Buku novel sejarah karya Isma Ae Mohamad yang tak sampai 200 halaman ni jenuh juga untuk dibaca. Mengapa? Kerana tulisannya kecil tidak betah dengan mataku yang semakin kurang cerah untuk membaca. Baca lama-lama terasa macam ada semut merayap atas kertas buku. Nampaknya kena cari buku yang tulisannya lebih besar lagi.
Setelah membaca novel sejarah Ratu-Ratu Patani oleh penulis yang sama beberapa tahun lalu, timbul beberapa persoalan yang dijawab dalam buku ini. Kisah perayaan orang Cina di Patani yang membunuh diri diceritakan secara panjang lebar. Kejadian bunuh diri oleh gadis Cina, perayaan yang mengenang kematiannya serta keberadaan penduduk Cina di Patani menjadi latar kecil tetapi penting kepada sejarah penting dalam hubungan antara Singgora dan Patani.
Watak utama, Raja Hujan yang merupakan waris kepada raja-raja Patani berkait dengan pandai ubat bedil keturunan Cina di Patani. Kisah sejarah memang bersimpang siur. Harapannya satu sahaja, darah dibalas darah. Jika Raja Hujan itu keturunan raja-raja Patani apa pula kaitannya dengan seorang anak muda, anak asuhan Hassan Semutar yang dibatai sekeluarga dan siapa pula si Hujan yang merupakan seorang penembak tepat kerajaan Singgora yang sangat digeruni.
Begitulah sifat si penguasa, apabila terlalu berkuasa dan diberi penghormatan oleh sekalian warga, maka akan beraja di mata bersultan di hati. Katanya wajib dipatuhi, tindakannya tiada yang boleh bantah. Inilah jua latar para pembesar negara Patani, Patani Besar dan seluruh negeri. Penguasa yang terlalu berkuasa bakal menerima hukum rimba hukum alam daripada orang yang pernah dianiayai.
Kepandaian seorang budak lelaki dalam segala macam ilmu kependekaran. Ilmu setubuh (kena baca buku ni untuk faham apa itu ilmu setubuh dalam dunia kependekaran), sebadan, setangan, segenggam dan sebagainya sampailah kepada ilmu bedil menjadi aset besar kepada pertahanan kerajaan Singgora dan ketakutan kepada kerajaan lain termasuk Ayutthaya dan Patani Besar.
Pasukan khas Singgora yang diselia oleh Nakhoda dilihat persis pasukan Hassansin yang merupakan pasukan perisik dan pembunuh senyap. Kematian secara senyap dan sangat tepat bakal menjelma kepada sesiapa yang dinamakan.
Bagaimana Singgora dan Patani Besar boleh bertelingkah? Ini berkait dengan hubungan diplomatik, hubungan politik kebijaksanaan antara para raja dan para pembesar. Kesalahcaturan tentu akan mengundang musibah. Kesilapan kerajaan Patani Besar di bawah Raja Jembal yang ditadbir pembesar yang tidak sepakat menjadi bencana.
Tentera tidak setia kepada negara atau raja, tetapi setia kepada pembesar. Bagaimana kesudahan perang Singgora - Patani ini? Tunggu Isma Ae Mohamad terbitkan buku seterusnya.
Siapakah Isma Ae Mohamad? Beliau merupakan penulis yang gemar menulis novel berkaitan Patani sama ada sejarah Patani mahupun kehidupan anak-anak Patani. Berasal dari Thailand, dibesarkan dan disekolahkan di Malaysia, Kelantan dan kini menetap di Bangkok.
No comments:
Post a Comment