Monday, 15 June 2026

PANTUN DEWAL / DEWALA

 
Dewal, Dewala*

Makam tauhid namanya kota,
Kota bahari berdewal batu;
Biar pahit pandangan mata,
Dalam nubari ratna bermutu.

———————————-

Tepi perigi tumbuh mengkuang,
susun sekata dewala bata;
Kanda pergi ke medan juang,
Usah dinda berlinang mata.

———————————-

Burung kenari nyanyi tak jemu,
Di ranting jati langgam bersifat;
Dewala diri dengan ilmu,
Dewala hati dengan makrifat.

* tembok / dinding

Cg Sam 14/6/26


PANTUN SELAMPAI

 Selampai

Selampai kuning kain sutera,
Silang di bahu cucuk peniti:
Waktu nan bening rendahkan suara,
Suara merayu Rabbul Izzati.

Menyelampai tetampan si anak dara,
Dalam keraton tatang serahi;
Hadapan Tuhan rendahkan suara,
Tanda memohon asih Ilahi.

Tutup rapat mulut serahi,
Jahit radup berawan larat;
Andai dapat asih Ilahi,
Makmur hidup dunia akhirat.

Selampai / tetampan : sejenis kain atau selendang sutera disilang pada bahu atau leher dalam majlis istana, kain penutup dulang, sapu tangan
Menyelampai : memakai selampai
Serahi : sejenis botol atau kendi berleher panjang
Asih : Kasih, sayang
Jahit radup : Sejenis jahitan pada lipatan

Cg Sam 15/6/26



SINOPSIS PEMBACAAN BUKU

Klik pautan di bawah....... 

PAUTAN SINOPSIS PEMBACAAN BUKU

https://drive.google.com/drive/folders/1-Jm739NVoRvHfnU--jrWTN19uT1iIlTa?usp=drive_link

Saturday, 31 January 2026

PANTUN KAYA - MISKIN

 


Kaya - miskin


Tangga pangkin hala ke darat,

Buatan kekal kayu nan tahan;

Andai si miskin dibiar melarat,

Negaramu bakal dimurkai Tuhan.


Bias cahaya si bianglala,

Langit berseri semakin indah;

Jika si kaya merajalela,

Seisi negeri beroleh padah.


Kain layar lebar berhasta,

Berlayar malam tuju muara;

Si miskin dibiar selimut derita,

Nescaya alam akan bersuara.


Bunga muraya harum aroma,

Hinggap rerama menghirup sari;

Kaya raya bintang ternama,

Lebih ternama dengan memberi.


Cg Sam 22/12/25

Simpang Pulai

PANTUN MISKIN - KAYA

 

Miskin - kaya


Molek cahaya batu quarza,

Susun berpusing penghias langkap;

Miskin dan kaya usah dibeza,

Masing-masing jadi pelengkap.


Di atas pangkin pasang pelita,

Gubah sumandak bunga seruni;

Biarlah miskin ringgit dan harta,

Asalkan tidak kedana nurani.


Kalau berbedak malam gelita,

Tiada cahaya bilik puteri;

Miskin tidak meminta-minta,

Tapi si kaya wajib memberi.


Emas tempawan menjadi harta,

Hiasan molek diukir-ukir;

Harta tuan kaya berjuta,

Ada milik miskin dan fakir.


Cg Sam 22/12/25

Kg Kepayang Fair Park




PANTUN PERPISAHAN UNTUK SAHABAT

 


Salam Perpisahan


Pantai memutih dikunjung dayang,

Sipu-sipuan tuju ke bagan;

Andai kasih berpisah sayang, 

Nescaya tuan mati beragan.


Batang belidah kayu lempung,

Benang suasa tenun sendiri;

Lama sudah kita sekampung,

Tibalah masa membawa diri.


Emas tempawan menyadur besi;

Gelang suasa mahal berharga;

Pergilah kawan membawa visi,

Berselang masa bertemu juga.


Rungkai sabak rembah berjuntai,

Rembah berpalit membasah randu;

Bagai ombak membadai pantai,

Kenangan diulit semarak rindu.


Tarian samba tiadalah susah,

Ayuh berdansa pakai sepatu;

Tiadalah hamba mahu berpisah,

Aturan masa memang begitu.


Dalam perigi menimba ikan,

Terik menyala sinar mentari;

Kalian pergi kami pasrahkan,

Sekali-sekala jengah ke mari.



Belidah : kayu untuk menenun

Sabak : sebak 

Rembah : air mata

Randu : kekabu


Cg Sam 16/12/25

HRPB Ipoh

Friday, 7 November 2025

PANTUN MEMUGAR BITARA DIRI

 


Memugar Bitara Diri

Puspa kirana bintang aurora,
Bikin pesona jiwa alusi;
Dari mana datang bitara,
Bitara direncana melalui visi.

Padi menguning beras digalas,
Tumbuh setara hasil gemilang;
Ilmu bening usaha berbalas,
Jati bitara makin cemerlang.

Singgah merasa sirap kencana,
Segera pulih kusut dan rawan;
Insan bitara menguasa buana,
Dipugar oleh guru begawan.

Menggalah gedangsa batang bambu,
Perun selara campuran sekam;
Bangunlah bangsa nyalaan sumbu,
Pugar bitara mutu manikam,

bitara : unggul, terbaik, tiada taranya
puspa : bunga
kirana : elok, cantik
aurora : fenomena cahaya terang di langit
alusi : perbuatan membayangkan
sirap kencana : sirap air gula didih / karamel
Selara : daun-daun kering
Perun : timbunan kayu / daun untuk dibakar
Manikam : pelbagai jenis permata

Cg Sam 4/11/25

PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN

Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.