Tuesday 11 November 2014

Jangan Tanya Tuhan

Jika kau mahu bertaruh
Jangan tanya Tuhan
Jika kau mahu bermungut
Jangan tanya Tuhan
Jika kau mahu bertenung nasib
Jangan tanya Tuhan
Jika kau mahu berkendak
Jangan tanya tuhan
Jika kau mahu berbunuhan
Jangan tanya Tuhan
Jika kau mahu serah kepada yang lain
Jangan tanya Tuhan

Kerana Tuhan akan mengatakan tidak
Itu amalan durja
Makhluk durjana
Yang disumpah hingga hujung nyawa

Jika kahu mahukan juga
Ciptalah satu aksara
Yang seumpama kata-NYA
Atau
Kau akurlah sahaja

S. Sam Rizal
Simpang Pulai  111114

Sunday 9 November 2014

Resensi Buku 3 : 1511H; Kombat



Tajuk : 1511 H, Kombat

Pengarang : Faisal Tehrani
Harga : RM24.00
M.s : 423

Membuka kota Washington! Satu cadangan yang sangat releven dan masuk akal. Mana tidaknya. Rasulullah pernah berjanji bahawa pada satu masa akan akan datang bakal terbukanya sa
tu kota kebal oleh pemimpin yang unggul. Konstantain bakal ditawan. Bukan sahaja Konstantain, malah Andalusia, Benua India, Tanah Melayu, Sunda Kelapa dan banyak lagi negara yang mempunyai pertahanan ampuh berjaya dibuka oleh umat Islam yang cekal lagi kental. Justeru cadangan Muhammad Ameen membuka kota Washington memang masuk akal.

Sangat-sangat tahniah kepada penulis yang berani memberi cadangan yang memang 'gila' ini. Seperti yang disebut oleh Jeneral Nusyaibah, Amerika menjadi punca kejahatan dunia. Komander Melayu Muhammad Ameen bertekat mahu menjarah Amerika, sudah sampai masanya Amerika ditunduki. Ini adalah negara kufar yang tidak pernah disentuh malah tidak berani dihampiri oleh mana-mana kuasa. Terbukti bahawa Laksamana Melayu ini sangat berani menjejakkan kaki ke White House. White Mosque adalah satu lagi gambaran sejarah yang berulang. Jika Sultan M
uhammad Al fateh boleh menjadikan St Sophea kepada Masjid Hagya Sophea mengapa tidak Rumah Putih menjadi Masjid Putih.

Sesungguhnya keluhuran budi dan pegangan aqidah melalui futuwwah sangat penting dalam mengharungi zaman penuh pancaroba ini. Tiada manusia yang terlepas daripada kebejatan dan agenda jahat Zionis. TIDAK SAMA SEKALI. Pembinaan jiwa tidak sekadar faham fekah dan ibadah semata-mata. Kekuatan jiwa melalui tasawuf sangat penting. Sungguh bijak penulis menggarapkan sosok Hamzah Fansuri, seorang sufi terkenal di alam Melayu sebagai sosok penting hinggakan syairnya dihafali oleh jeneral berketurunan Arab.

Arab, satu bangsa yang agak ego sifatnya. Berketurunan nabi, wajib dihormati, tetapi bangsa ini semakin lama semakin jauh daripada landas tauhid. Turki satu bangsa yang pernah menguasai dunia. Melayu, bangsa yang masih baru beraqidah. Sekitar 1400 masihi saat Parameswara bertauhid. Bangsa ini pernah membaca Veda dan sudah tentu pernah mendengar nama Ahamadihi dan Kalki Avatar melalui tulisan Palava, Rencong dan sebagainya. Batu bersurat Karang Brahi, Talang Tuwo dan Terengganu antara tanda bangsa ini bersedia menjadi pemimpin dunia.

Dan ternyata melalui 1511H, bangsa ini telah dilantik sebagai Jeneral. Berjaya mensucikan Washington dan bersedia pula membuka semula al Quds.

Wednesday 5 November 2014

Taubat Kelkatu


Anai-anai di kerajaan busut
Tiada bisa tapi bahaya
Anai-anai di perdu jati
Tiada racun sangat digerun
Anai-anai di tiang rumah
Terlindung wajah sangatlah ramah
Ramah ia menjadi amarah
Amarah pada si tuan rumah
Senyap …… ranap
Punah …… ranah
Disiplinnya mudah
Ratu jadi pemerintah
Tiada culas, bantah atau karenah
Terus memusnah tanpa dikerah
Kala cerah diam di bawah
Kala kelam menjarah…… merayah……
Tanpa hemah tiada ramah
Bahasanya mudah
Musnah….. punah…. Kekah sampai rebah
Bergelarlah ia seteru pemusnah
Tetapi
Wahi Tuhan hebat sekali
Anai-anai bertukar ganti
Kala langit menangiskan bumi
Anai-anai bertukar ganti
Kelkatu nama diperi
Berubah sifat juga pekerti
Dari gelap mencari cahaya
Walau terpaksa bergadai nyawa
Cuba kalian bertanyakan ia
Mengapa nyawa galang gantinya?
Aku pernah dengar berita
Kata mereka
Kami bukan menggadai nyawa
Tapi mencari nur cahaya

S.Sam Rizal
Simpang Pulai, 13/4/13

Sunday 2 November 2014

Pengaruh Baka dan Persekitaran Terhadap Perkembangan Kanak-Kanak

Oleh : S.Samprizal B Selamat

1.         PENGENALAN

1.1       Manusia sentiasa mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan. Proses pertumbuhan dan perkembangan ini berlaku dari semasa ke semasa bermula sejak dari dalam kandungan lagi hinggalah ke akhir hayat. Namun begitu proses pertumbuhan dan perkembangan mempunyai beberapa perbezaan yang ketara. Secara umumnya pertumbuhan bersifat kuantitatif, boleh diukur kerana ia melibatkan pertumbuhan secara fizikal. Manakala, perkembangan pula bersifat kualitatif, tidak boleh diukur, tetapi boleh dinilai, ia lebih kepada perkembangan kognitif dan mental. Kamus Dewan (1992) mendefinisikan pertumbuhan sebagai proses tumbuh, iaitu hidup, menjadi bertambah besar atau sempurna.(1) Perkembangan pula didefinisikan sebagai proses berkembang iaitu menjadi semakin sempurna. .(2)  Dalam konteks pertumbuhan dan perkembangan manusia, pertumbuhan merupakan satu proses kesempurnaan manusia itu membesar dari kandungan hinggalah mencapai kematangan atau aqil baliqh, pada ketika ini sempurnalah pertumbuhannya dan ia akan terhenti. Perkembangan pula satu proses kesempurnaan sifat kemanusiaan yang terkandung perasaan, kecerdasan, kebijaksanaan, kemampuan berfikir, kebolehan mengatur tingkah laku dan sebagainya, ianya akan terus berlaku dari semasa ke semasa hinggalah akhir hayat.

1.2       Pengukuran pertumbuhan dan perkembangan boleh dilihat melalui pemeriksaan kesihatan bagi ibu-ibu hamil, kanak-kanak selepas lahir dan kanak-kanak di sekolah rendah. Ibu-ibu hamil diwajibkan menjalani pemeriksaan kandungan di Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak (KKIK) untuk mempastikan kandungannya bertumbuh dan berkembang mengikut tahap yang betul. Selepas kelahiran, bayi diwajibkan pula menjalani pemeriksaan rutin di Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak (KKIK) untuk

dinilai tahap tumbesaran dan perkembangannya. Perkembangan dan tumbesaran ini direkodkan secara bertulis dalam Rekod Kesihatan dan Perkembangan Kanak-Kanak yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Apabila kanak-kanak meningkat ke tahap persekolahan, ukuran akan dijalankan melalui Kad 011 yang merekodkan tahap perkembangan secara fizikal, iaitu melibatkan berat badan, ketinggian dan sebagainya.

2.         KONSEP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN MENGIKUT AHLI PSIKOLOGI

2.1              Pertumbuhan
2.1.1    Terdapat beberapa definisi yang diberikan oleh ahli psikologi berhubung dengan pertumbuhan. Secara umumnya, mereka memberikan definisi yang hampir sama iaitu pertumbuhan itu bersifat kuantitatif, perubahan fizikal menunjukkan kematangan seseorang dan boleh diukur. Pertumbuhan ini akan terhenti apabila seseorang itu mencapai kematangan apabila aqil baligh.

2.1.2    Karl E. Garisson dalam Ee Ah Meng (1993) mendefinisikan pertumbuhan sebagai proses perkembangan individu dalam bentuk saiz badan, iaitu perubahan-perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar. Manakala Atan Long pula memberi takrif perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain dari semasa ke semasa. Proses perubahan tersebut dapat diukur secara kuantiti ke atas seseuatu organisma. Bagi D.S Wright dan Ann Taylor dalam Ee Ah Meng (1993) pula, mereka menyifatkan pertumbuhanitu sebagai pertambahan-pertambahan dalam pelbagai sifat luaran seseorang seperti ketinggian, berat badan dan saiz.

2.2              Perkembangan
2.2.1    Berbanding dengan pertumbuhan, perkembangan mempunyai takrifan yang berbeza. Jika pertumbuhan bersifat fizikal, perkembangan pula bersifat abstrak iaitu melibatkan pengukuran kualiti. Walaupun perkembangan tidak boleh diukur namun ianya boleh dinilai melalui pemerhatian dan perbandingan dengan peringkat yang lebih awal.
2.2.2    Crow and Crow dalam Ee Ah Meng (1993) mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan bersifat kualitatif serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Sebagai cohtoh, seseorang kanak-kanak boleh membina ayat setelah belajar membatangkan perkataan. Kebolehan membina ayat adalah satu proses perkembangan.

2.2.3    Bagi karl E. Garrison, perkembangan adalah hasil daripada tindakan yang saling berkait rapat di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Semua perkembangan mengikut aturan semula jadi menuju ke arah tertentu dan yang dijangkakan. Maksudnya di sini ialah seseorang kanak-kanak mestilah boleh berjalan setelah belajar bertatih dan kanak-kanak itu mampu menyeimbangkan kekuatan otot kakinya supaya dia boleh berjalan sambil berdiri. Kebolehan berjalan, berdiri dan menyeimbangkan otot merupakan perkembangan dan perkembangan ini telah dijangka akan berlaku.

2.2.4    D.S Wright dan Ann Taylor dalam Ee Ah Meng (1993) pula mendefinisikan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur. Manakala Atan Long pula menyatakan perkembangan itu satu perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur kuantitinya tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana bersifat baharu dan berlainan daripada peringkat yang lebih awal.

3.         FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN

3.1       Setelah dilihat definisi dan pengertian bagi kedua-dua proses pertumbuhan dan perkembangan ini, jelaslah bahawa kedua-duanya saling berkait rapat antara satu sama lain. Pertumbuhan akan menyebabkan berlakunya perkembangan, begitulah juga sebaliknya, perkembangan akan berlaku disebabkan adanya pertumbuhan. Jika salah satu daripada kedua-dua aspek ini tidak berlaku atau berlaku secara tidak seiringan, maka individu tersebut berada di luar daripada tahap normal.

3.2       Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan seseorang individu? Bagaimana pula faktor tersebut boleh mempengaruhi kedua-dua proses ini? Secara umumnya terdapat dua faktor utama yang sangat mempengaruhi proses pertumbuhan dn perkembangan individu. Faktor-faktor tersebut adalah pengaruh baka dan persekitaran.

3.3              Pengaruh Baka
3.3.1    Umum menyedari bahawa baka atau keturunan memberikan pengaruh yang besar dalam proses pertumbuhan dan perkembangan individu. Antara pengaruh yang sangat ketara ialah sifat fizikal seseorang seperti saiz badan, warna mata, warna rambut, warna kulit, jenis darah dan penyakit. Apakah baka? Baka ialah ciri-diri pewarisan yang diperturunkan oleh ibu dan bapa malah nenek moyang kepada anak yang dilahirkan.

3.3.2    Baka diperturunkan kepada anak-nak melalui gen. Semasa proses persenyawaan antara benih ibu dan bapa, 23 kromoson daripada sperma bapa akan bergabung dengan 23 kromosom daripada ovum ibu. Gabungan ini akan menghasilkan 46 kromosom atau 23 pasang kromosom. Kromosom ini mengandungi gen-gen yang mewarisi kebakaan bapa dan ibu kepada anak yang akan dilahirkan. Dari sinilah baka mempengaruhi cirri-ciri pertumbuhan dan perkembangan seseorang individu.

3.3.3    Ciri-ciri fizikal yang sangat jelas menampakkan pengaruh baka boleh dilihat pada warna kulit.  Secara umumnya kanak-kanak berketurunan Melayu mempunyai kulit sawo matang, keturunan Cina pula berkulit cerah dan India berkulit gelap. Begitu juga dengan bentuk rambut. Masyarakat orang Asli akan mewarisi rambut kerinting. Warna mata masyarakat Eropah biasanya  hijau atau biru. Manakala mata orang Asia berwarna coklat. Apa yang sangat menarik ialah apabila berlaku perkahwinan campur. Kita biasa melihat ada dalam kalangan anggota masyarakat yang berkahwin campur. Contohnya antara keturunan Cina dan India. Disebabkan percampuran kromosom ibu dan bapa, anak yang dilahirkan berkulit sawo matang, bermata sepet dan mempunyai wajah iras-iras Cina dan India.

3.3.4    Pengaruh yang paling ketara dalam pewarisan baka ialah penyakit. Banyak penyakit yang berlaku disebabkan oleh pengaruh baka. Antara penyakit yang disebabkan oleh baka berdasarkan Kementerian Kesihatan Malaysia ialah penyakit Pompe, penyakit Kencing Sirap Maple (Maple syrup urine disease - MSUD)  dan penyakit Gaucher atau Galactosemia merupakan sejenis penyakit genetik dalam kelompok Kecacatan Metabolik Semulajadi Inborn Errors Metabolism (IEM), penyakit Tay-Sachs adalah sejenis penyakit genetik yang berlaku apabila kuantiti banyak gangliosida , sejenis terbitan asid lemak, penyakit Sistik Fibrosis (bahasa Inggeris cystic fibrosis), Ekzema ialah sejenis penyakit kulit yang menyebabkan radang, gatal dan  kering, penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen, sindrom dawn dan Skizofrenia adalah penyakit mental yang teruk dengan ciri-ciri kecacatan Porphyria bukannya satu penyakit yang berjangkit tetapi merupakan penyakit genetik yang boleh diwarisi.(3) Terdapat banyak lagi penyakit-penyakit yang memang telah diketahui disebabkan oleh pengaruh genetik.

3.3.5    Selain  daripada ciri fizikal dan penyakit, sahsiah juga boleh menerima kesan daripada baka. Contohnya sifat introvert atau ekstrovert yang ada pada pembawa gen iaitu ibu atau bapa akan diwarisi oleh anak-anaknya. Begitu juga dengan kecerdasan seseorang. Ketika lahir, bayi tidak sahaja mewarisi bentuk fizikal induknya, bahkan turut mewarisi kelenjar-kelenjar rasa, otak dan struktur lain yang penting dalam pembentukan kederdasan seseorang.

3.3.6        Jelaslah di sini bahawa baka turut memberi kesan kepada faktor pertumbuhan dan
perkembangan seseorang individu. Namun baka hanya dominan dalam mempengaruhi pertumbuhan. Faktor yang kedua yang sangat kuat mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan individu ialah faktor persekitaran atau ‘nuture’. 
Rajah menunjukkan proses persenyawaan benih lelaki dan perempuan
yang menunjukkan bagaimana genetik (baka) mempengaruhi pertumbuhan .(4)

3.4       Pengaruh Persekitaran
3.4.1    Selain daripada baka, terdapat satu lagi pengaruh yang sangat dominan dalam mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan individu. pengaruh tersebut ialah pengaruh persekitaran atau ‘nuture’. Memang tidak dinafikan bahawa baka memberi pengaruh, tetapi baka hanya mempengaruhi pertumbuhan, tidak perkembangan. Sedangkan persekitaran mempengaruhi kedua-duanya sekali.

3.4.2    Dalam Kamus Dewan (2009) terdapat beberapa takrifan diberikan dalam memberi makna kepada persekitaran antaranya ialah (i) kawasan di sekeliling sesuatu tempat, (ii) kawasan sekitar; (iii) konteks tempat se­suatu (masyarakat, organisma, fahaman, dsb) berkembang; (iv) (Bio) teori tentang evolusi organis­ma (dipelopori oleh Darwin) yang menyatakan bahawa individu sesuatu spesies yang dapat menyesuaikan diri dengan persekitarannya  akan dapat hidup dalam persekitarannya itu dan cen­derung membiak dengan banyak; .(5)

3.4.3    Menurut Amram Schienfeld dalam Ee Ah Meng (1993), persekitaran merujuk kepada luaran seseorang individu dan faktor bakanya bermula dari peringkat persenyawaan. Norman L. Munn pula mendefinisikan peresekitaran sebagai segala benda yang terdapat di sekeliling unit-unit kebakaan. Manakala W. Edgar Vinacke mengatakan persekitaran itu ialah kuasa ekstrinsik yang kompleks yang boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang individu.

3.4.4    Berdasarkan takrifan di atas, persekitaran merujuk kepada suasana di sekeliling individu yang meliputi kawasan tempat tinggal, sosioekonomi, sosiobudaya, pergaulan, pendidikan, pemakanan, alam sekitar, rakan sebaya, media massa dan sebagainya. Suasana ini dialami setiap hari dari semasa ke semasa. Justeru sudah pastilah persekitaran memberi pengaruh yang sangat besar kepada pertumbuhan dan perkembangan individu.

3.4.5    Teori Ekologi Urie Bronfenbrenner
3.4.5.1             Antara pengkaji yang memberikan fokus kepada pengaruh persekitaran ialah Urie Bronfenbrenner (1917). Beliau mengemukakan teori ekologi yang membuat perkaitan antara pengaruh persekitaran terhadap perkembangan dan tumbesaran individu. terdapat lima peringkat yang mempengaruhi ekologi iaitu (i) sistem mikro (ii) sistem messo (iii) sistem ekso (iv) sistem makro dan (v) sistem krono.

3.4.5.2             (i) Sistem makro merupakan satu sistem di mana seseorang individu itu banyak menghabiskan masanya. Dalam sistem ini seseorang individu itu berinteraksi secara langsung dengan ahli keluarga seperti ibu bapa, adik beradik, rakan sekolah, rakan kejiranan, rakan sebaya serta masyarakat sekitar tempat tinggalnya. (ii) Sistem messo pula merujuk kepada bagaimana individu itu berinteraksi dan menghubungkaitkan pengalaman bersama kominuiti dalam sistem makro. Disebabkan seseorang individu itu bukanlah hanya bersifat sebagai penerima pasif, maka berlaku interaksi pelbagai hala yang akan mempengaruhi perkembangan individu itu sendiri.

3.4.5.3             (iii) Sistem ekso pula merujuk kepada pengalaman yang diterima secara langsung oleh seseorang individu walaupun ianya tidak termasuk dalam system itu. Contohnya peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Kerajaan Tempatan dalam penggunaan kemudahan awam secara tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan individu tersebut. (iv) Sistem makro pula melibatkan sosio budaya yang lebih luas di mana seseorang individu itu berada dalam lingkungan budaya, nilai, peraturan dan adat resam yang diamalkan. Contohnya negara barat yang sangat terbuka terhadap pergaulan antara lelaki dan perempuan menyebabkan individu itu tiada rasa segan dalam pergaulan berlainan jantina berbanding Malaysia yang tidak menerima hubungan bebas seperti ini. (v) Sistem Krono iaitu merujuk kepada sejarah atau pengalaman perkembangan seseorang individu itu memberi kesan kepada perkembangan emosinya.

3.4.5.4             Jelasnya, berdasarkan teori ekologi yang dikemukakan oleh Bronfenbrenner menunjukkan bahawa persekitaran hidup yang dialami oleh seseorang individu sangat-sangat memberi kesan kepada pertumbuhan dan perkembangannya. Berikut adalah gambarajah yang menunjukkan teori perkembangan ekologi oleh Bronfenbrenner .(6)    



3.4.6                Pengaruh Pemakanan
3.4.6.1             Pemakanan merupakan antara pengaruh persekiratan yang memberi kesan besar terhadap pertumbuhan dan perkembangan individu. Pemakanan di sini merujuk kepada pemakanan yang diambil oleh bakal ibu, ibu hamil, bayi dan peringkat seterusnya. Dalam pengambilan makanan, ibu yang hamil harus mematuhi piramid pemakanan yang mengandungi gizi yang seimbang. Ini sangat penting dalam memastikan pembesaran dan pertumbuhan janin dan ibu tersebut mengikut jadual yang betul. 

3.4.6.2             Elizabeth Fenwich dalam bukunya The Comlplete Book Of Mother & Baby Care, menyenaraikan beberapa keperluan zat makanan yang mesti diambil oleh ibu hamil dalam memastikan bayi dalam kandungan membesar dengan sempurna. Antara keperluan yang mesti dipatuhi ialah kalsium seperti roti putih, keju dan susu tanpa lemak. Kalsium sangat penting bukan sahaja kepada ibu, malah penting dalam pembentukan tulang dan gigi bayi semasa minggu kelapan kehamilan. Pengambilan vitamin C seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan, tomato dan ubi kentang pula penting dalam membantu membina plasenta yang kuat di samping mencegah penyakit.
3.4.6.3             Pengambilan makanan yang mengandungi asid folik seperti brokoli, bayam, kacang hazel dan kacang tanah penting untuk membina perkembangan sistem saraf utama bayi. Manakala ferum yang terdapat dalam ikan tuna, daging merah tanpa lemak dan apricot kering membantu membina bekalan ferum dalam memastikan peredaran oksigen berlaku dengan baik. Di samping itu, ibu-ibu hamil ditegah mengambil makanan atau minuman yang mengandungi kafien, gula, alkohol, rokok dan dadah kerana terbukti bahan-bahan ini boleh menyebabkan kecacatan atau mengganggu pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan.

3.4.7                Cara Didikan dan Asuhan
3.4.7.1             Cara seseorang individu itu dididik dan disauh juga merupakan elemen penting yang mempengruhi pertumbuhan dan perkembangannya. Didikan awal yang diterima oleh seseorang kanak-kanak akan mempengaruhi tingah laku dan perkembangannya. Imam Al Ghazali, seorang tokoh pemikir dan sarjana Islam yang terkenal sangat menitik beratkan pendidikan awal kanak-kanak. Beliau nenegaskan kanak-kanak perlu dididik sejak dilahirkan dengan nilai-nilai dan akhlak yang mulia. Melah beliau meletakkan syarat penjaga yang menjaga bayi hendaklah mempunyai akhlak mulia. Antara anjuran yang dikemukakan oleh Imam Al Ghazali dalam proses pendidikan kanak-kanak ialah menjauhi daripada rakan-rakan yang jahat untuk mengelakkan daripada terpengaruh, bersukan bagi menguatkan otot, tubuh badan dan menambah kecerdasan serta menyediakan peluang berehat selepas belajar.

3.4.7.2             Dr. Wayne Dennis dalam Dr Hassan Ali(1997), telah membuat satu kajian tentang pertumbuhan dan perkembangan sekumpulan kanak-kanak yang dipelihara di tiga buah rumah anak yatim. Dalam kajiannya, sekumpulan kanak-kanak di bawah dua bulan dipelihara selama tiga tahun tanpa diangkat, kecuali semasa diberi makanan tidak boleh duduk dengan betul, malah tiada seorang pun yang boleh berjalan berbanding dengan kanak-kanak di rumah kedua. Sebagai pengukuhan, kanak-kanak dari rumah pertama tersebut dipindahkan ke rumah ketiga. Di sana mereka diberi rangsangan oleh pengasuh dan alat-alat permainan. Didapati kanak-kanak yang mundur dalam rumah pertama telah berkembang dengan pesatnya.

4.         KESIMPULAN

4.1       Berdasarkan fakta yang dinyatakan di atas, jelaslah bahawa pertumbuhan dan perkembangan individu dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Namun begitu faktor persekitaran lebih banyak memberi pengaruh kepada pertumbuhan dan perkembangan berbanding baka. Seseorang kanak-kanak yang diberi perhatian serta membesar dalam persekitaran yang penuh dengan rangsangan akan membesar dan berkembang ke arah yang sempurna. Memang benar faktor baka memberikan kesan dalam menentukan pertumbuhan, namun keadaan sekeliling tempat seseorang itu membesar menjadi faktor penentu kepada perkembangannya.

4.2       Buktinya, banyak sekolah dan pusat pendidikan diwujudkan untuk membantu menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang menghadapi masalah perkembangan seperti sekolah pendidikan khas. Tujuannya supaya mereka boleh berkembang dengan baik dan dapat berkongsi hidup dengan masyarakat yang lain. Malah kewujudan banyak konsultansi yang menawarkan perkhidmatan membina perkembangan individu sama ada murid mahupun golongan dewasa ditubuhkan. Konsultasi yang tumbuh macam cendawan selepas hujan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan kerana telah berjaya membuktikan keberkesanannya membangunkan perkembangan individu.


4.3       Antara konsultansi yang mahsyur di Malaysia ialah Excell Trainning  oleh Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah, Akademi Keluarga Bahagai Malasia (AKRAB) oleh Dato’ Dr Hassan Ali, Motivasi Alihan Pelajar (MAP) Trainning oleh Dr Tengku Ismadi Tengku Muhammad, 3EM oleh Dr H.M Tuah Iskandar, Amalan Bijak Belajar oleh Dr Shukri Abdullah dan banyak lagi yang keberkesanannya tidak dapat dipertikaikan lagi.

NOTA KAKI
(1)  Kamus Dewan   Edisi Baru Cetakan Ketiga m/s 1401
(2) Kamus Dewan Edisi Baru Cetakan Ketiga m/s 577
(3) Laman web Kementerian Kesihatan malaysia - www.moh.gov.my/MohPortal 
(4) http://myschoolnet.ppk.kpm.my/sp_hsp/pra/hk_pra_sek_keb2.pdf
(5)  laman web rasmi Dewan Bahasa Dan Pustaka http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=persekitaran&   
       ID =Kamus%20dan%20Istilah )
(6)  http://lms.oum.edu.my/main/default-frame.php/200903111503245.%Topic%203(1).pdf 

5.         BIBLIOGRAFI

Ee Ah Meng (1993). Psikologi Perkembangan: Aplikasi Dalam Bilik Darjah.
(Edisi kedua).Kuala Lumpur, Fajar Bakti

Fenwick, E.,  (2000). Buku Panduan Lengkap Penjagaan Ibu & Anak.
(Edisi Terjemahan),  Kuala Lumpur, Penerbitan Pelangi Sdn Bhd

Hassan Mohd Ali, Dr., (1996). Mendidik Anak Pintar Cerdas. Kuala Lumpur,
Utusan Publication & Akademi Keluarga Bahagia Malaysia

Kamus Dewan, Edisi Baru (1992), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala terengganu

Kasmini Kassim, (1998) Penderaan Emosi Kanak-Kanak: Trauma Terselindung,
Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Kementerian Pelajaran Malaysia, (2004) Pendidikan Kesihatan Dan Keluarga/Seksual :
Aspek Fizikal, Pusat Perkembangan Kurikulum KPM, Kuala Lumpur

Syukri Abdullah, Dr., (2006), Panduan Membimbing Anak Belajar: Anakku Bijak
Belajar; Sentuhan Ibu Bapa, Al Ameen Serve Holdings, Selangor

Tengku Ismadi Ph.D, (2009). Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif. PTS Mellinnia
Sdn Bhd., Batu Caves, Selangor

http://lms.oum.edu.my/main/default-frame.php/200903111503245.%Topic%203(1).pdf,

http://myschoolnet.ppk.kpm.my/sp_hsp/pra/hk_pra_sek_keb2.pdf,

http://www.scrdn.com/521225-bab-2-perkembangan-manusia, 

http://lms.oum.edu.my/main/default-frame.php/200903111503245.%Topic%203(1).pdf
           
laman web Kementerian Kesihatan malaysia - www.moh.gov.my/MohPortal,
Majalah "ibu" Bil 61 April 1994. Faktor Biologi

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit