Sunday 7 May 2017

Seri Rama dan Sita Dewi




Seri Rama Dan Sita Dewi
Karya Matlob dan Rahimy
Diterbitkan semula oleh DBP
Harga Rm 15.00
Halaman 95 ms

Sekali peristiwa,  Negeri Biru Hasya Purwa diperintah oleh Maharaja Balikasya.  Maharaja ini sangat gagah perkasa dan terkenal handalan sejak kecil lagi.  Bondanya bernama Ganda Sura yang menjadi sisa serangan Raja Citra Baha dari Negeri Indera Puri Nagara.  Bapa saudara baginda bernama Maharaja Dati Kuaca telah menjadi tawanan raja itu.

...... Baginda melantik empat orang besar;  Menteri Besar,  Patih Peranta,  Patih Sakisa dan Patih Saparsan.  Hulubalangnya pula terdoro daripada kaum raksasa bernama Sanghjalam,  Jambal,  Mala,  Matakanda dan Jamnuca.  Huoubalang Sanghjalam dilantik menjadi hulubalang kanan kerana punyai kesaktian luar biasa.  Lidahnya berbisa bagai ular.....

Mukadimah kisah Seri Rama dan sita Dewi amat mengasyikkan.  Adaptasi sastera hikayat, mitos,  epik dengan saduran Hindu merupakan satu bentuk penceritaan lisan yang dimainkan oleh Tok Selampit,  Tok Dalang,  Penglipurlara dan menjadi hiburan zaman dahulu kala.

Ini kisah percintaan dan pertarungan oleh putera raja bagi mendapatkan kekasihnya.  Seri Rama dalam pencarian, mencari Sita Dewi yang dilarikan Maharaja Rawana.  Berlaku pelbagai peristiwa sakti yang luar biasa.
Layan cerita-cerita sakti.

Wednesday 15 March 2017

Kisah 25 Filsuf Barat



Tajuk : Kisah 25 Filsuf Barat.
Penulis : Matlutfi
Penerbit : Putehpress
Muka surat : 230
Harga : RM25. 00

Sokrates,  Plato,  Sofis,  Aristotle,  Epikurus,  Stoicisme,  Augustine,  Aquinas,  Montaigne,  Descartes,  La Rochefoucauld,  Pascal,  Spinoza,   Hume,  Kant,  Burke,  Hegel,  Schopenhauer,  Kierkegaard,  Nietzsche,  Wittgensten,  Heidegger,  Sartre,  Camus dan Foucault merupakan sosok filsuf yang dibincangkan dalam buku ini.

Sebuah buku kecil 230 muka surat.  Lebih tepat buku biografi ringkas sebagai pengenalan kepada para filsuf yang menjadi lanskap pemikiran dan sosio dunia. Pentingkah para filsuf?

Para filsuf sangat penting dalam mencorak kehidupan dan sebagai penampak kepada gaya fikir sesebuah masyarakat,  khususnya pada zaman mereka hidup.  Para filsuf ini banyak berfalsafah dan kekadang hanya seperti retorik sahaja.  Falsafah mereka menjadi ancaman dan musuh kepada orang berkepentingan.  Justeru ada dalam kalangan mereka dihukum bunuh kerana falsafah yang menongkah amalan semasa.

Disebabkan tajuknya Para Filsuf Barat,  sudah tentulah sosok pemikir barat yang diambil.  Saya telah membaca penulisan kritis oleh Wishnu Sasongko yang cuba membuktikan Sokrates adalah filsuf monotisme dan beliau ialah Lukmanul Hakim dalam al quran.  Hubung kait Alexander The Great sebagai Iskandar Zulkarnain dengan Sokrates.  Jaluran pendidikan yang diterima oleh Alexander melalui Aristotle, dan Aristotle pula bergurukan Plato,  dan Plato pula bergurukan Sokrates menunjukkan para filsuf Rome ini berjiwa tauhid monotisme.

Sesungguhnya para filasuf ini sangat dekat dengan dunia sufi.  Mereka mendidik dan menjernihkan roh. Banyak juga nama yang baru kukenal.

Monday 6 March 2017

Cempaka Sari; Sejarah Kesultanan Negeri Perak


Cempaka Sari;  Sejarah Kesultanan Negeri Perak.
Terbitan : Geroda Emas
Penulis : M A Fawzi Basri
Halaman : 269

Sejarah Perak mempunyai pelbagai versi,  sama seperti sejarah-sejarah penubuhan mana-mana tempat dalam dunia ini.  Lisan merupakan antara sumber utama penceritaan dalam sejarah di samping catatan-catatan yang dibuat oleh para pengembara terutama pengembara China dan Arab.

Sebelum kewujudan negeri Perak,  telah tertubuh negeri-negeri Melayu lama seperti Gangga Negara,  Bruas,  Dinding dan Cempaka Sari.  Negeri-negeri ini mempunya sejarah tersendiri.

Antara yang disebut dalam buku ini,  Penubuhan Gangga Negara oleh Raja Ganji Sajuna dari Kedah Tua,  Pembukaan Perak melalui anak panah perak oleh anakanda Merong Mahawangsa dan Cempaka Sari di Tepi Sungai Kinta.  Juga kedatangan leluhur kesultanan Melaka iaitu Sultan Muzafar di Beting Beras Basah.

Apa pun Perak memang telah wujud sangat lama dengan pembuktian Perak man di Lenggong. 269 muka surat perlu ditelusuri di samping bacaan silang lain seperti Misa Melayu.

Selilit Tanah Minangabau
Selengkung Pulau Perca
Dilingkungi ular sakti muna
Sebenarnya aku menjadi raja
Jauhkan aku segera mala petaka
Perpisahan aku Selat Melaka

Kata-kata Raja Muzafar ketika mendarat di Beting Beras Basah sebelum dilantik sebagai Sultan Perak.

Banyak perkara tentang politik,  sosio budaya,  ekonomi,  peperangan perjawatan dan adat istiadat Perak dikemukakan dalam buku ini.

Thursday 16 February 2017

Risensi buku : Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki



Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki.

Harga : Ringgit Malaysia 35.00
Penulis : Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail
M.s : 367
Terbitan Karya Bestari

Sebuah travelog sejarah yang melungsuri perjalanan dan keberadaan Kerajaan Melayu dan Patani dengan Empayar  ulung Uthmaniah. Ternyata banyak fakta benar disembunyikan oleh penulisan sejarah khususnya oleh penulis orientalis yang sememangnya mempunyai matlamat orientalisme.

Bagaimana hubungan antara rantau Melayu dan Turki menjadi begitu intim? Bukan sekadar hubungan diplomatik tetapi hubungan iman, aqidah, jihad dan persaudaraan. Nampaknya hubungan historis sejak zaman bahari tidak lenyap begitu sahaja. Antara Turki dan alam Melayu ada aura tersendiri yang kini dilihat intim semula.

Dalam sejarah, akan terdapat dua golongan yang melatari perjuangan.  Satu disebut golongan kanan dan satu disebut golongan kiri.  Siapa kanan dan siapa kiri?  Sudah tentu yang kanan adalah mereka yang menyetujui penjajah dan kiri pula mereka yang berlawanan dengan dasar penjajahan.

Dalam perjuangan menentang British,  Sheikh Ahmad Al Fatani yang mewakili Turki bersepakat dengan Jepun untuk menghalau British.  Usaha ini diteruskan oleh Raja Hitam,  Ishak HJ Muhammad,  Ahmad Boestamam dan Ibrahim Yaacob.  Hasilnya,  mereka dicap sebagai penentang yang berhaluan kiri. Itulah gaya penulisan sejarah yang terpakai hingga kini.

Sejarah rasmi tidak semestinya benar, sejarah benar tidak semestinya rasmi. Walaupun negara hanya menerima sejarah rasmi, namun sejarah boleh diteroka semula.

Trust No One



Trust No One.
RM25.00
Terbitan PTS
254 halaman

Terjahan baharu Jerry D Gray, mantan pemandu pesawat tempur US yang sukar untuk ditelan mentah-mentah. Seperti biasa nukilannya penuh siratan yang mendesak fikitan luar kotak. Mungkin ada yang berpendapat penulis terlalu berimaginasi. Mungkin juga. Tetapi jika ditelusuri karya-karya dan kritikan beliau dalam buku-bukunya yang awal, banyak perkara yang sangat realistik. Apa yang perlu,? Otak dan minda perlu bekerja keras memikir dan membuat kesimpulan.

Buku 9 bab ini masih berkisar tentang teori konspirasi dan pengaturan hidup di dunia oleh kuasa besar yang bermatlamatkan penguasaan dunia khususnya New World Order.

Isu MH370, Tsunami Jepun, gempa Kobe, vaksin dan sebagainya bukan semata-mata aturan alam  bahkan dikawal oleh kehendak manusia yang berajakan nafsu.

Nak percaya....? Trust No One.

Sunday 15 January 2017

Pantun bianglala

Pantun:
Bianglala

mata tenggala tempahan besi
besi sundang bilahnya panjang
bianglala umpama ilusi
nampak sipandang tak boleh dipegang

menangkap pari gunakan jala
rawanan jala diikat batu
usah dikejar si bianglala
ke hujung dunia tak kan bertemu

tunggang pedati ke hujung kuala
kuala bah langsung tenggelam
jadilah seperti bianglala
hadir menambah serinya alam

amat jelita gadis rupawan
bertegur sapa tiada yang larang
bianglala tersangat menawan
lamalah lama ia menghilang

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit