Sentana
Cantik laksana si bianglala
Seri buana menambah syukur
Guru sentana api menyala
Besi yang waja dapat dilentur
Sentana mentari panas membakar
Pabila malam hilanglah ia
Jasamu guru tak pernah pudar
Tidakkan padam dimakan masa
Gantung buaian dahan angsana
Tepian sawah batasan padi
Andai pakaian tidak sentana
Hilanglah maruah pelindung diri
Di mana semak di situ sapi
Melangkah redah tepian lata
Sentana minyak disambar api
Bendungkan lidah kala berkata
Cantik gerhana serinya bulan
Awan berarak langit terhias
Jangan sentana bapa haruan
Melindung anak sambil mengilas
letak beralas kersani raja
gerak pahlawan dari muara
sentana sekeras besi nan waja
tidak terlawan gagah perwira
Kelapa puan takik separuh
Letak di langgar tikar jerami
Sentana tuan mudik ke baruh
Singgah sebentar di teratak kami
Emas setahil beras sekati
Dalam cepu buatan tembaga
Akal jahil sentana besi
Ditempa empu lekuklah jua
* seumpama, seperti, sekiranya, kalau, selayaknya
Sam Rizal
No comments:
Post a Comment