Friday 12 December 2014

Selagi Langit Masih di Langit

Selagi langit masih di langit

Bukankah kau bergelar manusia?
melata di bumi
bertebaran di kaki-kaki gunung
beranak pinak di hutan belantara
bergelimpangan di gigi-gigi laut
berserakan di permatang
subur di kota batu

Bukankah kau merasai pijarnya mentari
kala dhuha mengangkat naik
bukankah kau melihat batang tubuhmu
menjadi panjang dari yang asli kala gelincirnya suria
bukahkah kau mengkagumi
kala mega merah menyeluruhi buana barat
bukankah kau berselimutkan gelap
kala mentari hilang pada indera

Lalu kau mendongak
tiada terlihat olehmu apapun
kerana gelitanya gelap
kau hampir hilang pedoman

Lantas kau dongak lagi
dongakmu ke langit
ya ..... langit
di langit ada langit
selama langit masih di langit
selama itu kau ada pedoman
temukanlah pedoman langit
selagi langit masih di langit

sam rizal
spg pulai 121214

Pantun Cempaka


Mari menyiram bunga cempaka,

air menitis terus ke bumi;
berwajah cendayam cantiknya rupa,
berhati nan tulus elokkan budi.

Jangan digentas bunga cempaka,
nanti hilang seri di taman;
janganlah culas kala bekerja,
akanlah hilang seri budiman.

Jika mahu menanam puspa,
tanamlah sebatang puspa cempaka;
jika mahu elokkan rupa,
sopan berkata senyum di muka.

Bunga cempaka kuning berseri,
untuk hiasan tengkolok dan tanjak;
jika tidak tahu menari,
jangan salahkan papan dipijak.

Thursday 4 December 2014

DAMPINGI BOS 2

Macam mana dengan BOS anda, atau macam mana hubungan anda dengan BOS? Baik? Dingin? Berapi? Apa-apalah. Itu semua terpulang kepada anda. Ingat, BOS tetap BOS walau siapa pun dia. Sudah dapat mengambil hati BOS? Jika belum, usaha lagi. Ingat ambil hati BOS bukan untuk menunjuk-nunjuk atau mengada-ngada, tetapi untuk mewujudkansuasana nyaman tempat kerja.

Sebagai kaki tangan yang profesional sudah tentu kita mahu menjadi 'rakan' yang baik kepada BOS kita. Tentu rasagembira sekiranya buah fikiran, pandangan, usaha atau apa jua komitmen untuk membawa organisasi ke arahkecemerlangan diberi perhatian dan disokong oleh BOS. Bila BOS rasa gembira, sudah tentu suasana tempat kerja akanaman damai sejahtera. Apa kata kita mencuba pula beberapa tips untuk meraih kepercayaan dan perhatian BOS. Ingatbukan nak bodek atau mengipas. Tidak lain daripada mewujudkan suasana nyaman di tempat kerja.
1. Beri pendapat anda tentang projek, program pembangunan dan kecemerlangan organisasi. Tapi jangan main cakapkosong sahaja. Hendaklah dikemukan dengan proposal atau kertas kerja. Paling tidak sediakan blue print atau lakarankasar. Nyatakan pandangan anda secara profesional tentang projek yang mahu dilaksanakan. Berikan gambaran kasar. 
2. Jangan desak BOS untuk menyetujui cadangan anda. Sebaliknya berikan hujah yang meyakinkan. Sediakan jalanpenyelesaian bagi permasalah yang ditimbulkan. Yang penting ialah anda mesti mampu menyediakan alternatif spontanyang munasabah.
3. Sekiranya anda diberi peluang mengedalikan sesuatu projek. Sama ada projek itu merupakan hasil cadangan andaatau tidak, lakukanlah dengan sebaiknya. jika projek itu hasil cadangan anda, buktikan bahawa anda memang bolehdiharap. jika projek itu bukan cadangan anda, selami falsafahnya, buat sehabis baik. Lakukan tugasan itu mengikut masayang ditetapkan. Pamerkan disiplin yang baik. Jika gagal, berhadapanlah dengan BOS sebelum masa penamat.Nyatakan permasalahan secara profesional. Elakkan memberi alasan peribadi.

4. Utamakan kepentingan BOS berbanding kepentingan atau keutamaan peribadi. Sekiranya anda sedang berbual samaada melalui tetefon atau dengan rakan, tiba-tiba disapa oleh BOS, maka tamatkan perbualan anda dengan segeradengan memberitahu terlebih dahulu kepada rakan anda tentang kepentingan berurusan dengan BOS. Sebaik sahajaurusan dengan BOS selesai, hubungi semula rakan tadi untuk menunjukkan bahawa anda memang mempunyai urusanpenting.

5. Jaga penampilan diri. Tampillah dengan gaya yang benar-benar dikagumi. Cara percakapan anda hendaklahmenampakkan keyakinan. Pakaian sesuai dengan profesion anda. jika anda seorang Guru Pendidikan Jasmani,pakaialah kemeja t berkolar, seluar track gelap, baju dikemaskan dalam seluar, berstoking dan berkasut sukan.Gantungkan wisel pada leher menampakkan bahawa anda memang seorang jurulatih jasmani yang konsisten. Begitulahseterusnya megikut profesion.

6. Tampilkan wajah yang tenang, sentiasa stabil dan tidak mudah terusik bila berhadapan dengan situasi yang rumit.Lebih-lebih lagi bila anda menerima tekanan daripada BOS. BOS akan lebih menyukai kaki tangan yang tidak kelamkabut, kreatif, kritis dan sentiasa berfikir sebelim memberikan buah kata atau melakukan sebarang pekerjaan. Ketenganmudah dilihat melalui gerak fizikal. Jadi jangan sampai anda dilihat sebagai orang yang 'gabra'.

7. Mahirkan diri dengan ilmu komunikasi. Berkomunikasilah dengan BOS tanpa menunjukkan anda seorang yang gopoh,tidak menguasai situasi, tidak bersikap autoktarik. Yang lebih penting tampakkan bahawa anda sentiasa merendahkanhati.

8. Cepat bertindak dan mampu mengeluarkan pendapat secara spontan. Sekiranya berlaku sesuatu di luar kawalan,anda seharusnya segera bertindak atau boleh memberikan pendapat yang bernas.

9. Menjadi orang serba tahu. Sebagai kaki tangan yang diberi kepercayaan, sudah tentulah BOS akan cuba mencuriperhatian dengan berbual-bual kosong dengan anda. Dalam perbualan itu, jangan sesekali menguasai perbualan, andatidak perlu meningkah sebaliknya hanya perlu menyatakan beberapa perkara yang berkaitan. sesekali nayatakanpandangan yang bernas.

10. Ceria dan senyum selalu. Tampilkan wajah yang ceria dengan senyuman. Tegur BOS anda, tegur rakan sekerjaanda, tegur sesiapa sahaja. Anda akan dilihat sebagai orang yang periang dan boleh dibawa berbincang walau dalamkeadaan apa sekali pun.

Lagi sekali, ingat, kita bekerja bukan untuk BOS atau kerana BOS. Tetapi BOS sudah dilantik sebagai ketua, makasangat perlu kita menpampingi BOS, mengambil perhatian dan kepercayaannya agar iklim tempat kerja benar-benarnyaman.

Tuesday 11 November 2014

Jangan Tanya Tuhan

Jika kau mahu bertaruh
Jangan tanya Tuhan
Jika kau mahu bermungut
Jangan tanya Tuhan
Jika kau mahu bertenung nasib
Jangan tanya Tuhan
Jika kau mahu berkendak
Jangan tanya tuhan
Jika kau mahu berbunuhan
Jangan tanya Tuhan
Jika kau mahu serah kepada yang lain
Jangan tanya Tuhan

Kerana Tuhan akan mengatakan tidak
Itu amalan durja
Makhluk durjana
Yang disumpah hingga hujung nyawa

Jika kahu mahukan juga
Ciptalah satu aksara
Yang seumpama kata-NYA
Atau
Kau akurlah sahaja

S. Sam Rizal
Simpang Pulai  111114

Sunday 9 November 2014

Resensi Buku 3 : 1511H; Kombat



Tajuk : 1511 H, Kombat

Pengarang : Faisal Tehrani
Harga : RM24.00
M.s : 423

Membuka kota Washington! Satu cadangan yang sangat releven dan masuk akal. Mana tidaknya. Rasulullah pernah berjanji bahawa pada satu masa akan akan datang bakal terbukanya sa
tu kota kebal oleh pemimpin yang unggul. Konstantain bakal ditawan. Bukan sahaja Konstantain, malah Andalusia, Benua India, Tanah Melayu, Sunda Kelapa dan banyak lagi negara yang mempunyai pertahanan ampuh berjaya dibuka oleh umat Islam yang cekal lagi kental. Justeru cadangan Muhammad Ameen membuka kota Washington memang masuk akal.

Sangat-sangat tahniah kepada penulis yang berani memberi cadangan yang memang 'gila' ini. Seperti yang disebut oleh Jeneral Nusyaibah, Amerika menjadi punca kejahatan dunia. Komander Melayu Muhammad Ameen bertekat mahu menjarah Amerika, sudah sampai masanya Amerika ditunduki. Ini adalah negara kufar yang tidak pernah disentuh malah tidak berani dihampiri oleh mana-mana kuasa. Terbukti bahawa Laksamana Melayu ini sangat berani menjejakkan kaki ke White House. White Mosque adalah satu lagi gambaran sejarah yang berulang. Jika Sultan M
uhammad Al fateh boleh menjadikan St Sophea kepada Masjid Hagya Sophea mengapa tidak Rumah Putih menjadi Masjid Putih.

Sesungguhnya keluhuran budi dan pegangan aqidah melalui futuwwah sangat penting dalam mengharungi zaman penuh pancaroba ini. Tiada manusia yang terlepas daripada kebejatan dan agenda jahat Zionis. TIDAK SAMA SEKALI. Pembinaan jiwa tidak sekadar faham fekah dan ibadah semata-mata. Kekuatan jiwa melalui tasawuf sangat penting. Sungguh bijak penulis menggarapkan sosok Hamzah Fansuri, seorang sufi terkenal di alam Melayu sebagai sosok penting hinggakan syairnya dihafali oleh jeneral berketurunan Arab.

Arab, satu bangsa yang agak ego sifatnya. Berketurunan nabi, wajib dihormati, tetapi bangsa ini semakin lama semakin jauh daripada landas tauhid. Turki satu bangsa yang pernah menguasai dunia. Melayu, bangsa yang masih baru beraqidah. Sekitar 1400 masihi saat Parameswara bertauhid. Bangsa ini pernah membaca Veda dan sudah tentu pernah mendengar nama Ahamadihi dan Kalki Avatar melalui tulisan Palava, Rencong dan sebagainya. Batu bersurat Karang Brahi, Talang Tuwo dan Terengganu antara tanda bangsa ini bersedia menjadi pemimpin dunia.

Dan ternyata melalui 1511H, bangsa ini telah dilantik sebagai Jeneral. Berjaya mensucikan Washington dan bersedia pula membuka semula al Quds.

Wednesday 5 November 2014

Taubat Kelkatu


Anai-anai di kerajaan busut
Tiada bisa tapi bahaya
Anai-anai di perdu jati
Tiada racun sangat digerun
Anai-anai di tiang rumah
Terlindung wajah sangatlah ramah
Ramah ia menjadi amarah
Amarah pada si tuan rumah
Senyap …… ranap
Punah …… ranah
Disiplinnya mudah
Ratu jadi pemerintah
Tiada culas, bantah atau karenah
Terus memusnah tanpa dikerah
Kala cerah diam di bawah
Kala kelam menjarah…… merayah……
Tanpa hemah tiada ramah
Bahasanya mudah
Musnah….. punah…. Kekah sampai rebah
Bergelarlah ia seteru pemusnah
Tetapi
Wahi Tuhan hebat sekali
Anai-anai bertukar ganti
Kala langit menangiskan bumi
Anai-anai bertukar ganti
Kelkatu nama diperi
Berubah sifat juga pekerti
Dari gelap mencari cahaya
Walau terpaksa bergadai nyawa
Cuba kalian bertanyakan ia
Mengapa nyawa galang gantinya?
Aku pernah dengar berita
Kata mereka
Kami bukan menggadai nyawa
Tapi mencari nur cahaya

S.Sam Rizal
Simpang Pulai, 13/4/13

Sunday 2 November 2014

Pengaruh Baka dan Persekitaran Terhadap Perkembangan Kanak-Kanak

Oleh : S.Samprizal B Selamat

1.         PENGENALAN

1.1       Manusia sentiasa mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan. Proses pertumbuhan dan perkembangan ini berlaku dari semasa ke semasa bermula sejak dari dalam kandungan lagi hinggalah ke akhir hayat. Namun begitu proses pertumbuhan dan perkembangan mempunyai beberapa perbezaan yang ketara. Secara umumnya pertumbuhan bersifat kuantitatif, boleh diukur kerana ia melibatkan pertumbuhan secara fizikal. Manakala, perkembangan pula bersifat kualitatif, tidak boleh diukur, tetapi boleh dinilai, ia lebih kepada perkembangan kognitif dan mental. Kamus Dewan (1992) mendefinisikan pertumbuhan sebagai proses tumbuh, iaitu hidup, menjadi bertambah besar atau sempurna.(1) Perkembangan pula didefinisikan sebagai proses berkembang iaitu menjadi semakin sempurna. .(2)  Dalam konteks pertumbuhan dan perkembangan manusia, pertumbuhan merupakan satu proses kesempurnaan manusia itu membesar dari kandungan hinggalah mencapai kematangan atau aqil baliqh, pada ketika ini sempurnalah pertumbuhannya dan ia akan terhenti. Perkembangan pula satu proses kesempurnaan sifat kemanusiaan yang terkandung perasaan, kecerdasan, kebijaksanaan, kemampuan berfikir, kebolehan mengatur tingkah laku dan sebagainya, ianya akan terus berlaku dari semasa ke semasa hinggalah akhir hayat.

1.2       Pengukuran pertumbuhan dan perkembangan boleh dilihat melalui pemeriksaan kesihatan bagi ibu-ibu hamil, kanak-kanak selepas lahir dan kanak-kanak di sekolah rendah. Ibu-ibu hamil diwajibkan menjalani pemeriksaan kandungan di Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak (KKIK) untuk mempastikan kandungannya bertumbuh dan berkembang mengikut tahap yang betul. Selepas kelahiran, bayi diwajibkan pula menjalani pemeriksaan rutin di Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak (KKIK) untuk

dinilai tahap tumbesaran dan perkembangannya. Perkembangan dan tumbesaran ini direkodkan secara bertulis dalam Rekod Kesihatan dan Perkembangan Kanak-Kanak yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Apabila kanak-kanak meningkat ke tahap persekolahan, ukuran akan dijalankan melalui Kad 011 yang merekodkan tahap perkembangan secara fizikal, iaitu melibatkan berat badan, ketinggian dan sebagainya.

2.         KONSEP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN MENGIKUT AHLI PSIKOLOGI

2.1              Pertumbuhan
2.1.1    Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh ahli psikologi berhubung dengan pertumbuhan. Secara umumnya, mereka memberikan definisi yang hampir sama iaitu pertumbuhan itu bersifat kuantitatif, perubahan fizikal menunjukkan kematangan seseorang dan boleh diukur. Pertumbuhan ini akan terhenti apabila seseorang itu mencapai kematangan apabila aqil baligh.

2.1.2    Karl E. Garisson dalam Ee Ah Meng (1993) mendefinisikan pertumbuhan sebagai proses perkembangan individu dalam bentuk saiz badan, iaitu perubahan-perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar. Manakala Atan Long pula memberi takrif perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain dari semasa ke semasa. Proses perubahan tersebut dapat diukur secara kuantiti ke atas seseuatu organisma. Bagi D.S Wright dan Ann Taylor dalam Ee Ah Meng (1993) pula, mereka menyifatkan pertumbuhanitu sebagai pertambahan-pertambahan dalam pelbagai sifat luaran seseorang seperti ketinggian, berat badan dan saiz.

2.2              Perkembangan
2.2.1    Berbanding dengan pertumbuhan, perkembangan mempunyai takrifan yang berbeza. Jika pertumbuhan bersifat fizikal, perkembangan pula bersifat abstrak iaitu melibatkan pengukuran kualiti. Walaupun perkembangan tidak boleh diukur namun ianya boleh dinilai melalui pemerhatian dan perbandingan dengan peringkat yang lebih awal.
2.2.2    Crow and Crow dalam Ee Ah Meng (1993) mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan bersifat kualitatif serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Sebagai cohtoh, seseorang kanak-kanak boleh membina ayat setelah belajar membatangkan perkataan. Kebolehan membina ayat adalah satu proses perkembangan.

2.2.3    Bagi karl E. Garrison, perkembangan adalah hasil daripada tindakan yang saling berkait rapat di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Semua perkembangan mengikut aturan semula jadi menuju ke arah tertentu dan yang dijangkakan. Maksudnya di sini ialah seseorang kanak-kanak mestilah boleh berjalan setelah belajar bertatih dan kanak-kanak itu mampu menyeimbangkan kekuatan otot kakinya supaya dia boleh berjalan sambil berdiri. Kebolehan berjalan, berdiri dan menyeimbangkan otot merupakan perkembangan dan perkembangan ini telah dijangka akan berlaku.

2.2.4    D.S Wright dan Ann Taylor dalam Ee Ah Meng (1993) pula mendefinisikan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur. Manakala Atan Long pula menyatakan perkembangan itu satu perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur kuantitinya tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana bersifat baharu dan berlainan daripada peringkat yang lebih awal.

3.         FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN

3.1       Setelah dilihat definisi dan pengertian bagi kedua-dua proses pertumbuhan dan perkembangan ini, jelaslah bahawa kedua-duanya saling berkait rapat antara satu sama lain. Pertumbuhan akan menyebabkan berlakunya perkembangan, begitulah juga sebaliknya, perkembangan akan berlaku disebabkan adanya pertumbuhan. Jika salah satu daripada kedua-dua aspek ini tidak berlaku atau berlaku secara tidak seiringan, maka individu tersebut berada di luar daripada tahap normal.

3.2       Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan seseorang individu? Bagaimana pula faktor tersebut boleh mempengaruhi kedua-dua proses ini? Secara umumnya terdapat dua faktor utama yang sangat mempengaruhi proses pertumbuhan dn perkembangan individu. Faktor-faktor tersebut adalah pengaruh baka dan persekitaran.

3.3              Pengaruh Baka
3.3.1    Umum menyedari bahawa baka atau keturunan memberikan pengaruh yang besar dalam proses pertumbuhan dan perkembangan individu. Antara pengaruh yang sangat ketara ialah sifat fizikal seseorang seperti saiz badan, warna mata, warna rambut, warna kulit, jenis darah dan penyakit. Apakah baka? Baka ialah ciri-diri pewarisan yang diperturunkan oleh ibu dan bapa malah nenek moyang kepada anak yang dilahirkan.

3.3.2    Baka diperturunkan kepada anak-nak melalui gen. Semasa proses persenyawaan antara benih ibu dan bapa, 23 kromoson daripada sperma bapa akan bergabung dengan 23 kromosom daripada ovum ibu. Gabungan ini akan menghasilkan 46 kromosom atau 23 pasang kromosom. Kromosom ini mengandungi gen-gen yang mewarisi kebakaan bapa dan ibu kepada anak yang akan dilahirkan. Dari sinilah baka mempengaruhi cirri-ciri pertumbuhan dan perkembangan seseorang individu.

3.3.3    Ciri-ciri fizikal yang sangat jelas menampakkan pengaruh baka boleh dilihat pada warna kulit.  Secara umumnya kanak-kanak berketurunan Melayu mempunyai kulit sawo matang, keturunan Cina pula berkulit cerah dan India berkulit gelap. Begitu juga dengan bentuk rambut. Masyarakat orang Asli akan mewarisi rambut kerinting. Warna mata masyarakat Eropah biasanya  hijau atau biru. Manakala mata orang Asia berwarna coklat. Apa yang sangat menarik ialah apabila berlaku perkahwinan campur. Kita biasa melihat ada dalam kalangan anggota masyarakat yang berkahwin campur. Contohnya antara keturunan Cina dan India. Disebabkan percampuran kromosom ibu dan bapa, anak yang dilahirkan berkulit sawo matang, bermata sepet dan mempunyai wajah iras-iras Cina dan India.

3.3.4    Pengaruh yang paling ketara dalam pewarisan baka ialah penyakit. Banyak penyakit yang berlaku disebabkan oleh pengaruh baka. Antara penyakit yang disebabkan oleh baka berdasarkan Kementerian Kesihatan Malaysia ialah penyakit Pompe, penyakit Kencing Sirap Maple (Maple syrup urine disease - MSUD)  dan penyakit Gaucher atau Galactosemia merupakan sejenis penyakit genetik dalam kelompok Kecacatan Metabolik Semulajadi Inborn Errors Metabolism (IEM), penyakit Tay-Sachs adalah sejenis penyakit genetik yang berlaku apabila kuantiti banyak gangliosida , sejenis terbitan asid lemak, penyakit Sistik Fibrosis (bahasa Inggeris cystic fibrosis), Ekzema ialah sejenis penyakit kulit yang menyebabkan radang, gatal dan  kering, penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen, sindrom dawn dan Skizofrenia adalah penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan Porphyria bukannya satu penyakit yang berjangkit tetapi merupakan penyakit genetik yang boleh diwarisi.(3) Terdapat banyak lagi penyakit-penyakit yang memang telah diketahui disebabkan oleh pengaruh genetik.

3.3.5    Selain  daripada ciri fizikal dan penyakit, sahsiah juga boleh menerima kesan daripada baka. Contohnya sifat introvert atau ekstrovert yang ada pada pembawa gen iaitu ibu atau bapa akan diwarisi oleh anak-anaknya. Begitu juga dengan kecerdasan seseorang. Ketika lahir, bayi tidak sahaja mewarisi bentuk fizikal induknya, bahkan turut mewarisi kelenjar-kelenjar rasa, otak dan struktur lain yang penting dalam pembentukan kederdasan seseorang.

3.3.6        Jelaslah di sini bahawa baka turut memberi kesan kepada faktor pertumbuhan dan
perkembangan seseorang individu. Namun baka hanya dominan dalam mempengaruhi pertumbuhan. Faktor yang kedua yang sangat kuat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan individu ialah faktor persekitaran atau ‘nuture’. 
Rajah menunjukkan proses persenyawaan benih lelaki dan perempuan
yang menunjukkan bagaimana genetik (baka) mempengaruhi pertumbuhan .(4)

3.4       Pengaruh Persekitaran
3.4.1    Selain daripada baka, terdapat satu lagi pengaruh yang sangat dominan dalam mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan individu. pengaruh tersebut ialah pengaruh persekitaran atau ‘nuture’. Memang tidak dinafikan bahawa baka memberi pengaruh, tetapi baka hanya mempengaruhi pertumbuhan, tidak perkembangan. Sedangkan persekitaran mempengaruhi kedua-duanya sekali.

3.4.2    Dalam Kamus Dewan (2009) terdapat beberapa takrifan diberikan dalam memberi makna kepada persekitaran antaranya ialah (i) kawasan di sekeliling sesuatu tempat, (ii) kawasan sekitar; (iii) konteks tempat se­suatu (masyarakat, organisma, fahaman, dsb) berkembang; (iv) (Bio) teori tentang evolusi organis­ma (dipelopori oleh Darwin) yang menyatakan bahawa individu sesuatu spesies yang dapat menyesuaikan diri dengan persekitarannya  akan dapat hidup dalam persekitarannya itu dan cen­derung membiak dengan banyak; .(5)

3.4.3    Menurut Amram Schienfeld dalam Ee Ah Meng (1993), persekitaran merujuk kepada luaran seseorang individu dan faktor bakanya bermula dari peringkat persenyawaan. Norman L. Munn pula mendefinisikan peresekitaran sebagai segala benda yang terdapat di sekeliling unit-unit kebakaan. Manakala W. Edgar Vinacke mengatakan persekitaran itu ialah kuasa ekstrinsik yang kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang individu.

3.4.4    Berdasarkan takrifan di atas, persekitaran merujuk kepada suasana di sekeliling individu yang meliputi kawasan tempat tinggal, sosioekonomi, sosiobudaya, pergaulan, pendidikan, pemakanan, alam sekitar, rakan sebaya, media massa dan sebagainya. Suasana ini dialami setiap hari dari semasa ke semasa. Justeru sudah pastilah persekitaran memberi pengaruh yang sangat besar kepada pertumbuhan dan perkembangan individu.

3.4.5    Teori Ekologi Urie Bronfenbrenner
3.4.5.1             Antara pengkaji yang memberikan fokus kepada pengaruh persekitaran ialah Urie Bronfenbrenner (1917). Beliau mengemukakan teori ekologi yang membuat perkaitan antara pengaruh persekitaran terhadap perkembangan dan tumbesaran individu. terdapat lima peringkat yang mempengaruhi ekologi iaitu (i) sistem mikro (ii) sistem messo (iii) sistem ekso (iv) sistem makro dan (v) sistem krono.

3.4.5.2             (i) Sistem makro merupakan satu sistem di mana seseorang individu itu banyak menghabiskan masanya. Dalam sistem ini seseorang individu itu berinteraksi secara langsung dengan ahli keluarga seperti ibu bapa, adik beradik, rakan sekolah, rakan kejiranan, rakan sebaya serta masyarakat sekitar tempat tinggalnya. (ii) Sistem messo pula merujuk kepada bagaimana individu itu berinteraksi dan menghubungkaitkan pengalaman bersama kominuiti dalam sistem makro. Disebabkan seseorang individu itu bukanlah hanya bersifat sebagai penerima pasif, maka berlaku interaksi pelbagai hala yang akan mempengaruhi perkembangan individu itu sendiri.

3.4.5.3             (iii) Sistem ekso pula merujuk kepada pengalaman yang diterima secara langsung oleh seseorang individu walaupun ianya tidak termasuk dalam system itu. Contohnya peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Kerajaan Tempatan dalam penggunaan kemudahan awam secara tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan individu tersebut. (iv) Sistem makro pula melibatkan sosio budaya yang lebih luas di mana seseorang individu itu berada dalam lingkungan budaya, nilai, peraturan dan adat resam yang diamalkan. Contohnya negara barat yang sangat terbuka terhadap pergaulan antara lelaki dan perempuan menyebabkan individu itu tiada rasa segan dalam pergaulan berlainan jantina berbanding Malaysia yang tidak menerima hubungan bebas seperti ini. (v) Sistem Krono iaitu merujuk kepada sejarah atau pengalaman perkembangan seseorang individu itu memberi kesan kepada perkembangan emosinya.

3.4.5.4             Jelasnya, berdasarkan teori ekologi yang dikemukakan oleh Bronfenbrenner menunjukkan bahawa persekitaran hidup yang dialami oleh seseorang individu sangat-sangat memberi kesan kepada pertumbuhan dan perkembangannya. Berikut adalah gambarajah yang menunjukkan teori perkembangan ekologi oleh Bronfenbrenner .(6)    



3.4.6                Pengaruh Pemakanan
3.4.6.1             Pemakanan merupakan antara pengaruh persekiratan yang memberi kesan besar terhadap pertumbuhan dan perkembangan individu. Pemakanan di sini merujuk kepada pemakanan yang diambil oleh bakal ibu, ibu hamil, bayi dan peringkat seterusnya. Dalam pengambilan makanan, ibu yang hamil harus mematuhi piramid pemakanan yang mengandungi gizi yang seimbang. Ini sangat penting dalam memastikan pembesaran dan pertumbuhan janin dan ibu tersebut mengikut jadual yang betul. 

3.4.6.2             Elizabeth Fenwich dalam bukunya The Comlplete Book Of Mother & Baby Care, menyenaraikan beberapa keperluan zat makanan yang mesti diambil oleh ibu hamil dalam memastikan bayi dalam kandungan membesar dengan sempurna. Antara keperluan yang mesti dipatuhi ialah kalsium seperti roti putih, keju dan susu tanpa lemak. Kalsium sangat penting bukan sahaja kepada ibu, malah penting dalam pembentukan tulang dan gigi bayi semasa minggu kelapan kehamilan. Pengambilan vitamin C seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan, tomato dan ubi kentang pula penting dalam membantu membina plasenta yang kuat di samping mencegah penyakit.
3.4.6.3             Pengambilan makanan yang mengandungi asid folik seperti brokoli, bayam, kacang hazel dan kacang tanah penting untuk membina perkembangan sistem saraf utama bayi. Manakala ferum yang terdapat dalam ikan tuna, daging merah tanpa lemak dan apricot kering membantu membina bekalan ferum dalam memastikan peredaran oksigen berlaku dengan baik. Di samping itu, ibu-ibu hamil ditegah mengambil makanan atau minuman yang mengandungi kafien, gula, alkohol, rokok dan dadah kerana terbukti bahan-bahan ini boleh menyebabkan kecacatan atau mengganggu pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan.

3.4.7                Cara Didikan dan Asuhan
3.4.7.1             Cara seseorang individu itu dididik dan disauh juga merupakan elemen penting yang mempengruhi pertumbuhan dan perkembangannya. Didikan awal yang diterima oleh seseorang kanak-kanak akan mempengaruhi tingah laku dan perkembangannya. Imam Al Ghazali, seorang tokoh pemikir dan sarjana Islam yang terkenal sangat menitik beratkan pendidikan awal kanak-kanak. Beliau nenegaskan kanak-kanak perlu dididik sejak dilahirkan dengan nilai-nilai dan akhlak yang mulia. Melah beliau meletakkan syarat penjaga yang menjaga bayi hendaklah mempunyai akhlak mulia. Antara anjuran yang dikemukakan oleh Imam Al Ghazali dalam proses pendidikan kanak-kanak ialah menjauhi daripada rakan-rakan yang jahat untuk mengelakkan daripada terpengaruh, bersukan bagi menguatkan otot, tubuh badan dan menambah kecerdasan serta menyediakan peluang berehat selepas belajar.

3.4.7.2             Dr. Wayne Dennis dalam Dr Hassan Ali(1997), telah membuat satu kajian tentang pertumbuhan dan perkembangan sekumpulan kanak-kanak yang dipelihara di tiga buah rumah anak yatim. Dalam kajiannya, sekumpulan kanak-kanak di bawah dua bulan dipelihara selama tiga tahun tanpa diangkat, kecuali semasa diberi makanan tidak boleh duduk dengan betul, malah tiada seorang pun yang boleh berjalan berbanding dengan kanak-kanak di rumah kedua. Sebagai pengukuhan, kanak-kanak dari rumah pertama tersebut dipindahkan ke rumah ketiga. Di sana mereka diberi rangsangan oleh pengasuh dan alat-alat permainan. Didapati kanak-kanak yang mundur dalam rumah pertama telah berkembang dengan pesatnya.

4.         KESIMPULAN

4.1       Berdasarkan fakta yang dinyatakan di atas, jelaslah bahawa pertumbuhan dan perkembangan individu dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Namun begitu faktor persekitaran lebih banyak memberi pengaruh kepada pertumbuhan dan perkembangan berbanding baka. Seseorang kanak-kanak yang diberi perhatian serta membesar dalam persekitaran yang penuh dengan rangsangan akan membesar dan berkembang ke arah yang sempurna. Memang benar faktor baka memberikan kesan dalam menentukan pertumbuhan, namun keadaan sekeliling tempat seseorang itu membesar menjadi faktor penentu kepada perkembangannya.

4.2       Buktinya, banyak sekolah dan pusat pendidikan diwujudkan untuk membantu menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang menghadapi masalah perkembangan seperti sekolah pendidikan khas. Tujuannya supaya mereka boleh berkembang dengan baik dan dapat berkongsi hidup dengan masyarakat yang lain. Malah kewujudan banyak konsultansi yang menawarkan perkhidmatan membina perkembangan individu sama ada murid mahupun golongan dewasa ditubuhkan. Konsultasi yang tumbuh macam cendawan selepas hujan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan kerana telah berjaya membuktikan keberkesanannya membangunkan perkembangan individu.


4.3       Antara konsultansi yang mahsyur di Malaysia ialah Excell Trainning  oleh Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah, Akademi Keluarga Bahagai Malasia (AKRAB) oleh Dato’ Dr Hassan Ali, Motivasi Alihan Pelajar (MAP) Trainning oleh Dr Tengku Ismadi Tengku Muhammad, 3EM oleh Dr H.M Tuah Iskandar, Amalan Bijak Belajar oleh Dr Shukri Abdullah dan banyak lagi yang keberkesanannya tidak dapat dipertikaikan lagi.

NOTA KAKI
(1)  Kamus Dewan   Edisi Baru Cetakan Ketiga m/s 1401
(2) Kamus Dewan Edisi Baru Cetakan Ketiga m/s 577
(3) Laman web Kementerian Kesihatan malaysia - www.moh.gov.my/MohPortal 
(4) http://myschoolnet.ppk.kpm.my/sp_hsp/pra/hk_pra_sek_keb2.pdf
(5)  laman web rasmi Dewan Bahasa Dan Pustaka http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=persekitaran&   
       ID =Kamus%20dan%20Istilah )
(6)  http://lms.oum.edu.my/main/default-frame.php/200903111503245.%Topic%203(1).pdf 

5.         BIBLIOGRAFI

Ee Ah Meng (1993). Psikologi Perkembangan: Aplikasi Dalam Bilik Darjah.
(Edisi kedua).Kuala Lumpur, Fajar Bakti

Fenwick, E.,  (2000). Buku Panduan Lengkap Penjagaan Ibu & Anak.
(Edisi Terjemahan),  Kuala Lumpur, Penerbitan Pelangi Sdn Bhd

Hassan Mohd Ali, Dr., (1996). Mendidik Anak Pintar Cerdas. Kuala Lumpur,
Utusan Publication & Akademi Keluarga Bahagia Malaysia

Kamus Dewan, Edisi Baru (1992), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala terengganu

Kasmini Kassim, (1998) Penderaan Emosi Kanak-Kanak: Trauma Terselindung,
Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Kementerian Pelajaran Malaysia, (2004) Pendidikan Kesihatan Dan Keluarga/Seksual :
Aspek Fizikal, Pusat Perkembangan Kurikulum KPM, Kuala Lumpur

Syukri Abdullah, Dr., (2006), Panduan Membimbing Anak Belajar: Anakku Bijak
Belajar; Sentuhan Ibu Bapa, Al Ameen Serve Holdings, Selangor

Tengku Ismadi Ph.D, (2009). Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif. PTS Mellinnia
Sdn Bhd., Batu Caves, Selangor

http://lms.oum.edu.my/main/default-frame.php/200903111503245.%Topic%203(1).pdf,

http://myschoolnet.ppk.kpm.my/sp_hsp/pra/hk_pra_sek_keb2.pdf,

http://www.scrdn.com/521225-bab-2-perkembangan-manusia, 

http://lms.oum.edu.my/main/default-frame.php/200903111503245.%Topic%203(1).pdf
           
laman web Kementerian Kesihatan malaysia - www.moh.gov.my/MohPortal,
Majalah "ibu" Bil 61 April 1994. Faktor Biologi

Tuesday 28 October 2014

Memupuk Budaya Membaca

Membaca jambatan dan anak kunci kepada ilmu pengetahuan. Semua pihak mengakui bahawa membaca merupakan kuasa tertinggi dalam membina insane berilmu pengetahuan. Masyarakat yang mengamalkan membaca sebagai budaya adalah masyarakat yang sangat maju. Ini telah dibuktikan oleh masyarakat Jepun dan Yahudi. Jepun; sebuah Negara yang telah musnah dalam peperang dunia bangun sebagai negara  Timur yang maju. Yahudi, satu masyarakat yang penuh tribulasi, menghadapai pelbagai tekanan sejak dahulu hingga kini, nampaknya telah menguasai dunia. Bukankah mereka bangsa yang menguasai pelbagai disiplin ilmu?

Justeru, bagaimana mahu memupuk budaya ilmu dan membaca dalam kalangan masyarakat kita. Untuk menjinakkan anak-anak terhadap buku yang merupakan medium utama penjanaan insan berilmu, maka beberapa langkah disarankan menjadi agenda utama. 
  1. Sediakan sebuah perpustakaan mini. Walau  hanya beberapa buah buku dan makalah, sediakan satu ruang khas untuk membaca.
  2. Menjadikan agenda membeli buku sebagai agenda wajib bulanan. Sediakan sejumlah peruntukan khas untuk membeli buku walaupun hanya RM1.00.
  3. Sediakan buku dalam kenderaan.
  4. Jadikan buku sebagai hadiah galakan kepada anak-anak. Setiap kali anak-anak menunjukkan prestasi atau pencapaian dalam sesuatu bidang, hadiahkanlah sebuah buku yang diminati.
  5. Pujilah anak-anak yang minat membaca dengan pujian lisan dan habuan material.
  6. Mulakan membaca dengan buku yang bergambar, berwarna-warni, bertulisan besar dan berinteraktif. Kini banyak buku yang menyediakan aktiviti seperti mewarna, kuiz dan sebagainya. (harganya agak mahal)
  7. Galakkan anak-anak mencatat (NILAM) sebagai bukti suka membaca.
  8. JANGAN KEDEKUT untuk membeli buku setiap kali anak-anak meminta untuk dibelikan buku kegemaran.
  9. Tunjukkan contoh kepada anak-anak. Anda perlu membac setiap kali ada kelapangan.

Sunday 26 October 2014

100 Pantun Budi

1.
Mudik ke hulu dengan kolek,
Kolek buatan orang muara;
Baik kelakuan berperangai molek,
Jadi sebutan umat manusia.

2.
Hanya jauhari kenal manikam.
Batu manikam bersinar terang;
Jikalau hati kesumat dendam,
Jiwa tak tenteram berwajah walang.

3.
Kalau ingin mengukur meja,
Guna sesiku bergaris dua;
Kalau langit berarak mega
Tanda waktu Maghrib nak tiba.

4.
Pakai terendak buatan tangan,
Untuk berlindung panasnya suria;
Sayangkan anak tangan-tangankan,
Sayangkan ibu lekaslah berdoa

5.
Asam kandis dalam tempayan,
Kulit lokan jatuh di halaman;
Wajah yang manis nampak rupawan,
Maniskan lagi dengan senyuman.

6.
Kukur kelapa buatan tangan,
Ditempa dari besi yang waja;
Syukur dan pasrah ke hadrat Tuhan,
Mencantikkan wajah mengelokkan jiwa.

7.
Kuda-kuda kayu meranti,
Dipahat dengan kayu tualang;
Berasa-rasa gagah di hati,
Mahu menjadi anak cemerlang.

8.
Jika mahu melicinkan papan,
Guna keketam bermata tajam;
Apa guna berwajah tampan,
Jika hati bertitik hitam.

9.
Terdengar ngauman anak singa,
Cepat-cepat pulang ke rumah;
Jangan memancing dalam belanga,
Perlakuan khianat sifat mazmumah.

10.
Lauk santapan sayur berduri,
Kala memetik berhati-hati;
Sauk air mandikan diri,
Tidak mengharap belas simpati

11.
Jika mahu menanam padi,
Kuku kambing alatan utama;
Jangan lokek menabur budi,
Budi baik mengelokkan nama.

12.
Tok Batin membawa sumpit,
Memegang damak sambil ketawa;
Jika hidup terasa sempit,
Segera berdoa lapangkan jiwa.

13.
Segar sekali air telaga,
Dingin dan jernih segarkan diri;
Teguklah air hilangkan dahaga,
Tuanglah dari sebuah kendi.

14.
Para pahlawan ke medan juang,
Menggalas busur menjulang panji;
Pilihlah kawan berjiwa cemerlang,
Agar menyusul minda bestari.

15.
Petani gembira membajak tanah,
Tenggala besar ditarik kerbau;
Murah senyuman bersikap ramah,
Penawar terbaik hati nan galau.

16.
Pinang mana mahu dikacip,
Pinang lemak pohonnya tinggi;
Hati siapa berasa sakit,
Ampun maaf saya pohoni.

17.
Mari melancong ke negeri Melaka,
Bersiar-siar dengan pedati;
Pertahan sungguh negeri merdeka,
Sanggup berjuang hingga ke mati

18.
Simpan pekasam dalam guri,
Tempayan menadah air sembahyang;
Selagi tak hilang langit dan bumi,
Iman saya tidaklah goyang.

19.
Ayam jantan bermata rabun,
Tajinya patah cuba berlari;
Cantiknya baldu bunga setimbun,
Tidakkan tahan pakai sehari.

20.
Sepagi-pagi berasa sayu,
Manis serbat pengubat pedas;
Segak sekali pahlawan Melayu,
Keris bersisip capal beralas.

21.
Menjebak burung di pohon selasih,
Beberapa batas rumpunan temu;
Pandai-pandailah berterima kasih,
Kepada guru yang memberi ilmu.

22.
Datuk menteri jamah eepok,
Sagun rumbia dimakan sama;
Ilmu dipelajari tidakkan lapuk,
Sejuta tahun tetap berguna.

23.
Jika mahu membeli tas,
Pilihlah dari kulit buaya;
Jika mahu kekal di atas,
Jangan lupa orang bawahnya.

24.
Bersantap cekodok di waktu pagi,
Sambil minum kopi panas;
Daripada duduk di kedai kopi,
baik menanam kunyit lengkuas.

25.
Cenderamata dari Acheh,
Dibeli dari Desa Sentosa;
Mari kita bertambat kasih,
Cubit yang kiri kananpun terasa.

26
Beratur ke musala memakai cakiah,
Sambil berjalan tasbih di tangan;
Suburkan harta dengan sedekah,
Tanda bersyukur kepada Tuhan.

27.
Kalau kebun banyak tupai,
Ambil senapang petik picunya;
Kalau berasa kurang pandai,
Carilah guru tuntut ilmunya

28.
Keris Semenanjung berhulu gading,
Gading gajah dari Sumatera;
Menuntut ilmu sangatlah penting,
Untuk sempurna akhirat dan dunia.

29.
Jangan berebut cangkir di taman,
Nanti taman bertaburan kaca;
Jangan kedekut mengukir senyuman,
Satu senyuman mengubat derita

30.
Membuai dondangan di bawah pohon,
Endoi diikat tali sutera;
Dalam hati sentiasa memohon,
Ampun dan rahmat dari yang Esa.

31.
Kera lotong juga siamang,
Makan pisang habis bergelimpang;
Jangan laksana si umang-umang,
Di mana sarang udang di situ menumpang
32.
Hari raya sudah menjelma,
Hampar ambal sambut tetamu;
Sayang diberi kasih diterima,
Bersungguh rasa bukannya semu

33.
Kuih ketayap berwarna hijau,
Dihidang dengan sekole susu;
Ubat mustajab hati yang galau,
Zikir dan tawakal sudahlah tentu.

34.
Pukul tabuh pukul rebana,
Raja berdaulah di singgahsana;
Apabila subuh muncul waktunya,
Rukuk dan sujudlah kepada yang Esa.

35.
Sedulang rebung saya kunyiti,
Menjerang air bersama pari;
Sembilan gunung saya tangisi,
Mengenang dosa setiap hari.

36.
Cuaca panas rasa dahaga,
Minum sekole nira kelapa;
Sanggup serahkan jiwa dan raga,
Demi negara tidak mengapa.

37.
Algojo bertubuh sasa,
Pada tangannya memegang cemeti;
Jangan sesekali berbuat dosa,
Kalau tidak betah panasnya api.

38.
Cantik sungguh tiara puteri,
Bertatah emas intan permata;
Cantik sungguh bahasaku ini,
Molek didengar indah dikata.

39.
Sibuk sungguh orang kampung,
Berlapik tungku menanak nasi;
Jangan membuka dada berpekung,
Simpan aibmu usah mencaci.

40.
Kacak sungguh anak teruna,
Berjubah hitam ketayap putih;
Jangan bertangguh urusan agama,
Sebelum berselimut kapan yang putih.

41.
Cantik sugguh roman adinda,
Beralis hitam bundarnya mata;
Apabila berbisik berjaga-jaga,
Jangan tersilap bertutur kata.

42.
Gantung kelambu tepi beranda,
Pintu beranda tidak berkunci;
Biar beribu datang menjelma,
Saya memilih yang baik budi.

43.
Anak pungguk terbang di sawah,
Sangkar dibina di tepi jalan;
Enak sungguh bersantap di rumah,
Air tangan ibu pemasak handalan

44.
Mata sepek dicakar beruang,
Jatuh pula di dalam kubang;
Dalam kopek ada wang,
Untuk membayar hutang piutang

45.
Peram pulut buat tapai,
Letak dengan daun pandan;
Memang hajat sudah tercapai,
Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan

46.
Celapa digilap hingga berkilat,
Nampak bersinar tengah serambi,
Adat dipegang syariat diangkat;
Pegangan hidup orang berbudi.

47.
Bersantap pagi di medan selera,
Pramusaji ramah melayan;
Hati gembira tidak terkira,
Mencapai cita-cita dan juga impian.

48.
Cenderadurja dibalut rapi,
Isinya sehelai kain kembayat;
Sunguh teruja rasa di hati,
Tuhfat dikenang sepanjang hayat

50.
Datuk bersandar tepi beranda,
Opah pula menggobek pinang;
Untuk bergelar sebagai juara,
Usaha bersungguh malam dan siang.

51.
Berhati-hati meredah paya,
Pakai sepatu elakkan duri;
Berhati mulia setiap masa,
Budi pekerti pakaian diri.

52.
 Jika hendak menanam ubi,
Tanam kemili di pinggir bukit;
Jika sudah membuat budi,
Jangan disebut diungkit-ungkit
53.
Orang berbudi kita berbahasa,
asal diri jangan di alpa;
Berjuang bakti pada negara;
Jangan dilupa ibu dan bapa

54.
Kura-kura dalam perahu,
Anak sepat dalam belat;
Cura-cura perangai tak malu,
Hati kelam fikiran bejat.
55.
bawal dimakan kura-kura
lalu di sapa oleh si penyu
kawallah akan si cura-cura
kawal dengan menunduk nafsu

56.
Dalam bicara harus bercura
Agar terasa ramahnya tamu
Kalau berkata si cura-cura
Pandai-pandailah menyelit ilmu

57.
Buka peti di bawah alang,
buah catur sebutir hilang;
Jika hati berhiba walang,
carilah libur beroleh girang

58.
Daun salang enak rasanya,
Disambal dengan daun pegaga;
Hati walang ada penawarnya,
Seuntai tasbih penyeri jiwa.

58.
Bunga melati kembang setangkai,
Harum baunya tidak terperi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asalkan molek laku pekerti.

59.
Sundal malam putih melepak,
Baunya harum sampai ke pagi;
Jangan diikut perangai merak,
Mengembang ekor memuji diri.

60.
Mayang kepala belum kembang,
Ambil buluh menadah nira;
Andai usiamu semakin panjang,
Elakkan berbuat noda dan dosa.

61.
Toseh capati paratha dan dalca,
Santapan pagi mengalas tenaga;
Andai dirimu bermuram durja,
Rakan dicari penghibur lara.

62.
Si jalak mencari limbat,
Limbat disimpan dalam bakul;
Jangan berlengah meminta taubat,
Takut Izrail datang menyapa.

63.
Pohon inai bertunas baru,
Ambil pucuk digiling-giling;
Teruna kacak baiklah laku,
Dara yang lalu menjeling-jeling.

64.
Hari minggu pergi mengaji,
Mengaji balaghah dan juga nahu;
Jika ingin puji memuji,
Pujilah dengan nama Tuhanmu.

65.
Usah bermain di tengah hari,
Takut pitam di tepi padang;
Elok menyesal kesalahan diri,
Tanda dirimu berjiwa lapang.


66.
Ambil mangga kunci jendela,
Bimbang penyamun melompat masuk;
Sambil membaca bertasbih sama,
Jalan yang elok mencari khusyuk.


67.
Jika mahu ke pasar malam,
Kuatkan selak dengan tala;
Semoga dirimu jadi tenteram,
Agar selamat harta dan benda.


68.
Gepuh-gepuh pengancing selak,
Biar tenang waktu beradu;
Gapah gopoh sikap tak enak
Kusut-masai tidak menentu.


69.
Belantara luas jalan ke penghujung;
Carilah akar tempat berpaut;
Antara rumput ataupun gunung,
Aku memilih serumpun rumput.
70.
Hampas tebu jangan dibuang,
Bileh dibuat penggosok gigi;
Malas dan jemu perangai terlarang,
Amalan buruk orang merugi.

71.
Jeruk cili tidaklah pedas,
Pedasnya habis dimakan cuka;
Kemaruk di hati akan berbekas,
Jika tak kenal dosa pahala.
72.
Perbara tanah berbentuk bulat,
Tempat membakar kemenyan setanggi;
Sapalah dengan ucap selamat,
Romanmu cantik sopanmu tinggi.

73.
Pengantin segak berbaju melayu,
Singgah masjid bersolat zuhur;
Molek bergaya berwajah ayu,
Itulah gadis berbudi  luhur.

74.
Hutan nanas jangan diredah,
Banyak duri menusuk lengan;
Hati panas jangan diendah,
Nanti diri hilang pedoman.

75.
Kuaci bunga si matahari,
Kulit hitam isinya perang;
Benci pada si tinggi diri,
Ke sana ke mari merendahkan orang.

76.
Pena biru berdakwat basah,
Untuk menanda kertas periksa;
Bersama guru minda diasah,
Untuk bergelar budiman perkasa.

77.
Malam indah dengan purnama,
Jadi panduan belalang di taman;
Molek perangai indahkan nama,
Jadi sebutan zaman berzaman.


78.
Anak haruan mudik berenam,
Anak sepat masuk belat;
Sama mencecah hati kuman,
Cari sepakat bina muafakat.
79.
Basuh pelana jangan tergores
Besi mangga bawah kereta
Ayuh membina rasa altruis
Berkongsi bahagia berkongsi derita

80.
Mendaki hulu sampai puncaknya
Senyap selepas di balik punggur
Nabi terdahulu lanjak umurnya
Setiap nafas dipenuhi syukur

81.
Seroja bunga berkembang
Dalam kolam hidup subur
Menyusun kata jangan temberang
Nama membusuk ke lubang kubur

82.
Bunga kenanga berwarna kuning
Tinggi pohonnya di tengah hutan
Menyusun doa waktu yang bening
Menunduk nafsu jiwa dihambakan

 83.
 Sebelum kaki naik kerumah,
Ceboklah dulu air segayung;
Senyum itu tanda peramah;
Lambang pekerti diri yang agung.

 84.
Rumah limas perabung lima,
Dihias dengan ukiran jati;
Resah dan cemas tidak terkira;
Kala mengenang kosongnya hati.

 85.
Ayam selasih baru bertaji,
Beras melukut dicakar-cakar;
Terima kasih daun keladi;
Suluhan ilmu terus memancar.

 86.
 Kudup bunga tepian tanjung,
Tanjung berpasak kayu nan teras;
Hidup jangan angkuh dan sombong;
Berasing dengan antah dan beras.

 87.
Duduk bersila mendengar gendang,
Sambil meniup serunai tembaga;
Biduk berlalu pada kiambang,
Tidak kan lama bertaut semula.

88. 
 Celana ketat jangan dipakai,
Nanti susah untuk melompat;
Akal singkat berlagak pandai,
Pabila ditanya apapun tak dapat.

 89.
Rantai emas berkilau cahaya,
Doipadan dengan loket berlian;
Hidup di dunia hanya sementara,
Akhirat jua tempat tujuan.

90. 
 Sungguh sopan si anak gadis,
Duduk bertelut sambil bercanda;
Duduk bertimpuh dipandang manis,
Amalan lama jangan dilupa.
 91.
Ramai tetamu datang kenduri,
Duduk bersila atas bebalai;
Jangan amalkan dengki dan iri,
Iri dan dengki buruk perangai.

 92.
Pengantin berseri senyuman ceria,
Memakai subang emas yang tulen;
Lakarkan senyuman kala bersua,
Seteru menjauh silaturahim terjalin.

93.
Bau menusuk kemang di taman,
Ambil setangkai berikan rakan;
Biar busuk baunya badan, 
Jangan busuk akal fikiran
94.
Sirih diregu sekacip gambir
Dikunyah-kunyah
merah bibirnya
Ungkapan salam ayuhlah mampir
Mengundang tamu bersungguh rasa

95.
Terluka pedih tajamnya parang
Mulut terlopong sakit sekali

Jika sirih pulang ke gagang
Celepa kosong tidak berisi
96.
Kambing mengembek di pohon sirih
Ingin mengunyah pucuk di atad
Sama menggobek
sama menyirih
Itulah tanda rindu berbalas

97.
Tunas selasih bercabang-cabang
Dihinggap pipit berpatah patahan

Andainya sirih tidak dipandang
Emas seupih hamba gantikan
98.
Daun pisang dikerat lima
Buat bekalan anak petualangan
Sirih pinang sudah diterima

Menunggu kadi berjabat tangan

99.
Berbaju batik memakai songkok
Berjalan miring terbatuk-batuk
Minta sirih diberi rokok
Ingatkan bijak rupanya bongok
100.
Pipit di punggur tidak mematuk
Anak haruan lari berlindung
Sirih sekapur pinang setampuk

Di dalam puan tempat berkampung

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit