Monday 21 September 2015

Pantun Semalu


Jangan terpijak duri semalu,
Pohon renek banyak khasiat;
Jaga perangai dan tingkah laku,
Jangan terjebak gejala maksiat.

Pokok semalu pokok berduri,
Banyak terdapat di tepi padang;
Banyakkan malu dalam diri,
Jadi pendinding perbuatan curang.

Mari menyentuh daun semalu,
Segeralah ia melindung diri;
Banyak malu perkara malu;
Lebihlah malu kepada Ilahi.

Jika berjalan di tepi lata,
Duri semalu jangan dipijak;
Maksiat bermula darilah mata,
Segera istigfar jangan merebak.

Bunga semalu berwarna ungu,
Tidak sesuai dijadikan hiasan;
Kala memandang tundukkan matamu,
Usah terpandang perkara larangan.


Wednesday 16 September 2015

Rangkapan HAMKA 1940-1n













Di atas runtuhan Melaka lama
penyair termenung seorag diri
ingat Melayu kala jayanya
pusat kebesaran nenek bahari

Di sini dahulunya laksama Hang Tuah
satria moyang Melayu sejati
jaya perkasa gagah dan mewah
'tidak Melayu hilang di bumi'

Di sini dahulunya payung terkembang
megah Bendahara Seri Maharaja
bendahara cerdik tumpuan dagang
lubuk budi laut bicara

Pun banyak pula penjual negri
mengharap emas perak bertimba
untuk keuntungan diri sendiri
biarlah bangsa menjadi hamba

Inilah sebab bangsakan jatuh
baik dahulu atau sekarang
inilah sebab kakinya lumpuh
menjadi budak jajahan orang

Sakitnya bangsa bukan di luar
tapi terhunjam di dalam nyawa
walau diubat walau ditawar
semangat hancur apakan daya

Janjian tuhan sudah tajalli
mulialah umat yang teguh iman
Allah tah pernah mungkir janji
tarikh riwayat jadi pedoman

Malang mujur nasibnya bangsa
terhenyak lemah naik perkasa
tergantung atas usaha sendiri

Riwayat lama tutuplah sudah
sekarang buka lembaran baru
baik hentikan termenung gundah
apalah guna lama terharu

Bangunlah kekasihku umat Melayu
belahan asal satu turunan
bercampur darah dari dahulu
persamaan nasib jadi kenangan

Semangat yang lemah buanglah jauh
jiwa yang kecil segera besarkan
yakin percaya iman yang teguh
zaman hadapan penuh cabaran

Pantun : Bakawali



Putih bersih si bakawali,
Kembang bunganya di kala malam;
Terima kasih tulus di hati,
Kepada guru insan budiman.

Bakawali kembang semalam,
Menjelang pagi bunganya layu;
Wangi namamu serata alam,
Kerana dibentuk seorang guru.

Bakawali banyak rahsia,
Hanya cendekia yang dapat tahu;
Ilmu segunung jangan nak bangga,
Itu hadiah dari gurumu.

Mari mengintai si bakawali,
Kembang mekar di larut malam;
Jangan umpama daun keladi,
Disimbah ilmu masih berdiam.



Apa Jua Warnamu



Apa Jua Warnamu

Tuhan mencipta
Hijau penyejuk mata
biru yang tenang melapisi langit dan lautan
Merah bungaan penyeri buana
Kuning berseri keranuman panenan
Jingga di kaki langit pemisah terang dan kelam
Hitam malam waktu istirahat
Warna bertujuh tidak ditemukan pangkalnya
Bianglala kegembiraan.
Justeru apa jua warnamu.
Ia milik Tuhan
Dan kepada Tuhan dikembalikan
Ayuh carilah keredaan Tuhan
Dengan warna-warna

Friday 11 September 2015

Pantun : Kucai


Mari menanam pokok kucai,
Diselang dengan bayam berduri;
Diam-diam orang yang pandai,
Umpama ubi diam berisi.

Jaga-jaga ayam serama,
Mematuk kucai patah tiga;
Ubi jangan berdiam lama,
Lama-lama berkayu juga.

Bertanam kucai juga peria,
Disiram air gunakan baldi;
Orang pandai kurang bicara,
 Orang pandir petah sekali.

Benih kucai di dalam langkap,*
Langkap diserah kepada tetamu;
Kalau tuan banyak bercakap,
Kelak sersingkap buruk lakumu.

Kucai digemal jual di kota,
Mahu dibeli Putera Mahkota;
Pandai pandailah bermain kata,
Kerana kata banyak berdusta.

Timbang kucai berat sekati,
Ditumis dengan cili padi;
Bicara itu suara hati,
Baitan kata gambaran budi.

* Langkap = Bahagian dalam tepak siri

Tuesday 8 September 2015

Pantun Dukung Anak


Dukung anak pokok berharga,
Di mana-mana senang dicari;
Ular lidi nak jadi naga,
Ukurlah dulu kemampuan sendiri.

Dukung anak, ulam pegaga,
Herba tradisi bernilai tinggi;
Salahkah ular nak jadi naga,
Jika punya kuasa sakti.

Mari merumput batas di ladang,
Dukung anak biarkan saja;
Ke mana pergi mata memandang,
Jika dikau berbuat jasa.

Tengah hari masih berhuma,
Dukung anak di celah titi;
Biarlah diri kurang ternama,
Asalkan baik budi pekerti.




Selamat berjuang kepada calon-calon UPSR SKTB 2015






Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit