Monday, 17 August 2026

PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN

Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.

PEMBACAAN BUKU

 

Contoh ulasan pembacaan buku.


PEMBACAAN BUKU

https://drive.google.com/drive/folders/1-Jm739NVoRvHfnU--jrWTN19uT1iIlTa



Saturday, 15 August 2026

PANDUAN ASAS BERBALAS PANTUN

 





GEMA PANTUN WARISAN MADANI

Elok busana putera puteri,
Kain songket benang suasa;
Laga bahasa minda bestari,
Atma bangkit perkasa bahasa.

Daun bidara jual di kota,
Di dalam raga susun selari;
Santun bicara bersusun kata,
Bertikam bahasa akal jauhari.

Dalam keraton hias suasa,
Diletak susun dayang nan ayu;
Budaya pantun lestari bangsa,
Sopan bersantun pusaka Melayu.

Cg Sam 8/8/26
Matang Gerdu

Tahniah kepada 12 pasukan pantun peringkat Negeri Perak 2026 yang telah mewakili daerah masing-masing. Semuanya hebat dalam peragaan busana, permainan kata, tikam bahasa, lenggok bicara, lantunan suara dan aksi yang memukau.

Beberapa perkara yang elok dikongsi untuk panduan para pemantun dalam gelanggang laga bahasa pada masa-masa mendatang.

1. Pemilihan kosa kata tradisional hendak sesuai dan kena pada tempatnya. 

2. Penggunaan bahasa klasik, Sanskrit dan arkaik boleh membantu menjadikan pantun sangat klasik dan sangat 'Melayu' tetapi sangat berbahaya jika pemantun tidak faham maksud dan konteks penggunaanya.

3. WAJIB mematuhi prasyarat pantun dari aspek baris, bilangan suku kata dan rima akhir. Keseragaman rima tengah adalah bonus besar.

4. Awasi penggunaan diksi bombastik yang melampau. Metafora, simile dan pelambangan melampau boleh merosakkan pantun.

 5. Elakkan gaya yang berlebihan.

6. Sapaan dan usik-mengusik akan menghidupkan suasana, tetapi awas dengan pergerakan masa. Jangan asyik menyapa hingga terlupa masa sedang berjalan.

7. Jual beli pantun dinilai secara individu. Jangan wujudkan perbincangan.

8. Secara umumnya pantun dijual sangat mempesona dan memenuhi kriteria kerana disediakan awal. Kelemahan ketara akan dilihat dalam jawapan.

9. Pantun yang dibeli hendaklah tepat menjurus kepada soalan. Jawapan pelambangan, mengembalikan soalan atau pelarian merugikan pasukan.

10. Ketika membeli pantun inilah kemahiran peserta benar-benar diuji. Mereka menjawab tanpa bimbingan jurulatih, tanpa perbincangan. 

11. Awas dengan jawapan yang telah dihafal dan diskripkan. 

Selamat berpantun.

Wednesday, 15 July 2026

Pantun Pilih Memilih



Adat bertanding pilihanraya. Ada yang menang, ada yang kalah.


Emas tempawan hiasan dinding,

Keris sadur kanan dan kiri;

Andai tuan menang bertanding,

Janji ditabur jangan mungkiri.


Mengail ruan di Tasik Banding,

Di balik pokok asam jawa;

Kalau tuan kalah bertanding,

Jangan rajuk ditelan kecewa.


 #pantun #memilihpemimpin

Monday, 15 June 2026

PANTUN SARUNG

 

Sarung

Baju kurung hias kerongsang,
Corak silang jahitan bonda;
Kain sarung kain pasang,
Dalam dulang sebagai tanda.

Elok jahitan busana puteri,
Kain satin anta kesuma;
Belah rotan sarung di jari,
Zahir batin setuju terima.

Kayu tempinis senjata tarung,
Kayu dipilih dengan petua;
Jari manis cincin disarung,
Disarung oleh bakal mentua.

Cg Sam 30/5/26
Petaling Jaya

PANTUN ANTA KESUMA

 



Anta Kesuma

Anta kesuma taman larangan,
Tempat puteri libur ceria;
Janji ditempa bukan anganan,
Hidup dan mati janji setia,

Cantik tenunan anta kesuma
Tenunan loreng oleh puteri,
Aduh penangan pandang pertama,
Adik kusunting sebagai suri.

Pakai baju anta kesuma,
Baju zirah kuasa sakti;
Tanda setuju janji bersama,
Senang susah hidup semati.

Pancawarna cenderawasih,
Bikin sukma bara membara;
Cindur mata pengikat kasih,
Anta kesuma tenunan sutera.

Indah sungguh mahligai saujana,
Tempat semayam ratna mutia;
Moga utuh ikatan terlaksana,
Bahagia teranyam sentiasa setia.

Cg Sam 1/6/26

Anta kesuma: berbunga-bunga / aneka bunga / baju sakti

PANTUN TANDING BERTANDING

 


 Tanding bertanding

Tumbuh dedalu di dahan puding,
Dahan keranji menimpa gambir;
Sudah dipalu genderang tanding,
Fitnah dan janji mainan bibir.

Emas tempawan hiasan dinding,
Keris sadur kanan dan kiri;
Andai tuan menang bertanding,
Janji ditabur jangan mungkiri.

Mengail ruan di Tasik Banding,
Di balik pokok asam jawa;
Kalau tuan kalah bertanding,
Jangan rajuk ditelan kecewa.

Kala sanding usah menoleh,
Kain samping anugerah raja;
Tuan bertanding kami memilih,
Pilih pemimpin kuat bekerja.

Cg Sam 3/6/26

 

PANTUN PURA

 


 Pura

Pintu gapura tersergam indah,
Indah berhias dian dan lilin;
Dalam bicara terselit madah,
Madah berkias makna dijalin.

Antapura mahligai kayangan,
Tempat semayam seri paduka;
Melihat dara senyum karangan,
Tambah cendayam berseri muka.

Tuan pendekar menarik kibar,
Berlayar datang ke Inderapura;
Hati terbakar resah berkobar,
Melihat kembang si anak dara.

Pura Cendana negeri Bahari,
Tempat raja adil bertakhta;
Dara teruna bersuami isteri,
Sempurna jiwa lebur derita.

Pura : kota/negeri
Gapura : pintu kota
Antapura : istana

Cg Sam 4/6/2026

 

PANTUN BAHARU - BAHARI

 


 Baharu - Bahari

Kayu gaharu tiada berduri,
Tumbuh kekar tepi gedangsa;
Zaman baharu zaman bahari,
Sama mekar terowong masa.

Pucuk beluru sinar mentari,
Tumbuh rendang di hujung desa;
Yang baharu ganti bahari,
Kukuh berpegang di akar masa.

Enak berkudap dengan puteri,
Kudap penganan di pangkal aru;
Kekalkan adab seperti bahari,
Jadi pegangan zaman baharu.

Cg Sam 4/6/26

 

PANTUN DEWAL / DEWALA

 
Dewal, Dewala*

Makam tauhid namanya kota,
Kota bahari berdewal batu;
Biar pahit pandangan mata,
Dalam nubari ratna bermutu.

———————————-

Tepi perigi tumbuh mengkuang,
susun sekata dewala bata;
Kanda pergi ke medan juang,
Usah dinda berlinang mata.

———————————-

Burung kenari nyanyi tak jemu,
Di ranting jati langgam bersifat;
Dewala diri dengan ilmu,
Dewala hati dengan makrifat.

* tembok / dinding

Cg Sam 14/6/26


PANTUN SELAMPAI

 Selampai

Selampai kuning kain sutera,
Silang di bahu cucuk peniti:
Waktu nan bening rendahkan suara,
Suara merayu Rabbul Izzati.

Menyelampai tetampan si anak dara,
Dalam keraton tatang serahi;
Hadapan Tuhan rendahkan suara,
Tanda memohon asih Ilahi.

Tutup rapat mulut serahi,
Jahit radup berawan larat;
Andai dapat asih Ilahi,
Makmur hidup dunia akhirat.

Selampai / tetampan : sejenis kain atau selendang sutera disilang pada bahu atau leher dalam majlis istana, kain penutup dulang, sapu tangan
Menyelampai : memakai selampai
Serahi : sejenis botol atau kendi berleher panjang
Asih : Kasih, sayang
Jahit radup : Sejenis jahitan pada lipatan

Cg Sam 15/6/26



SINOPSIS PEMBACAAN BUKU

Klik pautan di bawah....... 

PAUTAN SINOPSIS PEMBACAAN BUKU

https://drive.google.com/drive/folders/1-Jm739NVoRvHfnU--jrWTN19uT1iIlTa?usp=drive_link

Saturday, 31 January 2026

PANTUN KAYA - MISKIN

 


Kaya - miskin


Tangga pangkin hala ke darat,

Buatan kekal kayu nan tahan;

Andai si miskin dibiar melarat,

Negaramu bakal dimurkai Tuhan.


Bias cahaya si bianglala,

Langit berseri semakin indah;

Jika si kaya merajalela,

Seisi negeri beroleh padah.


Kain layar lebar berhasta,

Berlayar malam tuju muara;

Si miskin dibiar selimut derita,

Nescaya alam akan bersuara.


Bunga muraya harum aroma,

Hinggap rerama menghirup sari;

Kaya raya bintang ternama,

Lebih ternama dengan memberi.


Cg Sam 22/12/25

Simpang Pulai

PANTUN MISKIN - KAYA

 

Miskin - kaya


Molek cahaya batu quarza,

Susun berpusing penghias langkap;

Miskin dan kaya usah dibeza,

Masing-masing jadi pelengkap.


Di atas pangkin pasang pelita,

Gubah sumandak bunga seruni;

Biarlah miskin ringgit dan harta,

Asalkan tidak kedana nurani.


Kalau berbedak malam gelita,

Tiada cahaya bilik puteri;

Miskin tidak meminta-minta,

Tapi si kaya wajib memberi.


Emas tempawan menjadi harta,

Hiasan molek diukir-ukir;

Harta tuan kaya berjuta,

Ada milik miskin dan fakir.


Cg Sam 22/12/25

Kg Kepayang Fair Park




PANTUN PERPISAHAN UNTUK SAHABAT

 


Salam Perpisahan


Pantai memutih dikunjung dayang,

Sipu-sipuan tuju ke bagan;

Andai kasih berpisah sayang, 

Nescaya tuan mati beragan.


Batang belidah kayu lempung,

Benang suasa tenun sendiri;

Lama sudah kita sekampung,

Tibalah masa membawa diri.


Emas tempawan menyadur besi;

Gelang suasa mahal berharga;

Pergilah kawan membawa visi,

Berselang masa bertemu juga.


Rungkai sabak rembah berjuntai,

Rembah berpalit membasah randu;

Bagai ombak membadai pantai,

Kenangan diulit semarak rindu.


Tarian samba tiadalah susah,

Ayuh berdansa pakai sepatu;

Tiadalah hamba mahu berpisah,

Aturan masa memang begitu.


Dalam perigi menimba ikan,

Terik menyala sinar mentari;

Kalian pergi kami pasrahkan,

Sekali-sekala jengah ke mari.



Belidah : kayu untuk menenun

Sabak : sebak 

Rembah : air mata

Randu : kekabu


Cg Sam 16/12/25

HRPB Ipoh

Friday, 7 November 2025

PANTUN MEMUGAR BITARA DIRI

 


Memugar Bitara Diri

Puspa kirana bintang aurora,
Bikin pesona jiwa alusi;
Dari mana datang bitara,
Bitara direncana melalui visi.

Padi menguning beras digalas,
Tumbuh setara hasil gemilang;
Ilmu bening usaha berbalas,
Jati bitara makin cemerlang.

Singgah merasa sirap kencana,
Segera pulih kusut dan rawan;
Insan bitara menguasa buana,
Dipugar oleh guru begawan.

Menggalah gedangsa batang bambu,
Perun selara campuran sekam;
Bangunlah bangsa nyalaan sumbu,
Pugar bitara mutu manikam,

bitara : unggul, terbaik, tiada taranya
puspa : bunga
kirana : elok, cantik
aurora : fenomena cahaya terang di langit
alusi : perbuatan membayangkan
sirap kencana : sirap air gula didih / karamel
Selara : daun-daun kering
Perun : timbunan kayu / daun untuk dibakar
Manikam : pelbagai jenis permata

Cg Sam 4/11/25

Wednesday, 29 October 2025

ULASAN BUKU : JOSE RIZAL, MELAYU AGUNG

 


Tajuk : Jose Rizal; Melayu Agung

Penulis : Carlos Quirino

Penterjemah : Puspawati Rosman

Penerbit: idbe 


Buku tulisan sejarawan ulung Filipina Carlos Quirino ini diterbitkan pada tahun 1940 dengan judul THE GREAT MALAYAN. Beliau mengambil bahagian dalam pertandingan penulisan biografi wira negara Dr Jose Rizal. 

Dalam catatan pengarang, beliau menulis, pertandingan ini disertai oleh tokoh-tokoh dan ahli sejarah yang pada pandangannya dia perlu menarik diri. Namun, setelah dinilai tulisannya itu mendapat tempat ketiga. Kejutan berlaku apabila Presiden Manuel menjemputnya ke pejabat. Buku yang dihasilkan ini jauh lebih berkualiti dan lebih baik daripada tempat pertama dan kedua. Presiden Manuel memberikan hadiah setara dengan tempat pertama kepada beliau tetapi tidak mengubah keputusan penjurian atas sebab-sebab kebijaksanaan.

Buku setebal 310 halaman ini ditulis dalam disiplin akademik yang tinggi. Ilmiah, berdata, berfakta dilengkapi dengan gambar tokoh yang dibicarakan.

Jose Rizal berketurunan campuran Tagalog + Cina + Sepanyol. Namun beliau mengangkat dan membanggakan dirinya sebagai seorang Melayu. Melayu dalam konteks Tagalog adalah tanah Nusantara yang akarnya satu iaitu Melayu. Kenyataan ini boleh dirujuk melalui surat-surat dan petikan kata-kata Jose Rizal sendiri.

Sesungguhnya, membaca buku ini terasa amat lambat sekali. Banyak watak dan nama tempat yang tiada dalam kotak pengetahuan. Melainkan mereka yang memang sudah ada disiplin sejarah Filipina.

Nama-nama seperti Juan Mercado, Teodora Alonso, Chengoy, Sixto Lopez atau nama tempat seperti Laguna De Bay, Kambala, Bagumbayan dan lain-lain terasa asing dan perlukan rujukan silang.

Penghormatan besar perlu diberikan kepada Dr Jose Protasio Rizal Mercado y Alonzo Realonda yang telah mengorbankan jiwanya dalam usaha membebaskan belenggu penjajahan Sepanyol di Ranah Nusantara, Filipina.

#membacatanpahenti #bangsamembacabangsaberjaya #terusmembaca

Tuesday, 28 October 2025

Resensi Buku Rumah Untuk Alie

 Rumah Untuk Alie


Ketika menjuri Pertandingan Pembaca Bestari peringkat Negeri Perak anjuran SSTP baru-baru ini, ada beberapa orang peserta mengangkat buku Rumah Untuk Alie sebagai buku yang diulas. Kedengaran sangat menarik, lebih-lebih lagi gaya mereka mengulas dalam pelbagai aspek dan sisi pandang menimbul rasa mahu cari tahu.

Isu kesihatan mental, perkembangan psikologi, egoistik orang dewasa dan buli sangat seiring dengan isu pendidikan dalam negara masa kini. Lalu ambil tahu dan cuba baca karya ini. 

Buku ini merupakan karya tulisan sorang penulis muda Lenn Liu, atau Regita Cahyani. seorang penulis yang peka terhadap isu-isu dalaman remaja dan realiti keluarga dalam masyarakat moden. Diterbitkan pada tahun 2024 oleh Nukilan Biruni, karya ini hadir dalam bentuk catatan naratif kontemporari yang menyentuh perasaan, merentasi 259 halaman yang menyulam emosi, tekanan, dan harapan.

Pembaca dibawa menyelami dunia batin seorang remaja perempuan bernama Alie, atau Alie Ishala Samantha. Remaja ini tinggal bersama seorang ayah dan 4 orang abang.

Watak-watak keluarga lelaki yang egois, terutama ayahnya dan sikap abang-abang yang tidak menjadi pelindung. Namun ada juga yang masih berbaik hati, tetapi keegoan dan takluk kuasa sang ayah lebih menguasai situasi.

Alie tidak hanya ditimpa malang dengan kematian ibu, jauh daripada itu dia dianggap sebagai punca kepada kematian. Jalan cerita dikembangkan dengan penuh sentimen kesyahduan, bungkam rasa. Dera emosi dan dera rasa berlaku di rumah dan di sekolah.

Bapa dan keluarga yang sepatutnya menjadi benteng kepada kesejahteraan seorang remaja belasan tahun tidak berlaku. Dera jiwa dan buli di sekolah menjadikan emosi semakin tidak terkawal.

Buku yang sangat bagus dibaca oleh semua lapisan pembaca remaja, dewasa dan ibu bapa. Begitu juga kepada para pendidik. Karya ini menyelami jiwa mangsa dera rasa dan dera emosi.

Adakah Alie berjaya menemukan rumah impiannya? 

Adakah dia mahu turut mengikuti ibunya ke rumah yang lebih abadi daripada lingkungan manusia ego?

Ayuh.... Bacalah dengan nama Tuhanmu.

#bangsamembacabangsaberjaya #terusmembaca #membacatanpahenti #bacaandigital

Monday, 26 February 2024

TANGKAP BURUNG

 


Di sebuah kampung di Batu Kurau, Perak.

Kejadian pada waktu yang tidak tentu, ikut suka kaulah nak. Lepas makan dan kadang-kadang belum makan apa-apa pun. Pagi, tengah hari atau petang. Itu sahaja waktu yang dibenarkan. Apabila matahari dah terbenam aktiviti luar turut ditamatkan. Itu syarat tidak bertulis yang wajib kau patuhi.

Laung nama kawan kuat-kuat depan rumah. Bawah rumah pun boleh. Rumah kampung dibina tinggi. Tiang sama tinggi atau lebih tinggi daripada orang berdiri.

Tak sampai setengah minit, kawan kau akan turun rumah tanpa baju. Tapi kalau dia tak turun juga, baik kau cabut. Mak dia tak bagi keluarlah tu.

Apa operasi hari ni.? Tangkap burung? Lastik burung? Cari telur burung? Lokasi? Di mana-mana sahaja pun jadi. Depan rumah aku boleh. Belakang rumah kau boleh. Kampung seberang pun boleh. Atau ke mana-mana sahaja. Kampung ni sampai sepuluh kampung keliling adalah padang kita bermain.

Nak melastik, mudah sahaja. Hanya perlukan parang dan getah. Cantas pokok bercabang. Buat sendiri. Ketul batu kutip di mana-mana. Biasanya aktiviti melastik beroperasi di tepi belukar, hutan atau dalam hutan. 

Sekali sekali ada jugak yang buat kerja gila. Melastik dalam kawasan kampung. Peluru lastik jatuh atas bumbung. Kena pula atap rumbia yang dah reput. Batu masuk rumah. Kena tingkap. Kena dinding. Sah-sah makcik atau tok keluar jendela menjengah. 

"Bertuah punya budak... Anak sapa tu."

Menyorok balik semak sambil tahan gelak. Tapi kalau yang keluar tu pakcik, maka carilah tempat lain. Bukan sebab kena marah, tapi rasa takut tu lain macam.

Pernah juga kayu lastik dirampas. Jadi kayu api. Itu sebagai satu hukuman sebab tak reti nak balik makan.

Tak ada lastik kita ubah aktiviti. Tangkap burung. Bukan susah pun. Pergi kawasan semak. Nampak burung, sergah. Ligan ramai-ramai. Ligan sampai langgar dinding rumah orang. 

Biasanya burung yang dilihat bukanlah jenis burung yang terbang tinggi. Burung yang selalu main di tanah. Burung wak-wak, punai tanah, puyuh, merbah dan kadang-kadang ada burung merpati. 

Kebanyakan budak-budak dulu tak pakai kasut tapi pakai rantai tali kasut. Katanya banyak cacing. 🤣🤣🤣

 Aku budak kampung Batu Kurau.




PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN

Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.