Tuesday 29 December 2020

Resensi Buku : Ar Risalatul Ula

 Ar Risalatul Ula.

Sebuah kitab catatan yang tidak setebal mana. Hanya 135 halaman dengan tulisan saiz agak besar, tetapi mempunyai nilai yang tiada taranya. Buku ini merupakan terbitan Geroda Merah yang diterjemahkan daripada kitab catatan pengembaraan oleh pengembara Arab ke rantau sebelah sini.

Apa yang menarik kepada kitab catatan pengembara Arab ini? Dalamnya dicatatkan pengalaman Abu Dhulaf Al Muhalhil tentang suasana perjalanan kembaranya. Gambaran sosio politik, sosio ekonomi, sosio budaya serta ragaman manusia kurun ke 4 hijrah terutama terowong masa bagi negara-negara Melayu. 

Negeri Kedah tua (Kalah), Qamar, Sanfa (Champa) antara negeri Melayu yang cicatatkan tentang suasananya di samping negeri-negeri lain. Melalui catatan ini dapatlah kita membayangkan suasana alam Melayu pada ketika itu. 

"Tatkala aku sampai ke sana aku lihat ianya begitu besar dan tidak terkalahkan, tinggi tembok kotanya, banyak kebun dusunnya, serta mewah sumber airnya. " Negeri Kalah pada pandangan penulis pada halaman 91.

Digambarkan juga pengeluaran gaharu yang sangat pesat dan setiap gaharu itu ada identitinya. Gaharu Hindi, Gaharu Qamirun Mandali, Gaharu Qimari, Gaharu Sanfi, merujuk kepada jenis dan kualitinya dan pengeluaran kafur (kapur barus).  

Secara semantiknya, kafur dikatakan perkataan daripada bahasa Melayu dan istilah kafur dicatat dalam al Quran surah al Insan, merujuk kepada pohon yang menghasilkan wangian yakni kapur barus.

Kitab terjemahan ini diterjemahkan langsung daripada catatan kitab Arab oleh Ustaz Arsyad Pendang dan oleh penerbit yang mahir dengan sejarah Melayu Mohd H Roslan.


Muka hadapan Kitab terjemahan Ar Risalatul Ula


Bacaan tambahan, e-jurnal tentang perkataan kafur dalam AL quran

Analisis Leksikografi dan Semantik perkataan Kafur


Monday 28 December 2020

KARYA-KARYA RAMLEE AWANG MURSYID

 Ramlee Awang Murshid merupakan penulis tersohor yang berasal dari Papar, Sabah. Namanya sudah masyhur sebagai penulis novel yang berat untuk dihadam. Penuh dengan unsur suspen, pendidikan, petualangan, nilai budaya, suntikan agama, imaginasi tinggi serta lain daripada yang lain.

Pola pemikiran dalam karya beliau sarat dengan pengajaran. Plot cerita yang berombak-ombak, tidak statik, tunggang-langgang penuh dengan imbasan masa. Permainan ruang dan waktu yang sukar ditebak.

Ternyata permainan waktu, ruang dan imbas masa inilah yang menjadikan karya beliau hidup. Pembaca menjadi tidak keruan untuk mengenali watak yang direka secara mendalam, juga perincian kepada latar peristiwa yang diketengahkan.

Kehebatan penulisannya lebih terserlah melalui kompilasi karya yang berkesimbangungan. Kisah Laksamana Sunan contohnya, bermula dari kisah Bagaikan Puteri, karya ini berkembang sehingga sembilan buah buku. 

Setiap buku pula berbolak-balik tidak mengikut alur masa. Justeru para peminatnya sentiasa peka dan leka membaca untuk mengikuti perkembangan yang selanjutnya. 


Pengkisahan dengan menggunakan latar tempat yang pelbagai juga menghidupkan karya. Bukan sahaja kawasan kampung di Malaysia seperti Punggor, pedalaman Acheh, pedalaman belantara di Borneo, malah lokasi internasional sampai ke Harajuku, Jepun, ladang buah di Australia, pergunungan di Balkan dan sampai ke luar orbit juga dimasukkan.

Sungguh, keterujaan mengumpul dan membaca karya beliau memang tidak dapat disanggah. Berikut antara karya beliau yang tersimpan dalam simpanan saya.


Haura. Sebuah trevelog memburu cinta sang bidadari di Benua Kecil Australia. Pasca kejadian penembakan secara rambang di New Zealand membuka banyak jiwa kepada sesuatu yang lebih luar biasa. Islamophobia memang menjadi darah daging dalam kalangan masyarakat kulit putih. Sebab.....? Entah. Mungkin itulah dna mereka. Dan penembak rambang di New Zealand adalah warga Australia. 

Travelog, cinta, sang bidadari, Islamophobia, ego, ilmu, perkebunan, taqwa, prinsip dan perundangan. Itulah santapan yang disaji dalam novel Haura ini. Penceritaan yang agak santai. Kurang bermain ruang waktu seperti karya RAM sebelumnya, namun permainan watak masih menjadi gaya penulisan yang mengujakan.

Adam, Fahmi dua nama yang menjadi latar trevelog ini. Perjalanan seorang lepasan SPM ke bumi kanggaru. Bekerja di perkebunan sebagai pekerja tanpa permit kerana mencari cinta. Kecewa dalam percintaan tetapi bijak membuat keputusan. Kegagalan dalam percintaan menyediakan jalan. Kecewa bukan takdir tetapi pilihan sendiri.

Haura sang bidadari. Haura Muhammad, Jessica Haura dan Amanda Haura. Manusia bidadari. Karya Ramlee Awang Murshid.

Ada yang berkata, baca novel ni bagi serabut. - Kalau tak boleh berimaginasi dan tak boleh bermain dengan otak kanan otak kiri in tak payahlah baca novel. Baca buku matematik sajalah. 😆😆


Anding Tangan, sengaja ditangguh baca. Dapat jua kuhabisi aksara-aksara terakhir Anding Ayangan. Seperti biasa karya RAM tidak dapat ditebak selagi belum ke titik khatimah. Masih banyak persoalan yang tergantung dan akan menjadikan karya ini seumpama karya Laksamana Sunan.

Apa ada dalam Anding Ayangan? Bukan sekadar fiksi rekayasa. Ia sebuah persoalan juang. Perjuangan menyemalatkan aqidah sunnah wal jamaah. Anutan Ayangan dengan Tuhan yang satu beserta ritual pelik menjadikan Anding sebagai sasaran dakyah. Ayangan adalah kelahiran isme baharu yg memusuhi sunni yg dapat difahami sebagai Syiah vs Sunni. 

Anding tumpas dengan usaha yang bukan mudah, tumpas di tangan munafiq. Kisah pembunuhan Saidina Umar oleh Abu Lukluk al Fairuz diterapkan tanpa selindung. Aliusien menikam perut Penghulu Sunni, lalu tembok bertampik yang menjadi penghalang bala tentera Raja Batakbauta' lenyap. Lalu Anding ditumpaskan. Persis tumpasnya Iraq di tangan syiah dengan bantuan Amerika dan munafik.


Kasyaf Ain. 

Penghasut adalah syaitan laknatullah. Khilafnya adalah ketohoran agama dan penyebabnya adalah cinta. 

Permainan masa dan ruang waktu tetap menjadi elemen terpenting karya RAM. Lompatan zaman baharu dan bahari tentu meligatkan daya fikir untuk memahami karya ini. 

Kampung Buana Senandung dan Kampung Lembah Beringin abad ke 15 menjadi rahsia yang bakal dibongkar.


Igauan Maut. Buku yang paling sukar ditemukan. Buku karya beliau yang awal. Ini pun dapat setelah Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan semula.


Imaginasi. Setiap manusia ada rahsia. Ada rahsia yang boleh dikongsi boleh dibicarakan. Dan ada rahsia yang menjadi rahsia. Rahsia yang tidak boleh dikongsi dan dibicarakan. Setiap manusia juga ada masa lalu. Masa lalu yang penuh kisah, penuh cerita. Masa lalu yang boleh dikongsi dan masa lalu yang hanya dalam ingatan atau masa lalu yang tidak mahu diingatkan sama sekali.

Manusia singa? Apakah ada manusia singa? Ilmu jadian singa atau dunia terbalikan manusia singa. Manusia yang terlanjur janji terlanjur cinta.


Raudhah. Pencarian cinta pencarian Raudhah. Raudhah di Madinah atau Raudah di hati? Hati manusia berbolak balikm terkadang suci terkadang noda. 

Suci dan noda tidak boleh bersekali sentiasa berlumba-lumba untuk menguasai manusia. Pabila suci menjadi taqwa, pabila noda bernuansa iblis. Manusia perlu mencari satu daripadanya.

Mitos. Kisah harimau jadi-jadian. Apakah ada manusia yang boleh merupa harimau? Jika ada adakah mereka merupakan kelompok manusia atau kelompok harimau, atau kelompok makhluk halus atau siapa mereka? Pengamalan ilmu yang tidak jelas boleh merubah manusia menjadi apa sahaja.


Sunan: Nanggroe Sang Kembara. Kuhabiskan dalam satu perjalanan panjang di atas awan membelah udara Kuala Lumpur - Istanbul. Ternyata perjalanan panjang tidak terasa dengan galauan jiwa membaca aksara demi aksara akan perjalanan Laksamana Sunan dengan kesaktian keris naggroe titipan guru merangkap ayah asuhnya, Wali Sufi. Apakah keris nanggroe benar-benar sakti? Bukankah keris hanya alat sedangkan manusialah yeng mengendalikannya.

Mengendalikan nanggroe sebagai alat pembanteras taghut yang pelbagai rupa memerpukan kekuatan dalaman. Kekuatan rohani yang menundukkan rasa amarah dan gelojak nafsu. Manusia pula sering melakukan kefasadan dan ketelanjuran. Ampun adalah hikmah yang tersembunyi jauh di sudut jiwa. Kisah perjalanan Sunan terkumpul dalam sembilan karya.
  1. Bagaikan Puteri 
  2. Cinta Sang Ratu
  3. Hijab Sang Pencinta 
  4. Cinta Sufi 
  5. Sutera Bidadari 
  6. Sunan Musafir 
  7. Sunan Nanggroe Sang Kembara 
  8. Sunan Cinta Nan Sakti
  9. Saifuddin Jalis, Musafir Cinta Meraga Sukma
" biar tersalah ampun, jangan tersalah kukum".



Anding Ayangan II. Nyian, Latif, Pak Hashim, Furqan Ayubi, Damit, Dang Bisai, Pangeran Haji dua peradian, Raja Suir, Datuk Johar, Yungku Kelangar, Bu Jijun, Cakah, Salleh, Penghulu Sunni, Cahaya nama-nama bahari dan baharu pada zaman baharu dan bahari. Pada alam fana dan dongengan.

Fiksyen yang merapu yang bikin kesurupan. Memang merapu menghayal, berdongeng di alam terbalikan fantasi - realiti.

Realiti pada watak manusia yang suka berdongeng. Fantasi pada dongengan fana yang juga nyata.

Watak-watak ciptaan yang sangat nyata dalam kehidupan. Disadur dengan dongengan yang sangat mengena. Itulah fitrah dan lumrah manusiawi. Kuasa - pangkat - harta - nafsu - rasuah - wanita - tahta - caras mencaras yang disukai oleh makluk asal kayangan hingga terlupakan pencipta.

Perjuangan sunnah wal jamaah di dunia terbalikkan dengan tauhid yang bertentang. Mampukah kalamullah dan sunni terus mekar sebagai suluh nurani? Sunni menjadi terhimpit. Dihimpit sang penguasa yang lebih Tuhan daripada Tuhan.

Kuasa politik sang politikus rakus tetapi dayus. 
 

Biarkan koleksi ini berdiam di tempat yang sewajarnya. Sesekali ulang baca untuk mencabar minda.
 


 

Saturday 26 December 2020

PANTUN SENTANA

 

Sentana


Cantik laksana si bianglala

Seri buana menambah syukur

Guru sentana api menyala

Besi yang waja dapat dilentur


Sentana mentari panas membakar

Pabila malam hilanglah ia

Jasamu guru tak pernah pudar

Tidakkan padam dimakan masa


Gantung buaian dahan angsana

Tepian sawah batasan padi

Andai pakaian tidak sentana

Hilanglah maruah pelindung diri


Di mana semak di situ sapi

Melangkah redah tepian lata

Sentana minyak disambar api

Bendungkan lidah kala berkata


Cantik gerhana serinya bulan

Awan berarak langit terhias

Jangan sentana bapa haruan

Melindung anak sambil mengilas


letak beralas kersani raja

gerak pahlawan dari muara

sentana sekeras besi nan waja

tidak terlawan gagah perwira


Kelapa puan takik separuh

Letak di langgar tikar jerami

Sentana tuan mudik ke baruh

Singgah sebentar di teratak kami


Emas setahil beras sekati

Dalam cepu buatan tembaga

Akal jahil sentana besi

Ditempa empu lekuklah jua


* seumpama, seperti, sekiranya, kalau, selayaknya 

Sam Rizal





USS

 Sebaik sahaja tamat acara penanda aras kebudayaan di Lakeside Primary School dan bertukar pakaian segera bertolak ke Universal Studio Singapore. Segala busana bertukar ke pakaian santai. Perjalanan lebih kurang setengah jam.

Bas kedua yang terdiri daripada ibu bapa awal-awal lagi dah sampai di sana. Penanda aras kebudayaan hanya melibatkan bas satu sahaja iaitu murid-murid sekolah, guru-guru dan beberapa orang ibu bapa yang mahu sertainya. Taklimat disampaikan dalam bas. Taklimat disampaikan dari masa ke masa. Penting sampaikan taklimat dalam bas kerana apabia dah sampai di lokasi tentu peserta tidak ambil perhatian.

Antara perkara penting yang diingatkan ialah keselamatan diri dan wang saku. Dokumen seperti passport ada dalam simpanan guru. Pergerakan sentiasa dalam kumpulan, Jimatkan wang saku sebab esoknya masih ada aktiviti lagi. Solat jamak di surau yang disediakan. Macam-macamlah soalan yang ditanya oleh peserta, maklumkan masing-masing dah teruja sangat.

"Cikgu, nak kena bayar ka?"

"Cikgu, nak main roller coaster boleh tak?"

"Cikgu .... macam-macamlah soalan.

"Mainlah apa sahaja yang kamu mahu, pastikan dalam kumpulan dan berkumpul di tempat yang ditentukan'"

"Yeyyy !!!" keterujaan yang tidak boleh diselindung lagi.

Perbelanjaan untuk makan serta tiket masuk di USS telah diuruskan. Peserta hanya menyediakan wang saku untuk belanja yang dirasakan perlu sahaja.

Sepatutnya kami makan tengah hari dahulu sebelum masuk ke USS. Tapi masing-masing hilang selera makan. Kata mereka dah kenyang. Betul juga, semasa di Lakeside Primary School tadi dah makan berat. Tak mengapa, yang penting setiap peserta telah diserahkan makanan dan minuman.
 
Sebaik sahaja masuk ke pintu automatik di USS para peserta diberi kebebasan untuk menjelajah ke seluruh kawasan. Apa lagi.... berdesup, terus hilang dari pandangan.Memang mereka hilang terus, entah ke mana. Mereka tidak akan ke mana-mana hanya berada dalam lingkungan kawasan USS ini sahaja.
 
Memang berbaloi seharian di sini. Kalau ikutkan hati memang tidak cukup waktu. Pemilihan hari bekerja sangat tepat kerana jumlah pengunjung tidak terlalu sesak. Pengunjung memanglah rama tetapi sangat berbaloi kerana kami berada pada hari Isnin iaitu hari bekerja dan hari bersekolah.

Disebabkan terlalu teruja dan gembira masing-masing kurang mengambil gambar aktiviti. Setelah seharian di USS, masing-masing agak lesu, namun kegembiraan jelas terpamer. Kami ada masa kira-kira 90 minit sebelum acara akhir iaitu menyaksikan pertunjukan cahaya dan air. Masa yang ada dimanfaatkan untuk bersantai dan beristirahat sambil merakamgambar kenang-kenangan. Meleser-leser di sekitar kawasan USS yang sangat luas itu.

Kira-kira pukul 10.00 kami bertolak pulang ke hotel di Johor Bahru. Seperti biasa, taklimat untuk aktiviti esok perlu disampaikan. Malam ini juga peserta perlu mengemaskan semua pakaian kerana esok pagi kai akan ke SMK Kelapa Sawit untuk acara lawatan penanda aras transformasi. Dalam bas, sunyi.


Berfoto di pintu hadapan yang menjadi kewajipan setiap pengunjung di sini. Berbaloi-baloi.


Masuk bersama keratan tiket masing-masing.
Tempat berkumpul setelah tamat aktiviti. Pastikan berada di sini apabila cukup masa. Semuanya menepati masa.


Boleh main apa sahaja dengan syarat menyukat ketinggian. Alamak, banyak tempat yang budak-budak renek tak boleh masuk. Maka bermesyuaratlah mereka di bawah tiang roller coaster. 
Merilyn Monroe asli ke palsu ni. Entahlah, nasib baik tak kena peluk.


Santai bersama rakan-rakan. 

Surau disediakan berhampiran dengan roller coaster dan kawasan Egypt Zone.


Hari bekerja, pengunjung tidak terlalu padat. Dapatah kami menjelajah sekitar USS sepuasnya.


Istana Far Far Away. 


Seronok bukan main. Hilangkan keserabutan tugas buat seketika. Nanti kena cari anak-anak angkat masing-masing.

Guru besar pun teruja mengalahkan anak-anak murid. Sementara ada masa, serbu lokasi seterusnya.


Berbaris dulu sebelum ke stesyen permainan. Berbaris pun tak lama lama. Tak sampai 15 minit sahaja. Sembang-sembang dah sampai giliran.


Anak patung pinjam. Entah berapa dollar dihabiskan oleh budak-budak ni untuk dapatkan seekor anak dinasour comel.


Acara penutup. Menyaksikan persembahan cahaya dan air tentang di dataran sebelum pulang ke hotel.









Friday 25 December 2020

KE LAKESIDE PRIMARY SCHOOL SINGAPORE

11.11.2019. Lawatan Penanda Aras Pengantarabangsaan SKTB ke Lakeside Primary School,  Cooporation Walk Singapura berlangsung dengan jayanya.  Untuk julung-julung kalinya para pelajar merentas sempadan negara membawa misi internasional. 

Sebelum berkotak ke Singapura, kami awal-awal lagi dah makan berat. Sarapan yang mengenyangkan. Maklumlah acara hari ini padat. Pertama misi kebudayaan dan kedua bersantai di USS. Tentu memakan tenaga dan kekuatan mental.

Sebaik sampai di Lakeside Primary School, kami disambut dengan ramah Pn Norlida, oleh wakil pengetua. Pengetua tidak dapat serta kerana ada acara lain. Hujung tahun sekolah sibuk dengan pelbagai tugasan. 

Sebelum masuk ke dewan minta ruangan untuk bersiap mana yang patut. Sebenarnya dari Johor lagi kami sudah mengenakan busana Melayu. Melintas sempadan dan menjadi perhatian ketika di Imigresen. Cuma beberapa riasan terakhir perlu dibuat. 

Tak lama mana. Sesudah berhias peserta berkumpul dalam kumpulan yang telah ditentukan. Satu kumpulan 10 orang. Malaysia dan Singapura bergabung. Sambil makan sambil sembang. Makan spegety sambil bersila sahaja. Eh.... Pelajar Singapura pun bersilalah.

SKTB mempersembahkan adat budaya perkahwinan tradisional, silat pulut,  lagu pengantin dan tarian dabus. Kelihatan para pelajar Lakeside sangat teruja merenjis air mawar dan bunga rampai kepada pengantin.  Satu pengalaman baharu untuk mereka.  Tarian Dabus juga merupakan satu persembahan yg belum pernah mereka saksikan.  Tarian dabus sepatutnya menggunakan anak dabus tetapi digantikan dengan makaras kerana larangan membawa alatan tajam menyeberangi sempadan 

Latihan tarian dabus dibuat sebaiknya,  cuma saat-saat akhir dimaklumkan bahawa imigresen Singapura tidak membenarkan alatan tajam merentas sempadan. Anak dabus diperbuat daripada besi dan tajam.  Lalu ditukar dengan marakas 😊😊

Sebagai aluan,  para pelajar Lakeside mempersembahkan dikir barat. 

Khatimah acara,  tanjak Alang Iskandar yang merupakan tanjak diraja negeri Perak diberikan sebagai cindurmata penghargaan. Apa lagi, segera menyalin pakaian santai untuk ke USS pula.

Pengalaman manis untuk guru pengiring dan anak didik.


Dari hotel di Johor Bahru dah bersiap dengan busana lengkap. Masing-masing segak bergaya.

Satu kumpulan sepuluh orang murid. Makan berat (spegeti) disediakan sebagai sarapan. Kata Puan Norlida, perjalanan dari JB memang tak jauh tetapi urusan di Imigresen ambil masa yang lama. Pastikan tetamu dijamu sebaiknya. Terima kasih.


Pasukan dikir barat Lakeside mempersembahkan satu persembahan yang sangat mengagumkan. Dikir Barat merupakan kebitaraan sekolah ini.

Soleh dan rias mana yang patut. Cantik pengantinnya.


Pasangan raja sehari diarak ke pelamin. Bukan pengantin betul Olok-olok sahaja. Memang cantik dan sepadan. Berbusana hijau.



Persembahan silat pulut dengan iringan gendang silat oleh Sdr Amirul Munir dan Aiman Suhaimi. Latihan intesnsif selama beberapa hari berbaloi dengan sembah tari silat yag memukau.

Pengantin dan hadiri dihiburkan dengan lagu pengantin baru oleh pasukan perkusi yang lengkap berbusana pendekar. Baju layang merah beserta tanjak tradisional negeri Perak.

Misi mengetengahkan budaya tradisional perkahwinan Melayu. Murid-murid Lakeside diberi kesempatan merenjis air mawar dan bunga rampai kepada mempelai. Bunga pahar berisikan wajik menjadi cindur hati. Mereka tidak pernah mendapat bunga pahar wajik.

Persembahan tarian dabus kebanggaan negeri Perak, Anak dabus ditukar dengan marakas kerana pihak imigresen tidak membenarkan membawa barangan besi lagi tajam.

Perkara yang melucukan.... Samping sdr Aiman terlondeh la pula. Apa pun syabas kerana beliau boleh mengawal keadaan dan meneruskan persembahan. aksi spontan ini mendapat tepukan yang paling gemuruh.


Pasangan pengantin Sdr Afiq Syahmi dan Balqis Munirah diapit oleh pengapit.

Tanjak Alang Iskandar iaitu salah satu tanjak diraja kesultanan negeri Perak menjadi bingkisan pengerat antara kedua-dua buah sekolah.

Foto kenang-kenangan bersama pentadbiran Lakeside Primary School.

Busana dah bertukar. Siap sedia untuk bersantai di USS. Sebelum itu saling berkenalan dan bersilatur rahim sasama rakan. 

Pautan Youtube aktiviti di Lakeside Primary School.

Sambutan oleh pentadbiran Lakeside Primary School

Perjalanan yang mengujakan.

Persembahan dikir barat.

Persembahan Kebudayaan SKTB.


Persembahan Dabus oleh SKTB


Majlis perkahwinan.




Thursday 24 December 2020

PANTUN : TIKAM-MENIKAM

 


Andai mahu pergi ke baruh
Pastikan dulu arahnya tepat
Andai mahu menikam musuh
Pastikan hulu digenggam erat
 
Anak sirih memanjat dahan
Dahan gaharu tepian bendang
Bertikam keris di tengah medan
Jangan hulu di tangan orang
 
Emas tempawan buatan indah
Corak diukir bunga selada
Cara begawan bertikam lidah
Bersilang dalil hujah dan sabda
 
Riuh rendah di balai tabal
Tuan Putera masuk mekangkah
Bertikam lidah cara si bebal
Caci dan nista menjadi hujah
 
Hujan lebat basahlah sekam
Tikar purun buat jemuran
Tuah Jebat tikam-menikam
Berabad kurun jadi sesalan
 
Ikat destar susunan elang
Burung elang menyusur padang
Memang dasar pendekar curang
Tepi gelanggang tikam belakang
 
Tikam lidah berbalas hujah
Kata petah jadi usulan
Awas langkah jangan tersalah
Kelak padah merana badan

Tikam lidah menguji petah
Tikam keris menguji langkah
Tikam kawan tak pernah sudah
Tikam belakang tentulah padah
 
Banyak sekam antara sekam
Sekam hitam usah diludah
Banyak tikam perbuatan tikam
Tikam belakang haram zadah
 
Sam Rizal

 

Program Bacaan Digital e-NILAM dan e-Ulat Buku 2020

Untuk kali yang keduanya, program Bacaan Digital ini diteruskan lagi sejak kali pertama diadakan pada tahun 2019. Kali ini situasi dan jalan ceritanya sangat berbeza. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh musibah Covid-19 mengalurkan pelaksanaan program ini 100 peratus digital.

Kerja-kerja bersifat semuka hanya berlaku bagi tugasan pengurusan dan pentadbiran sahaja. Yang lainnya dilaksanakan secara dalam talian. Penggunaan kumpulan WhatsApp, Telegram, Google Meet, Facebook, Youtube serta pelbagai aplikasi lagi menjadi wahana kemenjadian program ini.

Program ini mendapat sokongan dan dokongan daripada Yang Berhormat Tn Hj Razman B Hj Zakaria, Exco Pendidikan Negeri Perak. Beliau telah melancarkan program ini secara dalam talian yang disiarkan melalui Facebook dan Youtube pada 20 April 2020. Sepattnya pelancaran dilaksanakan lebih awal, tetapi PKP yang dilaksanakan diseluruh negara menuntut agar pelancarannya dilaksanakan dalam situasi ber-SOP,

Ucapan alu-aluan Guru Besar, Pn Suryati Bt Hj Othman PPT


Ucapan Perasmian. YB Tn Hj Razman B Hj Zakaria, Exco Pendidikan Perak

Sebalik tabir. Tonggak dan penggrek utama program ini terdiri daripada Unit ICT, Pusat Sumber Sekolah serta kerjasama daripada Panitia TMK, Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Kolaborasi antara En. S Samprizal B Selamat: Penyelaras Program, Pn. Rohaida Bt Abu Hassan Shaari: Penyelaras Bestaridan Pn Salwani Bt Mustaffa: Penyelaras  Media telah berjaya menggerakkan program ini hingga ke hujungnya. 

Ke semua aktiviti dalam talian yang dirancang telah berjaya disempurnakan dan mendapat kerjasama daripada murid-murid, ibu bapa dan guru-guru. yang masih tertangguh ialah majlis penutupannya sahaja. Insya Allah penutup akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Kekangan PKPB dan garis panduan SOP serta beberapa hal ehwal teknikal telah membejatkan kelicinan perjalannnya.

Apakah aktiviti yang dijalankan?

Terdapat beberapa aktiviti yang dilaksanakan. Semuanya dilaksanakan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai aplikasi seperti Google Form, pautan video, padlet, quizizz, Google Docs, Google Slide dan sebagainya.

Antara aktiviti / pertandingan yang dijalankan.

1. Catatan e-NILAM

2. Mengarang cerita pendek (e-cerita pendek)

3. Hayya Bil Arabiah ( rakaman video / youtube )

4. Resensi buku ( rakaman video / youtube )

5. Penyediaan Google Slide ( dimuatnaik dalam bentuk video melalui Youtube )

6. Mengarang pantun ( padlet )

7. Mewarna digital

8. Pesta Pentun PKP ( rakaman video / youtube )

9. Bercerita Bebas ( rakaman video / youtube )

10. e-Buku ( anyflip )

11. Cabaran Jom Membaca ( gambar dan video )

 

Catatan e-NILAM direkodkan melalui pautan Google Form

JOM BACA SKTB

Tugasan dan keputusan dimuat naik dalam bentu anyflip

keputusan catatan e-NILAM  http://online.anyflip.com/wtous/dusc/mobile/index.html

Tugasan murid  https://anyflip.com/bookcase/oslrp



Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit