Ada banyak kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dan jenis-jenis hantu dalam kepercayaan Melayu. Tajuknya entahlah, tidakku ingat sebab sudah lebih 30 tahun lalu.
Membaca di rumah? Di rumah, membaca bukanlah menjadi tabiat. Tak banyak pun buku ketika itu. Yang ada URTV, Mastika, Pancaindera, Komik Gila-Gila, Gelihati, Bujal. Buku ilmiah? Memang tiada. Kerana membeli buku bukanlah satu keutamaan. Bukan senang nak dapatkan duit ketika itu.
Yang banyak di rumah ialah kaset lagu-lagu. Lagu-lagu D J Dave, Alleycats, Kembara, Abba dan lain-lain. Aku tumpang dengar kaset abang-abang dan kakak-kakakku.
Disebabkan minat membaca, aku selalu lepak di kedai gunting Pak Long Hamzah dekat Pekan Batu Kurau. Di kedai gunting tu memang banyak bahan bacaan. Surat khabar, majalah, komik, buku cerita dan lain-lain. Jadi dengan tak malunya aku menjadi pelanggan tetap yang tidak berguntingan tetapi membaca. Sampailah Pak Long Hamzah meninggal dunia dan diambil alih oleh anaknya Sani Hamzah.
Di Masjid Jamek Al Kurawi Batu Kurau pun ada beberapa bahan bacaan ilmiah. Kebanyakannya bertulisan jawi. Aku ke masjid sebelum Zohor dan pulang selepas Asar. Membaca bahan bacaan sambil bersembang dengan ahli jemaah yang kebanyakannya generasi berumur. Sambil membaca sambil dengar pelbagai nasihat dan rahsia kehidupan.
Masuk sekolah menengah di Sekolah Menengah Dato' Kamaruddin Batu Kurau (1987-91) aku jadi pengunjung tetap pusat sumber. Hinggalah aku dilantik sebagai pengawas pusat sumber sekolah. Wau.... Punyalah seronok. Aku boleh membaca buku yang diletakkan di bilik khas.
Ketika tingkatan enam di SMK King Edward VII Taiping (1992-93) pun sama juga. Aku kerap ke pusat sumber dan sangat akrab dengan pustakawan. Jadi aku dapat meminjam buku yang diletakkan dalam ruangan Red Spot. Buku yang perlukan kebenaran khas untuk dibaca dan dipinjam.
Buku Red Spot ialah buku rujukan yang sukar diperoleh atau mungkin harganya lebih mahal.
Ketika ini, aku dapat biasiswa. Duit biasiswa habis untuk membeli buku. Puas dapat baca buku milik sendiri. Ketika dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Agama Islam, aku mengadakan program jualan buku sempena Nuzul Quran selama dua hari.
Program dianjurkan dengan kerjasama sebuah Pustaka di Taiping. Balai Pustaka. Kedudukannya bwtul-betul depan Hospital Taiping. Aku agak rapat dengan pengurusnya sebab selalu beli buku di situ. Selalu juga dapat harga murah. Sebaik tamat program urus setia diberi tawaran memilih sebuah buku sebagai cenderahati. Kawan-kawan pilih buku yang agak nipis.
Tapi aku pilih sebuah buku yang sangat tebal. 562 muka surat bertajuk Ringkasan Syiah Mazhab Imam Dua Belas. Sebuah buku terjemahan. Aku baca buku tu dari halaman depan sampai belakang. Buku tentang Syiah pertama yang aku baca.
Kawan-kawan kata, "wei tebalnya buku hang ambik". "Alang-alang orang dah bagi, ambik lah yang kita suka, baru berbaloi," kataku.
Di Institut Bahasa Kula Lumpur, (1994-96) aku terus menjadi pengunjung Pusat Sumber. Cik Fatimah, itulah gerangan pustakanita yang selalu aku temui. Berbual dengan ramah dan interaksi kami berkaitan perpustakaan dan keilmuan. Beliau sering memberi aku ruang mendapatkan bahan bacaan yang aku inginkan. Untuk siapkan tugasan aku pasti akan membeli buku yang berkaitan.
Dan, rasa keinginan membaca dan memiliki buku sendiri sentiasa membara. Pantang ada duit lebih pasti aku membeli buku dengan kuantiti yang banyak Setiap bulan sudah tentu paling kurang dua buah buku aku beli.
Yang paling seronok membaca ialah ketika berada dalam bas ekspress. Aku selalu bergerak dari Kuala Lumpur ke Utara, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang dan mana-mana sahaja aktiviti KPIP dan PKPIM, atau balik ke kampung. Satu perjalanan habis sebuah buku. Perjalanan balik, habis lagi sebuah buku.
Itu dulu, ketika itu tiada telefon bimbit. Sekarang ni dah lain sikit. Membaca buku maujud masih menjadi pilihan tapi mata makin tua, seiring dengan ketuaan tuannya. Tulisan yang kecil dalam buku mempengaruhi nafsu membaca. Maka membaca bahan elektronik jadi pilihan. Tulisan boleh dibesarkan.
Syukur aku punyai isteri yang minatnya juga membaca. Di rumah kami memang tiada almari perhiasan melainkan gerobok koleksi buku. Tiada ruang menonton di ruang tamu. Memadailah kerusi dan gerobok buku yang berselerakan dengan bahan bacaan.
Inspirasi ini aku peroleh daripada para ilmuwan. Aku pernah mengunjungi rumah-rumah tokoh ilmuwan negara seperti Prof Dr Sidek Fadil, Dr Sidek Baba, Datuk Zainal Abidin Wahid, Datuk Ahmad Azam, Rustam Sani dan ramai lagi. Rumah mereka dipenuhi dengan buku yang berserak dan bersusun. Berselerak bermaksud mereka sedang membuat rujukan. Azamku jika ada rumah sendiri akanku penuhi dengan buku.
Aku sangat sayang akan buku yang aku beli sendiri. Sejak dulu lagi aku pastikan buku dibalut tapi. Dicop sebagai milik peribadi.
Hingga kini aku masih buat perkara yang sama. Buku yang dibeli atau dihadiahkan (jika ada orang bertanya apakah hadiah yang aku suka... Jawapannya ialah buku, terutama buku tebal) akan direkodkan dalam Google Drive.
1.Bilangan. 2.Tajuk. 3.Tarikh dibeli 4.Pengarang 5.Penerbit dan tahun terbitan 6. Bilangan muka surat 7.Harga.
Pada tepi bahagian bawah buku diletakkan bilangan, pada halaman 15 cop KOLEKSI KELUARGA / PERSENDIRIAN SILA BACA DENGAN KEMAS DAN BASMALLAH.
Sedar tak sedar hingga kini aku sudah mempunyai koleksi persendirian sebanyak 1592 buah buku. Walaupun tidak semua buku aku baca kulit ke kulit, namun setiap buku yang aku miliki akan dibaca pada bahagian tertentu. Tak rugi membeli buku kerana ilmu dalamnya tiada tarikh luput.
Jom baca dan jom beli buku. Setiap rumah wajib ada gerobok ilmu peribadi.
No comments:
Post a Comment