Tuesday, 21 June 2022
DAMPINGI BOS
Monday, 20 June 2022
Buku Zikir-zikir Cinta
Zikir-Zikir Cinta.
Penulis : Anam Khairul Anam
Terbitan PTS (2008)
Sebuah karya Indonesia terbitan 2008. Berkisar tentang cinta remaja. Tapi. Ini bukan cinta biasa. Cinta remaja di pondok pasentren. Di mana pun manusia berada. Hubungan tabii berlawan jenis tidak boleh dinafikan. Itu adalah hak insan, hak asasi manusiawi yang telah Tuhan aturkan. Bagaimana mahu dinafikan? Hukum syarak ada ketentuannya. Bermujahadahlah menentang bisikan iblis.
Rusli, remaja kurang berkemampuan, memilih jalan ke Pasentren di Jawa. Seorang remaja cemerlang yang akhirkan berjaya memikat jiwa Kiyai Mahfud. Lalu berbolaklah jiwa remaja antara dua cinta. Nilai hormat, taat kepada kiyai dan nurani cinta sendiri.
Fatimah, anak gadis sang kiyai menjadi lambang ketaatan tetapi Sukma, seorang gadis nasrani menjadi pilihan nurani. Sukma pula sedia beralih aqidah. Konflik antara nilai tradisi para santri di pondok pasentren yang masih mahu mengekalkan nilai taat, akur, hormat, tawaduk, dan ledakan jiwa remaja yang mahu mencintai. Inilah kembara Rusli, Fatimah, Sukma, para santri, kiyai, tuan-tuan guru serta watak dalam karya ini.
Kisah kehidupan para santri di pasentren dilakar dengan sangat baik. Pendedahan berani tentang kehidupan dalam pondok pasentren, suka duka, cabaran, gelojak jiwa, masalah serta kenakalan para pelajar pondok ditulis tanpa mencacatkan institusi pondok, sebaliknya menyemarakkan suasana kehidupan di institusi tertua alam Melayu.
Banyak hukum fiqh diketengahkan melalui karya ini.
Sunday, 19 June 2022
Aku dan buku
Ada banyak kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dan jenis-jenis hantu dalam kepercayaan Melayu. Tajuknya entahlah, tidakku ingat sebab sudah lebih 30 tahun lalu.
Membaca di rumah? Di rumah, membaca bukanlah menjadi tabiat. Tak banyak pun buku ketika itu. Yang ada URTV, Mastika, Pancaindera, Komik Gila-Gila, Gelihati, Bujal. Buku ilmiah? Memang tiada. Kerana membeli buku bukanlah satu keutamaan. Bukan senang nak dapatkan duit ketika itu.
Yang banyak di rumah ialah kaset lagu-lagu. Lagu-lagu D J Dave, Alleycats, Kembara, Abba dan lain-lain. Aku tumpang dengar kaset abang-abang dan kakak-kakakku.
Disebabkan minat membaca, aku selalu lepak di kedai gunting Pak Long Hamzah dekat Pekan Batu Kurau. Di kedai gunting tu memang banyak bahan bacaan. Surat khabar, majalah, komik, buku cerita dan lain-lain. Jadi dengan tak malunya aku menjadi pelanggan tetap yang tidak berguntingan tetapi membaca. Sampailah Pak Long Hamzah meninggal dunia dan diambil alih oleh anaknya Sani Hamzah.
Di Masjid Jamek Al Kurawi Batu Kurau pun ada beberapa bahan bacaan ilmiah. Kebanyakannya bertulisan jawi. Aku ke masjid sebelum Zohor dan pulang selepas Asar. Membaca bahan bacaan sambil bersembang dengan ahli jemaah yang kebanyakannya generasi berumur. Sambil membaca sambil dengar pelbagai nasihat dan rahsia kehidupan.
Masuk sekolah menengah di Sekolah Menengah Dato' Kamaruddin Batu Kurau (1987-91) aku jadi pengunjung tetap pusat sumber. Hinggalah aku dilantik sebagai pengawas pusat sumber sekolah. Wau.... Punyalah seronok. Aku boleh membaca buku yang diletakkan di bilik khas.
Ketika tingkatan enam di SMK King Edward VII Taiping (1992-93) pun sama juga. Aku kerap ke pusat sumber dan sangat akrab dengan pustakawan. Jadi aku dapat meminjam buku yang diletakkan dalam ruangan Red Spot. Buku yang perlukan kebenaran khas untuk dibaca dan dipinjam.
Buku Red Spot ialah buku rujukan yang sukar diperoleh atau mungkin harganya lebih mahal.
Ketika ini, aku dapat biasiswa. Duit biasiswa habis untuk membeli buku. Puas dapat baca buku milik sendiri. Ketika dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Agama Islam, aku mengadakan program jualan buku sempena Nuzul Quran selama dua hari.
Program dianjurkan dengan kerjasama sebuah Pustaka di Taiping. Balai Pustaka. Kedudukannya bwtul-betul depan Hospital Taiping. Aku agak rapat dengan pengurusnya sebab selalu beli buku di situ. Selalu juga dapat harga murah. Sebaik tamat program urus setia diberi tawaran memilih sebuah buku sebagai cenderahati. Kawan-kawan pilih buku yang agak nipis.
Tapi aku pilih sebuah buku yang sangat tebal. 562 muka surat bertajuk Ringkasan Syiah Mazhab Imam Dua Belas. Sebuah buku terjemahan. Aku baca buku tu dari halaman depan sampai belakang. Buku tentang Syiah pertama yang aku baca.
Kawan-kawan kata, "wei tebalnya buku hang ambik". "Alang-alang orang dah bagi, ambik lah yang kita suka, baru berbaloi," kataku.
Di Institut Bahasa Kula Lumpur, (1994-96) aku terus menjadi pengunjung Pusat Sumber. Cik Fatimah, itulah gerangan pustakanita yang selalu aku temui. Berbual dengan ramah dan interaksi kami berkaitan perpustakaan dan keilmuan. Beliau sering memberi aku ruang mendapatkan bahan bacaan yang aku inginkan. Untuk siapkan tugasan aku pasti akan membeli buku yang berkaitan.
Dan, rasa keinginan membaca dan memiliki buku sendiri sentiasa membara. Pantang ada duit lebih pasti aku membeli buku dengan kuantiti yang banyak Setiap bulan sudah tentu paling kurang dua buah buku aku beli.
Yang paling seronok membaca ialah ketika berada dalam bas ekspress. Aku selalu bergerak dari Kuala Lumpur ke Utara, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang dan mana-mana sahaja aktiviti KPIP dan PKPIM, atau balik ke kampung. Satu perjalanan habis sebuah buku. Perjalanan balik, habis lagi sebuah buku.
Itu dulu, ketika itu tiada telefon bimbit. Sekarang ni dah lain sikit. Membaca buku maujud masih menjadi pilihan tapi mata makin tua, seiring dengan ketuaan tuannya. Tulisan yang kecil dalam buku mempengaruhi nafsu membaca. Maka membaca bahan elektronik jadi pilihan. Tulisan boleh dibesarkan.
Syukur aku punyai isteri yang minatnya juga membaca. Di rumah kami memang tiada almari perhiasan melainkan gerobok koleksi buku. Tiada ruang menonton di ruang tamu. Memadailah kerusi dan gerobok buku yang berselerakan dengan bahan bacaan.
Inspirasi ini aku peroleh daripada para ilmuwan. Aku pernah mengunjungi rumah-rumah tokoh ilmuwan negara seperti Prof Dr Sidek Fadil, Dr Sidek Baba, Datuk Zainal Abidin Wahid, Datuk Ahmad Azam, Rustam Sani dan ramai lagi. Rumah mereka dipenuhi dengan buku yang berserak dan bersusun. Berselerak bermaksud mereka sedang membuat rujukan. Azamku jika ada rumah sendiri akanku penuhi dengan buku.
Aku sangat sayang akan buku yang aku beli sendiri. Sejak dulu lagi aku pastikan buku dibalut tapi. Dicop sebagai milik peribadi.
Hingga kini aku masih buat perkara yang sama. Buku yang dibeli atau dihadiahkan (jika ada orang bertanya apakah hadiah yang aku suka... Jawapannya ialah buku, terutama buku tebal) akan direkodkan dalam Google Drive.
1.Bilangan. 2.Tajuk. 3.Tarikh dibeli 4.Pengarang 5.Penerbit dan tahun terbitan 6. Bilangan muka surat 7.Harga.
Pada tepi bahagian bawah buku diletakkan bilangan, pada halaman 15 cop KOLEKSI KELUARGA / PERSENDIRIAN SILA BACA DENGAN KEMAS DAN BASMALLAH.
Sedar tak sedar hingga kini aku sudah mempunyai koleksi persendirian sebanyak 1592 buah buku. Walaupun tidak semua buku aku baca kulit ke kulit, namun setiap buku yang aku miliki akan dibaca pada bahagian tertentu. Tak rugi membeli buku kerana ilmu dalamnya tiada tarikh luput.
Jom baca dan jom beli buku. Setiap rumah wajib ada gerobok ilmu peribadi.
Saturday, 18 June 2022
PESTA BUKU 22
"Jom pi KL, pi pesta buku" ajak Cikgu Shikin.
" OK, tunggu kereta dibaiki dulu," kataku yang sememangnya sudah lama tidak ke Pesta Buku. Kali terakhir pada tahun 2017. Sudah lama sekali.
"Banyak ka nak beli?"
"Beli sikit-sikit sajalah, buku yang ada pun masih banyak yang tidak bersentuh," semangat memiliki buku baharu sentiasa berkobar walaupun buku yang sedia ada bersusun di gerobok persendirian. Menunggu waktu untuk ditatap.
Kurang lebih, 10.30 pagi sampai di PWTC. Dengan menggunakan kad TnG dapatlah masuk ke ruang parkiran bahagian bawah. Aduhai jenuh pula melilau mencari kotak kosong. Tiada yang bersisa. Setelah berlegar-legar beberapa pusingan, keluar sajalah. Cari parkiran di bahagian luar. Ada beberapa ruang kosong. Tapi agak jauh untuk menapak.
Naik tangga sambil mengheret bagasi merah besar. Bagasi yang besar menampakkan adanya kemahuan untuk memborong buku yang banyak. Kononnya..... Naik ke atas, betul-betul di belakang pentas. Sedang dilaksanakan persembahan wayang kulit.
Tidak berlama-lama, terus naik ke tingkat berikutnya. Melilau dari reruai ke reruai. Reruai pertama yang disinggahi ialah Perpustakaan Negara Malaysia. Pegang buku Hikayat Hang Tuah. rasa macam nak beli, tapi difikir semula, dah ada sebuah di rumah edisi Pelajar.
Nampak ada buku syair. Pilih dan bayar dua buah buku Syair Riau dan Syair Siti Zubaidah. Merayau dan merayau. Anak bongsu berminat nak cari buku sejarah. Buku tamadun. Entahlah mengapa minat benar dia dengan buku tamadun dan sejarah, lebih-lebih lagi tentang perang dunia.
Dibelinya buku Tamadun Monggol, Putin, dan tentang Rusia. Di reruai PTS dapatlah berbual mesra dengan Prof Dr Abdullah Hassan. Sempat merakam beberapa keping gambar. "Nah, Atok belanja. Beli buku tau," kata prof menghulurkan sejumlah wang.
"Jangan lupa ucap teriman kasih. Atok Prof belanja ilmu hari ni," kataku. Lantas dia menyalami dan mengucup tangan Atok Prof dengan wang itu dibeli buku seperti yang dipesan oleh Prof Dr Abdullah Hassan.
Reruai terakhir, ITBM. Di situ lambakan buku bersusun di lantai mengikut kumpulan. Banyak juga buku yang kubeli di sini. Sedar tak sedar lebih tiga jam kami berada di PWTC.
Lapar. Terus kubuka beg galas. "Eh... Dah tinggal sikit." Bekalan roti dan air sudah dijamah oleh anak-anak dan isteriku Cikgu Shikin. "Nak pi mana lagi?" Tanyaku. "Tak pi manalah, balik ja terus," Cikgu Shikin memberi usul.
Memang inilah kunjungan ke pesta buku yang paling singkat. Datang semata-mata nak beli buku. Sebelum pulang singgah di Restoran Jejantas Sungai Buluh. Solat dan memenuhi kehendak biologi.
Di lebuh raya teringat akan sebuah tempat semaian yang membuka kunjungan memetik anggur di Slim River. Sampai di situ, pemilik memberi tahu, anggur sudah dituai. Tunggu bulan dua belas katanya.
Ok. Singgah di restoran membungkus makan malam. Sebaik usai solat jamak Magrib dan Isyak di Gopeng terus pulang ke rumah di Simpang Pulai.
Buku yang paling sikit dibeli di PBAKL dan masa yang paling singkat melilau ddi reruai.Perabaca sementara menunggu buku seterusnya dipilih-pilih.
Tuesday, 7 June 2022
SYAIR TONGGAK NEGERI
SYAIR TONGGAK NEGERI
Duhai saudara juga saudari
Dengarlah dengar hamba berperi
Kalian adalah tonggak negeri
Usah terleka walau sehari
Kacak sungguh dikau teruna
Tampil segak dengan busana
Lengkapkan dengan ilmu laksamana
Dikau dihormat walau di mana
Ada pun dara cantik menawan
Dikau ibarat emas tempawan
Di samping arjuna jadi setiawan
Jauhlah gundah hati nan rawan
Para pemuda para pemudi
Sebelum dikau pegang kemudi
Molekkan iman dan juga budi
Dunia akhirat sama menjadi
Muda perkasa mudi jelita
Peran kalian umpama pelita
Menyuluh terang dari gelita
Jadi pendamai akan sengketa
Tonggak negeri insan berakal
Ilmu dunia menjadi bekal
Ilmu akhirat dipegang tekal
Kerana kalian menjadi tangkal
Muda Mudi bijak bestari
Sungguh beruntung isi negeri
Umpama siang dilimpah mentari
Sungguh kalian jadi penyeri
SEBUAH KERETA DAN SEBUAH BUKU
"Sejauh mana kau tahu rahsia Datuk Zahimi?"
" Banyak." Jon mengakuinya.
"Sebanyak mana?" Desak Sarin.
"Banyak bersama bukit." Jon juga bukan calang-calang penggugat orang politik.
"Apa kau nak untuk hapuskan semua bukti itu?" Sarin terus mengemukakan tawaran.
"Apa yang Datuk cuba tawarkan?"
"Banyak."
Jon diam sejenak.........
Pagutan dialog Anding Ayangan III, Hikayat 1. Sebuah cereka thriller misteri penuh ketahyulah dan garapan nilai. Tahyul, mistik, misteri, alam berbolak-balik, alam sebalik alam, alam sebalik cermin, alam tipu daya. Semuanya kerana mahu kuasa yang ampuh. Lalu nilai dikesampingkan.
Tauhid dan Tuhan boleh diatur-atur. Wang, kuasa, pengaruh, pangkat, harta, nafsu boleh dipelihara dan dipaksa. Asalkan diikuti pengikut dan punyai kuasa.
Cerita yang bertunggang-langgang antara manusia dan jembalang. Manusia sarungan yang bersarung dengan jembalang tanpa jasad. Realitinya manusia hari ini masih kukuh percaya akan jembalang tak berjasad. Pemuja kuasa mistik dengan pelbagai jenama dan sarungan hatta agama ditunggangi.
Perpindahan makhluk sarungan tanpa jasad ke jasad nyata. Makhluk bergelar Mutajassad bersarung-sarung membina kepercayaan dan keyakinan. Hasratnya satu sahaja.... Mengusulkan mungkar, merajakan taghut. Dapatkah roh menyeberang alam ke alam terbalikan? Menyeberang ke alam cermin di bawah air? Berpindah ke jasad pada latar waktu yang berbeda? Dan itulah alkisahnya. Kisah Anding Ayangan yang bermomok bukan untuk pegangan.
543 halaman daripada trilogi Anding Ayangan karya Ramlee Awang Murshid.
Kuhadap buku ini di bawah pusingan bilahan kipas sementara menanti sebuah kereta merah dirawat rapi.
Rabu 6.8.22
Monday, 6 June 2022
MASJID JAMEK AL KURAWI BATU KURAU
Masjid Jamek Al Kurawi sangat dekat dengan penduduk Batu Kurau. Qariahnya agak luas. Disinilah saya mendapat ilmu yang sangat bemanfaat. Di sini juga saya bergaul dengan otai-otai yang tak pernah kedekut petua dan ilmu.
Awal tahun 80-an masjid kayu berwarna hijau dengan sebatang pokok kurma yang tak pernah berbuah menjadi tempat permainan kami anak-anak qariah.
Pertengahan 80-an dibina masjid baharu, dirasmikan pembukaannya oleh duli tuanku Almarhum Sultan Azlan Shah. Kekal masjid ini tempat kami bermain-main. Lastik cicak merupakan aktiviti kegemaran.
Sesekali kena marah dengan tok siak dan tok bilal sebab nakal tak bertempat. Ust Ilyasak antara orang yang paling garang dan digeruni. Marah mereka tak lama, lepas solat surut kembali dan kami bermain lagi.
Saya suka benar melepak di masjid ini. Suka bergaul dengan orang-orang tua dan menadah telinga kala kitab kuning dibuka. Pak Ngah Seli, Chey Kaman, Tok Chey, Haji Ding, Pak Lang Senodeng, Pak Su Nan, Acu Pian, Pak Lang Usop, Ust Ulul Azmi, Ustaz Ahmad, Haji Mat Nor, Cikgu Kamarudin dan ramai lagi yang kebanyakannya sudah berpulang ke rahmatullah. Orang lama yang mudah didekati. Petua, macam-macam dapat.
Tuan Guru Pak Su Ramli, Hj Wahab Cangkat Ibol, Hj Mat Itam, Ustaz Lah, Ustaz Di merupakan tuan-tuan guru yang ramah. Selalu saya jadikan sebagai rujukan dalam urusan ibadah dan muamalah. Loghat Patani yang digunakan pekat juga.
Paling seronok setiap hujung minggu pasti ada jemputan kenduri kesyukuran. Dan saya selalu dapat tempat di hidangan utama bersama otai-otai masjid.
Kini masjid ini berwajah baru lagi.
Thursday, 2 June 2022
Syair Ayam Nan Sereban
SYAIR AYAM NAN SEREBAN
Ayam sereban riuhlah rendah
Kecoh bisingnya tak sudah-sudah
Bisingnya ayam sangat berfaedah
Kepada warga berpangkat rendah
Patutkah ayam hendak berpuasa
Kurang makanan semua dipaksa
Dedak dan hampas tiada bersisa
Harga ditawar umpama suasa
Bekokok-kokok si ayam jantan
Megah berkepak di pinggir hutan
Aduhai sayang tiada sahutan
Semua ayam jadilah bentan
Ayam betina berketuk-ketuk
Sahut menyahut tiada suntuk
Sambil mengais sambil mematuk
Sayang telurnya tidak berbentuk
Aduhai ayam tinggal sereban
Mahar kalian menjadi beban
Hujah diberi repek meraban
Kamilah mangsa sabanlah saban
Ayam dijaga haruslah terang
Nescaya tuan disuka orang
Warga melata rasa gemirang
Senyum diukir sungguh benderang
Adakah tuan mengambil berat
Sekalian marga timur dan barat
Harganya ayam tersangat berat
Hendak membayar kami tak larat
Sites Bacaan Digital Edisi 06
https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit
-
Organisasi Sekolah Kebangsaan Taman Bersatu 2015 Kepimpinan Sekolah
-
1.0 PENDAHULUAN Dari mana datangnya permata, Dari tanah digali-gali, Dari mana datangnya bahasa, Dari kata yang terbit ...
-
Teks Pidato Tajuk : KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT. Assalamualaikum warahmatullahi wabara katuh, salam sejahtera, sala...