Tuesday 15 November 2016

Teks Pidato : KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

Teks Pidato
Tajuk : KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT.

Assalamualaikum warahmatullahi wabara katuh,
salam sejahtera,
salam satu Malaysia
Yang saya muliakan tuan peneraju agenda
Yang arif lagi berdiri di pasak kebenaran, para hakim yang budiman
Yang dikasihi tuan-tuan, puan-puan sidang dewan yang dirahmati sekalian.

Tampilnya saya dalam arena pidato ini untuk memperkatakan tajuk KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT.
Sebelum gelanggang dibuka,
dengar dahulu paluan rebana,
Sebelum kata meningkah bicara,
dengarkan dulu kupasan tajuknya.

Apa itu pendidikan teknologi maklumat? Dan apa itu pendidikan? Menurut Profesor Dr Sidek Baba dalam bukunya yang berjudul Pendidikan Rabbani, Pendidikan ialah proses memberikan asas asuh, pupuk dan bentuk. Para pelajar tidak semata-mata menerima pengetahuan, maklumat dan ilmu, sebaliknya diasuh trampil cemerlang dari sudut ilmu, peribadi dan akhlak.

Seterusnya izinkan pula hamba menerangkan apa itu teknologi maklumat. Teknologi ialah ciptaan baharu hasil inovasi dan sains. teknologi maklumat ialah ledakan komunikasi baharu dengan menggunakan peranti input dan output berbantukan komputer. Asasnya mudah, komputer dan talian. Melalui talian dan komputer, dunia menjadi sangat kecil. Sekecil hujung jari. Malah jari-jarilah yang menjadi penghubung dan mahaguru kepada ilmu dan maklumat.   Dewasa ini, dunia teknologi maklumat sangat cepat, pantas dan tuntas. Mengakses maklumat tidak lagi memerlukan set komputer yang besar. Memadai dengan sebuah komputer mini sebesar buku latihan atau telefon pintar yang boleh digenggam.
Tuan-tuan, puan-puan sidang dewan sekalian.

Klausa KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT bolehlah diertikan sebagai satu usaha asuh, pupuk dan bentuk yakni mengasuh, memupuk dan membentuk manusia berbantukan teknologi baharu. Dalam gelanggang pidato ini saya ingin mengupas bagaimana teknologi maklumat menjadi wahana penting dalam pendidikan, khususnya untuk pelajar di sekolah.

Melalui teknologi maklumat, para pelajar bukan sahaja boleh berinteraksi dengan rakan dari serata dunia, malah para pelajar boleh berinteraksi dan berdiskusi tentang pelajaran. Frog vle misalnya menyediakan ruang pembelajaran atas talian atau disebut ‘VERTUAL LEARNING’. Pembelajaran maya ini menyediakan ruang yang luas untuk para pelajar – guru – ibu bapa berinteraksi antara satu sama lain. Bahan pembelajaran boleh dimuat turun. Hasil tugasan pula dimuat naik setelah disiapkan. Dalam tempoh yang singkat murid boleh mendapatkan maklum balas daripada guru.


Bagaimana pula dengan media sosial yang menjadi kegilaan sekarang ini. Media sosial seperti facebook, twitter, instagram, weechat, telegram dan sebagainya boleh dimanfaatkan untuk pendidikan. Murid-murid, guru-guru bersama ibu bapa boleh mewujudkan kumpulan-kumpulan perbincangan tersendiri seperti kumpulan UPSR. Melalui kumpulan ini ahli boleh mengemukakan apa jua persoalan, kemushkilan berkaitan peperiksaan. Guru-guru pula boleh member tip-tip berguna untuk diamalkan. Malah melalui pautan fail, urusan muat naik dan muat turun boleh dilakukan. Dalam kaedah pembelajaran atas talian kumpulan perbincangan seperti ini disebut sebagai forum. Antara universiti yang menggunakan kaedah ini ini ialah Universiti Terbuka Malaysia.

Sidang hadirin sekalian.

Sebagai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, latih tubi sangat penting. Lebih-lebih lagi latih tubi soalan tahun-tahun lalu dan latih tubi soalan daripada negeri-negeri lain. Soalan-soalan ini sebenarnya sangat mudah diperolehi melalui internet. Terdapat banyak laman sesawang dan blog yang menyediakan kemudahan mengakses soalan-soalan ini secara percuma. Nah! Apa tunggu lagi. Sampan sudah di air, pendayung sudah di tangan. Mudiklah ke hilir atau tongkahlah ke hulu. Ambil peluang memuat turun bahan tersebut. Jangan lupa disimpan dalam pemacu dan dicetak untuk latihan.

Zaman ini zaman atom. Zaman millennium. Zaman canggih dan zaman  sibuk. Masa berlalu begitu cepat. Ibu bapa terpaksa menggadai masa untuk menyara keluarga sehingga terbabas untuk mengetahui perkembangan sekolah anak-anak. Tidak mengapa. Usah khawatir. Kementerian Pendidikan Malaysia telah membangunkan satu sistem yang dinamakan Sistem Analisis peperiksaan Sekolah atau SAPS.

Sidang dewan yang budiman.
          Berdasarkan hujah dan fakta di atas, jelaslah bahawa pendidikan teknologi maklumat merupakan satu kaedah pendidikan yang penting kepada pendidikan Negara. Murid-murid akan lebih mudah menerima ilmu pengetahuan dan pelajaran dengan berbantukan teknologi maklumat. Walau bagaimanapun terpulanglah kepada cara penggunaannya. Justeru gunakanlah teknologi dengan cara dan tujuan yang betul

          Jalan yang gelap bawalah suluh
          Lihat cahaya buat pedoman
          Pendidikan teknologi maklumat jadi penyuluh
          Tentu kecemerlangan dalam genggaman

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

8 comments:

  1. Assalamualaikum.
    Saya puan ashra dari nilai,n9. Sy ingin mohon izin ambil teks pidato ini tuk anak di sekolah rendah. Mohon halalkan ilmunya..moga jadi jatiah pahala buat tuan. Barakallahu fik. Jazakallahu khairan.

    ReplyDelete
  2. Assamualaikum puan. Izinkan saya untuk menggunakan teks pidato ini untuk kegunaan murid sekolah saya. Mohon dihalalkan. Jutaan terima kasih.

    ReplyDelete
  3. assalamulaikum puan. mohon izin gunakan teks ini ya untuk kegunaan anak murid saya. mohon dihalakan. Moga dimurahkan rezeki

    ReplyDelete
  4. Selamat pagi,mohon izin ambil teks ini.Mohon halalkan ya.terima kasih

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum puan. Sy mohon izin gunakan untuk pelajar sy ya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum puan, mohon izin gunakan teks ini untuk bahan mengajar ya. Terima kasih

    ReplyDelete

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit