Masjid Jamek Al Kurawi sangat dekat dengan penduduk Batu Kurau. Qariahnya agak luas. Disinilah saya mendapat ilmu yang sangat bemanfaat. Di sini juga saya bergaul dengan otai-otai yang tak pernah kedekut petua dan ilmu.
Awal tahun 80-an masjid kayu berwarna hijau dengan sebatang pokok kurma yang tak pernah berbuah menjadi tempat permainan kami anak-anak qariah.
Pertengahan 80-an dibina masjid baharu, dirasmikan pembukaannya oleh duli tuanku Almarhum Sultan Azlan Shah. Kekal masjid ini tempat kami bermain-main. Lastik cicak merupakan aktiviti kegemaran.
Sesekali kena marah dengan tok siak dan tok bilal sebab nakal tak bertempat. Ust Ilyasak antara orang yang paling garang dan digeruni. Marah mereka tak lama, lepas solat surut kembali dan kami bermain lagi.
Saya suka benar melepak di masjid ini. Suka bergaul dengan orang-orang tua dan menadah telinga kala kitab kuning dibuka. Pak Ngah Seli, Chey Kaman, Tok Chey, Haji Ding, Pak Lang Senodeng, Pak Su Nan, Acu Pian, Pak Lang Usop, Ust Ulul Azmi, Ustaz Ahmad, Haji Mat Nor, Cikgu Kamarudin dan ramai lagi yang kebanyakannya sudah berpulang ke rahmatullah. Orang lama yang mudah didekati. Petua, macam-macam dapat.
Tuan Guru Pak Su Ramli, Hj Wahab Cangkat Ibol, Hj Mat Itam, Ustaz Lah, Ustaz Di merupakan tuan-tuan guru yang ramah. Selalu saya jadikan sebagai rujukan dalam urusan ibadah dan muamalah. Loghat Patani yang digunakan pekat juga.
Paling seronok setiap hujung minggu pasti ada jemputan kenduri kesyukuran. Dan saya selalu dapat tempat di hidangan utama bersama otai-otai masjid.
Kini masjid ini berwajah baru lagi.
No comments:
Post a Comment