Friday 11 September 2015

Pantun : Kucai


Mari menanam pokok kucai,
Diselang dengan bayam berduri;
Diam-diam orang yang pandai,
Umpama ubi diam berisi.

Jaga-jaga ayam serama,
Mematuk kucai patah tiga;
Ubi jangan berdiam lama,
Lama-lama berkayu juga.

Bertanam kucai juga peria,
Disiram air gunakan baldi;
Orang pandai kurang bicara,
 Orang pandir petah sekali.

Benih kucai di dalam langkap,*
Langkap diserah kepada tetamu;
Kalau tuan banyak bercakap,
Kelak sersingkap buruk lakumu.

Kucai digemal jual di kota,
Mahu dibeli Putera Mahkota;
Pandai pandailah bermain kata,
Kerana kata banyak berdusta.

Timbang kucai berat sekati,
Ditumis dengan cili padi;
Bicara itu suara hati,
Baitan kata gambaran budi.

* Langkap = Bahagian dalam tepak siri

No comments:

Post a Comment

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit