Monday, 11 January 2021

ISYTIHAR

 Isytihar



Isytihar itu banyak ehwalnya

Pendamik melanda isytihar PKP

Nampak ganas isytihar PKPD

Elok sikit isytihar PKPB

Molek lagi isytihar PKPP

Ganas semula isytiharlah lagi


Adapun penjawat awam isytihar harta

Orang siasah tak mahu isytiharkannya 

Entah mengapa disorok semua 

Kata telus di bibir cuma


Isytihar harta itu wajiblah jua

Jika tidak pangkat tak ke mana


Tahap akademik pun kena isytihar juga

Penilaian Darjah Lima dan UPSR tiada diminta

SRP, PMR tak isytihar pun tak apa

Kalau PHD isytiharnya perlu ditera 

Tukang parut kelapa dan pangkas rumput

Nak isytihar apa?


Penyimpan Mohor Besar Raja-raja

Gemarlah juga mengisytihar

Semua marga tenang dan sabar

Bulan terbit kecil atau besar

Sambut puasa dan raya terus dikhabar


Zaman pahlawan sudah berlalu

Isytihar perang menggunakan palu

Gegak gempita umpama angin menderu

Perangi musuh juga seteru

Panglima perang ishtiharlah pula

Menang, kalah atau seri sama

Undur sebentar lelapkan mata

Sementara strategi disytihar semula 


Tahun 2021 menjelang kini

Melihat angka melambung tinggi

Para pemimpin kanan dan kiri

Pakat sibuk isytihar itu ini

Lalu dimaktub ke bawah duli

Akan isytihar yang satu ini

Diumumkan oleh Memanda Menteri

Isytihar darurat seluruh negeri 


Duhai para pahlawan siasah

Eloklah pakat beralah

Barisan depan semua dah lelah

Katil tilam habis ditempah

Elok isytihar genderang alah

Undur sekejap mencari berkah

Mohon munajat ke hadrat Allah


Cg Sam 

120121

Sunday, 10 January 2021

Pantun Kain

 


Dari Solo singgah ke Kuang
Dapat selasih di pekan tamu
Kain topo usah dibuang
Buat pembersih di ruang tamu

Jika ingin pakai kemeja
Kain cita cantik disukat
Rasa ingin bukan sahaja
Ingin cinta ke hujung hayat

Habis ranap dahan leletup
Terbelah dua satu digemal
Kain rahap jika dilitup
Tiadalah guna mahu beramal

Memanglah cantik si kain rawa
Jadi selendang pergi kenduri
Memanglah cantik pandangan mata
Cantik dipandang sampai ke hati

Kain topo : kain buruk

Kain cita : kain kapas berbunga-bunga

Kain rahap : kain menutup mayat

Kain rawa : kain pelangi / berwarna warni

Selampuri dibawa dagang
Untuk hantaran pengantin baru
Kalau duri menusuk pinggang
Itu tandaan beroleh seteru

Kain tegarun berikan kami
Untuk disulam tanjak paduka
Tanah diperun menanam padi
Untuk menyuap anak manusia

Turun ke sawah mengetam huma
Kain kadut hamba pakaikan
Walau mewah harta berjuta
Takkan merebut kuasa Tuhan

Anak kecil kantuk di riba
Kain dondangan ibu gantungkan
Nampak comel dipandang mata
Comel dengan santun sopanan

Kain selempuri : kain tenunan India

Kain tegarun : sutera yang disulam benang emas

Kain kadut : kain karung

Kain dondangan : kain buaian

Kuah soto bercampur bawang
Enak lagi ditambah lada
Kain topo jika dibuang
Hilanglah seri di atas meja

Buah cermai masak di tangkai
Ambil tiga berikan tamu
Walau cindai enak dipakai
Rahap juga kain akhirmu

Kain rawa dijahit sembat
Letak kerawang bunga cempaka
Syurga neraka menjadi dekat
Itulah galang amalan kita

Jahitan sambat bersilang manik
Kain cita bercorak bunga
Hujan lebat air pun naik
Kadut juga kain berguna

Perjalanan ke SMK kelas Sawit, kulai

Kira-kira pukul 10.30 malam 11 November 2019, semua peserta tiba di Hotel Citrus. Kelelahan yang ketara tetapi tetap gembira. Sudah dua hari berturut-turut keluar masuk Singapura. Arahan ringkas dan padat. Selesaikan makan malam dan pastikan bilik dikemaskan sebaiknya. Esok selepas sarapan kami akan terus ke Kulai.

Tapi sebelum itu, pemeriksaan dokumen tetap dilakukan. Menyemak semula passport antarabangsa peserta. Passport hanya akan dipulangkan semula di sekolah setelah tamat lawatan. Passport bukan perkara remeh, ini dokumen rasmi yang tinggi nilainya. Entah macam mana, kurang satu. Seorang peserta tiada passport. Gerakan mencari dilakukan secara serius. Kalau tak jumpa juga, esok pagi perlu buat laporan di balai polis Johor Bahru.

Hampir tengah malam, salah seorang guru pengiring maklumkan passport tersebut ada dalam simpanannya. Fuh.... Lega dan tidur pun enak sekali.

12 November, setelah bersarapan peserta bas satu sudah bersedia berlepas untuk lawatan penanda aras transformasi. Bas kedua masih punya masa beristirahat. Mereka akan ke Johore Premium Outlets. Kami hanya akan bertemu untuk makan malam sahaja.

Dalam bas ada beberapa kerusi kosong. Oh tidak. Ada peserta belum sampai. Buat semakan, memang betul, mesti belum bangun tidur lagi ni.....

Segera ke kaunter pendaftaran semak bilik mana belum serah kunci. Ambil kunci tambahan terus ke tingkat atas dan membuka pintu bilik. Aduhai ada empat orang peserta sedap membuta. Tanpa banyak bicara mereka dikejutkan. Terus bingkas bangun.

 "Saya bagi masa 5 minit ja, pastikan siap sepenuhnya."

Sambil mereka mandi dan bersiap memakai kemeja t khas, bantu mereka mengemaskan apa yang patut. Senang ja. Setiap peserta memang diarahkan bawa plastik hitam untuk mengisi pakaian yang sudah dipakai.

Mana-mana yang patut dimasukkan dalam plastik hitam, sumbat terus. 

"Kenapa lambat?"

"Semalam tak tidur cikgu." Jawab mereka sambil menyerongen.

"Salah siapa?"

"Salah kami cikgu, kami minta maaf."

"Kita dah lambat, tiada sarapan. Makan ja dalam bas," makanan memang banyak. Siap dengan buah, biskut, roti, air kotak dan sebagainya.

"Jom, daftar keluar, semua orang dah tunggu dalam bas."

Dengan muka selamba, kami turun. Serahkan kunci untuk daftar keluar dan satu tepukan gemuruh mengiringi budak-budak ni masuk bas.

Perjalanan ke Kulai mengambil masa lebih kurang 45 minit bergantung kepada kesesakan jalan raya. 

Dalam bas taklimat diberikan kepada semua peserta. Ini lawatan formal. Setiap peserta membawa nama sekolah. Tujuan lawatan untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. Justeru peserta ditegaskan agar menjaga tatasusila.

Tepat pukul 9.45 pagi kami sampai di hadapan pintu pagar sekolah. Bas tidak boleh masuk ke kawasan sekolah kerana kedudukannya berbukit dan susah untuk membuat pusingan.

Penyelaras Transformasi, Cikgu Ismail menyambut kedatangan kami dengan senyuman.










Turun dari bas terus menuju ke dataran untuk sesi bergambar sebelum acara penuh dilaksanakan
Bergambar bersama warga SMK Kelapa Sawit
Cikgu Anuar, Penyelaras Media 

Tn Hj Rahmat, Pengetua yang tegas dan peramah

Cikgu Ismail, Penyelaras Transformasi

Orang kuat Pusat Sumber sekolah

Tuesday, 29 December 2020

Resensi Buku : Ar Risalatul Ula

 Ar Risalatul Ula.

Sebuah kitab catatan yang tidak setebal mana. Hanya 135 halaman dengan tulisan saiz agak besar, tetapi mempunyai nilai yang tiada taranya. Buku ini merupakan terbitan Geroda Merah yang diterjemahkan daripada kitab catatan pengembaraan oleh pengembara Arab ke rantau sebelah sini.

Apa yang menarik kepada kitab catatan pengembara Arab ini? Dalamnya dicatatkan pengalaman Abu Dhulaf Al Muhalhil tentang suasana perjalanan kembaranya. Gambaran sosio politik, sosio ekonomi, sosio budaya serta ragaman manusia kurun ke 4 hijrah terutama terowong masa bagi negara-negara Melayu. 

Negeri Kedah tua (Kalah), Qamar, Sanfa (Champa) antara negeri Melayu yang cicatatkan tentang suasananya di samping negeri-negeri lain. Melalui catatan ini dapatlah kita membayangkan suasana alam Melayu pada ketika itu. 

"Tatkala aku sampai ke sana aku lihat ianya begitu besar dan tidak terkalahkan, tinggi tembok kotanya, banyak kebun dusunnya, serta mewah sumber airnya. " Negeri Kalah pada pandangan penulis pada halaman 91.

Digambarkan juga pengeluaran gaharu yang sangat pesat dan setiap gaharu itu ada identitinya. Gaharu Hindi, Gaharu Qamirun Mandali, Gaharu Qimari, Gaharu Sanfi, merujuk kepada jenis dan kualitinya dan pengeluaran kafur (kapur barus).  

Secara semantiknya, kafur dikatakan perkataan daripada bahasa Melayu dan istilah kafur dicatat dalam al Quran surah al Insan, merujuk kepada pohon yang menghasilkan wangian yakni kapur barus.

Kitab terjemahan ini diterjemahkan langsung daripada catatan kitab Arab oleh Ustaz Arsyad Pendang dan oleh penerbit yang mahir dengan sejarah Melayu Mohd H Roslan.


Muka hadapan Kitab terjemahan Ar Risalatul Ula


Bacaan tambahan, e-jurnal tentang perkataan kafur dalam AL quran

Analisis Leksikografi dan Semantik perkataan Kafur


Monday, 28 December 2020

KARYA-KARYA RAMLEE AWANG MURSYID

 Ramlee Awang Murshid merupakan penulis tersohor yang berasal dari Papar, Sabah. Namanya sudah masyhur sebagai penulis novel yang berat untuk dihadam. Penuh dengan unsur suspen, pendidikan, petualangan, nilai budaya, suntikan agama, imaginasi tinggi serta lain daripada yang lain.

Pola pemikiran dalam karya beliau sarat dengan pengajaran. Plot cerita yang berombak-ombak, tidak statik, tunggang-langgang penuh dengan imbasan masa. Permainan ruang dan waktu yang sukar ditebak.

Ternyata permainan waktu, ruang dan imbas masa inilah yang menjadikan karya beliau hidup. Pembaca menjadi tidak keruan untuk mengenali watak yang direka secara mendalam, juga perincian kepada latar peristiwa yang diketengahkan.

Kehebatan penulisannya lebih terserlah melalui kompilasi karya yang berkesimbangungan. Kisah Laksamana Sunan contohnya, bermula dari kisah Bagaikan Puteri, karya ini berkembang sehingga sembilan buah buku. 

Setiap buku pula berbolak-balik tidak mengikut alur masa. Justeru para peminatnya sentiasa peka dan leka membaca untuk mengikuti perkembangan yang selanjutnya. 


Pengkisahan dengan menggunakan latar tempat yang pelbagai juga menghidupkan karya. Bukan sahaja kawasan kampung di Malaysia seperti Punggor, pedalaman Acheh, pedalaman belantara di Borneo, malah lokasi internasional sampai ke Harajuku, Jepun, ladang buah di Australia, pergunungan di Balkan dan sampai ke luar orbit juga dimasukkan.

Sungguh, keterujaan mengumpul dan membaca karya beliau memang tidak dapat disanggah. Berikut antara karya beliau yang tersimpan dalam simpanan saya.


Haura. Sebuah trevelog memburu cinta sang bidadari di Benua Kecil Australia. Pasca kejadian penembakan secara rambang di New Zealand membuka banyak jiwa kepada sesuatu yang lebih luar biasa. Islamophobia memang menjadi darah daging dalam kalangan masyarakat kulit putih. Sebab.....? Entah. Mungkin itulah dna mereka. Dan penembak rambang di New Zealand adalah warga Australia. 

Travelog, cinta, sang bidadari, Islamophobia, ego, ilmu, perkebunan, taqwa, prinsip dan perundangan. Itulah santapan yang disaji dalam novel Haura ini. Penceritaan yang agak santai. Kurang bermain ruang waktu seperti karya RAM sebelumnya, namun permainan watak masih menjadi gaya penulisan yang mengujakan.

Adam, Fahmi dua nama yang menjadi latar trevelog ini. Perjalanan seorang lepasan SPM ke bumi kanggaru. Bekerja di perkebunan sebagai pekerja tanpa permit kerana mencari cinta. Kecewa dalam percintaan tetapi bijak membuat keputusan. Kegagalan dalam percintaan menyediakan jalan. Kecewa bukan takdir tetapi pilihan sendiri.

Haura sang bidadari. Haura Muhammad, Jessica Haura dan Amanda Haura. Manusia bidadari. Karya Ramlee Awang Murshid.

Ada yang berkata, baca novel ni bagi serabut. - Kalau tak boleh berimaginasi dan tak boleh bermain dengan otak kanan otak kiri in tak payahlah baca novel. Baca buku matematik sajalah. 😆😆


Anding Tangan, sengaja ditangguh baca. Dapat jua kuhabisi aksara-aksara terakhir Anding Ayangan. Seperti biasa karya RAM tidak dapat ditebak selagi belum ke titik khatimah. Masih banyak persoalan yang tergantung dan akan menjadikan karya ini seumpama karya Laksamana Sunan.

Apa ada dalam Anding Ayangan? Bukan sekadar fiksi rekayasa. Ia sebuah persoalan juang. Perjuangan menyemalatkan aqidah sunnah wal jamaah. Anutan Ayangan dengan Tuhan yang satu beserta ritual pelik menjadikan Anding sebagai sasaran dakyah. Ayangan adalah kelahiran isme baharu yg memusuhi sunni yg dapat difahami sebagai Syiah vs Sunni. 

Anding tumpas dengan usaha yang bukan mudah, tumpas di tangan munafiq. Kisah pembunuhan Saidina Umar oleh Abu Lukluk al Fairuz diterapkan tanpa selindung. Aliusien menikam perut Penghulu Sunni, lalu tembok bertampik yang menjadi penghalang bala tentera Raja Batakbauta' lenyap. Lalu Anding ditumpaskan. Persis tumpasnya Iraq di tangan syiah dengan bantuan Amerika dan munafik.


Kasyaf Ain. 

Penghasut adalah syaitan laknatullah. Khilafnya adalah ketohoran agama dan penyebabnya adalah cinta. 

Permainan masa dan ruang waktu tetap menjadi elemen terpenting karya RAM. Lompatan zaman baharu dan bahari tentu meligatkan daya fikir untuk memahami karya ini. 

Kampung Buana Senandung dan Kampung Lembah Beringin abad ke 15 menjadi rahsia yang bakal dibongkar.


Igauan Maut. Buku yang paling sukar ditemukan. Buku karya beliau yang awal. Ini pun dapat setelah Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan semula.


Imaginasi. Setiap manusia ada rahsia. Ada rahsia yang boleh dikongsi boleh dibicarakan. Dan ada rahsia yang menjadi rahsia. Rahsia yang tidak boleh dikongsi dan dibicarakan. Setiap manusia juga ada masa lalu. Masa lalu yang penuh kisah, penuh cerita. Masa lalu yang boleh dikongsi dan masa lalu yang hanya dalam ingatan atau masa lalu yang tidak mahu diingatkan sama sekali.

Manusia singa? Apakah ada manusia singa? Ilmu jadian singa atau dunia terbalikan manusia singa. Manusia yang terlanjur janji terlanjur cinta.


Raudhah. Pencarian cinta pencarian Raudhah. Raudhah di Madinah atau Raudah di hati? Hati manusia berbolak balikm terkadang suci terkadang noda. 

Suci dan noda tidak boleh bersekali sentiasa berlumba-lumba untuk menguasai manusia. Pabila suci menjadi taqwa, pabila noda bernuansa iblis. Manusia perlu mencari satu daripadanya.

Mitos. Kisah harimau jadi-jadian. Apakah ada manusia yang boleh merupa harimau? Jika ada adakah mereka merupakan kelompok manusia atau kelompok harimau, atau kelompok makhluk halus atau siapa mereka? Pengamalan ilmu yang tidak jelas boleh merubah manusia menjadi apa sahaja.


Sunan: Nanggroe Sang Kembara. Kuhabiskan dalam satu perjalanan panjang di atas awan membelah udara Kuala Lumpur - Istanbul. Ternyata perjalanan panjang tidak terasa dengan galauan jiwa membaca aksara demi aksara akan perjalanan Laksamana Sunan dengan kesaktian keris naggroe titipan guru merangkap ayah asuhnya, Wali Sufi. Apakah keris nanggroe benar-benar sakti? Bukankah keris hanya alat sedangkan manusialah yeng mengendalikannya.

Mengendalikan nanggroe sebagai alat pembanteras taghut yang pelbagai rupa memerpukan kekuatan dalaman. Kekuatan rohani yang menundukkan rasa amarah dan gelojak nafsu. Manusia pula sering melakukan kefasadan dan ketelanjuran. Ampun adalah hikmah yang tersembunyi jauh di sudut jiwa. Kisah perjalanan Sunan terkumpul dalam sembilan karya.
  1. Bagaikan Puteri 
  2. Cinta Sang Ratu
  3. Hijab Sang Pencinta 
  4. Cinta Sufi 
  5. Sutera Bidadari 
  6. Sunan Musafir 
  7. Sunan Nanggroe Sang Kembara 
  8. Sunan Cinta Nan Sakti
  9. Saifuddin Jalis, Musafir Cinta Meraga Sukma
" biar tersalah ampun, jangan tersalah kukum".



Anding Ayangan II. Nyian, Latif, Pak Hashim, Furqan Ayubi, Damit, Dang Bisai, Pangeran Haji dua peradian, Raja Suir, Datuk Johar, Yungku Kelangar, Bu Jijun, Cakah, Salleh, Penghulu Sunni, Cahaya nama-nama bahari dan baharu pada zaman baharu dan bahari. Pada alam fana dan dongengan.

Fiksyen yang merapu yang bikin kesurupan. Memang merapu menghayal, berdongeng di alam terbalikan fantasi - realiti.

Realiti pada watak manusia yang suka berdongeng. Fantasi pada dongengan fana yang juga nyata.

Watak-watak ciptaan yang sangat nyata dalam kehidupan. Disadur dengan dongengan yang sangat mengena. Itulah fitrah dan lumrah manusiawi. Kuasa - pangkat - harta - nafsu - rasuah - wanita - tahta - caras mencaras yang disukai oleh makluk asal kayangan hingga terlupakan pencipta.

Perjuangan sunnah wal jamaah di dunia terbalikkan dengan tauhid yang bertentang. Mampukah kalamullah dan sunni terus mekar sebagai suluh nurani? Sunni menjadi terhimpit. Dihimpit sang penguasa yang lebih Tuhan daripada Tuhan.

Kuasa politik sang politikus rakus tetapi dayus. 
 

Biarkan koleksi ini berdiam di tempat yang sewajarnya. Sesekali ulang baca untuk mencabar minda.
 


 

Saturday, 26 December 2020

PANTUN SENTANA

 

Sentana


Cantik laksana si bianglala

Seri buana menambah syukur

Guru sentana api menyala

Besi yang waja dapat dilentur


Sentana mentari panas membakar

Pabila malam hilanglah ia

Jasamu guru tak pernah pudar

Tidakkan padam dimakan masa


Gantung buaian dahan angsana

Tepian sawah batasan padi

Andai pakaian tidak sentana

Hilanglah maruah pelindung diri


Di mana semak di situ sapi

Melangkah redah tepian lata

Sentana minyak disambar api

Bendungkan lidah kala berkata


Cantik gerhana serinya bulan

Awan berarak langit terhias

Jangan sentana bapa haruan

Melindung anak sambil mengilas


letak beralas kersani raja

gerak pahlawan dari muara

sentana sekeras besi nan waja

tidak terlawan gagah perwira


Kelapa puan takik separuh

Letak di langgar tikar jerami

Sentana tuan mudik ke baruh

Singgah sebentar di teratak kami


Emas setahil beras sekati

Dalam cepu buatan tembaga

Akal jahil sentana besi

Ditempa empu lekuklah jua


* seumpama, seperti, sekiranya, kalau, selayaknya 

Sam Rizal





USS

 Sebaik sahaja tamat acara penanda aras kebudayaan di Lakeside Primary School dan bertukar pakaian segera bertolak ke Universal Studio Singapore. Segala busana bertukar ke pakaian santai. Perjalanan lebih kurang setengah jam.

Bas kedua yang terdiri daripada ibu bapa awal-awal lagi dah sampai di sana. Penanda aras kebudayaan hanya melibatkan bas satu sahaja iaitu murid-murid sekolah, guru-guru dan beberapa orang ibu bapa yang mahu sertainya. Taklimat disampaikan dalam bas. Taklimat disampaikan dari masa ke masa. Penting sampaikan taklimat dalam bas kerana apabia dah sampai di lokasi tentu peserta tidak ambil perhatian.

Antara perkara penting yang diingatkan ialah keselamatan diri dan wang saku. Dokumen seperti passport ada dalam simpanan guru. Pergerakan sentiasa dalam kumpulan, Jimatkan wang saku sebab esoknya masih ada aktiviti lagi. Solat jamak di surau yang disediakan. Macam-macamlah soalan yang ditanya oleh peserta, maklumkan masing-masing dah teruja sangat.

"Cikgu, nak kena bayar ka?"

"Cikgu, nak main roller coaster boleh tak?"

"Cikgu .... macam-macamlah soalan.

"Mainlah apa sahaja yang kamu mahu, pastikan dalam kumpulan dan berkumpul di tempat yang ditentukan'"

"Yeyyy !!!" keterujaan yang tidak boleh diselindung lagi.

Perbelanjaan untuk makan serta tiket masuk di USS telah diuruskan. Peserta hanya menyediakan wang saku untuk belanja yang dirasakan perlu sahaja.

Sepatutnya kami makan tengah hari dahulu sebelum masuk ke USS. Tapi masing-masing hilang selera makan. Kata mereka dah kenyang. Betul juga, semasa di Lakeside Primary School tadi dah makan berat. Tak mengapa, yang penting setiap peserta telah diserahkan makanan dan minuman.
 
Sebaik sahaja masuk ke pintu automatik di USS para peserta diberi kebebasan untuk menjelajah ke seluruh kawasan. Apa lagi.... berdesup, terus hilang dari pandangan.Memang mereka hilang terus, entah ke mana. Mereka tidak akan ke mana-mana hanya berada dalam lingkungan kawasan USS ini sahaja.
 
Memang berbaloi seharian di sini. Kalau ikutkan hati memang tidak cukup waktu. Pemilihan hari bekerja sangat tepat kerana jumlah pengunjung tidak terlalu sesak. Pengunjung memanglah rama tetapi sangat berbaloi kerana kami berada pada hari Isnin iaitu hari bekerja dan hari bersekolah.

Disebabkan terlalu teruja dan gembira masing-masing kurang mengambil gambar aktiviti. Setelah seharian di USS, masing-masing agak lesu, namun kegembiraan jelas terpamer. Kami ada masa kira-kira 90 minit sebelum acara akhir iaitu menyaksikan pertunjukan cahaya dan air. Masa yang ada dimanfaatkan untuk bersantai dan beristirahat sambil merakamgambar kenang-kenangan. Meleser-leser di sekitar kawasan USS yang sangat luas itu.

Kira-kira pukul 10.00 kami bertolak pulang ke hotel di Johor Bahru. Seperti biasa, taklimat untuk aktiviti esok perlu disampaikan. Malam ini juga peserta perlu mengemaskan semua pakaian kerana esok pagi kai akan ke SMK Kelapa Sawit untuk acara lawatan penanda aras transformasi. Dalam bas, sunyi.


Berfoto di pintu hadapan yang menjadi kewajipan setiap pengunjung di sini. Berbaloi-baloi.


Masuk bersama keratan tiket masing-masing.
Tempat berkumpul setelah tamat aktiviti. Pastikan berada di sini apabila cukup masa. Semuanya menepati masa.


Boleh main apa sahaja dengan syarat menyukat ketinggian. Alamak, banyak tempat yang budak-budak renek tak boleh masuk. Maka bermesyuaratlah mereka di bawah tiang roller coaster. 
Merilyn Monroe asli ke palsu ni. Entahlah, nasib baik tak kena peluk.


Santai bersama rakan-rakan. 

Surau disediakan berhampiran dengan roller coaster dan kawasan Egypt Zone.


Hari bekerja, pengunjung tidak terlalu padat. Dapatah kami menjelajah sekitar USS sepuasnya.


Istana Far Far Away. 


Seronok bukan main. Hilangkan keserabutan tugas buat seketika. Nanti kena cari anak-anak angkat masing-masing.

Guru besar pun teruja mengalahkan anak-anak murid. Sementara ada masa, serbu lokasi seterusnya.


Berbaris dulu sebelum ke stesyen permainan. Berbaris pun tak lama lama. Tak sampai 15 minit sahaja. Sembang-sembang dah sampai giliran.


Anak patung pinjam. Entah berapa dollar dihabiskan oleh budak-budak ni untuk dapatkan seekor anak dinasour comel.


Acara penutup. Menyaksikan persembahan cahaya dan air tentang di dataran sebelum pulang ke hotel.









PANDUAN ASAS PEMARKAHAN PANTUN

Maklumat boleh berubah-ubah dari masa ke masa mengikut kesesuain kertas konsep.