Klik pautan di bawah.......
PAUTAN SINOPSIS PEMBACAAN BUKU
https://drive.google.com/drive/folders/1-Jm739NVoRvHfnU--jrWTN19uT1iIlTa?usp=drive_link
Monday, 15 June 2026
SINOPSIS PEMBACAAN BUKU
Saturday, 31 January 2026
PANTUN KAYA - MISKIN
Kaya - miskin
Tangga pangkin hala ke darat,
Buatan kekal kayu nan tahan;
Andai si miskin dibiar melarat,
Negaramu bakal dimurkai Tuhan.
Bias cahaya si bianglala,
Langit berseri semakin indah;
Jika si kaya merajalela,
Seisi negeri beroleh padah.
Kain layar lebar berhasta,
Berlayar malam tuju muara;
Si miskin dibiar selimut derita,
Nescaya alam akan bersuara.
Bunga muraya harum aroma,
Hinggap rerama menghirup sari;
Kaya raya bintang ternama,
Lebih ternama dengan memberi.
Cg Sam 22/12/25
Simpang Pulai
PANTUN MISKIN - KAYA
Miskin - kaya
Molek cahaya batu quarza,
Susun berpusing penghias langkap;
Miskin dan kaya usah dibeza,
Masing-masing jadi pelengkap.
Di atas pangkin pasang pelita,
Gubah sumandak bunga seruni;
Biarlah miskin ringgit dan harta,
Asalkan tidak kedana nurani.
Kalau berbedak malam gelita,
Tiada cahaya bilik puteri;
Miskin tidak meminta-minta,
Tapi si kaya wajib memberi.
Emas tempawan menjadi harta,
Hiasan molek diukir-ukir;
Harta tuan kaya berjuta,
Ada milik miskin dan fakir.
Cg Sam 22/12/25
Kg Kepayang Fair Park
PANTUN PERPISAHAN UNTUK SAHABAT
Salam Perpisahan
Pantai memutih dikunjung dayang,
Sipu-sipuan tuju ke bagan;
Andai kasih berpisah sayang,
Nescaya tuan mati beragan.
Batang belidah kayu lempung,
Benang suasa tenun sendiri;
Lama sudah kita sekampung,
Tibalah masa membawa diri.
Emas tempawan menyadur besi;
Gelang suasa mahal berharga;
Pergilah kawan membawa visi,
Berselang masa bertemu juga.
Rungkai sabak rembah berjuntai,
Rembah berpalit membasah randu;
Bagai ombak membadai pantai,
Kenangan diulit semarak rindu.
Tarian samba tiadalah susah,
Ayuh berdansa pakai sepatu;
Tiadalah hamba mahu berpisah,
Aturan masa memang begitu.
Dalam perigi menimba ikan,
Terik menyala sinar mentari;
Kalian pergi kami pasrahkan,
Sekali-sekala jengah ke mari.
Belidah : kayu untuk menenun
Sabak : sebak
Rembah : air mata
Randu : kekabu
Cg Sam 16/12/25
HRPB Ipoh
Friday, 7 November 2025
PANTUN MEMUGAR BITARA DIRI
Puspa kirana bintang aurora,
Bikin pesona jiwa alusi;
Dari mana datang bitara,
Bitara direncana melalui visi.
Padi menguning beras digalas,
Tumbuh setara hasil gemilang;
Ilmu bening usaha berbalas,
Jati bitara makin cemerlang.
Singgah merasa sirap kencana,
Segera pulih kusut dan rawan;
Insan bitara menguasa buana,
Dipugar oleh guru begawan.
Menggalah gedangsa batang bambu,
Perun selara campuran sekam;
Bangunlah bangsa nyalaan sumbu,
Pugar bitara mutu manikam,
bitara : unggul, terbaik, tiada taranya
puspa : bunga
kirana : elok, cantik
aurora : fenomena cahaya terang di langit
alusi : perbuatan membayangkan
sirap kencana : sirap air gula didih / karamel
Selara : daun-daun kering
Perun : timbunan kayu / daun untuk dibakar
Manikam : pelbagai jenis permata
Cg Sam 4/11/25
Wednesday, 29 October 2025
ULASAN BUKU : JOSE RIZAL, MELAYU AGUNG
Tajuk : Jose Rizal; Melayu Agung
Penulis : Carlos Quirino
Penterjemah : Puspawati Rosman
Penerbit: idbe
Buku tulisan sejarawan ulung Filipina Carlos Quirino ini diterbitkan pada tahun 1940 dengan judul THE GREAT MALAYAN. Beliau mengambil bahagian dalam pertandingan penulisan biografi wira negara Dr Jose Rizal.
Dalam catatan pengarang, beliau menulis, pertandingan ini disertai oleh tokoh-tokoh dan ahli sejarah yang pada pandangannya dia perlu menarik diri. Namun, setelah dinilai tulisannya itu mendapat tempat ketiga. Kejutan berlaku apabila Presiden Manuel menjemputnya ke pejabat. Buku yang dihasilkan ini jauh lebih berkualiti dan lebih baik daripada tempat pertama dan kedua. Presiden Manuel memberikan hadiah setara dengan tempat pertama kepada beliau tetapi tidak mengubah keputusan penjurian atas sebab-sebab kebijaksanaan.
Buku setebal 310 halaman ini ditulis dalam disiplin akademik yang tinggi. Ilmiah, berdata, berfakta dilengkapi dengan gambar tokoh yang dibicarakan.
Jose Rizal berketurunan campuran Tagalog + Cina + Sepanyol. Namun beliau mengangkat dan membanggakan dirinya sebagai seorang Melayu. Melayu dalam konteks Tagalog adalah tanah Nusantara yang akarnya satu iaitu Melayu. Kenyataan ini boleh dirujuk melalui surat-surat dan petikan kata-kata Jose Rizal sendiri.
Sesungguhnya, membaca buku ini terasa amat lambat sekali. Banyak watak dan nama tempat yang tiada dalam kotak pengetahuan. Melainkan mereka yang memang sudah ada disiplin sejarah Filipina.
Nama-nama seperti Juan Mercado, Teodora Alonso, Chengoy, Sixto Lopez atau nama tempat seperti Laguna De Bay, Kambala, Bagumbayan dan lain-lain terasa asing dan perlukan rujukan silang.
Penghormatan besar perlu diberikan kepada Dr Jose Protasio Rizal Mercado y Alonzo Realonda yang telah mengorbankan jiwanya dalam usaha membebaskan belenggu penjajahan Sepanyol di Ranah Nusantara, Filipina.
#membacatanpahenti #bangsamembacabangsaberjaya #terusmembaca
Tuesday, 28 October 2025
Resensi Buku Rumah Untuk Alie
Rumah Untuk Alie
Ketika menjuri Pertandingan Pembaca Bestari peringkat Negeri Perak anjuran SSTP baru-baru ini, ada beberapa orang peserta mengangkat buku Rumah Untuk Alie sebagai buku yang diulas. Kedengaran sangat menarik, lebih-lebih lagi gaya mereka mengulas dalam pelbagai aspek dan sisi pandang menimbul rasa mahu cari tahu.
Isu kesihatan mental, perkembangan psikologi, egoistik orang dewasa dan buli sangat seiring dengan isu pendidikan dalam negara masa kini. Lalu ambil tahu dan cuba baca karya ini.
Buku ini merupakan karya tulisan sorang penulis muda Lenn Liu, atau Regita Cahyani. seorang penulis yang peka terhadap isu-isu dalaman remaja dan realiti keluarga dalam masyarakat moden. Diterbitkan pada tahun 2024 oleh Nukilan Biruni, karya ini hadir dalam bentuk catatan naratif kontemporari yang menyentuh perasaan, merentasi 259 halaman yang menyulam emosi, tekanan, dan harapan.
Pembaca dibawa menyelami dunia batin seorang remaja perempuan bernama Alie, atau Alie Ishala Samantha. Remaja ini tinggal bersama seorang ayah dan 4 orang abang.
Watak-watak keluarga lelaki yang egois, terutama ayahnya dan sikap abang-abang yang tidak menjadi pelindung. Namun ada juga yang masih berbaik hati, tetapi keegoan dan takluk kuasa sang ayah lebih menguasai situasi.
Alie tidak hanya ditimpa malang dengan kematian ibu, jauh daripada itu dia dianggap sebagai punca kepada kematian. Jalan cerita dikembangkan dengan penuh sentimen kesyahduan, bungkam rasa. Dera emosi dan dera rasa berlaku di rumah dan di sekolah.
Bapa dan keluarga yang sepatutnya menjadi benteng kepada kesejahteraan seorang remaja belasan tahun tidak berlaku. Dera jiwa dan buli di sekolah menjadikan emosi semakin tidak terkawal.
Buku yang sangat bagus dibaca oleh semua lapisan pembaca remaja, dewasa dan ibu bapa. Begitu juga kepada para pendidik. Karya ini menyelami jiwa mangsa dera rasa dan dera emosi.
Adakah Alie berjaya menemukan rumah impiannya?
Adakah dia mahu turut mengikuti ibunya ke rumah yang lebih abadi daripada lingkungan manusia ego?
Ayuh.... Bacalah dengan nama Tuhanmu.
#bangsamembacabangsaberjaya #terusmembaca #membacatanpahenti #bacaandigital
Pantun Pilih Memilih
Adat bertanding pilihanraya. Ada yang menang, ada yang kalah. Emas tempawan hiasan dinding, Keris sadur kanan dan kiri; Andai tuan menang be...
-
Dalam kehidupan Melayu, anjing dilihat sebagai haiwan yang menjengkelkan. Secara tradisionalnya, tidak ada Melayu yang memelihara anjin...
-
1.0 PENDAHULUAN Dari mana datangnya permata, Dari tanah digali-gali, Dari mana datangnya bahasa, Dari kata yang terbit ...
-
Oleh S.Samprizal B Selamat 1.0 PENDAHULUAN 1.1 Dengan jumlah penutur yang seramai lebih 300 juta orang, bahasa...





