Tuesday 28 October 2014

Memupuk Budaya Membaca

Membaca jambatan dan anak kunci kepada ilmu pengetahuan. Semua pihak mengakui bahawa membaca merupakan kuasa tertinggi dalam membina insane berilmu pengetahuan. Masyarakat yang mengamalkan membaca sebagai budaya adalah masyarakat yang sangat maju. Ini telah dibuktikan oleh masyarakat Jepun dan Yahudi. Jepun; sebuah Negara yang telah musnah dalam peperang dunia bangun sebagai negara  Timur yang maju. Yahudi, satu masyarakat yang penuh tribulasi, menghadapai pelbagai tekanan sejak dahulu hingga kini, nampaknya telah menguasai dunia. Bukankah mereka bangsa yang menguasai pelbagai disiplin ilmu?

Justeru, bagaimana mahu memupuk budaya ilmu dan membaca dalam kalangan masyarakat kita. Untuk menjinakkan anak-anak terhadap buku yang merupakan medium utama penjanaan insan berilmu, maka beberapa langkah disarankan menjadi agenda utama. 
  1. Sediakan sebuah perpustakaan mini. Walau  hanya beberapa buah buku dan makalah, sediakan satu ruang khas untuk membaca.
  2. Menjadikan agenda membeli buku sebagai agenda wajib bulanan. Sediakan sejumlah peruntukan khas untuk membeli buku walaupun hanya RM1.00.
  3. Sediakan buku dalam kenderaan.
  4. Jadikan buku sebagai hadiah galakan kepada anak-anak. Setiap kali anak-anak menunjukkan prestasi atau pencapaian dalam sesuatu bidang, hadiahkanlah sebuah buku yang diminati.
  5. Pujilah anak-anak yang minat membaca dengan pujian lisan dan habuan material.
  6. Mulakan membaca dengan buku yang bergambar, berwarna-warni, bertulisan besar dan berinteraktif. Kini banyak buku yang menyediakan aktiviti seperti mewarna, kuiz dan sebagainya. (harganya agak mahal)
  7. Galakkan anak-anak mencatat (NILAM) sebagai bukti suka membaca.
  8. JANGAN KEDEKUT untuk membeli buku setiap kali anak-anak meminta untuk dibelikan buku kegemaran.
  9. Tunjukkan contoh kepada anak-anak. Anda perlu membac setiap kali ada kelapangan.

Sunday 26 October 2014

100 Pantun Budi

1.
Mudik ke hulu dengan kolek,
Kolek buatan orang muara;
Baik kelakuan berperangai molek,
Jadi sebutan umat manusia.

2.
Hanya jauhari kenal manikam.
Batu manikam bersinar terang;
Jikalau hati kesumat dendam,
Jiwa tak tenteram berwajah walang.

3.
Kalau ingin mengukur meja,
Guna sesiku bergaris dua;
Kalau langit berarak mega
Tanda waktu Maghrib nak tiba.

4.
Pakai terendak buatan tangan,
Untuk berlindung panasnya suria;
Sayangkan anak tangan-tangankan,
Sayangkan ibu lekaslah berdoa

5.
Asam kandis dalam tempayan,
Kulit lokan jatuh di halaman;
Wajah yang manis nampak rupawan,
Maniskan lagi dengan senyuman.

6.
Kukur kelapa buatan tangan,
Ditempa dari besi yang waja;
Syukur dan pasrah ke hadrat Tuhan,
Mencantikkan wajah mengelokkan jiwa.

7.
Kuda-kuda kayu meranti,
Dipahat dengan kayu tualang;
Berasa-rasa gagah di hati,
Mahu menjadi anak cemerlang.

8.
Jika mahu melicinkan papan,
Guna keketam bermata tajam;
Apa guna berwajah tampan,
Jika hati bertitik hitam.

9.
Terdengar ngauman anak singa,
Cepat-cepat pulang ke rumah;
Jangan memancing dalam belanga,
Perlakuan khianat sifat mazmumah.

10.
Lauk santapan sayur berduri,
Kala memetik berhati-hati;
Sauk air mandikan diri,
Tidak mengharap belas simpati

11.
Jika mahu menanam padi,
Kuku kambing alatan utama;
Jangan lokek menabur budi,
Budi baik mengelokkan nama.

12.
Tok Batin membawa sumpit,
Memegang damak sambil ketawa;
Jika hidup terasa sempit,
Segera berdoa lapangkan jiwa.

13.
Segar sekali air telaga,
Dingin dan jernih segarkan diri;
Teguklah air hilangkan dahaga,
Tuanglah dari sebuah kendi.

14.
Para pahlawan ke medan juang,
Menggalas busur menjulang panji;
Pilihlah kawan berjiwa cemerlang,
Agar menyusul minda bestari.

15.
Petani gembira membajak tanah,
Tenggala besar ditarik kerbau;
Murah senyuman bersikap ramah,
Penawar terbaik hati nan galau.

16.
Pinang mana mahu dikacip,
Pinang lemak pohonnya tinggi;
Hati siapa berasa sakit,
Ampun maaf saya pohoni.

17.
Mari melancong ke negeri Melaka,
Bersiar-siar dengan pedati;
Pertahan sungguh negeri merdeka,
Sanggup berjuang hingga ke mati

18.
Simpan pekasam dalam guri,
Tempayan menadah air sembahyang;
Selagi tak hilang langit dan bumi,
Iman saya tidaklah goyang.

19.
Ayam jantan bermata rabun,
Tajinya patah cuba berlari;
Cantiknya baldu bunga setimbun,
Tidakkan tahan pakai sehari.

20.
Sepagi-pagi berasa sayu,
Manis serbat pengubat pedas;
Segak sekali pahlawan Melayu,
Keris bersisip capal beralas.

21.
Menjebak burung di pohon selasih,
Beberapa batas rumpunan temu;
Pandai-pandailah berterima kasih,
Kepada guru yang memberi ilmu.

22.
Datuk menteri jamah eepok,
Sagun rumbia dimakan sama;
Ilmu dipelajari tidakkan lapuk,
Sejuta tahun tetap berguna.

23.
Jika mahu membeli tas,
Pilihlah dari kulit buaya;
Jika mahu kekal di atas,
Jangan lupa orang bawahnya.

24.
Bersantap cekodok di waktu pagi,
Sambil minum kopi panas;
Daripada duduk di kedai kopi,
baik menanam kunyit lengkuas.

25.
Cenderamata dari Acheh,
Dibeli dari Desa Sentosa;
Mari kita bertambat kasih,
Cubit yang kiri kananpun terasa.

26
Beratur ke musala memakai cakiah,
Sambil berjalan tasbih di tangan;
Suburkan harta dengan sedekah,
Tanda bersyukur kepada Tuhan.

27.
Kalau kebun banyak tupai,
Ambil senapang petik picunya;
Kalau berasa kurang pandai,
Carilah guru tuntut ilmunya

28.
Keris Semenanjung berhulu gading,
Gading gajah dari Sumatera;
Menuntut ilmu sangatlah penting,
Untuk sempurna akhirat dan dunia.

29.
Jangan berebut cangkir di taman,
Nanti taman bertaburan kaca;
Jangan kedekut mengukir senyuman,
Satu senyuman mengubat derita

30.
Membuai dondangan di bawah pohon,
Endoi diikat tali sutera;
Dalam hati sentiasa memohon,
Ampun dan rahmat dari yang Esa.

31.
Kera lotong juga siamang,
Makan pisang habis bergelimpang;
Jangan laksana si umang-umang,
Di mana sarang udang di situ menumpang
32.
Hari raya sudah menjelma,
Hampar ambal sambut tetamu;
Sayang diberi kasih diterima,
Bersungguh rasa bukannya semu

33.
Kuih ketayap berwarna hijau,
Dihidang dengan sekole susu;
Ubat mustajab hati yang galau,
Zikir dan tawakal sudahlah tentu.

34.
Pukul tabuh pukul rebana,
Raja berdaulah di singgahsana;
Apabila subuh muncul waktunya,
Rukuk dan sujudlah kepada yang Esa.

35.
Sedulang rebung saya kunyiti,
Menjerang air bersama pari;
Sembilan gunung saya tangisi,
Mengenang dosa setiap hari.

36.
Cuaca panas rasa dahaga,
Minum sekole nira kelapa;
Sanggup serahkan jiwa dan raga,
Demi negara tidak mengapa.

37.
Algojo bertubuh sasa,
Pada tangannya memegang cemeti;
Jangan sesekali berbuat dosa,
Kalau tidak betah panasnya api.

38.
Cantik sungguh tiara puteri,
Bertatah emas intan permata;
Cantik sungguh bahasaku ini,
Molek didengar indah dikata.

39.
Sibuk sungguh orang kampung,
Berlapik tungku menanak nasi;
Jangan membuka dada berpekung,
Simpan aibmu usah mencaci.

40.
Kacak sungguh anak teruna,
Berjubah hitam ketayap putih;
Jangan bertangguh urusan agama,
Sebelum berselimut kapan yang putih.

41.
Cantik sugguh roman adinda,
Beralis hitam bundarnya mata;
Apabila berbisik berjaga-jaga,
Jangan tersilap bertutur kata.

42.
Gantung kelambu tepi beranda,
Pintu beranda tidak berkunci;
Biar beribu datang menjelma,
Saya memilih yang baik budi.

43.
Anak pungguk terbang di sawah,
Sangkar dibina di tepi jalan;
Enak sungguh bersantap di rumah,
Air tangan ibu pemasak handalan

44.
Mata sepek dicakar beruang,
Jatuh pula di dalam kubang;
Dalam kopek ada wang,
Untuk membayar hutang piutang

45.
Peram pulut buat tapai,
Letak dengan daun pandan;
Memang hajat sudah tercapai,
Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan

46.
Celapa digilap hingga berkilat,
Nampak bersinar tengah serambi,
Adat dipegang syariat diangkat;
Pegangan hidup orang berbudi.

47.
Bersantap pagi di medan selera,
Pramusaji ramah melayan;
Hati gembira tidak terkira,
Mencapai cita-cita dan juga impian.

48.
Cenderadurja dibalut rapi,
Isinya sehelai kain kembayat;
Sunguh teruja rasa di hati,
Tuhfat dikenang sepanjang hayat

50.
Datuk bersandar tepi beranda,
Opah pula menggobek pinang;
Untuk bergelar sebagai juara,
Usaha bersungguh malam dan siang.

51.
Berhati-hati meredah paya,
Pakai sepatu elakkan duri;
Berhati mulia setiap masa,
Budi pekerti pakaian diri.

52.
 Jika hendak menanam ubi,
Tanam kemili di pinggir bukit;
Jika sudah membuat budi,
Jangan disebut diungkit-ungkit
53.
Orang berbudi kita berbahasa,
asal diri jangan di alpa;
Berjuang bakti pada negara;
Jangan dilupa ibu dan bapa

54.
Kura-kura dalam perahu,
Anak sepat dalam belat;
Cura-cura perangai tak malu,
Hati kelam fikiran bejat.
55.
bawal dimakan kura-kura
lalu di sapa oleh si penyu
kawallah akan si cura-cura
kawal dengan menunduk nafsu

56.
Dalam bicara harus bercura
Agar terasa ramahnya tamu
Kalau berkata si cura-cura
Pandai-pandailah menyelit ilmu

57.
Buka peti di bawah alang,
buah catur sebutir hilang;
Jika hati berhiba walang,
carilah libur beroleh girang

58.
Daun salang enak rasanya,
Disambal dengan daun pegaga;
Hati walang ada penawarnya,
Seuntai tasbih penyeri jiwa.

58.
Bunga melati kembang setangkai,
Harum baunya tidak terperi;
Biarlah buruk kain dipakai,
Asalkan molek laku pekerti.

59.
Sundal malam putih melepak,
Baunya harum sampai ke pagi;
Jangan diikut perangai merak,
Mengembang ekor memuji diri.

60.
Mayang kepala belum kembang,
Ambil buluh menadah nira;
Andai usiamu semakin panjang,
Elakkan berbuat noda dan dosa.

61.
Toseh capati paratha dan dalca,
Santapan pagi mengalas tenaga;
Andai dirimu bermuram durja,
Rakan dicari penghibur lara.

62.
Si jalak mencari limbat,
Limbat disimpan dalam bakul;
Jangan berlengah meminta taubat,
Takut Izrail datang menyapa.

63.
Pohon inai bertunas baru,
Ambil pucuk digiling-giling;
Teruna kacak baiklah laku,
Dara yang lalu menjeling-jeling.

64.
Hari minggu pergi mengaji,
Mengaji balaghah dan juga nahu;
Jika ingin puji memuji,
Pujilah dengan nama Tuhanmu.

65.
Usah bermain di tengah hari,
Takut pitam di tepi padang;
Elok menyesal kesalahan diri,
Tanda dirimu berjiwa lapang.


66.
Ambil mangga kunci jendela,
Bimbang penyamun melompat masuk;
Sambil membaca bertasbih sama,
Jalan yang elok mencari khusyuk.


67.
Jika mahu ke pasar malam,
Kuatkan selak dengan tala;
Semoga dirimu jadi tenteram,
Agar selamat harta dan benda.


68.
Gepuh-gepuh pengancing selak,
Biar tenang waktu beradu;
Gapah gopoh sikap tak enak
Kusut-masai tidak menentu.


69.
Belantara luas jalan ke penghujung;
Carilah akar tempat berpaut;
Antara rumput ataupun gunung,
Aku memilih serumpun rumput.
70.
Hampas tebu jangan dibuang,
Bileh dibuat penggosok gigi;
Malas dan jemu perangai terlarang,
Amalan buruk orang merugi.

71.
Jeruk cili tidaklah pedas,
Pedasnya habis dimakan cuka;
Kemaruk di hati akan berbekas,
Jika tak kenal dosa pahala.
72.
Perbara tanah berbentuk bulat,
Tempat membakar kemenyan setanggi;
Sapalah dengan ucap selamat,
Romanmu cantik sopanmu tinggi.

73.
Pengantin segak berbaju melayu,
Singgah masjid bersolat zuhur;
Molek bergaya berwajah ayu,
Itulah gadis berbudi  luhur.

74.
Hutan nanas jangan diredah,
Banyak duri menusuk lengan;
Hati panas jangan diendah,
Nanti diri hilang pedoman.

75.
Kuaci bunga si matahari,
Kulit hitam isinya perang;
Benci pada si tinggi diri,
Ke sana ke mari merendahkan orang.

76.
Pena biru berdakwat basah,
Untuk menanda kertas periksa;
Bersama guru minda diasah,
Untuk bergelar budiman perkasa.

77.
Malam indah dengan purnama,
Jadi panduan belalang di taman;
Molek perangai indahkan nama,
Jadi sebutan zaman berzaman.


78.
Anak haruan mudik berenam,
Anak sepat masuk belat;
Sama mencecah hati kuman,
Cari sepakat bina muafakat.
79.
Basuh pelana jangan tergores
Besi mangga bawah kereta
Ayuh membina rasa altruis
Berkongsi bahagia berkongsi derita

80.
Mendaki hulu sampai puncaknya
Senyap selepas di balik punggur
Nabi terdahulu lanjak umurnya
Setiap nafas dipenuhi syukur

81.
Seroja bunga berkembang
Dalam kolam hidup subur
Menyusun kata jangan temberang
Nama membusuk ke lubang kubur

82.
Bunga kenanga berwarna kuning
Tinggi pohonnya di tengah hutan
Menyusun doa waktu yang bening
Menunduk nafsu jiwa dihambakan

 83.
 Sebelum kaki naik kerumah,
Ceboklah dulu air segayung;
Senyum itu tanda peramah;
Lambang pekerti diri yang agung.

 84.
Rumah limas perabung lima,
Dihias dengan ukiran jati;
Resah dan cemas tidak terkira;
Kala mengenang kosongnya hati.

 85.
Ayam selasih baru bertaji,
Beras melukut dicakar-cakar;
Terima kasih daun keladi;
Suluhan ilmu terus memancar.

 86.
 Kudup bunga tepian tanjung,
Tanjung berpasak kayu nan teras;
Hidup jangan angkuh dan sombong;
Berasing dengan antah dan beras.

 87.
Duduk bersila mendengar gendang,
Sambil meniup serunai tembaga;
Biduk berlalu pada kiambang,
Tidak kan lama bertaut semula.

88. 
 Celana ketat jangan dipakai,
Nanti susah untuk melompat;
Akal singkat berlagak pandai,
Pabila ditanya apapun tak dapat.

 89.
Rantai emas berkilau cahaya,
Doipadan dengan loket berlian;
Hidup di dunia hanya sementara,
Akhirat jua tempat tujuan.

90. 
 Sungguh sopan si anak gadis,
Duduk bertelut sambil bercanda;
Duduk bertimpuh dipandang manis,
Amalan lama jangan dilupa.
 91.
Ramai tetamu datang kenduri,
Duduk bersila atas bebalai;
Jangan amalkan dengki dan iri,
Iri dan dengki buruk perangai.

 92.
Pengantin berseri senyuman ceria,
Memakai subang emas yang tulen;
Lakarkan senyuman kala bersua,
Seteru menjauh silaturahim terjalin.

93.
Bau menusuk kemang di taman,
Ambil setangkai berikan rakan;
Biar busuk baunya badan, 
Jangan busuk akal fikiran
94.
Sirih diregu sekacip gambir
Dikunyah-kunyah
merah bibirnya
Ungkapan salam ayuhlah mampir
Mengundang tamu bersungguh rasa

95.
Terluka pedih tajamnya parang
Mulut terlopong sakit sekali

Jika sirih pulang ke gagang
Celepa kosong tidak berisi
96.
Kambing mengembek di pohon sirih
Ingin mengunyah pucuk di atad
Sama menggobek
sama menyirih
Itulah tanda rindu berbalas

97.
Tunas selasih bercabang-cabang
Dihinggap pipit berpatah patahan

Andainya sirih tidak dipandang
Emas seupih hamba gantikan
98.
Daun pisang dikerat lima
Buat bekalan anak petualangan
Sirih pinang sudah diterima

Menunggu kadi berjabat tangan

99.
Berbaju batik memakai songkok
Berjalan miring terbatuk-batuk
Minta sirih diberi rokok
Ingatkan bijak rupanya bongok
100.
Pipit di punggur tidak mematuk
Anak haruan lari berlindung
Sirih sekapur pinang setampuk

Di dalam puan tempat berkampung

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit