Wednesday 22 September 2021

Novel Nakhara, Api Cinta Dari Patani


Tajuk - Nakhara, Api Cinta Dari Patani

Penulis - Isma Ae Mohamad & Zulfikri Ibrahim 

Halaman - 332 


1. Watak utama yang melatari penceritaan ini ialah Nakhara, seorang mahasiswa yang penuh iltizam, azam dan strategis. Lokman, pelajar tahun satu yang bijaksana dalam penulisan bahasa Melayu, penulis dan editor akhbar kampus berpengaruh. Yasing pemuda Patani bersemangat kental, penuh retorik dan keras dalam pendapat. Urfah, mahasiswi muda yang cantik, bijaksana, idealis, berani, tidak terburu-buru dan diburu.


2. Kesemua watak di atas merupakan mahasiswa tahun satu sebuah universiti ternama di Wilayah Patani. Terdapat watak lain yang penting dalam menghidupkan novel ini. Sebagai anak jati Patani yang mahu menghidupkan jati diri Melayu Patani, membela kebenaran, kebebasan, demokrasi serta kemerdekaan watak-watak ini digarap dengan begitu teliti dan sangat menjadi.


3. Takbai, sebuah kawasan berdarah yang bersejarah menjadi latar mula, lalu dikembang dengan sembang santai kedai kopi. Kemaraan semangat mahasiswa muda yang baru tahun satu menandingi para senior. Politik dalaman kampus, politik di Patani, peranan masyarakat dalam dan luar kampus menjurus kepada tema cerita.


4. Perancangan strategik oleh Nakhara dalam menyaingi kumpulan senior untuk pilihanraya kampus sungguh bijak dan berstrategi. Kemenangan blok Suara Rakyat yang tersusun dengan mudah menyaingi blok senior yang tidak bermatlamat. Lalu Nakhara diangkat sebagai presiden MPP.


5. Politik pelajar, politik kampus berbolak-balik tekanan dari dalam dan luar menghimpit idealisme. Antara keutamaan sebagai pelajar yang perlu menamatkan pengajian dan idealisme perjuangan, mana lebih utama? Apatah lagi suasana panas di Patani itu sendiri menjadikan pimpinan pelajar sentiasa diperhatikan.


6. Penceritaan perjuangan mahasiswa dan pimpinan pelajar dalam novel ini sangat hidup. Semangat mahasiswa yang meluak dengan didihan darah anak muda, mahu mempraktikkan ilmu, menggilap potensi, mahu diperhatikan dan segala macam sebab dicoret dengan berhemah hingga terasa seperti turut berada bersama dalam kampus. Seraya, pengalam memimpin pertubuhan pelajar, NGO dan kenangan zaman belajar terbit satu persatu.


7. Persoalan jati diri Melayu Patani, bahasa, agama, sosial hinggalah aksara Jawi begitu mengesankan. Apatah lagi nama negara Malaysia disebut-sebut sebagai penanda aras. Satu tamparan kepada jati diri Melayu dan pemimpin politik Malaysia.


8. Saya sarankan kepada para mantan mahasiswa, mantan pimpinan pelajar untuk membaca buku ini sebagai imbauan nostalgik ketika zaman belajar. Kepada yang akan memasuki dunia kemahasiswaan bacalah untuk mengintip pengalaman. Kepada para pensyarah serta pentadbiran kampus, berlaku adillah dengan para pelajar. Layani mereka sebagai pelajar dan sebagai aset dunia.


9. Semoga Patani aman damai.

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit