Sunday, 19 October 2014

DAMPINGI BOS 1

Yes BOS! OK BOS! Baik BOS!
Istilah yang selalu didengari dalam mana-mana jabatan, institusi, syarikat, kumpulan, sekolah, atau apa-apa jua organisasi yang berketua. Ketua ialah BOS. BOS ialah ketua. Kata BOS jadi petua. Senyum BOS, ada makna. Marah BOS, ada yang tak kena. BOS kata OK kami semua jadi lega. BOS kata KO alamak....... habislah kita.

Mitos terhadap BOS yang sebegitu sangatlah tidak memotivasikan diri, sebaliknya menyesakkan minda dan meruntun jiwa menjadi gundah gulana. Datang ke tempat kerja dirasakan seperti satu paksaan. Apa jua yang disuarakan oleh BOS menjadi tekanan. Suara BOS satu bom jangka yang boleh meledak pada bila-bila masa. Sedar atau tidak, BOS tetap BOS. Sebagai kaki tangan atau orang bawahan kita tidak punyai banyak pilihan selain daripada turut sama mengharungi cabaran tempat kerja dengan BOS.

Soal BOS betul atau tidak. Itu persoalan lain. Persoalan utama ialah sebagai kaki tangan mahu tidak mahu, kita perlu bekerja dengan BOS kerana BOS dilantik oleh orang yang lebih atas daripada kita dan daripada BOS kita. BOS terlebih sudu daripada kuah, itu dia punya pasal. Kita punya pasal ialah meneruskan agenda membawa kecemerlangan organisasi dengan berBOSkan BOS yang sedia ada.

BOS cerewet, BOS terlalu 'BUSY BODY', BOS ikut buku, BOS banyak peraturan, BOS terlalu workoholik ....... BOS wanita .... atau apa-apa sahajalah yang sering bermain dalam minda pekerja tentang BOS mereka. Nampak macam banyak yang kena tentang BOS. Ayuh... Lupakan siapa BOS kita. Jom buat kerja...

Nak tak nak, setiap hari kita akan bersemuka dengan BOS, melainkan BOS bercuti, bermesyuarat atau bekerja di luar organisasi, atau kita sendiri yang bercuti dan bekerja di luar kawasan. Justeru, sebagai pekerja yang profesional kita perlu bijak menangani siapa jua BOS kita.

TIPS menjalin hubungan baik dengan BOS
1. Fokus perhatian kepada kerja dan kepentingan organisasi, abaikan perbezaan denghan BOS, lebih-lebih lagi perkara yang tiada kaitan dengan profesionalisme kerja seperti perbezaan politik, keturunan, gender serta pendapat.

2.Jangan cuba mengubah sikap BOS, biarpun BOS selalu mendera, membuli atau menyusahkan kita. Sebaliknya fahami pendirian dan sikapnya dalam kerja, cuba suaikan cara kita dengan hasrat BOS. Cari aspek yang dititikberatkan dan yang mahu diberi perhatian oleh BOS. Dalam tempoh yang panjang anda akan akrab dengan BOS anda.

3. Fahami siapa BOS. Cuba ketahui perkara yang disukai dan yangtidak disukainya. - Manusia memang cenderung dengan sikap positif dan negatif, punyai kekuatan dan kelemahan. Elakkan perkara yang yang menjadi kelemahan BOS sebaliknya dekatilah BOS dengan perkara yang menjadi kekuatannya. Memberi perhatian kepada perkara negatif tentang BOS akan menghalang organisasi daripada mencapai kejayaan.

4. Sekiranya anda mempunyai apa jua pendapat, pandangan, idea, kritikan atau apa-apa jua hal yang berkaitan kepentingan organisasi; sampaikanlah sendiri maklumat itu kepada BOS anda. JANGAN GUNAKAN ORANG TENGAH. Kebiasannya orang tengah akan menyampaikan berdasarkan apa yang mereka fikirkan betul, bukan apa yang betul. Sekiranya perkara itu bersifat peribadi JANGAN sesekali berbicara di tempat terbuka hadapan khalayak umum, jika ini berlaku anda akan kehilangan kepercayaan daripada BOS dan anda tidak akan dipercayainya lagi.

5. Cuba tawarkan diri untuk melakukan sesuatu projek yang memang anda mampu melakukannya jika ditawarkan oleh BOS. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi memastikan projek berjalan dengan sebaiknya. TETAPI AWAS. Jangan berlebih-lebih pula.

6. Tepatilah janji dengan sebaiknya setiap kali anda memberikan jaminan bahawa anda akan melakukan sesuatu tugasan. Siapkan tugasan tepat atau lebih awal daripada waktunya. Seandainya anda tidak mampu melangsaikan tugasan itu pada waktunya, segeralah menemui BOS anda untuk memaklumkan perkara itu.

7. JANGAN CAKAP BELAKANG-BELAKANG. Menjadi kebiasaan pekerja suka cakap belakang-belakang dalam memprotes BOS. Ingat BOS ada banyak mata dan banyak telinga. Lebih-lebih lagi rakan sekerja yang memang cuba menjadi musuh kerjaya kita. Kawal emosi dan ketidakpuasan hati tentang BOS. Jika berani ... berterus teranglah kepada BOS anda secara profesional.

Kita bekerja bukan untuk BOS. Tetapi BOS telah dilantik sebagai ketua, pilihan yang ada ialah bersama-sama BOS memacu organisasi ke puncak jaya. Berusaha mendampingi BOS bukanlah bermakna mahu mengada-ngada atau 'ada udang sebalik batu'. Berusaha mendampingi BOS adalah untuk mewujudkan iklim nyaman di tempat kerja.

...... mari kita cuba .......

No comments:

Post a Comment

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit