Kapal terbang tumbuh di semak,
Ubat penawar ramuan tradisi;
Angkuh sombong ujub dan riak,
Penyakit rohani mematikan hati.
Kalau tuan menebas semak,
Jangan ditebas kapal terbang;
Kalau tuan berlaku bongkak,
Sepanjang masa dibenci orang.
Kapal terbang dilumat-lumat,
Dilumat dengan sekapur sirih;
Jangan diamal dendam kesumat,
Di dunia lagi kamu tersisih.
Selehai daun dicalit kapur,
Kapal terbang penawar senak;
Usah diamal perangai takbur,
Iblis tersenyum ketawa terbahak.
Kapal terbang tumbuh melata,
Daunnya tidak mendongak langit;
Jagalah lisan kala berkata,
Kerana lidah mudah tergigit.
Kapal terbang jangan ditanam,
Pohonnya akan mengganggu laman,
Mari beramal perkara yang enam,
Itulah tanda bertaut iman.
No comments:
Post a Comment