Tuesday, 7 June 2022

SYAIR TONGGAK NEGERI

 

SYAIR TONGGAK NEGERI


Duhai saudara juga saudari

Dengarlah dengar hamba berperi

Kalian adalah tonggak negeri 

Usah terleka walau sehari 


Kacak sungguh dikau teruna

Tampil segak dengan busana

Lengkapkan dengan ilmu laksamana

Dikau dihormat walau di mana


Ada pun dara cantik menawan

Dikau ibarat emas tempawan

Di samping arjuna jadi setiawan

Jauhlah gundah hati nan rawan


Para pemuda para pemudi

Sebelum dikau pegang kemudi

Molekkan iman dan juga budi

Dunia akhirat sama menjadi


Muda perkasa mudi jelita

Peran kalian umpama pelita

Menyuluh terang dari gelita

Jadi pendamai akan sengketa


Tonggak negeri insan berakal

Ilmu dunia menjadi bekal

Ilmu akhirat dipegang tekal

Kerana kalian menjadi tangkal


Muda Mudi bijak bestari

Sungguh beruntung isi negeri

Umpama siang dilimpah mentari

Sungguh kalian jadi penyeri




SEBUAH KERETA DAN SEBUAH BUKU

 



"Sejauh mana kau tahu rahsia Datuk Zahimi?"

" Banyak." Jon mengakuinya.

"Sebanyak mana?" Desak Sarin.

"Banyak bersama bukit." Jon juga bukan calang-calang penggugat orang politik.

"Apa kau nak untuk hapuskan semua bukti itu?" Sarin terus mengemukakan tawaran.

"Apa yang Datuk cuba tawarkan?"

"Banyak."

Jon diam sejenak.........

Pagutan dialog Anding Ayangan III, Hikayat 1. Sebuah cereka thriller misteri penuh ketahyulah dan garapan nilai. Tahyul, mistik, misteri, alam berbolak-balik, alam sebalik alam, alam sebalik cermin, alam tipu daya. Semuanya kerana mahu kuasa yang ampuh. Lalu nilai dikesampingkan.

Tauhid dan Tuhan boleh diatur-atur. Wang, kuasa, pengaruh, pangkat, harta, nafsu boleh dipelihara dan dipaksa. Asalkan diikuti pengikut dan punyai kuasa. 

Cerita yang bertunggang-langgang antara manusia dan jembalang. Manusia sarungan yang bersarung dengan jembalang tanpa jasad. Realitinya manusia hari ini masih kukuh percaya akan jembalang tak berjasad. Pemuja kuasa mistik dengan pelbagai jenama dan sarungan hatta agama ditunggangi. 

Perpindahan makhluk sarungan tanpa jasad ke jasad nyata. Makhluk bergelar Mutajassad bersarung-sarung membina kepercayaan dan keyakinan. Hasratnya satu sahaja.... Mengusulkan mungkar, merajakan taghut. Dapatkah roh menyeberang alam ke alam terbalikan? Menyeberang ke alam cermin di bawah air? Berpindah ke jasad pada latar waktu yang berbeda? Dan itulah alkisahnya. Kisah Anding Ayangan yang bermomok bukan untuk pegangan.

543 halaman daripada trilogi Anding Ayangan karya Ramlee Awang Murshid. 

Kuhadap buku ini di bawah pusingan bilahan kipas sementara menanti sebuah kereta merah dirawat rapi.

Rabu 6.8.22


Monday, 6 June 2022

MASJID JAMEK AL KURAWI BATU KURAU

 



Masjid Jamek Al Kurawi sangat dekat dengan penduduk Batu Kurau. Qariahnya agak luas. Disinilah saya mendapat ilmu yang sangat bemanfaat. Di sini juga saya bergaul dengan otai-otai yang tak pernah kedekut petua dan ilmu. 

Awal tahun 80-an masjid kayu berwarna hijau dengan sebatang pokok kurma yang tak pernah berbuah menjadi tempat permainan kami anak-anak qariah. 

Pertengahan 80-an dibina masjid baharu, dirasmikan pembukaannya oleh duli tuanku Almarhum Sultan Azlan Shah. Kekal masjid ini tempat kami bermain-main. Lastik cicak merupakan aktiviti kegemaran. 

Sesekali kena marah dengan tok siak dan tok bilal sebab nakal tak bertempat. Ust Ilyasak antara orang yang paling garang dan digeruni. Marah mereka tak lama, lepas solat surut kembali dan kami bermain lagi. 

Saya suka benar melepak di masjid ini. Suka bergaul dengan orang-orang tua dan menadah telinga kala kitab kuning dibuka. Pak Ngah Seli, Chey Kaman, Tok Chey, Haji Ding, Pak Lang Senodeng, Pak Su Nan, Acu Pian, Pak Lang Usop, Ust Ulul Azmi, Ustaz Ahmad, Haji Mat Nor, Cikgu Kamarudin dan ramai lagi yang kebanyakannya sudah berpulang ke rahmatullah. Orang lama yang mudah didekati. Petua, macam-macam dapat. 

Tuan Guru Pak Su Ramli, Hj Wahab Cangkat Ibol, Hj Mat Itam, Ustaz Lah, Ustaz Di merupakan tuan-tuan guru yang ramah. Selalu saya jadikan sebagai rujukan dalam urusan ibadah dan muamalah. Loghat Patani yang digunakan pekat juga. 

Paling seronok setiap hujung minggu pasti ada jemputan kenduri kesyukuran. Dan saya selalu dapat tempat di hidangan utama bersama otai-otai masjid.

Kini masjid ini berwajah baru lagi.

Thursday, 2 June 2022

Syair Ayam Nan Sereban

 SYAIR AYAM NAN SEREBAN


Ayam sereban riuhlah rendah

Kecoh bisingnya tak sudah-sudah

Bisingnya ayam sangat berfaedah

Kepada warga berpangkat rendah


Patutkah ayam hendak berpuasa

Kurang makanan semua dipaksa

Dedak dan hampas tiada bersisa

Harga ditawar umpama suasa


Bekokok-kokok si ayam jantan

Megah berkepak di pinggir hutan

Aduhai sayang tiada sahutan

Semua ayam jadilah bentan


Ayam betina berketuk-ketuk

Sahut menyahut tiada suntuk

Sambil mengais sambil mematuk

Sayang telurnya tidak berbentuk


Aduhai ayam tinggal sereban

Mahar kalian menjadi beban

Hujah diberi repek meraban

Kamilah mangsa sabanlah saban


Ayam dijaga haruslah terang

Nescaya tuan disuka orang

Warga melata rasa gemirang

Senyum diukir sungguh benderang


Adakah tuan mengambil berat

Sekalian marga timur dan barat

Harganya ayam tersangat berat

Hendak membayar kami tak larat




Sunday, 6 February 2022

Resensi Buku : Di Sebalik Tabir Sejarah Politik malaysia 1945-1957

 



BORANG SINOPSIS BUKU

NAMA SEKOLAH : SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN BERSATU, 31300 KAMPUNG KEPAYANG

KOD SEKOLAH :

1

NAMA GURU

S SAMPRIZAL BIN SELAMAT

2

JUDUL

DI SEBALIK TABIR SEJARAH POLITIK MALAYSIA 1945-1957

3

TARIKH PEMBENTANGAN

 

4. BIDANG :SEJARAH

6

TEMPAT PEMBENTANGAN

 

6. MASA :

7

SINOPSIS :

Di Sebalik Tabir Sejarah Politik Malaysia 1945 - 1957 sebuah tulisan akademik terbitan Universiti Sains Malaysia. Ditulis oleh beberapa penulis dengan dimensi pemikiran yang membuka kotak fikir.  

 

Kandungan

Tahun 1945–1957 dalam Sejarah Malaysia: Isu Nasionalis Kiri dan Kanan, Sejarah dari Atas dan Bawah, dan Sejarah yang Patut dan Tidak Patut

Sokong untuk Merdeka: Sikap Parti Kebangsaan Melayu Malaya Terhadap Malayan Union

Nasionalisme Melayu dan Gerakan Menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu 1945–1957: Antara British, United Malays National Organisation dan Gerakan Kiri Melayu

Muzium, Memorial dan Perjuangan Kemerdekaan, 1945–1957

Gerila Wanita dalam Perjuangan Parti Komunis Malaya, 1945–1957

Sejarah Borneo Utara 1945–1957: Isu-Isu Terseret dalam Sejarah Malaysia

Orang India dan Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu dengan Rujukan kepada Kes Ganapathy dan Sambasivam

Communities Liaison Committee: Ke Arah Menyelesaikan Isu-Isu Perkauman di Tanah Melayu

Intelektual Melayu Antipenyerahan di Sarawak, 1946–1950

Baca satu perenggan daripada tajuk PENGENALAN ini sudah menarik. 

Sesungguhnya tahun 1945–1957 merupakan satu tempoh yang amat penting dalam pengkajian sejarah politik Malaysia. Dalam tempoh satu dekad dua tahun yang penuh dengan gelombang dan gelojak politik itu, tercetus pelbagai peristiwa penting yang bukan sahaja menyimpan lipatan pengalaman penduduk Tanah Melayu masa lampau, tetapi juga membentuk dan mencorak pemikiran masyarakat tentang hakikat politik Malaysia masa kini. Antara peristiwa yang berlaku dalam tempoh itu ialah penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM); pengenalan Malayan Union; penubuhan United Malays National Organisation (UMNO), Hizbul Muslimin, Malayan Indian Congress (MIC), Malayan Chinese Association (MCA); pembentukan Persekutuan Tanah Melayu; penubuhan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA)-Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA); pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM); pengisytiharan darurat; pembentukan Parti Perikatan; berlakunya proses percaturan politik dan pilihan raya; konflik antara kaum dan penubuhan Communities Liaison Committee (CLC) sehinggalah kepada tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

 

8

NILAI PENGETAHUAN / PENGAJARAN

- generasi baharu perlu diberi pendedahan tentang sejarah pembentukan negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan bahasa

- pembinaan negara Malaysia melalui pelbagai liku-liku dan tribulasi yang wajib dihayati

- semua orang mempunyai peranan tersendiri dalam pembentukan negara

 

9

APLIKASI ILMU DALAM ORGANISASI

- penerapan nilai hormat silang budaya sangat penting dalam membina jati diri warga negara malaysia

 

 

Disediakan oleh Disemak oleh

Resensi Buku : Assassin : Kaum Pembunuh Dari lembah Alamut

 


BORANG SINOPSIS BUKU

NAMA SEKOLAH : SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN BERSATU, 31300 KAMPUNG KEPAYANG PERAK DARUL RIDZUAN

KOD SEKOLAH :

 

1

NAMA GURU

S SAMPRIZAL BIN SELAMAT

2

JUDUL

ASSASSIN : PEMBUNUH DARI LEMBAH ALAMUT

3

TARIKH PEMBENTANGAN

 

4. BIDANG :SEJARAH

6

TEMPAT PEMBENTANGAN

 

6. MASA :

7

SINOPSIS :

 Buku setebal lebih 270 halaman karya Bernard Lewis, mengupas tentang Assassin. Siapa assassin? Pengasasannya? Mengapa wujud gerakan ini? Adakah ia hanya satu kumpulan pencabut nyawa atau apa? 

 Assassin, merupakan satu aliran dalam Syiah Ismailiyah ketika zaman Empayar Fatimiyyah atau lebih tepat pada zaman perang salib. Kumpulan ini diasaskan oleh Hassan Bin Sabbah. Beliau menjadikan pergunungan Alamut sebagai markas gerakannya. 

 Pengikutnya terdiri daripada lelaki yang diasuh sejak kecil tentang pelbagai tektik perang, penggunaan pelbagai jenis senjata, ilmu pertahanan diri, penyamaran, penguasaan bahasa dan sebagainya. Mereka diasuh tanpa rasa, hanya taat kepada arahan sang ketua. 

 Mengapa Assassin? Mungkin mengambil sempena nama Hassan Bin Sabbah, pengikutnya disebut Hasshasiah atau mungkin kerana mereka dicandukan dengan sejenis hashish iatu ganja yang boleh mengendalikan minda. 

 Apa peranan kumpulan assassin ini? Mereka merupakan pembunuh elit yang menjadi ketakutan para sultan dan pembesar sunni. Tujuan asalnya ialah menjadi mesin pembunuh, terutama pertembungan Syiah - Sunni. Banyak pembesar sunni maut di tangan assassin. 

 Penglibatan pasukan salib di Timur Tengah turut menggunakan kumpulan ini untuk tujuan politik. Bunuh musuh secara senyap dan tragis. Malah pada abad ke 13 pengaruh assassin menjadi-jadi di sana. Para pembesar daripada semua pihak sentiasa ketakutan kerana assassin tidak mempunyai jiwa, misi mereka bunuh sesiapa sahaja yang diarahkan. 

 Sultan Salahuddin al Ayubi juga beberapa kali cuba dibunuh oleh pembunuh profesional ini. 

Kini kisah assassin menjadi subjek dalam banyak filem.


8

NILAI PENGETAHUAN / PENGAJARAN

 - Mengetahui perjalajan sejarah daripada pelbagai tamadun merupakan salah satu jalan membina generasi akan datang

 

9

APLIKASI ILMU DALAM ORGANISASI

- mendidik perlu kepada sasaran jangka panjang dan jangka pendek

 

 

Disediakan oleh Disemak oleh

 

Tuesday, 4 January 2022

FAUNA

 



Kasihan fauna di belantara, menjadi mangsa kerakusan manusia durjana. Mereka tidak dapat bersuara. Bungkam terdiam dengan pasrah dan reda. Adakah mereka pasrah, reda dan bungkam? Sudah tentu tidak.

Para fauna yang mendiami belantara secara warisan tanpa perlu surat wasiat daripada sesiapa tentunya bersuara. Suara yang tidak difahami manusia melainkan kaum kerabat faunalah jua.

Segala cipan, rusa, siamang, ungka, badak, gajah, babi, unggas dan para marga yang melata, yang merayap, yang berenang, yang terbang, yang berlompat terkinja-kinja atau yang halimunan. Yang kecil, halus, besar, kurus, panjang, pendek, cantik dan jodoh pun tentu bersuara.

Belantara sebagai rumah sejak zaman berzaman sejak zaman bahari hinggalah zaman baharu tidak pernah berubah peradabannya. Yang kuat paling berkuasa akan menjadi raja. Yang lemah akan menjadi mangsa. Itulah hukum rimba, sunah belantara. 

Tidakkah pula para fauna rasa derita akan hukum rimba yang menjadi sunah belantara itu. Sungguh tragis dan sangat celaka pabila hukum rimba dianuti manusia. Satu jenis Homo Sapiens dari kumpulan mamalia yang kononnya beradap lagi bertamadun kini bermazhab dengan mazhab belantara. Mazhab amalan para fauna rimba. Yang lemah nak makan apa. Yang kuat nak makan siapa.

Lalu, segala fauna lebih derita. Derita akan tadbir bangsa Homo Sapiens yang sangat celaka. Pakaiannya busana sopan tampak bergaya, tapi jiwanya lebih haiwan dari fauna rimba. Ditebas dipangkas segala flora. Besar, kecil, tua dan muda. Dijarah semuanya.

Tuhan telah memberi pesan akan manusia yang durjana. Zalim, dizalimi, menzalimi. Itulah citra bangsa Homo Sapiens yang belajar dari bangsa fauna. Jika manusia taqwa faham bahasa beruk, kera, cakah, lotong, siamang dan ungka. Agaknya apakah yang mereka umpatkan akan manusia?


 Fauna


Anak lotong kejar pelanduk

Pelanduk lari memanjat batu

Tak tertanggung sekalian beruk

Sebak perhati hanyutan kayu


Sungguh masam asam kelubi

Potong empat letak di cembul 

Menggeleng sakan sekalian babi

Tiada tempat mahu menyondol


Harimau belang jalan perlahan

Mata mengerling melihat tapir

Berlegar helang mencari dahan

Sayang keruing tinggallah banir


Beruk kera beruk cigak

Beruk siamang bertangan panjang

Rupa lawa busana segak 

Hutan belantara habis ditebang


Badak sumbu jalan mengengsot

Tenuk bujang memikat dara

Segala batu turut diangkut

Rumah diterjang tinggallah tangga 


Landak raya menghamun maki

Cipan tua membisik celaka

Lurah dan paya tiada lagi

Tempat buaya bergurau suka


Unggas-unggas membuang tahi

Atas bumbung di kuda-kuda

Gajah rimas mengerut dahi

Santapan rebung sudah tiada


Badak berbulu mengenyit mata

Mengurat tapir dengan murangnya

Balak di hulu ditebang rata

Kami di hilir banjir batangnya

PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN

Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.