Wednesday 20 July 2022

KURANG AJAR

 Kurang Ajar


Melayu itu tersangat kurang


Kurang pada marah

Marahnya masih santun

Kurang pada cerca

Cercanya berlapik pantun

Kurang pada dengki

Dengkinya bersendi puji

Kurang pada harta

Hartanya zuriat cahaya mata

Kurang pada kata

Katanya bersulam firman dan sabda


Tersangatlah ia kurang pada dunia

Tetapi jika dunia Melayunya digugah

Bingkas ia tanpa berlengah

Ketika itu ia belajar 

Menjadi kurang ajar


Cg Sam 

Kg Kepayang 20/7/22

Saturday 16 July 2022

Buku Guru Aini

 



Tajuk : Guru Aini

Penulis : Andrea Hirata

Penerbit : Jejak Tarbiah

Muka surat : 296

Andrea Hirata, penulisannya sangat hidup dan menghidupkan. Tema orang-orang biasa dalam perjuangan masyarakat yang sering kali mahu hidup secara luar daripada kebiasaan diangkat dengan santai tetapi sangat hidup dan berjiwa.

Dilihat pada tajuk sudah boleh ditanggap isi kandungan yang mahu disampaikan. Kisah perjuangan sang guru yang namanya Aini..... Itulah sangkaan pertama. Tetapi apabila dibaca, hatta sampai ke halaman 50 tiada pun watak guru yang bernama Aini. Yang ada ialah Aini seorang kanak-kanak perempuan yang berpenyakit misteri apabila berhadapan dengan mata pelajaran Matematik.

Matematik menjadi punca segala penyakit, menjadi bebanan tak terhitung, menjadi satu petaka dan punca hilangnya motivasi kepada kanak-kanak ini. Bagaimana pula dengan kanak-kanak lainnya yang belajar di sebuah pulau yang menjadi sekolah pertama penempatan oleh seorang guru muda yang baharu menamatkan pengajian dalam bidang keguruan? Itulah Desi Istiqomah.

Desi Istiqomah dilakarkan sebagai seorang gadis cantik, molek lagi mulus. Sangat bijak, malah yang terbijak dalam keluarga dan dalam kuliah. Tetapi punya parut yang kebiasaannya milik budak lelaki lasak. Gemar memakai baju muslimah yang dipadankan dengan kasut sukan. Kasut sukan itu menjadi satu pandangan pelik yang langsung tidak secocok dengan busana. Itulah pula perwatakan Desi.

Lahir dalam keluarga berada yang dijanjikan kemewahan, tetapi memilih pendidikan dan sangat taksub untuk bergelar ibu guru. Keguruan dilihat sebagai satu bidang yang banyak bebanan, tidak glamour, kurang pendapatan. Timbul telingkah pendapat antara Desi Istiqomah dengan ibunya, juga teman lelakinya. Memilih menjadi guru di kawasan pedalaman adalah muktamat.

Kecekalan jiwa seorang sarjana pendidikan yang bakal menerima penempatan pertama, sanggup bertukar tempat dengan rakan sekuliah agar ditempatkan di pulau mana sahaja. Lalu Pulau Batu Hampar yang tidak siapa pun ketahui kedudukannya dalam peta Indonesia menjadi lokasi penempatan pertamanya. Menjadi guru Matematik di sebuah sekolah luar bandar di pulau terpencil. 

Maka kisah perjuangan Ibu Guru Matematik bernama Desi Istiqomah bermula dengan begitu mengujakan, juga mengharukan. Apa kaitannya Guru Aini yang menjadi tajuk novel ini dengan gadis manis Desi Istiqomah? Ternyata perjuangan pendidikan itu berhadapan onak yang sama sahaja walau di mana juga guru itu berada.

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit