastik hitam untuk mengisi pakaian yang sudah dipakai.
Mana-mana yang patut dimasukkan dalam plastik hitam, sumbat terus.
"Kenapa lambat?"
"Semalam tak tidur cikgu." Jawab mereka sambil menyerongen.
"Salah siapa?"
"Salah kami cikgu, kami minta maaf."
"Kita dah lambat, tiada sarapan. Makan ja dalam bas," makanan memang banyak. Siap dengan buah, biskut, roti, air kotak dan sebagainya.
"Jom, daftar keluar, semua orang dah tunggu dalam bas."
Dengan muka selamba, kami turun. Serahkan kunci untuk daftar keluar dan satu tepukan gemuruh mengiringi budak-budak ni masuk bas.
Perjalanan ke Kulai mengambil masa lebih kurang 45 minit bergantung kepada kesesakan jalan raya.
Dalam bas taklimat diberikan kepada semua peserta. Ini lawatan formal. Setiap peserta membawa nama sekolah. Tujuan lawatan untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. Justeru peserta ditegaskan agar menjaga tatasusila.
Tepat pukul 9.45 pagi kami sampai di hadapan pintu pagar sekolah. Bas tidak boleh masuk ke kawasan sekolah kerana kedudukannya berbukit dan susah untuk membuat pusingan.
Penyelaras Transformasi, Cikgu Ismail menyambut kedatangan kami dengan senyuman.
No comments:
Post a Comment