Tuesday 11 October 2022

Si Kaduk Merenung

 Si Kaduk Merenung


Ayam jantan 

Ayam tambatan

Hilang tambat

Dimiliki orang

Janji salah dengar

Kata salah ucap

Tanah serelung

Hilang sepelaung

Kaduk meraung

Diamnya merenung

Pedih tak tertanggung

Nasib Kaduk oleh akal sendiri





Wednesday 20 July 2022

KURANG AJAR

 Kurang Ajar


Melayu itu tersangat kurang


Kurang pada marah

Marahnya masih santun

Kurang pada cerca

Cercanya berlapik pantun

Kurang pada dengki

Dengkinya bersendi puji

Kurang pada harta

Hartanya zuriat cahaya mata

Kurang pada kata

Katanya bersulam firman dan sabda


Tersangatlah ia kurang pada dunia

Tetapi jika dunia Melayunya digugah

Bingkas ia tanpa berlengah

Ketika itu ia belajar 

Menjadi kurang ajar


Cg Sam 

Kg Kepayang 20/7/22

Saturday 16 July 2022

Buku Guru Aini

 



Tajuk : Guru Aini

Penulis : Andrea Hirata

Penerbit : Jejak Tarbiah

Muka surat : 296

Andrea Hirata, penulisannya sangat hidup dan menghidupkan. Tema orang-orang biasa dalam perjuangan masyarakat yang sering kali mahu hidup secara luar daripada kebiasaan diangkat dengan santai tetapi sangat hidup dan berjiwa.

Dilihat pada tajuk sudah boleh ditanggap isi kandungan yang mahu disampaikan. Kisah perjuangan sang guru yang namanya Aini..... Itulah sangkaan pertama. Tetapi apabila dibaca, hatta sampai ke halaman 50 tiada pun watak guru yang bernama Aini. Yang ada ialah Aini seorang kanak-kanak perempuan yang berpenyakit misteri apabila berhadapan dengan mata pelajaran Matematik.

Matematik menjadi punca segala penyakit, menjadi bebanan tak terhitung, menjadi satu petaka dan punca hilangnya motivasi kepada kanak-kanak ini. Bagaimana pula dengan kanak-kanak lainnya yang belajar di sebuah pulau yang menjadi sekolah pertama penempatan oleh seorang guru muda yang baharu menamatkan pengajian dalam bidang keguruan? Itulah Desi Istiqomah.

Desi Istiqomah dilakarkan sebagai seorang gadis cantik, molek lagi mulus. Sangat bijak, malah yang terbijak dalam keluarga dan dalam kuliah. Tetapi punya parut yang kebiasaannya milik budak lelaki lasak. Gemar memakai baju muslimah yang dipadankan dengan kasut sukan. Kasut sukan itu menjadi satu pandangan pelik yang langsung tidak secocok dengan busana. Itulah pula perwatakan Desi.

Lahir dalam keluarga berada yang dijanjikan kemewahan, tetapi memilih pendidikan dan sangat taksub untuk bergelar ibu guru. Keguruan dilihat sebagai satu bidang yang banyak bebanan, tidak glamour, kurang pendapatan. Timbul telingkah pendapat antara Desi Istiqomah dengan ibunya, juga teman lelakinya. Memilih menjadi guru di kawasan pedalaman adalah muktamat.

Kecekalan jiwa seorang sarjana pendidikan yang bakal menerima penempatan pertama, sanggup bertukar tempat dengan rakan sekuliah agar ditempatkan di pulau mana sahaja. Lalu Pulau Batu Hampar yang tidak siapa pun ketahui kedudukannya dalam peta Indonesia menjadi lokasi penempatan pertamanya. Menjadi guru Matematik di sebuah sekolah luar bandar di pulau terpencil. 

Maka kisah perjuangan Ibu Guru Matematik bernama Desi Istiqomah bermula dengan begitu mengujakan, juga mengharukan. Apa kaitannya Guru Aini yang menjadi tajuk novel ini dengan gadis manis Desi Istiqomah? Ternyata perjuangan pendidikan itu berhadapan onak yang sama sahaja walau di mana juga guru itu berada.

Tuesday 21 June 2022

DAMPINGI BOS


Macam mana dengan BOS andaatau macam mana hubungan anda dengan BOS? BaikDinginBerapiApa-apalah. Itu semua terpulang kepada andaIngat, BOS tetap BOS walau siapa pun dia. Sudah dapat mengambil hati BOS? Jika belumusaha lagiIngat ambil hati BOS bukan untuk menunjuk-nunjuk atau mengada-ngadatetapi untuk mewujudkan suasana nyaman tempat kerja.

Sebagai kaki tangan yang profesional sudah tentu kita mahu menjadi 'rakan' yang baik kepada BOS kitaTentu rasagembira sekiranya buah fikiranpandanganusaha atau apa jua komitmen untuk membawa organisasi ke arahkecemerlangan diberi perhatian dan disokong oleh BOS. Bila BOS rasa gembirasudah tentu suasana tempat kerja akanaman damai sejahteraApa kata kita mencuba pula beberapa tips untuk meraih kepercayaan dan perhatian BOS. Ingatbukan nak bodek atau mengipasTidak lain daripada mewujudkan suasana nyaman di tempat kerja.

1. Beri pendapat anda tentang projek, program pembangunan dan kecemerlangan organisasiTapi jangan main cakapkosong sahajaHendaklah dikemukan dengan proposal atau kertas kerja. Paling tidak sediakan blue print atau lakaran kasarNyatakan pandangan anda secara profesional tentang projek yang mahu dilaksanakanBerikan gambaran kasar

2. Jangan desak BOS untuk menyetujui cadangan andaSebaliknya berikan hujah yang meyakinkanSediakan jalanpenyelesaian bagi permasalah yang ditimbulkan. Yang penting ialah anda mesti mampu menyediakan alternatif spontanyang munasabah.

3. Sekiranya anda diberi peluang mengedalikan sesuatu projekSama ada projek itu merupakan hasil cadangan andaatau tidaklakukanlah dengan sebaiknyajika projek itu hasil cadangan andabuktikan bahawa anda memang bolehdiharapjika projek itu bukan cadangan andaselami falsafahnyabuat sehabis baikLakukan tugasan itu mengikut masayang ditetapkanPamerkan disiplin yang baikJika gagalberhadapanlah dengan BOS sebelum masa penamat.Nyatakan permasalahan secara profesionalElakkan memberi alasan peribadi.

4. Utamakan kepentingan BOS berbanding kepentingan atau keutamaan peribadiSekiranya anda sedang berbual samaada melalui tetefon atau dengan rakantiba-tiba disapa oleh BOS, maka tamatkan perbualan anda dengan segeradengan memberitahu terlebih dahulu kepada rakan anda tentang kepentingan berurusan dengan BOS. Sebaik sahajaurusan dengan BOS selesaihubungi semula rakan tadi untuk menunjukkan bahawa anda memang mempunyai urusanpenting.

5. Jaga penampilan diriTampillah dengan gaya yang benar-benar dikagumi. Cara percakapan anda hendaklahmenampakkan keyakinanPakaian sesuai dengan profesion andajika anda seorang Guru Pendidikan Jasmani,pakaialah kemeja t berkolarseluar track gelapbaju dikemaskan dalam seluarberstoking dan berkasut sukan.Gantungkan wisel pada leher menampakkan bahawa anda memang seorang jurulatih jasmani yang konsistenBegitulahseterusnya megikut profesion.

6. Tampilkan wajah yang tenangsentiasa stabil dan tidak mudah terusik bila berhadapan dengan situasi yang rumit.Lebih-lebih lagi bila anda menerima tekanan daripada BOS. BOS akan lebih menyukai kaki tangan yang tidak kelamkabutkreatifkritis dan sentiasa berfikir sebelim memberikan buah kata atau melakukan sebarang pekerjaanKetenganmudah dilihat melalui gerak fizikalJadi jangan sampai anda dilihat sebagai orang yang 'gabra'.

7. Mahirkan diri dengan ilmu komunikasiBerkomunikasilah dengan BOS tanpa menunjukkan anda seorang yang gopoh,tidak menguasai situasitidak bersikap autoktarik. Yang lebih penting tampakkan bahawa anda sentiasa merendahkanhati.

8. Cepat bertindak dan mampu mengeluarkan pendapat secara spontanSekiranya berlaku sesuatu di luar kawalan,anda seharusnya segera bertindak atau boleh memberikan pendapat yang bernas.

9. Menjadi orang serba tahuSebagai kaki tangan yang diberi kepercayaansudah tentulah BOS akan cuba mencuriperhatian dengan berbual-bual kosong dengan andaDalam perbualan itujangan sesekali menguasai perbualanandatidak perlu meningkah sebaliknya hanya perlu menyatakan beberapa perkara yang berkaitansesekali nayatakanpandangan yang bernas.

10. Ceria dan senyum selaluTampilkan wajah yang ceria dengan senyumanTegur BOS andategur rakan sekerjaandategur sesiapa sahajaAnda akan dilihat sebagai orang yang periang dan boleh dibawa berbincang walau dalamkeadaan apa sekali pun.

Lagi sekaliingatkita bekerja bukan untuk BOS atau kerana BOS. Tetapi BOS sudah dilantik sebagai ketuamakasangat perlu kita menpampingi BOS, mengambil perhatian dan kepercayaannya agar iklim tempat kerja benar-benarnyaman.

Monday 20 June 2022

Buku Zikir-zikir Cinta

Zikir-Zikir Cinta. 

Penulis : Anam Khairul Anam

Terbitan PTS (2008)



Sebuah karya Indonesia terbitan 2008. Berkisar tentang cinta remaja.  Tapi. Ini bukan cinta biasa.  Cinta remaja di pondok pasentren. Di mana pun manusia berada.  Hubungan tabii berlawan jenis tidak boleh dinafikan.  Itu adalah hak insan,  hak asasi manusiawi yang telah Tuhan aturkan.  Bagaimana mahu dinafikan?  Hukum syarak ada ketentuannya. Bermujahadahlah menentang bisikan iblis.

Rusli,  remaja kurang berkemampuan,  memilih jalan ke Pasentren di Jawa. Seorang remaja cemerlang yang akhirkan berjaya memikat jiwa Kiyai Mahfud. Lalu berbolaklah jiwa remaja antara dua cinta.  Nilai hormat,  taat kepada kiyai dan nurani cinta sendiri. 

Fatimah,  anak gadis sang kiyai menjadi lambang ketaatan tetapi Sukma, seorang gadis nasrani menjadi pilihan nurani.  Sukma pula sedia beralih aqidah.  Konflik antara nilai tradisi para santri di pondok pasentren yang masih mahu mengekalkan nilai taat, akur,  hormat,  tawaduk,  dan ledakan jiwa remaja yang mahu mencintai. Inilah kembara Rusli,  Fatimah,  Sukma, para santri, kiyai,  tuan-tuan guru serta watak dalam karya ini. 

Kisah kehidupan para santri di pasentren dilakar dengan sangat baik. Pendedahan berani tentang kehidupan dalam pondok pasentren,  suka duka,  cabaran,  gelojak jiwa,  masalah serta kenakalan para pelajar pondok ditulis tanpa mencacatkan institusi pondok, sebaliknya menyemarakkan suasana kehidupan di institusi tertua alam Melayu. 

Banyak hukum fiqh diketengahkan melalui karya ini.

Sunday 19 June 2022

Aku dan buku



 Buku.... Memang seronok membaca buku. Sejak sekolah rendah aku suka baca buku. Buku dari perpustakaan Sekolah Rendah Kebangsaan Baru Kurau SRKBK (1981-86) tidakku sia-siakan. Pasti ada sahaja buku yang dibaca dan dipinjam. Antara buku yang aku masih ingat ialah tentang kepercayaan masyarakat Melayu.

Ada banyak kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dan jenis-jenis hantu dalam kepercayaan Melayu. Tajuknya entahlah, tidakku ingat sebab sudah lebih 30 tahun lalu. 

Membaca di rumah? Di rumah, membaca bukanlah menjadi tabiat. Tak banyak pun buku ketika itu. Yang ada URTV, Mastika, Pancaindera, Komik Gila-Gila, Gelihati, Bujal. Buku ilmiah? Memang tiada. Kerana membeli buku bukanlah satu keutamaan. Bukan senang nak dapatkan duit ketika itu. 

Yang banyak di rumah ialah kaset lagu-lagu. Lagu-lagu D J Dave, Alleycats, Kembara, Abba dan lain-lain.  Aku tumpang dengar kaset abang-abang dan kakak-kakakku. 

Disebabkan minat membaca, aku selalu lepak di kedai gunting Pak Long Hamzah dekat Pekan Batu Kurau. Di kedai gunting tu memang banyak bahan bacaan. Surat khabar, majalah, komik, buku cerita dan lain-lain. Jadi dengan tak malunya aku menjadi pelanggan tetap yang tidak berguntingan tetapi membaca. Sampailah Pak Long Hamzah meninggal dunia dan diambil alih oleh anaknya Sani Hamzah.

Di Masjid Jamek Al Kurawi Batu Kurau pun ada beberapa bahan bacaan ilmiah. Kebanyakannya bertulisan jawi. Aku ke masjid sebelum Zohor dan pulang selepas Asar. Membaca bahan bacaan sambil bersembang dengan ahli jemaah yang kebanyakannya generasi berumur. Sambil membaca sambil dengar pelbagai nasihat dan rahsia kehidupan.

 Masuk sekolah menengah di Sekolah Menengah Dato' Kamaruddin Batu Kurau (1987-91) aku jadi pengunjung tetap pusat sumber. Hinggalah aku dilantik sebagai pengawas pusat sumber sekolah. Wau.... Punyalah seronok. Aku boleh membaca buku yang diletakkan di bilik khas. 

Ketika tingkatan enam di SMK King Edward VII Taiping (1992-93) pun sama juga. Aku kerap ke pusat sumber dan sangat akrab dengan pustakawan. Jadi aku dapat meminjam buku yang diletakkan dalam ruangan Red Spot. Buku yang perlukan kebenaran khas untuk dibaca dan dipinjam.

Buku Red Spot ialah buku rujukan yang sukar diperoleh atau mungkin harganya lebih mahal.

Ketika ini, aku dapat biasiswa. Duit biasiswa habis untuk membeli buku. Puas dapat baca buku milik sendiri. Ketika dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Agama Islam, aku mengadakan program jualan buku sempena Nuzul Quran selama dua hari. 

Program dianjurkan dengan  kerjasama sebuah Pustaka di Taiping. Balai Pustaka. Kedudukannya bwtul-betul depan Hospital Taiping. Aku agak rapat dengan pengurusnya sebab selalu beli buku di situ. Selalu juga dapat harga murah. Sebaik tamat program urus setia diberi tawaran memilih sebuah buku sebagai cenderahati. Kawan-kawan pilih buku yang agak nipis. 

Tapi aku pilih sebuah buku yang sangat tebal. 562 muka surat bertajuk Ringkasan Syiah Mazhab Imam Dua Belas. Sebuah buku terjemahan. Aku baca buku tu dari halaman depan sampai belakang. Buku tentang Syiah pertama yang aku baca.

Kawan-kawan kata, "wei tebalnya buku hang ambik". "Alang-alang orang dah bagi, ambik lah yang kita suka, baru berbaloi," kataku.

Di Institut Bahasa Kula Lumpur, (1994-96) aku terus menjadi pengunjung Pusat Sumber. Cik Fatimah, itulah gerangan pustakanita yang selalu aku temui. Berbual dengan ramah dan interaksi kami berkaitan perpustakaan dan keilmuan. Beliau sering memberi aku ruang mendapatkan bahan bacaan yang aku inginkan. Untuk siapkan tugasan aku pasti akan membeli buku yang berkaitan.

Dan, rasa keinginan membaca dan memiliki buku sendiri sentiasa membara. Pantang ada duit lebih pasti aku membeli buku dengan kuantiti yang banyak  Setiap bulan sudah tentu paling kurang dua buah buku aku beli. 

Yang paling seronok membaca ialah ketika berada dalam bas ekspress. Aku selalu bergerak dari Kuala Lumpur ke Utara, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang dan mana-mana sahaja aktiviti KPIP dan PKPIM, atau balik ke kampung. Satu perjalanan habis sebuah buku. Perjalanan balik, habis lagi sebuah buku. 

Itu dulu, ketika itu tiada telefon bimbit. Sekarang ni dah lain sikit. Membaca buku maujud masih menjadi pilihan tapi mata makin tua, seiring dengan ketuaan tuannya. Tulisan yang kecil dalam buku mempengaruhi nafsu membaca. Maka membaca bahan elektronik jadi pilihan. Tulisan boleh dibesarkan.

Syukur aku punyai isteri yang minatnya juga membaca. Di rumah kami memang tiada almari perhiasan melainkan gerobok koleksi buku. Tiada ruang menonton di ruang tamu. Memadailah kerusi dan gerobok buku yang berselerakan dengan bahan bacaan. 

Inspirasi ini aku peroleh daripada para ilmuwan. Aku pernah mengunjungi rumah-rumah tokoh ilmuwan negara seperti Prof Dr Sidek Fadil, Dr Sidek Baba, Datuk Zainal Abidin Wahid, Datuk Ahmad Azam, Rustam Sani dan ramai lagi. Rumah mereka dipenuhi dengan buku yang berserak dan bersusun. Berselerak bermaksud mereka sedang membuat rujukan. Azamku jika ada rumah sendiri akanku penuhi dengan buku.

Aku sangat sayang akan buku yang aku beli sendiri. Sejak dulu lagi aku pastikan buku dibalut tapi. Dicop sebagai milik peribadi. 

Hingga kini aku masih buat perkara yang sama. Buku yang dibeli atau dihadiahkan (jika ada orang bertanya apakah hadiah yang aku suka... Jawapannya ialah buku, terutama buku tebal) akan direkodkan dalam Google Drive.

1.Bilangan. 2.Tajuk. 3.Tarikh dibeli 4.Pengarang 5.Penerbit dan tahun terbitan 6. Bilangan muka surat 7.Harga.

Pada tepi bahagian bawah buku diletakkan bilangan, pada halaman 15 cop KOLEKSI KELUARGA / PERSENDIRIAN SILA BACA DENGAN KEMAS DAN BASMALLAH.

Sedar tak sedar hingga kini aku sudah mempunyai koleksi persendirian sebanyak 1592 buah buku. Walaupun tidak semua buku aku baca kulit ke kulit, namun setiap buku yang aku miliki akan dibaca pada bahagian tertentu. Tak rugi membeli buku kerana ilmu dalamnya tiada tarikh luput.

Jom baca dan jom beli buku. Setiap rumah wajib ada gerobok ilmu peribadi. 


Buku-buku direkodkan untuk kepuasan sendiri.




Gerobok peribadi.


Saturday 18 June 2022

PESTA BUKU 22

 "Jom pi KL, pi pesta buku" ajak Cikgu Shikin.

" OK, tunggu kereta dibaiki dulu," kataku yang sememangnya sudah lama tidak ke Pesta Buku. Kali terakhir pada tahun 2017. Sudah lama sekali.

"Banyak ka nak beli?"

"Beli sikit-sikit sajalah, buku yang ada pun masih banyak yang tidak bersentuh," semangat memiliki buku baharu sentiasa berkobar walaupun buku yang sedia ada bersusun di gerobok persendirian. Menunggu waktu untuk ditatap.

Kurang lebih, 10.30 pagi sampai di PWTC. Dengan menggunakan kad TnG dapatlah masuk ke ruang parkiran bahagian bawah. Aduhai jenuh pula melilau mencari kotak kosong. Tiada yang bersisa. Setelah berlegar-legar beberapa pusingan, keluar sajalah. Cari parkiran di bahagian luar. Ada beberapa ruang kosong. Tapi agak jauh untuk menapak.  

Naik tangga sambil mengheret bagasi merah besar. Bagasi yang besar menampakkan adanya kemahuan untuk memborong buku yang banyak. Kononnya..... Naik ke atas, betul-betul di belakang pentas. Sedang dilaksanakan persembahan wayang kulit.

 Tidak berlama-lama, terus naik ke tingkat berikutnya. Melilau dari reruai ke reruai. Reruai pertama yang disinggahi ialah Perpustakaan Negara Malaysia. Pegang buku Hikayat Hang Tuah. rasa macam nak beli, tapi difikir semula, dah ada sebuah di rumah edisi Pelajar.  

Nampak ada buku syair. Pilih dan bayar dua buah buku Syair Riau dan Syair Siti Zubaidah. Merayau dan merayau. Anak bongsu berminat nak cari buku sejarah. Buku tamadun. Entahlah mengapa minat benar dia dengan buku tamadun dan sejarah, lebih-lebih lagi tentang perang dunia. 

Dibelinya buku Tamadun Monggol, Putin, dan tentang Rusia. Di reruai PTS dapatlah berbual mesra dengan Prof Dr Abdullah Hassan. Sempat merakam beberapa keping gambar. "Nah, Atok belanja. Beli buku tau," kata prof menghulurkan sejumlah wang.

 "Jangan lupa ucap teriman kasih. Atok Prof belanja ilmu hari ni," kataku. Lantas dia menyalami dan mengucup tangan Atok Prof dengan wang itu dibeli buku seperti yang dipesan oleh Prof Dr Abdullah Hassan.

Reruai terakhir, ITBM. Di situ lambakan buku bersusun di lantai mengikut kumpulan. Banyak juga buku yang kubeli di sini. Sedar tak sedar lebih tiga jam kami berada di PWTC. 

Lapar. Terus kubuka beg galas. "Eh... Dah tinggal sikit." Bekalan roti dan air sudah dijamah oleh anak-anak dan isteriku Cikgu Shikin. "Nak pi mana lagi?" Tanyaku. "Tak pi manalah, balik ja terus," Cikgu Shikin memberi usul. 

Memang inilah kunjungan ke pesta buku yang paling singkat. Datang semata-mata nak beli buku. Sebelum pulang singgah di Restoran Jejantas Sungai Buluh. Solat dan memenuhi kehendak biologi. 

Di lebuh raya teringat akan sebuah tempat semaian yang membuka kunjungan memetik anggur di Slim River. Sampai di situ, pemilik memberi tahu, anggur sudah dituai. Tunggu bulan dua belas katanya. 

Ok. Singgah di restoran membungkus makan malam. Sebaik usai solat jamak Magrib dan Isyak di Gopeng terus pulang ke rumah di Simpang Pulai.

Buku yang paling sikit dibeli di PBAKL dan masa yang paling singkat melilau ddi reruai.
Perabaca sementara menunggu buku seterusnya dipilih-pilih.

Berfotografi bersama Prof Dr Abdullah Hasan di reruai PTS.

Terima kasih, Atok Prof belanja anak hamba buku.

Gunakan wang belanja Atok Prof membeli buku.


Buku P Ramlee dan Batu Putih menyimpan banyak rahsia.

Buku Mao, tak jadi beli. Ditulis dalam bahasa Indonesia. Banyak kosa kata yang anakanda hamba tidak faham. Cari buku lain.



Tuesday 7 June 2022

SYAIR TONGGAK NEGERI

 

SYAIR TONGGAK NEGERI


Duhai saudara juga saudari

Dengarlah dengar hamba berperi

Kalian adalah tonggak negeri 

Usah terleka walau sehari 


Kacak sungguh dikau teruna

Tampil segak dengan busana

Lengkapkan dengan ilmu laksamana

Dikau dihormat walau di mana


Ada pun dara cantik menawan

Dikau ibarat emas tempawan

Di samping arjuna jadi setiawan

Jauhlah gundah hati nan rawan


Para pemuda para pemudi

Sebelum dikau pegang kemudi

Molekkan iman dan juga budi

Dunia akhirat sama menjadi


Muda perkasa mudi jelita

Peran kalian umpama pelita

Menyuluh terang dari gelita

Jadi pendamai akan sengketa


Tonggak negeri insan berakal

Ilmu dunia menjadi bekal

Ilmu akhirat dipegang tekal

Kerana kalian menjadi tangkal


Muda Mudi bijak bestari

Sungguh beruntung isi negeri

Umpama siang dilimpah mentari

Sungguh kalian jadi penyeri




SEBUAH KERETA DAN SEBUAH BUKU

 



"Sejauh mana kau tahu rahsia Datuk Zahimi?"

" Banyak." Jon mengakuinya.

"Sebanyak mana?" Desak Sarin.

"Banyak bersama bukit." Jon juga bukan calang-calang penggugat orang politik.

"Apa kau nak untuk hapuskan semua bukti itu?" Sarin terus mengemukakan tawaran.

"Apa yang Datuk cuba tawarkan?"

"Banyak."

Jon diam sejenak.........

Pagutan dialog Anding Ayangan III, Hikayat 1. Sebuah cereka thriller misteri penuh ketahyulah dan garapan nilai. Tahyul, mistik, misteri, alam berbolak-balik, alam sebalik alam, alam sebalik cermin, alam tipu daya. Semuanya kerana mahu kuasa yang ampuh. Lalu nilai dikesampingkan.

Tauhid dan Tuhan boleh diatur-atur. Wang, kuasa, pengaruh, pangkat, harta, nafsu boleh dipelihara dan dipaksa. Asalkan diikuti pengikut dan punyai kuasa. 

Cerita yang bertunggang-langgang antara manusia dan jembalang. Manusia sarungan yang bersarung dengan jembalang tanpa jasad. Realitinya manusia hari ini masih kukuh percaya akan jembalang tak berjasad. Pemuja kuasa mistik dengan pelbagai jenama dan sarungan hatta agama ditunggangi. 

Perpindahan makhluk sarungan tanpa jasad ke jasad nyata. Makhluk bergelar Mutajassad bersarung-sarung membina kepercayaan dan keyakinan. Hasratnya satu sahaja.... Mengusulkan mungkar, merajakan taghut. Dapatkah roh menyeberang alam ke alam terbalikan? Menyeberang ke alam cermin di bawah air? Berpindah ke jasad pada latar waktu yang berbeda? Dan itulah alkisahnya. Kisah Anding Ayangan yang bermomok bukan untuk pegangan.

543 halaman daripada trilogi Anding Ayangan karya Ramlee Awang Murshid. 

Kuhadap buku ini di bawah pusingan bilahan kipas sementara menanti sebuah kereta merah dirawat rapi.

Rabu 6.8.22


Monday 6 June 2022

MASJID JAMEK AL KURAWI BATU KURAU

 



Masjid Jamek Al Kurawi sangat dekat dengan penduduk Batu Kurau. Qariahnya agak luas. Disinilah saya mendapat ilmu yang sangat bemanfaat. Di sini juga saya bergaul dengan otai-otai yang tak pernah kedekut petua dan ilmu. 

Awal tahun 80-an masjid kayu berwarna hijau dengan sebatang pokok kurma yang tak pernah berbuah menjadi tempat permainan kami anak-anak qariah. 

Pertengahan 80-an dibina masjid baharu, dirasmikan pembukaannya oleh duli tuanku Almarhum Sultan Azlan Shah. Kekal masjid ini tempat kami bermain-main. Lastik cicak merupakan aktiviti kegemaran. 

Sesekali kena marah dengan tok siak dan tok bilal sebab nakal tak bertempat. Ust Ilyasak antara orang yang paling garang dan digeruni. Marah mereka tak lama, lepas solat surut kembali dan kami bermain lagi. 

Saya suka benar melepak di masjid ini. Suka bergaul dengan orang-orang tua dan menadah telinga kala kitab kuning dibuka. Pak Ngah Seli, Chey Kaman, Tok Chey, Haji Ding, Pak Lang Senodeng, Pak Su Nan, Acu Pian, Pak Lang Usop, Ust Ulul Azmi, Ustaz Ahmad, Haji Mat Nor, Cikgu Kamarudin dan ramai lagi yang kebanyakannya sudah berpulang ke rahmatullah. Orang lama yang mudah didekati. Petua, macam-macam dapat. 

Tuan Guru Pak Su Ramli, Hj Wahab Cangkat Ibol, Hj Mat Itam, Ustaz Lah, Ustaz Di merupakan tuan-tuan guru yang ramah. Selalu saya jadikan sebagai rujukan dalam urusan ibadah dan muamalah. Loghat Patani yang digunakan pekat juga. 

Paling seronok setiap hujung minggu pasti ada jemputan kenduri kesyukuran. Dan saya selalu dapat tempat di hidangan utama bersama otai-otai masjid.

Kini masjid ini berwajah baru lagi.

Thursday 2 June 2022

Syair Ayam Nan Sereban

 SYAIR AYAM NAN SEREBAN


Ayam sereban riuhlah rendah

Kecoh bisingnya tak sudah-sudah

Bisingnya ayam sangat berfaedah

Kepada warga berpangkat rendah


Patutkah ayam hendak berpuasa

Kurang makanan semua dipaksa

Dedak dan hampas tiada bersisa

Harga ditawar umpama suasa


Bekokok-kokok si ayam jantan

Megah berkepak di pinggir hutan

Aduhai sayang tiada sahutan

Semua ayam jadilah bentan


Ayam betina berketuk-ketuk

Sahut menyahut tiada suntuk

Sambil mengais sambil mematuk

Sayang telurnya tidak berbentuk


Aduhai ayam tinggal sereban

Mahar kalian menjadi beban

Hujah diberi repek meraban

Kamilah mangsa sabanlah saban


Ayam dijaga haruslah terang

Nescaya tuan disuka orang

Warga melata rasa gemirang

Senyum diukir sungguh benderang


Adakah tuan mengambil berat

Sekalian marga timur dan barat

Harganya ayam tersangat berat

Hendak membayar kami tak larat




Sunday 6 February 2022

Resensi Buku : Di Sebalik Tabir Sejarah Politik malaysia 1945-1957

 



BORANG SINOPSIS BUKU

NAMA SEKOLAH : SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN BERSATU, 31300 KAMPUNG KEPAYANG

KOD SEKOLAH :

1

NAMA GURU

S SAMPRIZAL BIN SELAMAT

2

JUDUL

DI SEBALIK TABIR SEJARAH POLITIK MALAYSIA 1945-1957

3

TARIKH PEMBENTANGAN

 

4. BIDANG :SEJARAH

6

TEMPAT PEMBENTANGAN

 

6. MASA :

7

SINOPSIS :

Di Sebalik Tabir Sejarah Politik Malaysia 1945 - 1957 sebuah tulisan akademik terbitan Universiti Sains Malaysia. Ditulis oleh beberapa penulis dengan dimensi pemikiran yang membuka kotak fikir.  

 

Kandungan

Tahun 1945–1957 dalam Sejarah Malaysia: Isu Nasionalis Kiri dan Kanan, Sejarah dari Atas dan Bawah, dan Sejarah yang Patut dan Tidak Patut

Sokong untuk Merdeka: Sikap Parti Kebangsaan Melayu Malaya Terhadap Malayan Union

Nasionalisme Melayu dan Gerakan Menuntut Kemerdekaan Tanah Melayu 1945–1957: Antara British, United Malays National Organisation dan Gerakan Kiri Melayu

Muzium, Memorial dan Perjuangan Kemerdekaan, 1945–1957

Gerila Wanita dalam Perjuangan Parti Komunis Malaya, 1945–1957

Sejarah Borneo Utara 1945–1957: Isu-Isu Terseret dalam Sejarah Malaysia

Orang India dan Parti Komunis Malaya di Tanah Melayu dengan Rujukan kepada Kes Ganapathy dan Sambasivam

Communities Liaison Committee: Ke Arah Menyelesaikan Isu-Isu Perkauman di Tanah Melayu

Intelektual Melayu Antipenyerahan di Sarawak, 1946–1950

Baca satu perenggan daripada tajuk PENGENALAN ini sudah menarik. 

Sesungguhnya tahun 1945–1957 merupakan satu tempoh yang amat penting dalam pengkajian sejarah politik Malaysia. Dalam tempoh satu dekad dua tahun yang penuh dengan gelombang dan gelojak politik itu, tercetus pelbagai peristiwa penting yang bukan sahaja menyimpan lipatan pengalaman penduduk Tanah Melayu masa lampau, tetapi juga membentuk dan mencorak pemikiran masyarakat tentang hakikat politik Malaysia masa kini. Antara peristiwa yang berlaku dalam tempoh itu ialah penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM); pengenalan Malayan Union; penubuhan United Malays National Organisation (UMNO), Hizbul Muslimin, Malayan Indian Congress (MIC), Malayan Chinese Association (MCA); pembentukan Persekutuan Tanah Melayu; penubuhan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA)-Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA); pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM); pengisytiharan darurat; pembentukan Parti Perikatan; berlakunya proses percaturan politik dan pilihan raya; konflik antara kaum dan penubuhan Communities Liaison Committee (CLC) sehinggalah kepada tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

 

8

NILAI PENGETAHUAN / PENGAJARAN

- generasi baharu perlu diberi pendedahan tentang sejarah pembentukan negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan bahasa

- pembinaan negara Malaysia melalui pelbagai liku-liku dan tribulasi yang wajib dihayati

- semua orang mempunyai peranan tersendiri dalam pembentukan negara

 

9

APLIKASI ILMU DALAM ORGANISASI

- penerapan nilai hormat silang budaya sangat penting dalam membina jati diri warga negara malaysia

 

 

Disediakan oleh Disemak oleh

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit