Ramlee Awang Murshid merupakan penulis tersohor yang berasal dari Papar, Sabah. Namanya sudah masyhur sebagai penulis novel yang berat untuk dihadam. Penuh dengan unsur suspen, pendidikan, petualangan, nilai budaya, suntikan agama, imaginasi tinggi serta lain daripada yang lain.
Pola pemikiran dalam karya beliau sarat dengan pengajaran. Plot cerita yang berombak-ombak, tidak statik, tunggang-langgang penuh dengan imbasan masa. Permainan ruang dan waktu yang sukar ditebak.
Ternyata permainan waktu, ruang dan imbas masa inilah yang menjadikan karya beliau hidup. Pembaca menjadi tidak keruan untuk mengenali watak yang direka secara mendalam, juga perincian kepada latar peristiwa yang diketengahkan.
Kehebatan penulisannya lebih terserlah melalui kompilasi karya yang berkesimbangungan. Kisah Laksamana Sunan contohnya, bermula dari kisah Bagaikan Puteri, karya ini berkembang sehingga sembilan buah buku.
Setiap buku pula berbolak-balik tidak mengikut alur masa. Justeru para peminatnya sentiasa peka dan leka membaca untuk mengikuti perkembangan yang selanjutnya.
Pengkisahan dengan menggunakan latar tempat yang pelbagai juga menghidupkan karya. Bukan sahaja kawasan kampung di Malaysia seperti Punggor, pedalaman Acheh, pedalaman belantara di Borneo, malah lokasi internasional sampai ke Harajuku, Jepun, ladang buah di Australia, pergunungan di Balkan dan sampai ke luar orbit juga dimasukkan.
Sungguh, keterujaan mengumpul dan membaca karya beliau memang tidak dapat disanggah. Berikut antara karya beliau yang tersimpan dalam simpanan saya.
Haura. Sebuah trevelog memburu cinta sang bidadari di Benua Kecil Australia. Pasca kejadian penembakan secara rambang di New Zealand membuka banyak jiwa kepada sesuatu yang lebih luar biasa. Islamophobia memang menjadi darah daging dalam kalangan masyarakat kulit putih. Sebab.....? Entah. Mungkin itulah dna mereka. Dan penembak rambang di New Zealand adalah warga Australia.
Travelog, cinta, sang bidadari, Islamophobia, ego, ilmu, perkebunan, taqwa, prinsip dan perundangan. Itulah santapan yang disaji dalam novel Haura ini. Penceritaan yang agak santai. Kurang bermain ruang waktu seperti karya RAM sebelumnya, namun permainan watak masih menjadi gaya penulisan yang mengujakan.
Adam, Fahmi dua nama yang menjadi latar trevelog ini. Perjalanan seorang lepasan SPM ke bumi kanggaru. Bekerja di perkebunan sebagai pekerja tanpa permit kerana mencari cinta. Kecewa dalam percintaan tetapi bijak membuat keputusan. Kegagalan dalam percintaan menyediakan jalan. Kecewa bukan takdir tetapi pilihan sendiri.
Haura sang bidadari. Haura Muhammad, Jessica Haura dan Amanda Haura. Manusia bidadari. Karya Ramlee Awang Murshid.
Ada yang berkata, baca novel ni bagi serabut. - Kalau tak boleh berimaginasi dan tak boleh bermain dengan otak kanan otak kiri in tak payahlah baca novel. Baca buku matematik sajalah. 😆😆
Anding Tangan, sengaja ditangguh baca. Dapat jua kuhabisi aksara-aksara terakhir Anding Ayangan. Seperti biasa karya RAM tidak dapat ditebak selagi belum ke titik khatimah. Masih banyak persoalan yang tergantung dan akan menjadikan karya ini seumpama karya Laksamana Sunan.
Apa ada dalam Anding Ayangan? Bukan sekadar fiksi rekayasa. Ia sebuah persoalan juang. Perjuangan menyemalatkan aqidah sunnah wal jamaah. Anutan Ayangan dengan Tuhan yang satu beserta ritual pelik menjadikan Anding sebagai sasaran dakyah. Ayangan adalah kelahiran isme baharu yg memusuhi sunni yg dapat difahami sebagai Syiah vs Sunni.
Anding tumpas dengan usaha yang bukan mudah, tumpas di tangan munafiq. Kisah pembunuhan Saidina Umar oleh Abu Lukluk al Fairuz diterapkan tanpa selindung. Aliusien menikam perut Penghulu Sunni, lalu tembok bertampik yang menjadi penghalang bala tentera Raja Batakbauta' lenyap. Lalu Anding ditumpaskan. Persis tumpasnya Iraq di tangan syiah dengan bantuan Amerika dan munafik.
Kasyaf Ain.
Penghasut adalah syaitan laknatullah. Khilafnya adalah ketohoran agama dan penyebabnya adalah cinta.
Permainan masa dan ruang waktu tetap menjadi elemen terpenting karya RAM. Lompatan zaman baharu dan bahari tentu meligatkan daya fikir untuk memahami karya ini.
Kampung Buana Senandung dan Kampung Lembah Beringin abad ke 15 menjadi rahsia yang bakal dibongkar.
Igauan Maut. Buku yang paling sukar ditemukan. Buku karya beliau yang awal. Ini pun dapat setelah Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan semula.
Imaginasi. Setiap manusia ada rahsia. Ada rahsia yang boleh dikongsi boleh dibicarakan. Dan ada rahsia yang menjadi rahsia. Rahsia yang tidak boleh dikongsi dan dibicarakan. Setiap manusia juga ada masa lalu. Masa lalu yang penuh kisah, penuh cerita. Masa lalu yang boleh dikongsi dan masa lalu yang hanya dalam ingatan atau masa lalu yang tidak mahu diingatkan sama sekali.
Manusia singa? Apakah ada manusia singa? Ilmu jadian singa atau dunia terbalikan manusia singa. Manusia yang terlanjur janji terlanjur cinta.
Raudhah. Pencarian cinta pencarian Raudhah. Raudhah di Madinah atau Raudah di hati? Hati manusia berbolak balikm terkadang suci terkadang noda.
Suci dan noda tidak boleh bersekali sentiasa berlumba-lumba untuk menguasai manusia. Pabila suci menjadi taqwa, pabila noda bernuansa iblis. Manusia perlu mencari satu daripadanya.
- Bagaikan Puteri
- Cinta Sang Ratu
- Hijab Sang Pencinta
- Cinta Sufi
- Sutera Bidadari
- Sunan Musafir
- Sunan Nanggroe Sang Kembara
- Sunan Cinta Nan Sakti
- Saifuddin Jalis, Musafir Cinta Meraga Sukma
Fiksyen yang merapu yang bikin kesurupan. Memang merapu menghayal, berdongeng di alam terbalikan fantasi - realiti.
Realiti pada watak manusia yang suka berdongeng. Fantasi pada dongengan fana yang juga nyata.
Watak-watak ciptaan yang sangat nyata dalam kehidupan. Disadur dengan dongengan yang sangat mengena. Itulah fitrah dan lumrah manusiawi. Kuasa - pangkat - harta - nafsu - rasuah - wanita - tahta - caras mencaras yang disukai oleh makluk asal kayangan hingga terlupakan pencipta.
Perjuangan sunnah wal jamaah di dunia terbalikkan dengan tauhid yang bertentang. Mampukah kalamullah dan sunni terus mekar sebagai suluh nurani? Sunni menjadi terhimpit. Dihimpit sang penguasa yang lebih Tuhan daripada Tuhan.
Kuasa politik sang politikus rakus tetapi dayus.
No comments:
Post a Comment