Wednesday 28 January 2015

PELESTARIAN ALTRUISM

Altruism atau altruisme atau altruistik diambil dari kata autrui dari bahasa Perancis yang membawa maksud orang lain. Diasaskan oleh Auguste Komte pengasas aliran Positivisme Perancis. Beliau berpendapat bahawa manusia dilahirkan berdasarkan orang terdahulu, perwaris akan datang dan  manusia semasa. Justeru manusia itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Rumusan yang sahih untuk kesusilaan manusia ialah memberikan kebenaran langsung secara eksklusif kepada naluri sifat suka membuat kebaikan dan memberikan kebahagiaan.  

Ustaz Hasrizal Jamil yang terkenal dengan buku 'Bercinta Sampai Syurga' ada menyatakan erti hidup pada memberi, dalam lughah Arab disebut Al-Itsar.  Itulah makna cinta yang menuntut altruism.

Dari sudut bahasa, altruism bermaksud suka mengutamakan kebahagiaan orang lain mengatasi diri sendiri, sangat suka melihat orang lain bahagia. Mungkin kebanyakan orang yang hidup dalam zaman moden yang penuh dengan kepentingan  individualistik, hedonistik dan materialistik yang mementingkan diri sendiri mengatakan pendapat seperti ini sudah usang. Kita hidup dalam zaman mencabar, aku dengan caraku. Tidak ada kena mengena dengan kamu. Falsafahnya sangat mudah. Mati nanti kubur masing-masing.

Maka, pendapat seperti inilah yangmenyumbang kepada keruntuhan sistem kekeluargaan. Menjadikan anak-anak bahan uji kaji yang tidak pernah berjaya. Menaburkan wang ringgit dan keperluan material tanpa menyumbangkan altruisme sejati kepada mereka. Anak-anak di rumah bebas menentukan jalan sendiri dalam mencapai matlamat hidup. Ibu bapa juga menentukan jalan sendiri dalam menentukan tercapainya objektif kerjaya. Nilai mementingkan diri menjadi amalan hingga membunuh rasa cinta dalam kalangan masyarakat.

Dalam kelas, guru tidak lagi memebawa watak pendidik. Mereka hanya bergelar pengajar. (beza antara didik dan ajar boleh dirujuk melalui buku Prof Dr Sidek Baba : Pendidikan Rabbani). Istilah guru ibarat lilin hanya menjadi omong biasa dan dinyanyikan sebagai hiburan semata-mata. Pengajaran sekadar mengajar, tiada lagi mendidik. Watak murabbi, mualim dan muadib sudah tidak tersirna. Kepincangan sistem pendidikan di rumah dan sekolah yang mengketepikan altruism ini menymbangkan kepada pelbagai kebejatan dalam masyarakat.

Proses mendidik anak-anak dan anak didik menuntut kepada pelestarian altruism. Cinta, kasih dan sayang ibu bapa terhadap anak-anak bukan hanya memberikan mereka wang ringgit dan kemewahan sahaja. Sebaliknya menuntut kepada pemurnian kasih dan sayang. Meluangkan masa berbual, bermain, berinteraksi, bersenda-gurau, menyemak kerja sekolah, malah sesekali melewati sekolah berjumpa guru bagi berbual mesra mendapatkan maklumat terkini anak-anak. Melihat kelibat ayah bonda di sekolah berbicara dengan guru-guru tentu menyuntik semangat kepada anak-anak.

Sebaliknya,  apa yang berlaku kini, tugas dan tanggungjawab mendidik anak diserah seratus peratus kepada guru. Tugas menjaga anak pula dipertanggungjawab terus kepada bibik atau pembantu rumah. Bagi yang tiada pembantu, terpulanglah kepada anak-anak itu untuk menentukan bagaimana mereka menggunakan masa terluang. Kerja sekolah siap atau tidak tidak menjadi hal. Yang penting ‘kamu’ ke sekolah tatkala ayah dan ibu keluar bekerja dan bila ibu dan ayah pulang ‘kamu’ ada di rumah.

Namun, sedarkah kita bahawa anak-anak sentiasa mendambakan dakapan kasih dan sayang daripada kedua ayah dan ibu. Perhatian, bertanyakan khabar, bersama menyiapkan tugasan sekolah yang diberi guru dan berbincang tentang pelajaran yang tidak difahami. Pastilah, kita akan menjawab bahawa masa yang ada tidak memadai, kesibukan di tempat kerja mencari nafkah, kepenatan menjalankan kerja tambahan lebih masa menjerut waktu.

Pelestarian atruism dalam mendidik anak-anak harus menjadi agenda utama dan diperkasa. Melaksanakan altruism kepada anak boleh dimulakan dengan bertanya khabar tentang ujian dan peperiksaan. Mula kan dengan memberikan masa membantu mereka memahami pelajaran, memberikan motivasi agar terus ke agenda kecemerlangan, memberikan habuan sebagai tanda penghargaan, membantu menyelesaikan masalah tugasan yang guru berikan dari situ, beransur-ansur menyuntik kasih dan sayang. Anak-anak tidak akan berasa janggal dengan perubahan yang dilakukan oleh ayah dan ibu. Akhirnya amalan ini akan menjadi kebiasaan. Anak-anak akan sentiasa berasa diri mereka dihargai.

Cerita tentang pengorbanan ibu Si Tanggang adalah contoh klasik pengamalan altruism. Tidak kisah dipandang jijik asalkan Si Tanggang mendapat yang terbaik.

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit