Monday 11 May 2015

Pantun Inai


Mari serikan pengantin baru,
Pucuk inai dilumat-lumat;
Hidup jangan cari seteru,
Ramaikan teman banyakkan sahabat.

Batang inai elok dipangkas,
Makin dipangkas makin merimbun;
Satukan mempelai elok berlekas,
Nescaya terpelihara adap dan santun.

Inaikan jari pengantin baharu,
Inai digiling sambil bersila,
Dua jiwa telah bersatu,
Menjaga leluhur umat manusia.

Tunggul inai usah disepak,
Kelak berdarah si sibu jari,
Rindu kasih cinta semarak,
Langsung berjabat tangan tok kadi.

Lumatkan inai malam pengantin,
Petik inai pucuk yang muda,
Bersatu hati zahir dan batin,
Kasih di dunia kekal ke syurga.

Pantun; Kaktus


Pokok kaktus berbunga undah,
Bunga cantik daun tiada;
Kelindan putus berjahit sudah,
Kerja yang molek lagi sempurna.

Jangan memegang batang kaktus,
Durinya akan menusuk jari;
Penyu di pantai telur beratus,
Namun tak pernah menyombong diri.

Kaktus pokok tahan mentari,
Tanpa air masih berdaya;
Tetamu menjenguk jemput ke mari,
Erat silaturahim perkukuh saudara.

Tersesat di gurun panas terasa,
Cantas kaktus minum airnya;
Emas, perak juga suasa,
Elok mengikat batu permata.

Teguh berdiri kaktus di taman,
Semakin indah taman larangan;
Berhati-hati memilih teman,
Tersenyum wajah berkilas tangan.

Sunday 10 May 2015

Pantun Simpur


Pokok simpur tumbuh di paya,
Bunganya besar kuning serupa;
Emas menyadur besi tembaga,
Lamalah lama berkarat juga.

Jika mahu membungkus nasi,
Daun simpur boleh diguna;
Jika mahu cantikkan besi,
Sadurlah dengan emas suasa.

Simpur banyak di Bandar Begawan,
Jadi hiasan sepanjang sungai;
Hendak emas, emas tempawan,
Molek disimpan elok dipakai.

Salut simpur berwarna merah,
Tempat semut membina sarang;
Mulut tersenyum hati nan marah,
Tanda nafsu dapat dikekang.

Anak desa memetik simpur,
Mahu membuat dangau di laman;
Bengkokkan tembaga dengan melayur,
Jinakkan syahwat dengan beriman.

Thursday 7 May 2015

Pantun Kesidang


Kesidang wangi siang dan malam,
Bikin rasa tidak karuan;
Pegang janji bersungguh kalam,
Nyawa di badan jadi taruhan.

Pokok kesidang memanjat para,
Para buluh diikat jerami;
Adat berladang dibajak tenggala,
Adat berkasih janji ke mati.

Kalau mahu wangikan beranda,
Tanamlah kesidang bersama melati;
Kalau mahu harumkan nama,
Berbuat baik setulus hati.

Ditengah-tengah pokok redani,
Kanan kesidang kiri jeliti,
Bukan di kanan bukan di kiri,
Kasih tersemat di dalam hati.

Lautan Memunggah Mutiara

Guru adalah lautan memunggah mutiara
guru ibarat lilin
sudah tidak releven lagi ....
sampai bila mahu membakar diri
sudahnya api padam dan buana gelita kembali
lilin tidak betah dengan angin
hanya hembusan lembut anak tadika padamlah ia
apatah lagi dengusan kencang si bapa
nescaya lilin membeku tiada bercahaya
Yang paling molek
guru umpama lautan memunggah mutiara
mengapa...
kerana
tiada kehidupan tanpa lautan
bukan sahaja ikan, 
udang dan kepah memerlukan laut
manusia, unggas dan ungka siamang juga mahukan laut
laut penentu iklim dunia
bayunya lembut memuput bahagia
geloranya ganas mengubah suasana
ombaknya indah menjauh gulana
tsunami kejam mendidik manusia
bahasa laut sungguh luar biasa
cara tegurnya tidak sama
yang durjana dan keras kepala
dihempas umpama karang di kuala
yang cendekia didodoi dengan irama
hempasan laut bukan percuma
dalamnya mengandung mutiara
Itulah guru yang sebaiknya
ayuh kawan guru
ubah petitih baharu
kita bukan lagi lilin
kita adalah lautan
....cikgu sam

Hikayat Iskandar Zulkarnaian : Analisis Teks dari sudut Morfologi dan Sintaksis


1.0       PENDAHULUAN

Kesusasteraan adalah ciptaan seni yang dihasilkan melalui bahasa yang ditujukan kepada khalayak iaitu pembaca melalui bahan bacaan seperti puisi dan prosa  atau melalui penceritaan dan persembahan seperti drama, bangsawan, pentomen dan sebagainya. Kesusateraan Melayu Tradisional merupakan salah satu daripada elemen sastera yang telah berkembang pesat dalam sejarah pembinaan negara ini. Banyak cerita besar sama ada berbentuk cerita panji, hikayat, puisi, teromba, syair, gurindam seloka dan sebagainya telah lahir dan memainkan peranan penting dalam perkembangan keilmuan.

Sastera bukan semata-mata bahan bacaan atau hebahan santai tentang manusia. Sastera memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Sejarah telah membuktikan bagaimana kesusasteraan dan sasterawan menjadi agen perkembangan pemikiran manusia. Sastera melalui pelbagai karya dan jenis telah berjaya menaikkan semangat kebangsaan, patriotisme cintakan negara, semangat mencintai agama, malah semangat dalammedan tempur. Melalui bahan bacaan, penulis karya sastera menerapkan pelbagai elemen kepada pembaca dan pendengarnya.

Kesusasteraan Melayu lama yang terpamer melalui cerita hikayat dilihat sangat menarik. Perhatian akan diberikan kepada analisis gaya bahasa dan stilistik yang digunakan dalam karya khasik iaitu Hikayat Iskandar Zulkarnain. Terdapat beberapa ciri khusus dalam memahami bahasa Melayu klasik yang digunakan dalam cerita hikayat. Antara cirri yang jelas terdapat dalam karya klasik adalah seperti berikut;
i.         Ayat yang panjang, berulang, dan berbelit-belit. ( telah Maharaja Diraja mendengar sembah peri halnya itu, telah Maharaja Diraja mendengar kelengkapannya alah oleh orang Melaka itu, maka Maharaja Diraja terlalu marah; ia bertempik katanya, ‘Jikalau atau di atas gajahku Binudam ini, Melaka seMelakanya Pasai sePasainya, jika tiada dengan kudrat Allah mendatang, ku langgar kota Melaka itu.”)  Sejarah Melayu m/s 145
ii.        Mempunyai banyak ayat pasif dan songsang
iii.     Menggunakan bahasa istana seperti; kakanda, adinda, bersiram, bersantap, bertitah,
iv.      Menggunakan kosa kata klasik seperti; ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
v.       Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat) seperti. sebermula, alkisah, hatta, adapun.
vi.      Banyak menggunakan partikel pun dan lah
vii.    Menggunakan aksara jawi, iaitu aksara yang dipinjam daripada bahasa Arab yang telah ditambah dengan beberapa huruf tambahan.
viii.   Telah menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti alam bidang ilmu keagamaan, undang-undang, kesusasteraan, pemerintahan dan pentadbiran, perubatan, falsafah, tasawuf dan kata-kata umum.
ix.      Frasa dan ayat pengaruh Arab terutama dalam kitab-kitab klasik Melayu seperti frasa ketahuilah olehmu (dari terjemahan I’lamL, maka kemudian daripada itu (dari Amma ba’du); atau pada ayat sunat berbuka atas tamar dan lain-lain. Frasa dan ayat bentuk ini wujud hasil daripada terjemahan harfiah daripada teks-teks bahasa Arab.
x.       Unsur-unsur falsafah Islam wujud dalam banyak tulisan Melayu seperti dalam bidang ilmu Kalam, Tasawuf, ilmu Aqa’id al-Iman dan lain-lain. Ini berbeza dengan bahasa Melayu zaman kuno atau Hindu.

 2.0              HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN

Perbincangan ini menggunakan teks Hikayat Iskandar Zulkarnain yang telah diselenggarakan oleh Haji Khalid Muhammad Hussain terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka tahun 1986 (cetakan kedua). Penyusun memperolehi teks ini melalui micro-card Codek Orientalis 1969 yang diperolehi oleh Dewan bahasa dan Pustaka daripada Universiti Leiden. Teks ini mengandungi pelbagai kekeliruan tentang jalan ceritanya, namun begitu penyusun tidak membuat sebarang pembetulan bagi mengekalkan ketulenan isi teks. Untuk memahami teks ini pembaca perlu membaca dari mula hingga akhir kerana ada beberapa cerita yang melompat dari bab ke bab yang lain.

Dalam pendahuluan buku tersebut, penyusun menyatakan kekeliruan itu berlaku disebabkan oleh beberapa kemungkinan, antaranaya ialah kerana teks ini telah diambil daripada terjemahan bahasa Arab dan Parsi lalu dicampur adukkan dengan cerita-cerita Iskandar Zulkarnain dari bahasa lain. Ini memandangkan cerita Hikayat iskandar Zulkarnain merupakan satu cerita hikayat yang sangat mahsyur di serata dunia. Hampir semua bangsa di dunia mempunyai versi tersendiri akan hikayat ini. Antara bangsa yang dinyatakan oleh penulis yang menjadikan cerita Iskandar Zulkarnain dalam bangsa mereka ialah bangsa Yunani, Monggolia, Arab, Parsi, Afganistan China, Eropah dan sebagainya.

Hikayat ini terbahagia kepada 10 bab iaitu
i.                    Asal usul Raja Iskandar Zulkarnain
ii.                  Raja iskandar Zulkarnain dilahirkan
iii.                Nabi Khidir menyelamatkan Raja Isklandar Zulkarnain
iv.                Raja Iskandar Zulkarnaian menyebarkan agama Islam
v.                  Raja Abud dari negeri Jabarsa ditewaskan
vi.                Perjalanan Raja Iskandar Zulkarnain ke Negara Maghrib
vii.              Raja Negara Maghrib diIslamkan
viii.            Raja Salam menewaskan Kaun Alwah
ix.                Raja Khabta memeluk Islam
x.                  Pengembaraan dan perkahwinan Raja iskandar Zulkarnain
Serta diikuti dengan Tafsiran bagi watak-watak yang melatari hikayat ini.

Sebagai pegkhususan, analisis teks hikayat ini merujuk kepada aspek stilistik dan gaya
bahasa dari muka surat 1 hingga 50 yang hanya melibatkan 2 bab sahaja iaitu Bab 1
dan 2  ( Bab 1Asal usul Raja Iskandar Zulkarnain ), ( Bab 2 Raja iskandar Zulkarnain
dilahirkan ).

           
Petikan daripada Hikayat Iskandar Zulkarnain
           
            Bismillahir-rahmanir-rahim
Wa billahi nasta’in (billahi alaihi)

HIKAYAT Sultan Iskandar Zulkarnain. Segala puji bagi Allah Tuhan semesta Alam Yang Amat Kuasa pada berlakunya qudrat-Nya Yang Qadim, dan yang menutupi segala kecelakaan hamba-Nya Yang Maha Murah. Ia yang tiada dapat meliputi ia segala hajat maharaja, ia daripada akan segala budi dan bicara dan puji dengan segala berbagai-bagai bahasa. Ia yang diharap oleh segala hamba-Nya pada menghilang segala bala maha tinggi. Ia daripada diliputi hamba-Nya segala sifat-Nya yang ada dapat disifatkan. Ia dengan di mana dan tiada dapat ditentukan dengan pihak. Ia juga yang mengetahui yangtelah lalu dan yang akan dating. Kami puji ia bahawanya dipermulia-Nya kami yang dengan segala bini kami dan segala kekasih kami dan segala yang syahid dan salah lagi akan dating. Akhir kami akan Kaujadikan.

( perenggan 1 muka surat 1)

GAYA BAHASA DALAM TEKS HIKAYAT ISKANDAR ZULKARNAIN

Gaya bahasa ialah cara penyampaian sesuatu prosa sama ada berbentuk lisan mahupun tulisan oleh penyampai dalam meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan  penyusunan ayat untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan,  secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca dan pendengar terhadap karya-karya sastera. Gaya bahasa juga adalah bertujuan untuk memperlembutkan lagi makna percakapan dan juga adalah untuk mengindahkan lagi bahasa  itu.

Kamus Dewan Edisi Empat memberikan beberapa definisi gaya bahasa. Antara definisi yang diberikan ialah i. pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat; ii. cara pemakaian bahasa, iii. cara penggunaan bahasa.

Dari sudut kesusasteraan pula gaya bahasa merupakan satu elemen terpenting pengarang atau pencerita dalam usaha menarik perhatian pembaca atau pendengar bagi membaca atau mendengar hasil karya mereka.  Menurut Gory Keraf, (1985:113) gaya bahasa adalah cara mengungkapkan fikiran melalui bahasa secara khas yang memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis (pemakai bahasa). Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga unsur berikut ; kejujuran, sopan-santun dan menarik. 

Mana Sikana  (1986:159) pula mengatakan gaya bahasa sebagai cara sesuatu bangsa itu menggunakan bahasa dalam karya seperti mengatur bunyi, memilih diksi , membina ayat kemudiannaya dengan makna dapat membuktikan tamadun dan ketiggian bangsa itu dalam karya. Mengikut pandangan Kris Mas (1988;13) pula memahamkan gaya bahasa sebagai cara atau ragam bahasa itu dipakai , khususnya dalam tulisan atau karangan. Pengguna atau pemakai bahasa mempunyai jenis-jenis yang khusus untuk maksud-maksud tertentu, seperti  menghasilkan ilmu pengetahuan, berucap pada  khlayak,  menulis dan membangkitkan perasaan seni . Selain itu gaya bahasa juga dimaksudkan gaya seseorang penulis menggunakan bahasa.

Kesimpulannya gaya bahasa merujuk kepada penggunaan ragam tertentu dalam bahasa tulisan yang digunakan secara sengaja untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu. Terdapat pelbagai gaya bahasa yang digunakan dalam sesebuah karya bagi menimbulkan rasa minat pembaca untuk meneruskan bacaan mereka. Antara gaya yang digunakan secara berleluasa dalam sastera hikayat adalah doksologi, simile, metafora, kiasan, anaphora, analogi, asonansi, ayat songsang dan sebagainya.

Berikut merupakan beberapa penggunaan gaya bahasa yang dikenal pasti dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain.

Doksologi. Doksologi ialah penggunaan kata-kata pujian kepada Tuhan dalam permulaan cerita. Penggunaan doksokogi dalam hikayat ini dapat dilihat pada bab awal lagi. Contoh jelas seperti berikut.
Bismillahir-rahmanir-rahim.
Wa billahi nasta’in (billahi alih)
Hikayat Iskandar Zulkarnain ini. Segala puji bagi Allah Tuhan segala alam Yang Amat Kuasa pada berlakukan qudrat-Nya Yang Qadim, dan yang menutup segala kecelakaan hamba-Nya, Yang Maha Murah.
( halaman 1, baris 1, perenggan 1)



3.0              PERBEZAAN ANTARA BAHASA MELAYU KLASIK DAN MODEN DARI SUDUT MORFOLOGI


Contoh perkataan klasik yang terdapat dalam teks Hikayat Iskandar Zulkarnain.
Bahasa Melayu klasik
Penerangan
Bahasa Melayu moden
Kata sahibul hikayat
Perenggan 2 m/s 32
Digunakan pada awal perenggan secara berleluasa.
Diambil daripada kata Arab iaitu Sahib yang bermaksud umpunya dan Hikayat yang bermaksud cerita.
Menurut empunya cerita
Yang empunya cerita
Pemilik cerita
Sabda
( maka sabda Raja Darab)
Perenggan 6 m/s 18
Pengaruh daripada bahasa Arab. Samda bermaksud berkata-kata. Dalam ilmu hadis sabda digunakan bagi merujuk kepada kata-kata nabi. Penggunaan istilah sabda menunjukkan penghormatan kepada raja.
Titah
Kata
Perintah
Ucapan

Syahadan
( Syahadan dikatakan dirinya pada temannya…)
Perenggan 5 m/s 32
Diambil daripada perkataan Arab yang merupakan penanda wacana atau kata hubung bagi mengaitkan antara perenggan dengan perenggan.
Selanjutnya
Maka
Lalu

Sebermula
( Sebermula Raja Radhiah pun berjalan …. )
Perenggan 2 m/s 129
Kata pangkal ayat. Banyak digunakan dalam awal perenggan.
Permulaan cerita
Pertama-tama
Hamba
( … pada hati hamba, kita terima … )
Perenggan 3 m/s 103
Kata ganti nama diri pertama
Saya
Aku
Lasykar
( … Raja Salam membelah lasykarnya …..)
Perenggan 2 m/s 207
Merujuk kepada gerombolan tentera.
Askar
Tentera
Ratna mutu manikam
( … bersemayam di geta bertatahkan ratna mutu manikam)
Perenggan 6 m/s 122
Pengaruh bahasa Sanskrit yang menunjukkan tentang keelokan sesuatu.
Intan berlian
Permata yang mahal
Arakian
( Arakian dijanjikanoleh Nabi Khidir akan jin )
Perenggan 4 m/s 338
Penanda wacana yang digunakan pada awal perenggan.
Sesudah itu
Selepas itu
Kemudian
Ayapan
(… pada orang membawa ayapan itu.)
Perenggan 2 m/s 347
Makanan yang diberikan kepada orang yang diberi penghormatan oleh raja.
Juadah
Jamuan
Makanan
Fiil
( … mendengar fiil Raja Khatba…)
Perenggan 2 m/s 302
Pengaruh bahasa arab yang merujuk kepada amal, pekerjaan, perbuatan.
Kelakuan
Perangai
Keperibadian
Masygul
( maka masygullah hati Raja Iskandar….)
Perenggan 6 m/s 125
Diambil daripada perkataan Arab yang menunjukkan perasaanyang berdukacita.
Sugul
Gundah gulana
Dukacita
Bersedih
Takjub
( Kami terlalu sekali takjub )
Kata adjektif yang menunjukkan perasaan kagum terhadap sesuatu.
Terpesona
Menarik perhatian
Hatta
( Hatta maka dihimpunkan oleh raja …..)
Penanda wacana yang digunakan pada pangkal ayat untuk mewujudkan kesinambungan idea.
Lalu
Kemudian
Maka


 4.0              PERBEZAAN ANTARA BAHASA MELAYU KLASIK DAN MODEN DARI SUDUT SINTAKSIS

Sintaksis adalah satu bidang bahasa yang tugasnya mengkaji rumus-rumus yang menerbitkan ayat-ayat gramatis sesuatu bahasa serta hukum-hukum tentang susunan kata yang menyebabkan terjadinya ayat sebagai sesuatu bentuk binaan bahasa yang sempurna.Terdapat pelbagai definisi yang telah diberikan untuk bidang ini.Antaranya definisi dari aspek makna dalam sesuatu bahasa yang lain seperti bahasa Yunani, iaitu sun yang bererti “dengan” dan tattein yang bererti “menempatkan bersama – sama”.Oleh yang demikian, secara etimologi, sintaksis dapatlah diertikan sebagai “menempatkan kata – kata secara bersama-sama untuk menjadi kelompok kata atau ayat.

Namun, kebanyakan ahli bahasa di Malaysia telah mendefinisikan sintaksis berdasarkan fungsi dan bidang tugasnya.Contohnya definisi yang telah dinyatakan oleh Abdullah Hassan 1980:164,sintaksis merupakan istilah untuk mengkaji pembentukan ayat, iaitu bagaimana morfem dan kata disusun menjadi unit sintaksis yang kecil iaitu frasa,atau menjadi klausa dan ayat merupakan unit terbesar.


Melalui teks Hikayat Iskandar Zulkarnain terdapat banyak contoh penggunaan bahasa Melayu klasik dan pengaruh daripada bahasa asing terutamanya Arab yang membuktikan bahawa teks ini merupakan teks saduran. Berikut dikemukakan beberapa contoh aspek sintaksis dalam teks tersebut.

Contoh i.  Penggunaan kata nama. Kata nama yang menjadi subjek sesuatu ayat boleh terbentuk daripada kata nama am,kata nama khas,atau kata nama terbitan. Penggunaan kata nama am boleh dilihat pada ayat di bawah.

Diriwayatkan orang bahawa Raja Jerjis itu makan minum tiada ia hajat air seni dan tiada dia hajat air besar.
( perenggan 3 m/s 4 )

Terjemahan bahasa Melayu moden; Diberitakan bahawa Raja Jerjis tidak buang air kecil dan air besar. Dalam ayat ini Raja Jerjis merupakan kata nama am yang menjadi inti ayat tersebut.

Selain itu terdapat juga penggunaan kata nama am seperti contoh berikut;
Setelah inanganda mendengar titah tuan puteri itu, maka ia pun turunlah dari hadapan tuan puteri.
( Perenggan 2 m/s 11 )

Terjemahan bahasa melayu Moden; Setelah mendengar titah daripada puteri, inangpun datang menghadap. Dalam ayat ini kata nama am inang digunakan sebagai subjek ayat.


Contoh ii. Penggunaan kata ganti nama. Kata ganti nama ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am. Kata ganti nama boleh dibahagikan kepada dua golongan kecil, iaitu kata ganti nama tunjuk dan kata ganti nama diri. Kata ganti nama diri terdiri daripada dua jenis iaitu kata ganti nama diri tanya iaitu perkataan yang merujuk kepada orang atau benda dalam bentuk tanya. Ada tiga kata ganti nama diri tanya iaitu apa, siapa, dan, mana. Kata ganti nama diri terbahagi kepada tiga iaitu kata ganti nama dipi pertama, keuda dan ketiga.

Penggunaan kata ganti nama diri pertama boleh dilihat pada ayat-ayat berikut
Setelah datang ia pada khemah Raja Iskandar. ( Perenggan 3 m/s 129 )
Terjemahan bahasa melayu Moden; Diapun pergi ke khemah Raja iskandar.

Hai Raja Radhiah, aku segeralah akan berjalan. ( Perenggan 4 m/s 129 )
Terjemahan bahasa Melayu Moden; Wahai Raja Radhiah, patik akan berjalan dengan pantas.

Adapun pada bicara hamba, baiklah kamu suruhkan orang kepada Raja Zarwah memberitahu berhalanya itu besar tiada dapat memberi manfaat. ( Perenggan 3 m/s 103)
Terjemahan bahasa Melayu moden; Pada pendapat saya, maklumkan kepada Raja Zarwah bahawa berhalanya yang besar tidak mempunyai kuasa.

Ketiga-tiga contoh di atas menunjukkan penggunaan kata ganti nama diri pertama dan ketiga ia, aku dan hamba digunakan dalam dialog oleh watak-watak dalam hikayat tersebut. Penggunaan kata ganti nama diri ini disesuaikan dengan bahasa Melayu moden menjadi dia, patik dan saya.


Contoh iii. Penggunaan ayat pasif dan songsang. Ayat pasif ialah ayat yang menekankan objek dan perbuatannya berbanding ayat aktif yang menkankan si pelaku. Dalam konteks cerita hikayat dan sastera Melayu lama penggunaan ayat pasif dan songsang menunjukkan cara pemikiran dan sifat orang Melayu silam yang tidak mementingkan ego individu. Contoh penggunaan ayat pasif dan songsang terdapat secara berleluasan dalam hikayat ini.

Bahasawa Iskandar Zulkarnain itu anak Raja Darab Rumi, kata setengah anak raja Raja Qilas, anak Raja Dawab Parsi itulah yang sahnya nescaya lagi akan kami sebarkan asal bangsanya. Perenggan 5 m/s 3.

Terjemahan bahasa Melayu moden : Kami akan membuktikan berpendapat Raja Iskandar Zulkarnain anakanda kepada Raja Darab Rumi, Raja Qilas atau Raja Darab Parsi.

Contoh lain pada perenggan pertama muka surat 41.
Kata sahibul hikayat, sebermula anak Raja Rom Puteri Safiya Arqiya tiada pun selang dua bulan pada ayahnya, maka ketahuilah ia bahawa ia hamil. Maka sukacitalah ayahnya. Maka ujarnya, “Hai anakku, terlalu bahagialah kau bahawa aku pun tiada beranak lain akan ganti kerajaanku. Pada sekarang ini, adalah olehnya ia dianugerahkan Allah Taala, apabila jadi anakmu laki-laki, kukatakan kepada segala negeri bahawa ia anakku daripada isteriku yanglain, supaya akan waris kebaikan kerajaan daripada aku.”

Terjemahan bahasa Melayu Moden : Raja Rom sangat gembira apabila mengetahui Puteri Safiya Arqia hamil dua bulan. Raja Rom menegatakan, sekiranya Puteri Safiya Arqia hamilkan anak lelaki, baginda mahu mengakui putera itu adalah anakanda baginda daripada isteri lain supaya putera itu boleh mewarisi tahta.

Setelah inanganda mendengar kata Puteri Humani itu maka inganganda pun berkata “Hai tuan puteri, adakah didengar oleh tuan puteri seorang daripada perempuan membunuh anaknya sebab menghekendaki dunia yang fana ini?”
( Perenggan 5 m/s 7 )

Terjemahan bahasa Melayu Moden; Setelah mendengar kata-kata Puteri Humani, inangpun bertanya adakah Puteri Humani pernah mendengar tentang adanya ibu membunuh anaknya sendiri untuk kesenangan dunia.

Contoh iv; penggunaan kata hubung dan yang berulang-ulang. Kata hubung dan. Dalam penulisan dan lisan kata hubung “dan” didapati mengimplikasikan maksud kesinambungan atau pertalian, menggabungkan dua item yang setara, serentak, maksud sebagai tambahan, perlakuan berurutan, penjelasan lanjut, menambahkan sifat atau sesuatu suasana, dua atau lebih suasana yang berlaku serentak dan sebab akibat. Penggunaan kata hubung dan hanya digunakan sekali sahaja dalam satu-satu ayat. Sebaliknya sastera klasik menggunakan kata hubung dan secara sewenaang-senangnya. Diulang-ulang beberapa kali dalam satu ayat. Keadaan ini berlaku kerana pengaruh bahasa lisan dan pengaruh tatabahasa Arab yang direrjemah secara harafiah. Bahasa Arab banyak menggunakan kata ‘wa’ (dan) dalam pembinaan ayatnya.


Contoh penggunaan kata hubung dan boleh dilihat pada perenggan 1 muka surat 24.
Maka segala orang penumpang itu menampung emas dan perak akan mahligai itu dan mengeluarkan segala peti dan permata dan manikam yang mulia-mulia dan disuruh oleh Puteri Humani menempah seribu sarung pedang emas dan seribu pelana daripada emas yang merah, bertatahkan ratna mutu manikam dan disuruhnya tempah seribu kolah daripada emas dan seribu daripada perak dan disuruhnya perbuat sebuah geta bertatahkan ratna mutu manikam dan disuruhnya tempah kolah tiga kemuncak.

Penggunaan kata hubung dan juga terdapat pada perenggan
 3 muka surat 256. Maka kabullahmereka itu, menyembah api, dan berkirim surat kepada Raja Bijah dan Raja Nabi dan Raja Alwah, ada mereka itu menyembah berhala tiada dikabul ia mengikut agama majusi.

Contoh v. Penggunaan ayat yang meleret-leret dan berulang-ulang. Secara umumnya cerita sastera klasik memang menggunakan ayat yang panjang. Kepanjangan ayat ini adalah disebabkan oleh penggunaan ayat yang meleret-leret dan kata yang berulang-ulang. Keadaan ini berlaku kerana pengaruh sastera lisan serta ingin menunjukkan kehebatan sesuatu seperti kehebatan seseorang raja. Kehebatan dan kekuatannya digembar-gemburkan dengan sebegitu rupa.

Contoh penggunaan ayat yang panjang meleret-lerat dan berulang-ulang boleh dolihat pada perenggan 1 muka surat 24 seperti berikut;
Maka segala orang penumpang itu menampung emas dan perak akan mahligai itu dan mengeluarkan segala peti dan permata dan manikam yang mulia-mulia dan disuruh oleh Puteri Humani menempah seribu sarung pedang emas dan seribu pelana daripada emas yang merah, bertatahkan ratna mutu manikam dan disuruhnya tempah seribu kolah daripada emas dan seribu daripada perak dan disuruhnya perbuat sebuah geta bertatahkan ratna mutu manikam dan disuruhnya tempah kolah tiga kemuncak.

Dalam contoh di atas pengulangan berlaku pada kata dan, ratna mutu manikam, kolah, seribu, emas, perak, disuruhnya. Perkataan-perkataan ini bertujuan sebagai pemeri untuk menunjukkan betapa hebatnya kekayaan dan kekuasaan raja. Malah ayat tersebut juga sangat meleret dan panjang hingga mencecah 8 baris dan 67 patah perkataan iaitu berdasarkan hikayat asal.

 5.0              KESIMPULAN

Sastera klasik seperti cerita hikayat merupakan salah satu daripada koleksi kesarjanaan masyarakat Melayu zaman silam. Cerita hikayat bukan sekadar cerita untuk berhibur bagi mengisi masa lapang setelah usai musim menuai atau untuk bersenggang-senggang. Pembacaan sastera hikayat ini juga penting dalam menaikkan semangat kepahlawanan para perajurit dam pendekar ketika berhadapan dengan musuh. Berlaku penggunaan kata yang berulang, ayat panjang meleret-leret, kemasukan pelbagai kata asing dan sebagainya menunjukkan bahaswa cerita hikayat khususnya Hikayat iskandar Zulkarnain adalah satu bahan sastera yang sangat mahsyur. Bukan sahaja diceritakan secara lisan oleh satu-satu bangsa, malah ditulis dalam bentuk manuskrip oleh pelbagai bangsa di seantero dunia. Peliharailah sastera klasik ini untuk tatapan generasi akan datang.

 6.0              BIBLIOGRAFI

Ghazali Dunia, (1992), Sastera Melayu Lama: Prosa Dan Puisi, Penerbitan Fajar Bakti,
Kuala Lumpur

Khalid Bin Muhammad Hussain, (1986), Hikayat Iskandar Zulkarnain, Dewan Bahasa Dan
Pustaka, Kuala Lumpur

Nik Safiah Karim et. All., (1994), Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, Dewan Bahasa Dan
Pustaka, Kuala Lumpur

_____ (1954), Sejarah Melayu, The Malaya Publishing House, Ltd, Singapore







Pantun Pertunia


Bunga pertunia pelbagai warna,
Dikarang-karang sungguh berseri;
Harta berjuta tidak ke mana,
Jika tidak mahu memberi.

Cantik sungguh gubahan pertunia,
Digantung rapi depan serambi;
Harta yang ada dikongsi sama,
Tanda bersyukur pada rezeki.

Pertunia layu mesti digentas,
Jika tidak hilang serinya;
Umpama berlian diikat emas,
Harta nan berkat itulah umpamanya.

Jangan diletak terik mentari,
Pertunia segar menjadi layu;
Jangan pentingkan diri sendiri,
Jadilah lalang dimakan abu.

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit