Saturday, 21 August 2021

SRK (Inggeris) Batu Kurau 1981 - 1986

 


1981 mula memijakkan kaki ke sekolah rendah. Di pekan Batu Kurau ada dua buah sekolah rendah utama yang menjadi pilihan, malah bersaing antara satu sama lain. Satu SK Toh Sajak, dari segi sejarahnya sekolah ini merupakan sekolah aliran Melayu yang awal ditubuhkan di Batu Kurau, malah di negeri Perak. 

Satu lagi SRK Batu Kurau, sebuah sekolah yang dari sejarahnya merupakan sekolah aliran Inggeris. Pada tahun 1981 nama sekolah ini masih lagi SRK (I) Batu Kurau dan  orang tempatan akan sebut sekolah Inggerih merujuk sekolah SRKBK.

Kedudukan kedua-dua sekolah ni pun bukan jauh mana. Hanya dipisahkan sebatang jalan raya, Jalan Besar Batu Kurau. Jadi pada awal pagi dan waktu tengah hari jalan besar ini akan sangat sibuk dengan murid-murid dan ibu bapa yang hantar dan ambil anak-anak.

Sebetulnya betapa kerat sangat yang dihantar dan dijemput oleh ibu bapa. Itu pun pada minggu awal persekolah masuk darjah satu. Selain itu, pergi dan balik sekolah sendiri-sendiri sahaja. Kebanyakannya berjalan kaki.

Walaupun di Batu Kurau ada beberapa buah sekolah aliran Melayu (SK) namun ramai juga murid yang masuk sekolah ni. Mengapa? Entah.... Tiada jawapan yang pasti. Kena tanya sendiri kepada ibu bapa yang hantar anak-anak mereka ketika itu.

Seingatku mula-mula masuk darjah satu aku jalan kaki ikut kakak Ati, masa tu dia darjah betapa entah. Orang pertama tegur di sekolah ialah Guru Besar, Cikgu Abd Halim. Dia tanya, aku jawab ja.

Masuk kelas 1 Hijau. Aku berkenalan dengan ramai kawan dari serata Batu Kurau. Bukan sahaja yang tinggal berdekatan sekolah, bahkan ada yang datang dari beberapa kampung yang agak jauh. Seingat aku.... Maaflah kawan-kawan jika ada yang sudah tak diingati.

Norazri dari Changkat Perah, Hasnol dari Jelai, Ainon dari Jelai, Haniza dari Batu 20, Azlee dari Kampong Perak, Zubir dari Titi Kasai dan ramai lagi.

Seronok sangat masuk darjah satu. Berdebar dan teruja saling berganti. Maklumkan ini kali pertama masuk sekolah. Dulu murid yang masuk tadika boleh dikira dengan jari. Belajarlah aku dan rakan-rakan dengan tekun. 


Ni gambar darjah 1 Hijau. Guru Kelas namanya Cikgu Nelly, Guru Besar yang tengah tu namanya Cikgu Abd Halim, dan sebelahnya Ustaz Mukhti. Antara nama-nama kawan sedarjah yang aku boleh namakan ....

Zamani, Rahisyam Azila, Nurul Hayati, Nor Hayati, Latipah, Norafizatun, Yuhana, Boy ( Budak Cina ni tak ingat nama penuhnya ) Uma, Hemalatha, Choong Lai Fan,  Khairul Anuar, Azlee, Haniza, Zulkifle, Abd Rahman, Roslan, Marhaini, Muzlina, Norazri, Osman,Norliza, Vie Choot, Norul Hamsinar, Norliza, Mohd Nor, Rozita, Thanggarah, Sivakumar dan ..... Begitulah.... Kelupaan

Malangnya gambar aku terlindung dengan kepala kawan. Maklumkan budak kemetot. Berdiri atas kerusi pun terlindung.



1985 darjah 5 Hijau dan 1986 darjah 6 Hijau.

Masa ni Zubir seorang saja yang pakai seluar panjang. Bertudung pun cuma 3 orang ja. Kedua-dua gambar ni kelihatan lebih jelas lagi. Namun wajah-wajah rakan sedarjah pun ada juga yang sudah sekian pudar dalam ingatan. 

Masa darjah 6 kelas kami pindah di kelas kayu yang lebih luas tapi apabila beraktiviti memang riuh rendah bunyinya. Maklumlah kelas kayu dan lantai pun kayu. Kelas tu berhadapan dengan pagar SK Toh Sajak.

Aktiviti yang paling disukai ialah kelas pertanian. Bercucuk tanam pokok kacang panjang, kangkung dan kubis. Sesekali bawa beberapa beg tahi kambing dan tahi ayam. Dapatlah jugak beberapa kupang daripada cikgu. Apabila pokok keluarkan hasil kami pakat bawa balik sayur. Seronok bukan kepalang.

Mata pelajaran ketika itu masih lagi Ilmu Tawarih, Tatarakyat, Ilmu Alam, Ilmu Kesihatan. Subjek yang sangat seronok diikuti Ilmu Alam. Mana tidaknya dengan Ilmu Alam tu aku dapat tahu nama-nama negeri di Malaysia. Siap hafal ibu negeri dan bandar utama. Di samping itu tahu juga kedudukan negara luar dan benua utama dunia. Atlas antara buku wajib yang semua murid ada.

Permainan kecerdikan minda main nama, negeri dan lain-lain menjadi satu permainan viral ketika itu. Punyalah nak menang, siap atlas di tepi.


Ni gambar guru-guru dan kakitangan sekolah tahun 1982. Maafkan saya cikgu-cikgu sebab tak berapa ingat semua nama cikgu. 

Cikgu Rubiah, Ustazah Junaidah, Cg Shaari, Cg Abd Halim, Cg Salbiah, Cg Rafeah, Pak Abu ( bawa aku pi klinik sebab demam ) Cg Nelly, Cg John, Cg Kamaruddin, UST Mukhti, Abang Mail, Cg Ong, Cg Loh, Cg Lim, Cg Siti Syarifah dan lain-lain. Akudoakan agar guru-guruku ini mendapat kebaikan dan kasih sayang Allah.

Maaflah kawan-kawan yang tidak dinamakan di sini. Jika ada yang membaca, komen dan aku akan betulkan mana yang kurang tepat.


Salam persahabatan 

S Samprizal Selamat

Budak sekolah Inggerih Batu Kurau

Perang Patani - Singgora : Sebuah Novel

 


Buku novel sejarah karya Isma Ae Mohamad yang tak sampai 200 halaman ni jenuh juga untuk dibaca. Mengapa? Kerana tulisannya kecil tidak betah dengan mataku yang semakin kurang cerah untuk membaca. Baca lama-lama terasa macam ada semut merayap atas kertas buku. Nampaknya kena cari buku yang tulisannya lebih besar lagi.

Setelah membaca novel sejarah Ratu-Ratu Patani oleh penulis yang sama beberapa tahun lalu, timbul beberapa persoalan yang dijawab dalam buku ini. Kisah perayaan orang Cina di Patani yang membunuh diri diceritakan secara panjang lebar. Kejadian bunuh diri oleh gadis Cina, perayaan yang mengenang kematiannya serta keberadaan penduduk Cina di Patani menjadi latar kecil tetapi penting kepada sejarah penting dalam hubungan antara Singgora dan Patani.

Watak utama, Raja Hujan yang merupakan waris kepada raja-raja Patani berkait dengan pandai ubat bedil keturunan Cina di Patani. Kisah sejarah memang bersimpang siur. Harapannya satu sahaja, darah dibalas darah. Jika Raja Hujan itu keturunan raja-raja Patani apa pula kaitannya dengan seorang anak muda, anak asuhan Hassan Semutar yang dibatai sekeluarga dan siapa pula si Hujan yang merupakan seorang penembak tepat kerajaan Singgora yang sangat digeruni.

Begitulah sifat si penguasa, apabila terlalu berkuasa dan diberi penghormatan oleh sekalian warga, maka akan beraja di mata bersultan di hati. Katanya wajib dipatuhi, tindakannya tiada yang boleh bantah. Inilah jua latar para pembesar negara Patani, Patani Besar dan seluruh negeri. Penguasa yang terlalu berkuasa bakal menerima hukum rimba hukum alam daripada orang yang pernah dianiayai.

Kepandaian seorang budak lelaki dalam segala macam ilmu kependekaran. Ilmu setubuh (kena baca buku ni untuk faham apa itu ilmu setubuh dalam dunia kependekaran), sebadan, setangan, segenggam dan sebagainya sampailah kepada ilmu bedil menjadi aset besar kepada pertahanan kerajaan Singgora dan ketakutan kepada kerajaan lain termasuk Ayutthaya dan Patani Besar.

Pasukan khas Singgora yang diselia oleh Nakhoda dilihat persis pasukan Hassansin yang merupakan pasukan perisik dan pembunuh senyap. Kematian secara senyap dan sangat tepat bakal menjelma kepada sesiapa yang dinamakan.

Bagaimana Singgora dan Patani Besar boleh bertelingkah? Ini berkait dengan hubungan diplomatik, hubungan politik kebijaksanaan antara para raja dan para pembesar. Kesalahcaturan tentu akan mengundang musibah. Kesilapan kerajaan Patani Besar di bawah Raja Jembal yang ditadbir pembesar yang tidak sepakat menjadi bencana. 

Tentera tidak setia kepada negara atau raja, tetapi setia kepada pembesar. Bagaimana kesudahan perang Singgora - Patani ini? Tunggu Isma Ae Mohamad terbitkan buku seterusnya. 

Siapakah Isma Ae Mohamad? Beliau merupakan penulis yang gemar menulis novel berkaitan Patani sama ada sejarah Patani mahupun kehidupan anak-anak Patani. Berasal dari Thailand, dibesarkan dan disekolahkan di Malaysia, Kelantan dan kini menetap di Bangkok.

Sebuah masjid di persisir pantai Singgora yang terkenal sebagai pusat pelancongan. Pantai Samila yang terkenal dengan patung ikan duyung 

Matawang Singgora



Masjid Asasul Islam, Singgora


Pelabuhan Singgora. Kini dikenali sebagai Songkhla. Sebuah pusat pelancongan terkenal di Thailand.


Wednesday, 18 August 2021

Kisah Sang Kancil

 


Kisah dongeng Sang Kancil. Apa ada pada kisah dongeng ini? Adakah hanya sekadar dongengan yang merapu, tidak relevan dibaca, diperdengar atau diilustrasikan? Memang ada banyak pendapat dalam kalangan masyarakat moden sekarang ni terhadap kisah Sang Kancil. Malah ada juga ilmuan yang mengatakan tak bagus bagi anak-anak dikisahkan dengan kisah Sang Kancil. Ilmu pembohong katanya. Ya kah?

Sungguh dangkal sekali akal fikiran para ilmuan jika mereka merasakan sudah cukup ilmu lalu memomokkan kisah dongeng sejak zaman antah berantah ini. Dalam masa yang sama ralit pula menonton Fairy Tales daripada Eropah. Kisah garapan Hans Christian Andersen, kisah tujuh budak kenit dengan Puteri salju, kisah si hodoh dan jelitawan serta banyak lagi.

Barangkali sudah tidak ramai anak-anak kecil yang tahu akan kisah Sang Kancil memperdaya harimau dengan tali pinggang Raja Sulaiman atau kisah sesungai buaya menjadi titi untuk mengisi perut napoh yang kelaparan. Dan dalam masa yang sama mereka kenal amat dengan watak Hansel dan Gratel, Rapunzel, Cinderella, Sleeping Beauty dan sebagainya.

Salahkah mengenali watak cerita dongeng luar? Tidak sama sekali. Tetapi perkenalkan juga watak dongengan tradisi kita. Kisah dongeng Sang Kancil ini banyak pengajarannya. Banyak satiranya. Kisah dunia haiwan dalam diri manusia dan kisah kemanusiaan dalam diri haiwan.

Apa itu Sang Kancil? Adakah spesis mamalia jenis Sang Kancil?

Kancil ialah sejenis mamalia kecil tidak bertanduk yang terdapat di hutan Tropika. Nama lain bagi kancil ialah pelanduk, napoh, kunang dan mungkin ada nama lain lagi.

Dari sudut falsafahnya, Kancil dirujuk kepada kecerdikan, cerdik dengan muslihat yang sangat licin atau tipu muslihat. 

Watak Sang Kancil diberikan kepada haiwan yang sangat kecil. Sekecil pelanduk, tetapi sangat licin membuat muslihat dalam menangani sosio-politik dalam hutan. Hukum rimba sangat mudah. Menjadi mangsa atau memburu mangsa. Yang kuat akan hidup, yang lemah akan berada di bawah rantaian kehidupan si kuat.

Watak napoh yang digelarkan Sang Kancil ini menjadi satu watak ikonik kepada haiwan di rimba. Kecil, cerdas, sihat, bijak, berada di bawah rantaian rimba tetapi terus tekal hidup dengan gembira. Kepandaian, kebijaksanaan, kemuslihatan serta kekancilan pelanduk inilah yang diwatakkan melalui dongengan Sang Kancil.

Segagah gajah, seperkasa harimau, sehebat buaya, sepintar ular dapat ditangani dengan licin dan licik sekali. Itulah permainan politik Sang Kancil dan menjalani kehidupan sosialnya di rimba raya.

Dulu RTM rajin tayang animasi haiwan dan kisah Sang Kancil. Sekarang sudah tiada lagi mana-mana rangkaian televisyen menayangkannya. Agaknya filem tersebut dah dimakan anai-anai barangkali? Atau mungkin sarkastiknya terlalu tajam.

Dalam simpanan saya, hanya ada 7 ini sahaja. Rasanya ada lagi, mana perginya, entahlah. Salah letak, dipinjam atau kehilangan. 

Sang Kancil Mengira Buaya - Jilid 4

Sang Kancil, Nasib Harimau Tua - Jilid 10

Sang Kancil dengan Buaya

Sang Kancil dengan Penunggu Huma

Sang Kancil dengan Buaya

Sang Kancil dengan Perigi Buta

Sang Kancil dengan Siput

Sang Kancil dengan Gergasi

Dua terbitan Creative Enterprise dan lima lagi terbitan ITBM.

Buku yang mendapat ilutlstrasi oleh Jaafar Taib memang tidak mengecewakan. Beliau mempunyai peminat yang tersendiri dan kebanyakannya sudah merangkak tua. 

Jom jadi Sang Kancil 





Filem animasi Sang Kancil kerap ditayangkan melalui rangkaian RTM satu ketika dahulu.

Animasi baharu kisah Sang Kancil melalui siri Pada Zaman Dahulu. 

Wednesday, 4 August 2021

MEMPERKASA KEPIMPINAN, Merentas Masa Depan

 


Memperkasa Kepimpinan; Merentas Masa Depan.

Muhyiddin Yassin

Buku hadiah daripada Setiausaha Politik Menteri Belia Dan Sukan ketika itu. Terbitan tahun 1998, diterbitkan oleh CELDES, sebuah pusat kajian kepimpinan. Seingat saya, banyak juga program CELDES yang pernah diikuti. CELDES ketika itu diterajui oleh beberapa orang kuat, antaranya ialah Dr Zamri Abd Kadir.

Buku ini ditulis ketika TSMY menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Sebuah buku gagasan pemikiran bernuansa kepimpinan masa hadapan. Gagasan pemikiran yang muluk-muluk, berstrategi, berkarisma lagi berwibawa. Namun apakah kewibawaan gagasan pemikiran yang muluk-muluk itu mudah untuk dilaksana? Apakah sekadar satu strategi memukat daya fikir agar pembaca cenderung kepada memberi sokongan? 

Buku ini menggagaskan 11 topik yang berkisar tentang pemerkasaan belia, belianita, cabaran multimedia, moral dan tidak terlepas tentang gelombang kebangkitan Asia yang menjadi topik panas ketika itu di samping gagasan pemupukan kebersamaan antara Asia dan Eropah.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan, 5 agenda perdana yang digariskan dan masih segar serta sepatutnya diteruskan oleh menteri-menteri belia ialah; 

1. Mempergiat usaha membentuk generasi muda yang dinamik, kreatif, berwawasan, berkeusahawanan, berbudaya ilmu, menguasai ilmu dan berteknologi tinggi.

2. Menyemarak aktiviti latihan tidak formal dengan menekankan kesedaran pendidikan sepanjang hayat 

3. Memantapkan usaha melahirkan pelapis pimpinan Perdana

4. Memperkukuh rangkaian dan kerjasama bersinergi antara kerajaan dan badan bukan kerajaan

5. Menyubur budaya persejagatan dalam masa yang sama berakar dengan nilai budaya tempatan

Wah..... Gagasan yang sempurna. Bagi para mahasiswa dan aktivis belia yang berpersatuan mahupun tidak berpersatuan ketika itu, kini sudah menjadi pemain penting dalam arena negara dalam pelbagai bidang.

Topik menarik yang menjadi perbincangan serta perdebatan hangat ketika itu ialah berkaitan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berteknologi tinggi. Menggunakan perkhidmatan jaringan jalur lebar yang digembar-gemburkan sangat lebar dengan sistem lebuhraya multimedia yang pantas. YAB Perdana Menteri telah menggagaskan kewujudan KORIDOR RAYA MULTIMEDIA dalam usaha mempersiap warganya berhadapan dengan letupan teknologi maklumat.

Dan pada ketika itu, pelbagai seminar, kursus, wacana, bengkel, ruang bicara berkaitan jalur lebar serta isu berkaitan dengannya dibahaskan. Termasuklah tentang millennium bug yang dikatakan bakal mencacatkan sistem dunia. Perubahan sistem analog kepada sistem digital.... Entahlah.... Ketika itu, bukan faham sangat pun.

Beberapa cabaran digariskan iaitu

1. Membudayakan dan memasyarakatkan sains dan teknologi 

2. Mewujudkan nilai dan moral dalam nilai sains dan teknologi

3. Pendidikan berorientasikan Samina dan teknologi

4. Mengoptimumkan penggunaan sains dan teknologi

5. Mengaplikasi sains dan teknologi secara kreatif dan inovatif

6. Perkongsian pintar dalam RnD

7. Melahirkan sumber daya manusia yang menguasai sains dan teknologi

Dalam topik ini, perlu diperakukan bahawa kejayaan koridor raya multimedia masih jauh tersasar. Perdana Menteri bolehlah melihat semula gagasan ini sebagai satu keutamaan apatah lagi pendamik yang berlaku kini memaksa jalur lebar benar-benar lebar dan berkelajuan super tinggi.

Tajuk-tajuk lain yang dibicarakan dalam buku ini tekal releven untuk dilaksanakan. 

Semoga Perdana Menteri hari ini yang dahulunya adalah menteri belia dan sukan yang telah mengasaskan pemerkasaan pemikiran yang merentas masa depan ini boleh melaksanakan gagasan tersebut.

Monday, 2 August 2021

Afa'tun A'la At-Tariq

Kitab tulisan Dr Sayyid Muhammad Nuh dengan tajuk asal Afa'tun A'la At-Tariq diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Drs As'ad Yasin dengan tajuk Terapi mental aktivis Harakah, Telaah Penyakit Mental dan Sosial Kontemporer para Da'i. 

Buku terjemahan terbitan tahun 1995 oleh Pustaka Mantiq dengan ketebalan 396 halaman ini sangat sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mahu menjadi aktivis masyarakat. Aktivis dalam pergerakan secara individu apatah lagi aktivis yang bergerak dalam kumpulan.

Ramai yang mahu bergelar sebagai aktivis. Aktivis masyarakat, aktivis kemanusiaan, aktivis gerakan dakwah, aktivis siasah, aktivis ekonomi, aktivis sosial dan sebagainya. Kebanyakannya pula bersifat berkumpulan, ada grup yang tersendiri. Dan secara tidak langsung menggunakan pendekatan yang tersendiri juga.

Dalam keghairahan melaksanakan aktiviti kemanusiaan dengan pelbagai kaedah ini, banyak kelompongan yang diabaikan. Disiplin gerak kerja berjamaah, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, penguasaan ilmu dakwah dan sebagainya tidak diambil berat.

Dalam buku ini, penulis mencatatkan 14 penyakit yang boleh melanda para aktivis. Antaranya ialah GHURUR, TAKBUR, RIYAK dan TIADANYA TATHASABUT & TABAYYUN. serta 10 lagi penyakit lain yang berbahaya kepada para aktivis. 

Dalam halaman 170 penulis membahaskan GHURUR sebagai perasaan bangga terhadap diri sendiri dan merendahkan pula orang lain dalam hal-hal kebaikan yang dilakukan.

Dalam halaman 199 dibahaskan tentang TAKBUR iaitu sifat mahu menampak-nampakkan keagungan dan kebesaran. Lawan bagi takbur ialah Izzah. RIYAK pula diertikan sebagai memperlihatkan amal kepada yang lain.

Pada halaman 344 pula dibahaskan tentang TATSABUT & TABAYYUN. Secara umumnya ia bermaksud mencari ketetapan dan kekokohan sesuatu perkara dengan dengan dalil, tidak terburu-buru dalam sesuatu hal serta bermusyawarah dalam mencari kesepakatan. Tanpa TATSABUT dan TABAYYUN tentulah kebijaksanaan, kehikmahan, kecerdikan akan lenyap dimamah oleh kerakusan nafsu mahu merasakan diri sendiri benar.

Adapun untuk memahami perkara tersebut kenalah baca buku ini sampai habis. Dihuraikan dengan panjang lebar beserta dalil dan nas.

Maka sangatlah rugi, malang dan walang sekali jika para aktivis masyarakat bertelingkah atas jalan kebaikan yang dilakukan. Pertelingkahan para aktivis adalah kemenangan besar bagi musuh dan tentulah menjadi lapang sasar yang terbuka. Fitnah ini amatlah merugikan.

Dalam buku lain Dr Yusuf Al-Qardhawi membahasakan tentang gerakan Fundementalism Islam pada masa akan datang bakal berhadapan dengan kemelut yang dicipta oleh aktivisnya sendiri. Dan beliau menegaskan perlunya sebuah sahwah yang sederhana, alwasatiah.

Mana nak cari buku ni.... Entahlah. Buku ini telah dibaca pada tahun 1998 yang lalu dan isinya tekal releven.

Perkara yang dibahaskan dalam buku ini ialah

1. Futur 2. Israf 3. Isti'jal 4.Uzlah 5. I'jab Bin Nafsi 6. Ghurur 7. Takabbur 8. Riya atau Sum'ah 9. Ittiba'ul Hawa 10. At tathai'lu ash shadarah was thasalabu ar riyadah 11. Dhayyiqul afaq aw qashiru an nadar 12. Dha'fu aw talasyi Al iltizam 13. Tiadanya tatsabut dan tabayyun 14. Tafrith



Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit