Thursday, 24 December 2020

PANTUN : TIKAM-MENIKAM

 


Andai mahu pergi ke baruh
Pastikan dulu arahnya tepat
Andai mahu menikam musuh
Pastikan hulu digenggam erat
 
Anak sirih memanjat dahan
Dahan gaharu tepian bendang
Bertikam keris di tengah medan
Jangan hulu di tangan orang
 
Emas tempawan buatan indah
Corak diukir bunga selada
Cara begawan bertikam lidah
Bersilang dalil hujah dan sabda
 
Riuh rendah di balai tabal
Tuan Putera masuk mekangkah
Bertikam lidah cara si bebal
Caci dan nista menjadi hujah
 
Hujan lebat basahlah sekam
Tikar purun buat jemuran
Tuah Jebat tikam-menikam
Berabad kurun jadi sesalan
 
Ikat destar susunan elang
Burung elang menyusur padang
Memang dasar pendekar curang
Tepi gelanggang tikam belakang
 
Tikam lidah berbalas hujah
Kata petah jadi usulan
Awas langkah jangan tersalah
Kelak padah merana badan

Tikam lidah menguji petah
Tikam keris menguji langkah
Tikam kawan tak pernah sudah
Tikam belakang tentulah padah
 
Banyak sekam antara sekam
Sekam hitam usah diludah
Banyak tikam perbuatan tikam
Tikam belakang haram zadah
 
Sam Rizal

 

No comments:

Post a Comment

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit