Friday, 27 February 2015

Pantun (pokok) kapal terbang.



Kapal terbang tumbuh di semak,
Ubat penawar ramuan tradisi;
Angkuh sombong ujub dan riak,
Penyakit rohani mematikan hati.

Kalau tuan menebas semak,
Jangan ditebas kapal terbang;
Kalau tuan berlaku bongkak,
Sepanjang masa dibenci orang.

Kapal terbang dilumat-lumat,
Dilumat dengan sekapur sirih;
Jangan diamal dendam kesumat,
Di dunia lagi kamu tersisih.

Selehai daun dicalit kapur,
Kapal terbang penawar senak;
Usah diamal perangai takbur,
Iblis tersenyum ketawa terbahak.

Kapal terbang tumbuh melata,
Daunnya tidak mendongak langit;
Jagalah lisan kala berkata,
Kerana lidah mudah tergigit. 

Kapal terbang jangan ditanam,
Pohonnya akan mengganggu laman,
Mari beramal perkara yang enam,
Itulah tanda bertaut iman.

Thursday, 26 February 2015

Penggunaan Bahasa Melayu Baku di Malaysia

1.0            PENDAHULUAN
Dari mana datangnya permata,
Dari tanah digali-gali,
Dari mana datangnya bahasa,
Dari kata yang terbit di hati.

Laku bukan sebarang laku,
Laku baik sepanjang zaman;
Baku bukan sebarang baku’
Mudah faham senang penyebutan.

Sejarah perkembangan bahasa Melayu telah dicatat dalam kamus sejarah sejak sekian lamanya. Bermula dari zaman awal prasejarah bila mana munculnya kerajaan-kerajaan kecil Melayu kuno dari abad ke-3 hinggalah abad ke-14 masihi. Antara kerajaan Melayu yang muncul ketika itu adalah seperti Kerajaan Champa, Langkasuka dan Sriwijaya; hinggalah wujudnya kerajaan-kerajaan Melayu bersultan sejak abad ke-14 Masihi. Antara kerajaan Melayu yang muncul ketika itu ialah Tanah Melayu, Bentan, Inderagiri, Kampar, Siak, Riau-Lingga dan yang paling berpengaruh iaitu Melaka. Setelah kejatuhan keultanan Melayu Melaka yang menyaksikan penjajahan negeri-negeri Melayu oleh kuasa imprealis bahasa Melayu dilihat terus berperanan sebagai bahasa pengantar utama bagi penutur di seluruh Nusantara. Malah penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia (Lingua Franca) ketika Melaka menggapai zaman keemasannya tidak tersangkal lagi.

Dari zaman awal tertubuhnya kerajaan Melayu hingga kini, bahasa Melayu mengalami pelbagai evolusi dan perubahan. Pengaruh paganisme, Hindu – Buddha, Islam-Arab dan dialek menjadikan bahasa Melayu terus subur dituturkan hingga ke hari ini. Zaman moden kini juga menyaksikan pelbagai perubahan dan variasi baru bagi bahasa Melayu. Perancangan bahasa Melayu di Malaysia berlaku sejak sekian lama sebelum merdeka lagi, malah perkembangannya dilihat sangat pesat dan mengagumkan. Perjuangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara merupakan antara siri pentig dalam sejarah bahasa Melayu di negara ini. Setelah mencapai tahap keupayaannya menjadi bahasa rasmi negara, bahasa Melayu terus berkembang, pada tahun 90-an timbul pula isu baru bahasa Melayu iaitu pembakuan bahasa Melayu.   

Pada 30 September 1993 melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/1993 : Tarikh Penyempurnaan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebutan Baku, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengarahkan semua sekolah di Malaysia menggunakan sebutan baku bagi bahasa Melayu di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan.

Arahan yang dikeluarkan seperti berikut :
Surat Pekeliling Ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah memutuskan bahawa Bahasa Melayu sebutan baku akan diwajibkan dalam peperiksaan seperti berikut :

i. Mulai 1994 :
Ujian Lisan Bahasa Melayu tahun 6 bagi SK/SRK yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.

ii. Mulai 1994 :
Ujian Lisan Bahasa Melayu Tingkatan III yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekolah.

iii. Mulai 1994 :
Ujian Lisan Bahasa Melayu SPM yang dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga peperiksaan.

Dalam perkara 3 ditegaskan bahawa
3. Untuk memantapkan lagi penguasaan Bahasa Melayu sebutan baku, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kokurikulum serta upacara rasmi lain seperti pertandingan bahas, syarahan, seminar dan sebagainya mestilah dilaksanakan dengan menggunakan Bahasa Melayu sebutan baku.

Hal ini menjelaskan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia serius dalam melaksanakan sebutan baku dalam bahasa Melayu. Bermula dari tarikh itu sekolah-sekolah mula menggunakan sebutan baku dalam sesi pengajaran dan pembelajran mata pelajaran bahasa Melayu dan mata pelajaran yang berorientasikan bahasa Melayu seperti Pendidikan Seni, Sains, Pendidikan Moral dan sebagainya. Malah beberapa rangkaian televisyen juga mula menggunakan sebutan baku dalam rancangan bual bicara, berita dan maklumat yang disampaukan kepada penonton.

Keadaan ini berterusan hingga tahun 2000 iaitu apabila Kementerian Pendidikan mengeluarkan surat pekeliling baharu yang membatalkan pekeliling bertarikh 30 september 1993.  Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 3/2000 : Pelaksanaan Sebutan Baku Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Mata Pelajaran Bahasa Melayu Di Sekolah bertarikh 16 Februari 2000 dengan jelas membatalkan pelaksanaan penggunaan sebutan baku. Hal ini dapat ilihat melalui perkara 2,3 dan 4 surat pekeliling tersebut yang menegaskan;

2. Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa sebutan baku yang terus dilaksanakan di sekolah adalah hanya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja.

3. Walau bagaimanapun, untuk ujian lisan dalam peperiksaan awam, sebutan baku atau sebutan biasa boleh digunakan. Bagi pengajaran dan pembelajaran mata-mata pelajaran
selain Bahasa Melayu serta urusan-urusan lain di sekolah, sebutan biasa digunakan.


4. Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling lkhtisas ini, maka Surat Pekeliling lkhtisas Bil. 2/1993 bertarikh 30 September 1993 yang bertajuk   

Namun begitu, sebenarnya pelaksanaan pembakuan bahasa Melayu iperingkat sekolah telah dimulakan sejak tahun 1988 lagi, iaitu selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang mengusulkan sebutan baku bahasa Melayu tingkatan satu.
  
2.0            DASAR UMUM SEBUTAN BAKU BAHASA MELAYU
2.1            Definisi Sebutan Baku          
Kamus Dewan Edisi Empat mendefinisikan sebutan seperti berikut; 1. apa yang disebut, (sesuatu) yang disebut:  2. cara melafazkan atau menyebut (perkataan dan lain-lain), ucapan, lafaz. Manakala baku pula didefiisikan sebagai 1 utama; penting: makanan ~ makanan yg utama. 2 diterima dan diakui; sah dan benar (ttg sukatan, ukuran dll);

Manakala sebutan baku pula didefinisikan sebagai sebutan (huruf atau perkataan) yg telah ditentukan atau diterima sbg yg betul atau yg sewajarnya, sebutan standard;

Prof Dr Awang Sariyan, melalui bukunya Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu Di Malaysia Edisi Kedua (2006); memberi definisi berikut; …. ’pembakuan bahasa dapat difahami sebagai usaha, tindakan, atau proses mengetengahkan bentuk bahasa yang benar dan yang dapat menjadi dasar ukuran. Yang berkaitan dengan usaha, tindakan, atau proses tersebut ialah penetapan kod dan norma bahasa daripada segala segi, iaitu ejaan, peristilahan, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.’

Secara umumnya, sebutan baku bermaksud mewujudkan satu sistem sebutan standard bahasa Melayu yang diterima pakai sebagai betul dalam sistem bahasa kebangsaan. Pembakuan ini meliputi proses pembinaan bahasa iaitu pembakuan tatabahasa, ejaan, sebutan, istilah, kosa kata laras dan sistem bahasa.
             
2.2            Dasar Sebutan Baku Bahasa Melayu          
Dasar sebutan baku bahasa Melayu ialah sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan. Maksudnya di sini ialah kata-kata dieja berdasarkan pengucapan dan pengucapan berdasaran apa yang dieja. Timbul sedikit kekeliruan dan masalah dari segi sebutan iaitu bahasa Melayu yang disebut secara baku dikatakan mirip dengan bahasa Indonesia.

Justeru bagi menjawab isu ini dan mewujudkan keseragaman bahasa; Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga telah juga mengambil keputusan tentang ejaan bahawa, (a) Ejaan di Malaya dan di Indonesia hendaklah disamakan atau disatukan; (b) Peraturan ejaan hendaklah mudah, dan untuk ini maka sistem fonemik diterima sebagai sistem yang lebih baik daripada sistem fonetik, dan satu fonem hendaklah digambarkan dengan hanya satu tanda (huruf) saja; (c) pengejaan hendaklah tetap sekata mengikut kaedah yang satu dan semacam; (d) Kata-kata daripada bahasa asing hendaklah disesuaikan dengan sistem fonologi Melayu. (Asraf, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-IV 1984)

Dasar sebutan baku berdasarkan fonemik mempunyai beberapa prinsip tertentu bagi memudahkan proses penyebutan dan pengajaran dan pembelajaran. Antara prinsip-prinsip tersebut adalah

2.2.1       memudahkan guru mengajar dan murid belajar mengucapkan bahasa Melayu dengan tidak lagi dibingungkan oleh kecualian-kecualian yang berbagaibagai, misalnya ada kata-kata yang disebut menurut bunyi fonetik Riau-Johor, ada yang disebut menurut bunyi fonetik Inggeris seperti *indastri, *jenerasi dan *yunit untuk industri, generasi dan unit dan ada yang menurut sebagaimana yang dieja secara fonemik.

2.2.2       dapat dianggap sebagai sebutan estetik yang sesuai untuk lagu-lagu Melayu, deklamasi sajak berpidato, ceramah, syarahan dan apa saja ucapan yang bersifat formal seperti pembacaan warta berita, pengumuman rasmi kenegaraan dan sebagainya.

3.2.3    memperlihatkan kelebihan bahasa Melayu jika dibandingkan dcngan bahasa Inggeris yang kacau ejaannya sehingga sebutannya tidak selaras dengan ejaannya itu. Bahasa Melayu tidak akan menjadi lebih maju dengan meniru kekacauan ejaan dan ucapan bahasa Inggeris


 2.3            Matlamat pembakuan bahasa Melayu
Usaha pembakuan sebutan bahasa Melayu bukanlah satu usaha yang sengaja diada-adakan sebaliknya merupakan satu usaha untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang bersifat ilmiah dan menuju ke arah kesempurnaan. Dengan adanya pembakuan ini maka bahasa Melayu akan menjadi satu bahasa yang benar-benar mantap dan dibanggai oleh penuturnya lantaran bahasa Melayu memiliki jati dirinya sendiri. Antara matlamat dan tujuan pelbakuan sebutan bahasa Melayu adalah;

2.3.1       Mewujudkan keseragaman sebutan dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh pelbagai dialek agar satu variasi sebutan yang standard digunakan dalam majlis-majlis formal, peruratan, penulisan dan sebagainya.

2.3.2       Mewujudkan keseragaman sebutan, terutamanya perkataan serapan dan pinjaman yang berasal daripada perkataan asing seperti bahasa Arab, Inggeris, Jawa, Sanskrit dan sebagainya. Dengan adanya pembakuan sebutan, maka perkataan itu lebih mudah difahami oleh penutur sesuai dengan konteks maksud ayat.

2.3.3       Dapat meningkatkan keupayaan dan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa dengan menggunakan hukum bahasa yang selaras dan difahami oleh semua lapisan masyarakat.

2.3.4       Untuk memantapkan system bahasa Melayu supaya sebutannya menjadi mantap dan baku sesuai dengan pembakuan tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan dan laras bahasa.

2.3.5       Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di sekolah pembakuan sebutan bahasa Melayu bertujuan untuk  menyeragamkan cara             berbahasa dan bertutur , dan mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan ini para pelajar dan guru-guru akan menggunakan satu sistem bahasa Melayu yang sama dalam proses pendidikan. Guru dan pelajar dari seluruh negara akan menggunakan bahasa yang satu yang disepakati dan difahami.


3.0            PERBEZAAN SEBUTAN BAKU DENGAN SEBUTAN JOHOR-RIAU
Seperti yang dibincangkan dari awal tadi sebutan baku merupakan sebutan yang beroreintasikan sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan, menyebuta apa yang dieja dan mengeja apa yang disebut. Namun begitu, majoriti masyarakat di malaysia tidak bertutur dalam sebutan baku. Pertuturan masyarakat Malaysia lebih selesa bertutur dengan sebutan Johor-Riau yang sudah dianggap sebagai sebutan standard bahasa Melayu. Dari sudut fonologi terdapat perbezaan ketara antara sebutan baku dengan sebutan Johor-Riau. Berikut merupakan beberapa contoh perbezaan sebutan bahasa Melayu baku dengan sebutan bahasa Melayu Johor-Riau.

4.1       Perkataan yang diakhiri dengan fonem vokal /a/. Bahasa baku mengekalkal fonem vokal /a/ sebagai  /a/, sebaliknya sebutan Johor-Riau menyebut /ə/. Contoh
Kata
Ejaan
Sebutan baku
Sebutan Johor-Riau
mata
mata
ma . ta
ma . tə
berapa
berapa
b ə . ra . pa
b ə . ra . p ə
serupa
serupa
s ə . ru . pa
s ə . ru . p ə

4.2       Perkataan yang mengandungi fonem vokal /u/ dan diakhiri dengan fonem konsonan /r/ digantikan dengan /o/ manakala konsonan /r/ digugurkan.
Kata
Ejaan
Sebutan baku
Sebutan Johor-Riau
telur
telur
t ə . lur
t ə . lo
melur
melur
m ə . lur
m ə . lo
Dapur
dapur
da . pur
da . po

            4.3       Penguguran konsonen /r/ disempadan suku kata.
Kata
Ejaan
Sebutan baku
Sebutan Johor-Riau
permainan
permainan
pər . ma . i . nan
pə_ . ma . i . nan
perkataan
perkataan
pər . ka . ta . an
pə_ . ka . ta . an
terduduk
terduduk
tər . du .  du?
tə_ . du .  du?
  
4.0            KEBAIKAN DAN KELEMAHAN SEBUTAN BAKU BAHASA MELAYU
Pembakuan sebutan bahasa Melayu merupakan satu usaha yang sangat murni dalam memartabatkan bahasa Melayu kerana usaha pembakuan ini boleh memberi satu dimensi baru kepada para penutur bahasa Melayu. Kebaikan pembakuan ini boleh dilihat berdasarkan matlamatnya pembakuan itu sendiri.

4.1            Kebaikan Pembakuan Sebutan Bahasa Melayu
4.1.1       Menyeragamkan bahasa Melayu dari pelbagai aspek seperti tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan dan laras bahasa terutamanya dalam situasi formal.

4.1.2       Menyeragamkan proses pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah dan institusi pengajian. Para guru dan murid dari seluruh negara menggunakan satu kaedah bahasa yang sama.

4.1.3       Menyeragamkan dan menstandardkan sebutan bahasa Melayu yang terpecah kepada dialek dan loghat yang pelbagai. Dialek dan loghat ini memberi konotasi yang pelbagai berdasarkan sosio budaya penuturnya. Keseragaman ini akan menwujudkan sistem berbahasa yang satu.

4.1.4       Menyeragamkan cara penulisan terutamanya bagi kata yang diambil daripada bahasa asing. Pembakuan sebutan kata pinjaman akan mempengaruhi cara penulisannya. Dengan ini kata pinjaman dapat diseragamkan melalui proses pembakukan.

4.1.5       Menjadikan bahasa Melayu sebagai satu bahawa yang berwibawa dan bersifat ilmiah. Melalui penggunaan bahasa baku yang telah diseragamkan, penutur bahasa Melayu akan mengungkap dengan bahasa yang sama.

4.1.6       Memudahkan penutur bahasa asing untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau bahasa tambahan. Pelajar yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu akan mudah mempelajari bahasa Melayu yang telah diseragamkan tanpa terkeliru dengan dialek atau loghat daerah dan suku kaum tertentu.

4.2            Masalah dan Kelemahan Pembakuan Sebutan Bahasa Melayu
Namun begitu usaha pembakuan ini terpaksan melalui beberapa masalah dan kelamahan dalam pelaksanaannya. Berikut adalah antara beberapa masalah dan kelemahan ketara yang dihadapi dalam usaha menggerakkan pembakuan sebutan baku bahasa Melayu.

4.2.1       Tiadanya apa-apa arahan rasmi daripada pihak pemerintah dalam usaha menggunakan bahasa baku secara menyeluruh. Apa yang berlaku hanyalah arahan daripada Kementerian Pendidikan melalui Ketua Pengarah Pendidikan pada tahun 1993, iaitu penggunaan sebutan baku di sekolah sahaja. Namun begitu arahan tersebut terbatal melalui surat pekeliling yang dikeluaran pada tahun 2000. Dalam surat pekeliling baharu tersebut bahasa baku hanya digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sahaja.

4.2.2       Memandangan sebutan baku berdasarkan kepada sebutan fonemik, timbul masalah sebutan bahasa Melayu yang mirip dengan sebutan bahasa Indonesia. Ada pihak yang tidak senang dengan sebutan baku kerana seolah-olah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Indonesia.

4.2.3       Bahasa Melayu merupakan bahasa yang beraneka ragam dari segi sebutan dialek dan loghatnya. Para penutur bahasa Melayu yang sudah tersebati dengan dialek dan loghat masing-masing berasa tidak senang kerana pembakuan ini seolah-olah mahu mematikan dialek dan loghat yang menjadi identiti sesuatu tempat, budaya, kaun dan suku kaum.

4.2.4       Pelaksanaan sebutan baku dalam konteks hebaham umum hanya dilaksanakan oleh sebuah rangkaian televisyen swasta iaitu TV3. Banyak rancangan terbitan rangkaian televisyen ini menggunakan sebutan baku seperti rancangan berita dan dokumentari. Sebaliknya RTM yang dimiliki oleh kerajaan tidak menggunakan sebutan baku; menggunakan sebutan Johor-Riau.

4.2.5       Perkembangan bahasa Melayu basahan baru atau ’bahasa rojak’ yang mendapat pengaruh daripada bahasa Inggeris, SMS, cit-cat dan perkembangan komputer telah menjadi satu kebiasaan baru dalam berbahasa bagi penutur bahasa Melayu. Lebih membimbangkan gaya bahasa ’rojak’ ini telah mempengaruhi gaya penulisan.

5.0       RUMUSAN
Sesungguhnya usaha untuk mewujudkan sebutan baku bahasa Melayu merupakan satu usaha yang berterusan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Dalam usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang bertaraf dunia serta mengembalikan semula bahasa Melayu sebagai ligua franca seperti abad ke 15 yang lalu, pembakuan dilihat sangat bertepatan sekali. Melalui penyeragaman, bahasa Melayu lebih mudah ditutur dan difahami.

Namun begitu, usaha ini nampaknya masih belum selesai dan dilihat seolah-olah tidak bersungguh. Sepatutnya kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Penerangan dan kementerain-kementerian yang lain bersungguh-sungguh dalam memastikan penuturan baku bahasa Melayu dilaksanakan di semua peringkat. Apa yang berlaku kini, hanya pengajaran bahasa Melayu sahaja menggunaan sebutan baku. Bahasa Melayu dilihat sangat berpotensi untuk terus berkembang di peringkat dunia, hal ini boleh dilihat dengan adanya fakulti-fakulti Pengajian Melayu diwujudkan di beberapa buah universiti luar negara seperti di China. Malah Prof Dr Awang Sariyan merupakan penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia – China, Beijing. Sekiranya pembakuan bahasa Melayu dilaksanakan dengan serius, lebih mudah lagi bahasa Melayu dipelajari dan dipertuturkan oleh seluruh masyarakat.

 BIBLIOGRAFI

Asraf, (1984), Sebutan Baku Bahasa Melayu Berdasarkan Prinsip Finemik, Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu ke-IV  

Awang Sariyan, (2006), Warna Dan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia Edisi
Kedua, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur

Kamus Dewan, Edisi Baru, Cetakan Ketiga (1992), Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Kuala Teregganu

Kementerian Pendidikan Malaysia, (2004), Perkaedahan Pengajaran dan Pembelajaran
bahasa Melayu, Sistem Bahasa dan Penggunaan Bahan Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran bahasa Melayu, Bahagian Pendidikan Guru, Kuala Lumpur

Kementerian Pendidikan Malaysia, (2004),   Pengajaran dan Pembelajaran Kemahiran
bahasa Melayu, Bahagian Pendidikan Guru, Kuala Lumpur
 
Pusat Perkembangan Kurikulum, (2002), Kursus Orientasi Perubahan Kurikulum Bahasa
Melayu Sekolah Rendah Sesi 2002, PPK, Kuala Lumpur

Rahiman Hj Sabran & Rahim Syam, (1987), Kajian Bahasa Untuk Pelatih maktab
Perguruan, Fajar Bakti, Petaling Jaya

Samsudin Mohamed, (      ), Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu,
Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 2/1993 : Tarikh Penyempurnaan Pelaksanaan
Bahasa Melayu Sebutan Baku

SURAT PEKELILING IKHTISAS BIL. 3/2000: Pelaksanaan Sebutan Baku Dalam
Pengajara Dan Pembelajaran Mata Pelajaran Bahasa Melayu Di Sekolah





LAMPIRAN SURAT PEKELILING




Monday, 23 February 2015

Resensi Buku : Biografi Agung Salahuddin Al Ayyubi




Tajuk : Biografi Agung Salahuddin Al Ayyubi
Pengarang : Syed Alwi Alattas
Terbitan : Karya Bestari
Muka surat : 434 halaman
Harga : RM32.50

Salahuddin Al Ayyubi merupakan satu nama besar yang sangat terkenal baik bagi dunia Islam mahupun dunia barat. Masyarakat Islam sudah tentu mengenali sosok ini kerana peranan yang dimainkannya sangat besar. Bagi masyarakat barat dan Eropah pula nama Saladdin adalah satu kegerunan yang tidak boleh dibayangkan. Inilah sosok panglima perang yang juga merupakan seorang sultan yang sangat ampuh dan begitu konsisten menentang pendudukan tentera Frank di  Timur Tengah, khususnya pembebasan Baitul Maqdis.

Sepanjang hidupnya dihabiskan dalam banyak siri peperangan sama ada peperangan dengan pasukan gabungan kristian dari Eropah, Syiah khususnya tentera Assasin dan dalam kalangan emir yang bersekongkol dengan pasukan musuh. Bermula daripada kehidupan biasa yang tidak dikenali hinggalah diangkat menjadi Emir dan Sultan, lelaki dari keturunan Kurdish ini sangat setia di bawah pemerintahan Bani Abbasiah dan berterusan memerangi musuh utama umat Islam ketika itu iaitu pasukan Kristian Eropah yang menjajah Timur Tengah.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran beliau tetap dengan pendiriannya mahu membebaskan al Quds. Ternyata usahanya tidak sia-sia, pada tahun 1187 Baitul Maqdis berjaya dibebaskan dengan harga yang sangat mahal.

Buku ini ditulis berdasarkan rujukan dan fakta dari pelbagai sumber sama ada dari sumber Islam mahupun Barat. Ditulis dalam bahasa yang mudah difahami dengan rentetan peristiwa penting disamping gambar-gambar yang boleh meguatkan pemahaman pembaca. Buku ini bukan buku fiksyen, tetapi membacanya tidak terasa seperti membaca buku sejarah kerana garapan kandungan dan bahasanya yang tidak menjenuhkan.


PANTUN BETIK JANTAN



Betik jantan usah ditebang,
Bunganya enak dibuat kerabu;
Amanah disandang usah dicurang,
Rakan sahabat menjadi seteru.

Pohon betik lebat berbunga,
Tapi sayang tiada berbuah;
Bermohon patik menghadap raja,
Tapi raja tiada menjengah.

Bunga betik dicelur-celur,
Dicicah dengan sambal belacan;
Anamah dipetik jangan kau kabur,
Kelak tercampak dalam kehinaan.

Andai betik berbunga jantan,
Biarkan subur tepi serambi;
Amanah diberi usah khianatkan,
Nama yang baik bawa ke mati.

Wednesday, 18 February 2015

Fasa Senyuman Wijayakusuma, Bakawali

Wijayakusuma atau bakawali merupakan spesis kaktus yang sungguh istimewa. Istimewa pohon ini kerana mempunya nilai perubatan dam khasiat secara tradisional. Untuk melihat bunganya berkembang perlukan kesabaran kerana bunganya tidak bertahan lama. Kudup bunga akan tumbuh dalam tempoh lebih kurang seminggu. Bunganya pula akan betul-betul mekar pada tengah malam, jadi kalau mahu melihat bakawali atau wijayakususma berhembang mekar perlu ditunggu berjam-jam lamanya. Jika kelewatan, kundupnya akan layu menjelang pagi.



Kudup mula kelihatan



dalam masa seminggu kudup akan membesar



Kembang betul-betul tengah malam.


Menjelang pagi bunganya layu.

Sunday, 15 February 2015

Sesi Pembentangan

Sesi Pembentangan

Murid 6 Seroja membentangkan hasil perbincangan. Setelah diadakan sesi perbincangan dalam kelas, murid diberi panduan cara-cara menggunakan perisian Power Point. Melalui Power Point mereka membina peta pemikiran, peta pelbagai alir bagi menunjukkan kesan dan langkah mengatasi berdasarkan topik yang diberikan.

Sesi pembelajaran mengambil masa selama 3 sesi iaitu sesi pertama perbincangan dalam kelas. Sesi kedua menyediakan Power Point dan sesi ketiga membentang hasil tugasan. Elemen TMK digunakan dalam sesi ini iaitu murid dikehendaki menghantar hasil tugasan kepada guru melalui emel. Tugasan yang die-melkan dipaparkan melalui slide projektor.

Kelihatan mereka teruja menggunakan elemen-elemen TMK dalam sesi pembelajaran. Sebagai pengayaan murid dikehendaki menyediakan sebuah karangan yang berkaitan dengan tajuk.


























Wednesday, 11 February 2015

Peta Pemikiran; Peta Pelbagai Alir.

Peta Pemikiran; Peta Pelbagai Alir.

Nampaknya murid begitu teruja menggunakan pendekatan peta dalam sesi pembelajaran mereka. Setelah diberikan pendedahan ringkas cara-cara menggunakan Power Point, murid semakin cekap menggunakan aplikasi ini.

kali ini mereka menggunakan Power Point untuk menyediakan peta pelbagai alir. Tajuk yang diberikan ialah punca dan langkah mengatasi;
1. Kesesakan jalan raya
2. Kepadatan penduduk di bandar

Pembentangan tidak sempat dilakukan hari ini. Ditangguh pada hari lain.











Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit