Kisah dongeng Sang Kancil. Apa ada pada kisah dongeng ini? Adakah hanya sekadar dongengan yang merapu, tidak relevan dibaca, diperdengar atau diilustrasikan? Memang ada banyak pendapat dalam kalangan masyarakat moden sekarang ni terhadap kisah Sang Kancil. Malah ada juga ilmuan yang mengatakan tak bagus bagi anak-anak dikisahkan dengan kisah Sang Kancil. Ilmu pembohong katanya. Ya kah?
Sungguh dangkal sekali akal fikiran para ilmuan jika mereka merasakan sudah cukup ilmu lalu memomokkan kisah dongeng sejak zaman antah berantah ini. Dalam masa yang sama ralit pula menonton Fairy Tales daripada Eropah. Kisah garapan Hans Christian Andersen, kisah tujuh budak kenit dengan Puteri salju, kisah si hodoh dan jelitawan serta banyak lagi.
Barangkali sudah tidak ramai anak-anak kecil yang tahu akan kisah Sang Kancil memperdaya harimau dengan tali pinggang Raja Sulaiman atau kisah sesungai buaya menjadi titi untuk mengisi perut napoh yang kelaparan. Dan dalam masa yang sama mereka kenal amat dengan watak Hansel dan Gratel, Rapunzel, Cinderella, Sleeping Beauty dan sebagainya.
Salahkah mengenali watak cerita dongeng luar? Tidak sama sekali. Tetapi perkenalkan juga watak dongengan tradisi kita. Kisah dongeng Sang Kancil ini banyak pengajarannya. Banyak satiranya. Kisah dunia haiwan dalam diri manusia dan kisah kemanusiaan dalam diri haiwan.
Apa itu Sang Kancil? Adakah spesis mamalia jenis Sang Kancil?
Kancil ialah sejenis mamalia kecil tidak bertanduk yang terdapat di hutan Tropika. Nama lain bagi kancil ialah pelanduk, napoh, kunang dan mungkin ada nama lain lagi.
Dari sudut falsafahnya, Kancil dirujuk kepada kecerdikan, cerdik dengan muslihat yang sangat licin atau tipu muslihat.
Watak Sang Kancil diberikan kepada haiwan yang sangat kecil. Sekecil pelanduk, tetapi sangat licin membuat muslihat dalam menangani sosio-politik dalam hutan. Hukum rimba sangat mudah. Menjadi mangsa atau memburu mangsa. Yang kuat akan hidup, yang lemah akan berada di bawah rantaian kehidupan si kuat.
Watak napoh yang digelarkan Sang Kancil ini menjadi satu watak ikonik kepada haiwan di rimba. Kecil, cerdas, sihat, bijak, berada di bawah rantaian rimba tetapi terus tekal hidup dengan gembira. Kepandaian, kebijaksanaan, kemuslihatan serta kekancilan pelanduk inilah yang diwatakkan melalui dongengan Sang Kancil.
Segagah gajah, seperkasa harimau, sehebat buaya, sepintar ular dapat ditangani dengan licin dan licik sekali. Itulah permainan politik Sang Kancil dan menjalani kehidupan sosialnya di rimba raya.
Dulu RTM rajin tayang animasi haiwan dan kisah Sang Kancil. Sekarang sudah tiada lagi mana-mana rangkaian televisyen menayangkannya. Agaknya filem tersebut dah dimakan anai-anai barangkali? Atau mungkin sarkastiknya terlalu tajam.
Dalam simpanan saya, hanya ada 7 ini sahaja. Rasanya ada lagi, mana perginya, entahlah. Salah letak, dipinjam atau kehilangan.
Sang Kancil Mengira Buaya - Jilid 4
Sang Kancil, Nasib Harimau Tua - Jilid 10
Sang Kancil dengan Buaya
Sang Kancil dengan Penunggu Huma
Sang Kancil dengan Buaya
Sang Kancil dengan Perigi Buta
Sang Kancil dengan Siput
Sang Kancil dengan Gergasi
Dua terbitan Creative Enterprise dan lima lagi terbitan ITBM.
Buku yang mendapat ilutlstrasi oleh Jaafar Taib memang tidak mengecewakan. Beliau mempunyai peminat yang tersendiri dan kebanyakannya sudah merangkak tua.
Jom jadi Sang Kancil
Animasi baharu kisah Sang Kancil melalui siri Pada Zaman Dahulu.
No comments:
Post a Comment