Wednesday 22 September 2021

Novel Nakhara, Api Cinta Dari Patani


Tajuk - Nakhara, Api Cinta Dari Patani

Penulis - Isma Ae Mohamad & Zulfikri Ibrahim 

Halaman - 332 


1. Watak utama yang melatari penceritaan ini ialah Nakhara, seorang mahasiswa yang penuh iltizam, azam dan strategis. Lokman, pelajar tahun satu yang bijaksana dalam penulisan bahasa Melayu, penulis dan editor akhbar kampus berpengaruh. Yasing pemuda Patani bersemangat kental, penuh retorik dan keras dalam pendapat. Urfah, mahasiswi muda yang cantik, bijaksana, idealis, berani, tidak terburu-buru dan diburu.


2. Kesemua watak di atas merupakan mahasiswa tahun satu sebuah universiti ternama di Wilayah Patani. Terdapat watak lain yang penting dalam menghidupkan novel ini. Sebagai anak jati Patani yang mahu menghidupkan jati diri Melayu Patani, membela kebenaran, kebebasan, demokrasi serta kemerdekaan watak-watak ini digarap dengan begitu teliti dan sangat menjadi.


3. Takbai, sebuah kawasan berdarah yang bersejarah menjadi latar mula, lalu dikembang dengan sembang santai kedai kopi. Kemaraan semangat mahasiswa muda yang baru tahun satu menandingi para senior. Politik dalaman kampus, politik di Patani, peranan masyarakat dalam dan luar kampus menjurus kepada tema cerita.


4. Perancangan strategik oleh Nakhara dalam menyaingi kumpulan senior untuk pilihanraya kampus sungguh bijak dan berstrategi. Kemenangan blok Suara Rakyat yang tersusun dengan mudah menyaingi blok senior yang tidak bermatlamat. Lalu Nakhara diangkat sebagai presiden MPP.


5. Politik pelajar, politik kampus berbolak-balik tekanan dari dalam dan luar menghimpit idealisme. Antara keutamaan sebagai pelajar yang perlu menamatkan pengajian dan idealisme perjuangan, mana lebih utama? Apatah lagi suasana panas di Patani itu sendiri menjadikan pimpinan pelajar sentiasa diperhatikan.


6. Penceritaan perjuangan mahasiswa dan pimpinan pelajar dalam novel ini sangat hidup. Semangat mahasiswa yang meluak dengan didihan darah anak muda, mahu mempraktikkan ilmu, menggilap potensi, mahu diperhatikan dan segala macam sebab dicoret dengan berhemah hingga terasa seperti turut berada bersama dalam kampus. Seraya, pengalam memimpin pertubuhan pelajar, NGO dan kenangan zaman belajar terbit satu persatu.


7. Persoalan jati diri Melayu Patani, bahasa, agama, sosial hinggalah aksara Jawi begitu mengesankan. Apatah lagi nama negara Malaysia disebut-sebut sebagai penanda aras. Satu tamparan kepada jati diri Melayu dan pemimpin politik Malaysia.


8. Saya sarankan kepada para mantan mahasiswa, mantan pimpinan pelajar untuk membaca buku ini sebagai imbauan nostalgik ketika zaman belajar. Kepada yang akan memasuki dunia kemahasiswaan bacalah untuk mengintip pengalaman. Kepada para pensyarah serta pentadbiran kampus, berlaku adillah dengan para pelajar. Layani mereka sebagai pelajar dan sebagai aset dunia.


9. Semoga Patani aman damai.

Saturday 21 August 2021

SRK (Inggeris) Batu Kurau 1981 - 1986

 


1981 mula memijakkan kaki ke sekolah rendah. Di pekan Batu Kurau ada dua buah sekolah rendah utama yang menjadi pilihan, malah bersaing antara satu sama lain. Satu SK Toh Sajak, dari segi sejarahnya sekolah ini merupakan sekolah aliran Melayu yang awal ditubuhkan di Batu Kurau, malah di negeri Perak. 

Satu lagi SRK Batu Kurau, sebuah sekolah yang dari sejarahnya merupakan sekolah aliran Inggeris. Pada tahun 1981 nama sekolah ini masih lagi SRK (I) Batu Kurau dan  orang tempatan akan sebut sekolah Inggerih merujuk sekolah SRKBK.

Kedudukan kedua-dua sekolah ni pun bukan jauh mana. Hanya dipisahkan sebatang jalan raya, Jalan Besar Batu Kurau. Jadi pada awal pagi dan waktu tengah hari jalan besar ini akan sangat sibuk dengan murid-murid dan ibu bapa yang hantar dan ambil anak-anak.

Sebetulnya betapa kerat sangat yang dihantar dan dijemput oleh ibu bapa. Itu pun pada minggu awal persekolah masuk darjah satu. Selain itu, pergi dan balik sekolah sendiri-sendiri sahaja. Kebanyakannya berjalan kaki.

Walaupun di Batu Kurau ada beberapa buah sekolah aliran Melayu (SK) namun ramai juga murid yang masuk sekolah ni. Mengapa? Entah.... Tiada jawapan yang pasti. Kena tanya sendiri kepada ibu bapa yang hantar anak-anak mereka ketika itu.

Seingatku mula-mula masuk darjah satu aku jalan kaki ikut kakak Ati, masa tu dia darjah betapa entah. Orang pertama tegur di sekolah ialah Guru Besar, Cikgu Abd Halim. Dia tanya, aku jawab ja.

Masuk kelas 1 Hijau. Aku berkenalan dengan ramai kawan dari serata Batu Kurau. Bukan sahaja yang tinggal berdekatan sekolah, bahkan ada yang datang dari beberapa kampung yang agak jauh. Seingat aku.... Maaflah kawan-kawan jika ada yang sudah tak diingati.

Norazri dari Changkat Perah, Hasnol dari Jelai, Ainon dari Jelai, Haniza dari Batu 20, Azlee dari Kampong Perak, Zubir dari Titi Kasai dan ramai lagi.

Seronok sangat masuk darjah satu. Berdebar dan teruja saling berganti. Maklumkan ini kali pertama masuk sekolah. Dulu murid yang masuk tadika boleh dikira dengan jari. Belajarlah aku dan rakan-rakan dengan tekun. 


Ni gambar darjah 1 Hijau. Guru Kelas namanya Cikgu Nelly, Guru Besar yang tengah tu namanya Cikgu Abd Halim, dan sebelahnya Ustaz Mukhti. Antara nama-nama kawan sedarjah yang aku boleh namakan ....

Zamani, Rahisyam Azila, Nurul Hayati, Nor Hayati, Latipah, Norafizatun, Yuhana, Boy ( Budak Cina ni tak ingat nama penuhnya ) Uma, Hemalatha, Choong Lai Fan,  Khairul Anuar, Azlee, Haniza, Zulkifle, Abd Rahman, Roslan, Marhaini, Muzlina, Norazri, Osman,Norliza, Vie Choot, Norul Hamsinar, Norliza, Mohd Nor, Rozita, Thanggarah, Sivakumar dan ..... Begitulah.... Kelupaan

Malangnya gambar aku terlindung dengan kepala kawan. Maklumkan budak kemetot. Berdiri atas kerusi pun terlindung.



1985 darjah 5 Hijau dan 1986 darjah 6 Hijau.

Masa ni Zubir seorang saja yang pakai seluar panjang. Bertudung pun cuma 3 orang ja. Kedua-dua gambar ni kelihatan lebih jelas lagi. Namun wajah-wajah rakan sedarjah pun ada juga yang sudah sekian pudar dalam ingatan. 

Masa darjah 6 kelas kami pindah di kelas kayu yang lebih luas tapi apabila beraktiviti memang riuh rendah bunyinya. Maklumlah kelas kayu dan lantai pun kayu. Kelas tu berhadapan dengan pagar SK Toh Sajak.

Aktiviti yang paling disukai ialah kelas pertanian. Bercucuk tanam pokok kacang panjang, kangkung dan kubis. Sesekali bawa beberapa beg tahi kambing dan tahi ayam. Dapatlah jugak beberapa kupang daripada cikgu. Apabila pokok keluarkan hasil kami pakat bawa balik sayur. Seronok bukan kepalang.

Mata pelajaran ketika itu masih lagi Ilmu Tawarih, Tatarakyat, Ilmu Alam, Ilmu Kesihatan. Subjek yang sangat seronok diikuti Ilmu Alam. Mana tidaknya dengan Ilmu Alam tu aku dapat tahu nama-nama negeri di Malaysia. Siap hafal ibu negeri dan bandar utama. Di samping itu tahu juga kedudukan negara luar dan benua utama dunia. Atlas antara buku wajib yang semua murid ada.

Permainan kecerdikan minda main nama, negeri dan lain-lain menjadi satu permainan viral ketika itu. Punyalah nak menang, siap atlas di tepi.


Ni gambar guru-guru dan kakitangan sekolah tahun 1982. Maafkan saya cikgu-cikgu sebab tak berapa ingat semua nama cikgu. 

Cikgu Rubiah, Ustazah Junaidah, Cg Shaari, Cg Abd Halim, Cg Salbiah, Cg Rafeah, Pak Abu ( bawa aku pi klinik sebab demam ) Cg Nelly, Cg John, Cg Kamaruddin, UST Mukhti, Abang Mail, Cg Ong, Cg Loh, Cg Lim, Cg Siti Syarifah dan lain-lain. Akudoakan agar guru-guruku ini mendapat kebaikan dan kasih sayang Allah.

Maaflah kawan-kawan yang tidak dinamakan di sini. Jika ada yang membaca, komen dan aku akan betulkan mana yang kurang tepat.


Salam persahabatan 

S Samprizal Selamat

Budak sekolah Inggerih Batu Kurau

Perang Patani - Singgora : Sebuah Novel

 


Buku novel sejarah karya Isma Ae Mohamad yang tak sampai 200 halaman ni jenuh juga untuk dibaca. Mengapa? Kerana tulisannya kecil tidak betah dengan mataku yang semakin kurang cerah untuk membaca. Baca lama-lama terasa macam ada semut merayap atas kertas buku. Nampaknya kena cari buku yang tulisannya lebih besar lagi.

Setelah membaca novel sejarah Ratu-Ratu Patani oleh penulis yang sama beberapa tahun lalu, timbul beberapa persoalan yang dijawab dalam buku ini. Kisah perayaan orang Cina di Patani yang membunuh diri diceritakan secara panjang lebar. Kejadian bunuh diri oleh gadis Cina, perayaan yang mengenang kematiannya serta keberadaan penduduk Cina di Patani menjadi latar kecil tetapi penting kepada sejarah penting dalam hubungan antara Singgora dan Patani.

Watak utama, Raja Hujan yang merupakan waris kepada raja-raja Patani berkait dengan pandai ubat bedil keturunan Cina di Patani. Kisah sejarah memang bersimpang siur. Harapannya satu sahaja, darah dibalas darah. Jika Raja Hujan itu keturunan raja-raja Patani apa pula kaitannya dengan seorang anak muda, anak asuhan Hassan Semutar yang dibatai sekeluarga dan siapa pula si Hujan yang merupakan seorang penembak tepat kerajaan Singgora yang sangat digeruni.

Begitulah sifat si penguasa, apabila terlalu berkuasa dan diberi penghormatan oleh sekalian warga, maka akan beraja di mata bersultan di hati. Katanya wajib dipatuhi, tindakannya tiada yang boleh bantah. Inilah jua latar para pembesar negara Patani, Patani Besar dan seluruh negeri. Penguasa yang terlalu berkuasa bakal menerima hukum rimba hukum alam daripada orang yang pernah dianiayai.

Kepandaian seorang budak lelaki dalam segala macam ilmu kependekaran. Ilmu setubuh (kena baca buku ni untuk faham apa itu ilmu setubuh dalam dunia kependekaran), sebadan, setangan, segenggam dan sebagainya sampailah kepada ilmu bedil menjadi aset besar kepada pertahanan kerajaan Singgora dan ketakutan kepada kerajaan lain termasuk Ayutthaya dan Patani Besar.

Pasukan khas Singgora yang diselia oleh Nakhoda dilihat persis pasukan Hassansin yang merupakan pasukan perisik dan pembunuh senyap. Kematian secara senyap dan sangat tepat bakal menjelma kepada sesiapa yang dinamakan.

Bagaimana Singgora dan Patani Besar boleh bertelingkah? Ini berkait dengan hubungan diplomatik, hubungan politik kebijaksanaan antara para raja dan para pembesar. Kesalahcaturan tentu akan mengundang musibah. Kesilapan kerajaan Patani Besar di bawah Raja Jembal yang ditadbir pembesar yang tidak sepakat menjadi bencana. 

Tentera tidak setia kepada negara atau raja, tetapi setia kepada pembesar. Bagaimana kesudahan perang Singgora - Patani ini? Tunggu Isma Ae Mohamad terbitkan buku seterusnya. 

Siapakah Isma Ae Mohamad? Beliau merupakan penulis yang gemar menulis novel berkaitan Patani sama ada sejarah Patani mahupun kehidupan anak-anak Patani. Berasal dari Thailand, dibesarkan dan disekolahkan di Malaysia, Kelantan dan kini menetap di Bangkok.

Sebuah masjid di persisir pantai Singgora yang terkenal sebagai pusat pelancongan. Pantai Samila yang terkenal dengan patung ikan duyung 

Matawang Singgora



Masjid Asasul Islam, Singgora


Pelabuhan Singgora. Kini dikenali sebagai Songkhla. Sebuah pusat pelancongan terkenal di Thailand.


Wednesday 18 August 2021

Kisah Sang Kancil

 


Kisah dongeng Sang Kancil. Apa ada pada kisah dongeng ini? Adakah hanya sekadar dongengan yang merapu, tidak relevan dibaca, diperdengar atau diilustrasikan? Memang ada banyak pendapat dalam kalangan masyarakat moden sekarang ni terhadap kisah Sang Kancil. Malah ada juga ilmuan yang mengatakan tak bagus bagi anak-anak dikisahkan dengan kisah Sang Kancil. Ilmu pembohong katanya. Ya kah?

Sungguh dangkal sekali akal fikiran para ilmuan jika mereka merasakan sudah cukup ilmu lalu memomokkan kisah dongeng sejak zaman antah berantah ini. Dalam masa yang sama ralit pula menonton Fairy Tales daripada Eropah. Kisah garapan Hans Christian Andersen, kisah tujuh budak kenit dengan Puteri salju, kisah si hodoh dan jelitawan serta banyak lagi.

Barangkali sudah tidak ramai anak-anak kecil yang tahu akan kisah Sang Kancil memperdaya harimau dengan tali pinggang Raja Sulaiman atau kisah sesungai buaya menjadi titi untuk mengisi perut napoh yang kelaparan. Dan dalam masa yang sama mereka kenal amat dengan watak Hansel dan Gratel, Rapunzel, Cinderella, Sleeping Beauty dan sebagainya.

Salahkah mengenali watak cerita dongeng luar? Tidak sama sekali. Tetapi perkenalkan juga watak dongengan tradisi kita. Kisah dongeng Sang Kancil ini banyak pengajarannya. Banyak satiranya. Kisah dunia haiwan dalam diri manusia dan kisah kemanusiaan dalam diri haiwan.

Apa itu Sang Kancil? Adakah spesis mamalia jenis Sang Kancil?

Kancil ialah sejenis mamalia kecil tidak bertanduk yang terdapat di hutan Tropika. Nama lain bagi kancil ialah pelanduk, napoh, kunang dan mungkin ada nama lain lagi.

Dari sudut falsafahnya, Kancil dirujuk kepada kecerdikan, cerdik dengan muslihat yang sangat licin atau tipu muslihat. 

Watak Sang Kancil diberikan kepada haiwan yang sangat kecil. Sekecil pelanduk, tetapi sangat licin membuat muslihat dalam menangani sosio-politik dalam hutan. Hukum rimba sangat mudah. Menjadi mangsa atau memburu mangsa. Yang kuat akan hidup, yang lemah akan berada di bawah rantaian kehidupan si kuat.

Watak napoh yang digelarkan Sang Kancil ini menjadi satu watak ikonik kepada haiwan di rimba. Kecil, cerdas, sihat, bijak, berada di bawah rantaian rimba tetapi terus tekal hidup dengan gembira. Kepandaian, kebijaksanaan, kemuslihatan serta kekancilan pelanduk inilah yang diwatakkan melalui dongengan Sang Kancil.

Segagah gajah, seperkasa harimau, sehebat buaya, sepintar ular dapat ditangani dengan licin dan licik sekali. Itulah permainan politik Sang Kancil dan menjalani kehidupan sosialnya di rimba raya.

Dulu RTM rajin tayang animasi haiwan dan kisah Sang Kancil. Sekarang sudah tiada lagi mana-mana rangkaian televisyen menayangkannya. Agaknya filem tersebut dah dimakan anai-anai barangkali? Atau mungkin sarkastiknya terlalu tajam.

Dalam simpanan saya, hanya ada 7 ini sahaja. Rasanya ada lagi, mana perginya, entahlah. Salah letak, dipinjam atau kehilangan. 

Sang Kancil Mengira Buaya - Jilid 4

Sang Kancil, Nasib Harimau Tua - Jilid 10

Sang Kancil dengan Buaya

Sang Kancil dengan Penunggu Huma

Sang Kancil dengan Buaya

Sang Kancil dengan Perigi Buta

Sang Kancil dengan Siput

Sang Kancil dengan Gergasi

Dua terbitan Creative Enterprise dan lima lagi terbitan ITBM.

Buku yang mendapat ilutlstrasi oleh Jaafar Taib memang tidak mengecewakan. Beliau mempunyai peminat yang tersendiri dan kebanyakannya sudah merangkak tua. 

Jom jadi Sang Kancil 





Filem animasi Sang Kancil kerap ditayangkan melalui rangkaian RTM satu ketika dahulu.

Animasi baharu kisah Sang Kancil melalui siri Pada Zaman Dahulu. 

Wednesday 4 August 2021

MEMPERKASA KEPIMPINAN, Merentas Masa Depan

 


Memperkasa Kepimpinan; Merentas Masa Depan.

Muhyiddin Yassin

Buku hadiah daripada Setiausaha Politik Menteri Belia Dan Sukan ketika itu. Terbitan tahun 1998, diterbitkan oleh CELDES, sebuah pusat kajian kepimpinan. Seingat saya, banyak juga program CELDES yang pernah diikuti. CELDES ketika itu diterajui oleh beberapa orang kuat, antaranya ialah Dr Zamri Abd Kadir.

Buku ini ditulis ketika TSMY menjawat jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Sebuah buku gagasan pemikiran bernuansa kepimpinan masa hadapan. Gagasan pemikiran yang muluk-muluk, berstrategi, berkarisma lagi berwibawa. Namun apakah kewibawaan gagasan pemikiran yang muluk-muluk itu mudah untuk dilaksana? Apakah sekadar satu strategi memukat daya fikir agar pembaca cenderung kepada memberi sokongan? 

Buku ini menggagaskan 11 topik yang berkisar tentang pemerkasaan belia, belianita, cabaran multimedia, moral dan tidak terlepas tentang gelombang kebangkitan Asia yang menjadi topik panas ketika itu di samping gagasan pemupukan kebersamaan antara Asia dan Eropah.

Sebagai Menteri Belia dan Sukan, 5 agenda perdana yang digariskan dan masih segar serta sepatutnya diteruskan oleh menteri-menteri belia ialah; 

1. Mempergiat usaha membentuk generasi muda yang dinamik, kreatif, berwawasan, berkeusahawanan, berbudaya ilmu, menguasai ilmu dan berteknologi tinggi.

2. Menyemarak aktiviti latihan tidak formal dengan menekankan kesedaran pendidikan sepanjang hayat 

3. Memantapkan usaha melahirkan pelapis pimpinan Perdana

4. Memperkukuh rangkaian dan kerjasama bersinergi antara kerajaan dan badan bukan kerajaan

5. Menyubur budaya persejagatan dalam masa yang sama berakar dengan nilai budaya tempatan

Wah..... Gagasan yang sempurna. Bagi para mahasiswa dan aktivis belia yang berpersatuan mahupun tidak berpersatuan ketika itu, kini sudah menjadi pemain penting dalam arena negara dalam pelbagai bidang.

Topik menarik yang menjadi perbincangan serta perdebatan hangat ketika itu ialah berkaitan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berteknologi tinggi. Menggunakan perkhidmatan jaringan jalur lebar yang digembar-gemburkan sangat lebar dengan sistem lebuhraya multimedia yang pantas. YAB Perdana Menteri telah menggagaskan kewujudan KORIDOR RAYA MULTIMEDIA dalam usaha mempersiap warganya berhadapan dengan letupan teknologi maklumat.

Dan pada ketika itu, pelbagai seminar, kursus, wacana, bengkel, ruang bicara berkaitan jalur lebar serta isu berkaitan dengannya dibahaskan. Termasuklah tentang millennium bug yang dikatakan bakal mencacatkan sistem dunia. Perubahan sistem analog kepada sistem digital.... Entahlah.... Ketika itu, bukan faham sangat pun.

Beberapa cabaran digariskan iaitu

1. Membudayakan dan memasyarakatkan sains dan teknologi 

2. Mewujudkan nilai dan moral dalam nilai sains dan teknologi

3. Pendidikan berorientasikan Samina dan teknologi

4. Mengoptimumkan penggunaan sains dan teknologi

5. Mengaplikasi sains dan teknologi secara kreatif dan inovatif

6. Perkongsian pintar dalam RnD

7. Melahirkan sumber daya manusia yang menguasai sains dan teknologi

Dalam topik ini, perlu diperakukan bahawa kejayaan koridor raya multimedia masih jauh tersasar. Perdana Menteri bolehlah melihat semula gagasan ini sebagai satu keutamaan apatah lagi pendamik yang berlaku kini memaksa jalur lebar benar-benar lebar dan berkelajuan super tinggi.

Tajuk-tajuk lain yang dibicarakan dalam buku ini tekal releven untuk dilaksanakan. 

Semoga Perdana Menteri hari ini yang dahulunya adalah menteri belia dan sukan yang telah mengasaskan pemerkasaan pemikiran yang merentas masa depan ini boleh melaksanakan gagasan tersebut.

Monday 2 August 2021

Afa'tun A'la At-Tariq

Kitab tulisan Dr Sayyid Muhammad Nuh dengan tajuk asal Afa'tun A'la At-Tariq diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Drs As'ad Yasin dengan tajuk Terapi mental aktivis Harakah, Telaah Penyakit Mental dan Sosial Kontemporer para Da'i. 

Buku terjemahan terbitan tahun 1995 oleh Pustaka Mantiq dengan ketebalan 396 halaman ini sangat sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang mahu menjadi aktivis masyarakat. Aktivis dalam pergerakan secara individu apatah lagi aktivis yang bergerak dalam kumpulan.

Ramai yang mahu bergelar sebagai aktivis. Aktivis masyarakat, aktivis kemanusiaan, aktivis gerakan dakwah, aktivis siasah, aktivis ekonomi, aktivis sosial dan sebagainya. Kebanyakannya pula bersifat berkumpulan, ada grup yang tersendiri. Dan secara tidak langsung menggunakan pendekatan yang tersendiri juga.

Dalam keghairahan melaksanakan aktiviti kemanusiaan dengan pelbagai kaedah ini, banyak kelompongan yang diabaikan. Disiplin gerak kerja berjamaah, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, penguasaan ilmu dakwah dan sebagainya tidak diambil berat.

Dalam buku ini, penulis mencatatkan 14 penyakit yang boleh melanda para aktivis. Antaranya ialah GHURUR, TAKBUR, RIYAK dan TIADANYA TATHASABUT & TABAYYUN. serta 10 lagi penyakit lain yang berbahaya kepada para aktivis. 

Dalam halaman 170 penulis membahaskan GHURUR sebagai perasaan bangga terhadap diri sendiri dan merendahkan pula orang lain dalam hal-hal kebaikan yang dilakukan.

Dalam halaman 199 dibahaskan tentang TAKBUR iaitu sifat mahu menampak-nampakkan keagungan dan kebesaran. Lawan bagi takbur ialah Izzah. RIYAK pula diertikan sebagai memperlihatkan amal kepada yang lain.

Pada halaman 344 pula dibahaskan tentang TATSABUT & TABAYYUN. Secara umumnya ia bermaksud mencari ketetapan dan kekokohan sesuatu perkara dengan dengan dalil, tidak terburu-buru dalam sesuatu hal serta bermusyawarah dalam mencari kesepakatan. Tanpa TATSABUT dan TABAYYUN tentulah kebijaksanaan, kehikmahan, kecerdikan akan lenyap dimamah oleh kerakusan nafsu mahu merasakan diri sendiri benar.

Adapun untuk memahami perkara tersebut kenalah baca buku ini sampai habis. Dihuraikan dengan panjang lebar beserta dalil dan nas.

Maka sangatlah rugi, malang dan walang sekali jika para aktivis masyarakat bertelingkah atas jalan kebaikan yang dilakukan. Pertelingkahan para aktivis adalah kemenangan besar bagi musuh dan tentulah menjadi lapang sasar yang terbuka. Fitnah ini amatlah merugikan.

Dalam buku lain Dr Yusuf Al-Qardhawi membahasakan tentang gerakan Fundementalism Islam pada masa akan datang bakal berhadapan dengan kemelut yang dicipta oleh aktivisnya sendiri. Dan beliau menegaskan perlunya sebuah sahwah yang sederhana, alwasatiah.

Mana nak cari buku ni.... Entahlah. Buku ini telah dibaca pada tahun 1998 yang lalu dan isinya tekal releven.

Perkara yang dibahaskan dalam buku ini ialah

1. Futur 2. Israf 3. Isti'jal 4.Uzlah 5. I'jab Bin Nafsi 6. Ghurur 7. Takabbur 8. Riya atau Sum'ah 9. Ittiba'ul Hawa 10. At tathai'lu ash shadarah was thasalabu ar riyadah 11. Dhayyiqul afaq aw qashiru an nadar 12. Dha'fu aw talasyi Al iltizam 13. Tiadanya tatsabut dan tabayyun 14. Tafrith



Saturday 31 July 2021

24 tahun bergelar pendidik

 


1 Ogos 1997, kali pertama melapor diri ke SJK Lelaki Jalan Pasar, Pudu. Eh.... Encik salah sekolah. SK Jalan Pasar di sana, hanya seberang jalan kecil. Maka sekolah pertama secara rasmi ialah SK Jalan Pasar, Pudu KL. 

Tak lama di sini, tak sampai pun 3 tahun. Tapi banyak pengalaman digali. Sempat bersama dengan 4 guru besar. Tugas pertama yang digalas ialah Setiausaha PIBG dengan 2 YDP. En Hamid, YDP paling protokol dan sangat menjaga kerasmian. Manakan tidaknya, beliau merupakan Penolong Setiausaha Sulit kepada Menteri Pertahanan ketika itu. Semua urusan rasmi, surat menyurat dan minit mesyuarat ikut format Mindef. 

1 Januari 2000 berpindah ke SK Guru Kalghidar, Jalan Sungai Pari. 6 tahun di sana. Juga kekal sebagai Setiausaha PIBG. YDP seorang ahli perniagaan, bisnis rempah-ratus, apa-apa hal kena berjumpa beliau di kilang rempahnya. Dapat juga pengalaman sebagai Guru kanan Kurikulum dan menjalankan tugas pentadbiran sebab GK1 bersalin. 3 guru besar di sini. Ini sekolah luar biasa. Bangunan dimiliki oleh Dewan Guru Kalgidhar yang juga merupakan sekolah bantuan modal. Pengalaman yang sangat tidak terduga.

1 Januari 2006 ditukarkan (arahan tukar) ke SK Raja Di Hilir Ekram. Tapi tak dan lama mana. Berkenalan dengan guru besar yang merupakan orang kuat GPMS Perak. Banyak aktiviti dirancang tetapi hanya tinggal perancangan semata-mata.

Sebaik sahaja tamat sukan tahunan, guru besar panggil ke pejabat. Ada hal sangat mustahak. Ya, memang mustahak. 1 Mac dapat surat diarahkan tukar ke SK Taman Bersatu. Sempatlah tiga bulan bersama, pengalaman singkat yang juga bermakna malah maknanya amat tersirat.

Baru habis sukan, datang ke Sk Taman Bersatu, mereka sibuk pula nak bersukan. Wah tahun 2006 dapat bersukan dua kali. Di sini dapat meraih ilmu daripada 5 guru besar yang mesra. Juga masih dengan tugas Setiausaha PIBG bersama 3 YDP. Setiausaha Sukan & Kokurikukum, Ketua Panitia, Setiausaha Panitia, Guru lawatan, ICT dan macam-macam lagilah. Dan hingga kini masih di sini sebagai Setiausaha Peperiksaan Awam. Setiausaha peperiksaan terakhir dalam sejarah.

Sebelum itu, tahun 1995 berpraktikum selama 3 bukan di SK Seri Keledang, Slim River Selangor. Sebuah komuniti yang sangat unik, dan sangat mesra. Berada dalam negeri Selangor, Hulu Selangor. Penduduknya merupakan anak jati Perak, jadi interaksi masyarakatnya memang berbahasa Perak pekat. Kalau nak ke pekan, kena ke Slim River Perak. Murid sekolah rendah bersekolah di Selangor, manakala sekolah menengah pula bersekolah di negeri Perak. 

1996 praktikum dua selama 6 bulan SK Seri Gambut Tanjung Karang. Sebuah sekolah di daerah Kuala Selangor. Sempat juga menyertai aktiviti kesukarelaan bersama KPPMS Kuala Selangor. Kedua-dua praktikum berada dalam bukan Ramadhan dan kami sengaja memilih sekolah yang jauh dari bandar untuk bina pengalaman. Memang pengalaman itu sangat bernilai tinggi.

1 Ogos 2021, genap 24 tahun sebagai pendidik. Aku mahu jadi pendeta.  


Sk Seri Gambut, Tanjung Karang
Lawatan SK Jalan Pasar 1 ke Pantai Timur




Tuesday 15 June 2021

Anak-Anak Udik

 




Anak-anak udik

Kami anak-anak udik
Bebas sampai ke hulu
Menyelam di celah batu
Menangkap tengas
Melastik tempua, serindit
Belatuk juga tidak terlepas

Pulang dari sekolah
Tanpa baju terus ke paya
Buih sepilai bakal dijarah
Terik panas bukannya apa
Kami betah bermandi mentari

Kami anak-anak udik
Membikin strategi
Peperangan dan pertempuran
Permainan lelaki
Pelepah pisang, mayang kelapa
Batang bambu, biji jelai
Itulah senjata
Menang atau kalah tidak mengapa
Esok kita bertarung lagi

Budak perempuan jangan campur
Kalian mainlah cara orang dapur
Memasak pucuk paku
Merebus daun kangkung
Lalu kami datang bikin angkara
Bermusuhan antara jantina
Tapi tidak lama
Segera terlerai tatkala ibu melaung memanggil pulang

Kami anak-anak udik
Hanya mampu mengenang
Mengenang kisah silam
Dalam lipatan sukma
Sedang hari ini
Kami terpenjara
Bersama ukiran senyum
Yang hambar

Cg Sam
Kg Kepayang Perak
Jun 2021

Terpenjara

 




Terpenjara

Tatkala cerah oleh cahaya
Adakah terang datang menyapa?

Tatkala gelap oleh gelita
Adakah kelam datang bertamu?

Dunia kini bagai penjara
Penjara dalam gelap
Penjara dalam cahaya
Gelita yang benderang
Dan cahaya yang kelam
Menjadi penjara
Penjara masa dalam ruang

Terpenjara dalam cahaya
Lebih gelita
Daripada kegelapan

Dan pabila cahaya hilang
Kegelapan menjadi semakin menakutkan

Terpenjara dalam gelap
Lebih terang
Daripada purnama

Dan pabila gelap menghilang
Sinaran menjadi sangat menggerunkan

Sampai bila
Harus terpenjara

Cg Sam
Jun 2021

Friday 11 June 2021

Teh Jasmin

 Teh Jasmin.


Teh Jasmin memang sudah terkenal sebagai minuman ringan yang dibotolkan. Minum dingin lebih enak.


Jasmin satu nama kontemporer yang lebih moden. Sampaikan ada ramai orang tak tahu rupa pokok Jasmin. Aduhai.... Pokok Jasmin sebenarnya sangat banyak ditanam di kampung-kampung penghias halaman. 


Secara tradisionalnya bunga pokok ini digunakan sebagai pewangi bedak sejuk. Dah titik air tepung beras yang busuk itu, lalu dijemur bersama rincihan daun pandan dan bunga Jasmin.


Opah-opah dan mak-mak zaman dahulu memetik kuntuman Jasmin, diselit dalam sanggul..... Wanginya sangat kalsik. Nak berminyak rambut pun boleh. Santan kelapa ditanak untuk menghasilkan minyak kelapa. Minyak kelapa ini pula ditanak lagi bersama pandan dan bunga Jasmin. Maka terhasillah minyak kelapa harum melati.


Dalam bahasa kampung, Jasmin lebih dikenali sebagai bunga melur atau melati. Terdapat hampir 200 jenis bunga ini. Secara umumnya berwarna putih atau kemerah-merahjambuan dan baunya enak dihidu.


Pokok Jasmin atau melati atau melur ini ada di mana-mana. Ayuh manfaatkan bunganya sebagai minuman yang sangat enak. Teh melati atau teh melur atau teh Jasmin.


Caranya mudah sahaja.

Petik beberapa kuntum bunga.

Rebus hingga mendidih.

Tapis.

Bancuh bersama serbuk teh.

Masukkan gula atau madu atau terpulang kepada selera sendiri.

Aromanya, memang menenangkan. Enak diminum panas-panas.


Atau ada cara yang lebih mudah. Kuntuman bunga direndam dalam air panas. Boleh juga direndam dengan daunnya sekali.


Apakah kelebihan teh Jasmin. Banyak..antaranya.

1. Menangani stress

2. Mengurangkan berat badan

3. Meredakan demam

4. Merawat insomnia (sukar tidur)

5. Sakit kepala dan banyak lagi....

Yang penting, cubalah dahulu.

Apa yang pasti, teh ini memang sedap dihirup panas.








Mengapa Palestin?




Mengapa Palestin?


Palestin hanya sebuah laman 

Laman berbatu gersang

Tiada bungaan indah bikin pesona

Tiada kicauan beburung bikin tergoda

Hanya laman bebatuan

Penuh puing-puing tinggalan purba


Mengapa Palestin?


Diperhati dengan penuh nafsu

Masa ke masa

Pelbagai cara Palestin menjadi idaman

Bukankah tanah itu telah dijanjikan

Tetapi kalian berdusta kepada Tuhan

Kalian melampaui batasan 

Kalian diberi kehinaan

Merempat tanpa tempat


Diberi betis meminta paha

Soalnya siapa yang berikan betis

Hingga semua hati jadi terguris


Kenapa Palestin?

Tanah para anbia 

Puing kesucian

Bebatuannya rahmat 

Tanpa bunga bikin pesona

Tapi harumannya impian syuhada


Mengapa Palestin?

Saturday 13 March 2021

Sang Kucing yang Mengaum

 




Di balik gelap
Gelitanya malam
Kala purnama sembunyi wajah
Gemawan hitam tiada berbintang
Gelita hanya dengan pelita
Terdengar ngauman sahut-menyahut
Garau 
Seriau

Di balik pohon menjalar akar
Rimbun ketinggian
Banir-banir tempat sembunyi
Pinggir punggur kedengaran ngauman
Lantang

Di balik busut padang yang tandus 
Mentarik terik menyilau pandang
Terlihat bayang, bayang dan bayang
Gagah .... Panjang....
Melintang.....
Terdengar ngauman serak serakah

Gerun dan geruh
Bersilang datang
Ngauman garau
Bikin seriau
Ngauman lantang
Gigil mendatang
Laungan serak
Geruh semarak

Pabila gelita beransur pergi
Pabila punggur menyembah bumi
Pabila busut rata di kaki
Terlihat akan ngauman tadi
Melompat ia ke mari
Menggesel-gesel manja sekali 

Sang Kucing diajar mengaum
Tentu manja ulah lakunya

Sam Rizal
Rejab 2021

Pandir


Watak-watak insan
Cantik dan molek
Busana litup anggun pesona
Mengapa pandir dalam bicara

Saban masa berkata benar
Tiada dusta atau ingkar
Hujah berbalas
Bukti dibahas
Mengapa pandir dalam bicara

Dada membuak diancam rasa
Gulana gundah entah mengapa
Aksara dieja frasa dibaca
Mengapa pandir dalam bicara

Media maya medan sengketa
Benar salah sebelah menyebelah
Yang benar boleh direbah
Yang salah boleh disembah
Asal ada pengukuh hujah
Tiada benar
Tiada salah

Mengapa pandir dalam bicara

Sam Rizal
Mac 2021

Thursday 11 March 2021

Selara di hati

 Selara di hati

halaman hati nan subur luhur
sejak awal kejadian
luhur murni
bernuansa kesyukuran

halaman hati nan jati
kudus tulus mulus
lurusnya tiada simpang
 
halaman hati nan murni
paksinya kesujudan
 
halaman hati nan polos
tiada solekan boros
 
halaman hati yang tertahta
dalam nubari
sucinya makin tercalar
luhurnya makin tergugat
murninya makin terencat
jatinya makin menipis
 
kerana  selara berguguran
di hati

11.3.2021
Sam Rizal

Saturday 6 February 2021

GAPIS

Gapis, sejenis pokok tempatan berdaun besar dan mengeluarkan bunga yang wangi. Pokoknya juga besar. Bunganya terbit dari batang dan dahan pokok. 

Bentuk bunganya serupa dengan pecah periuk, siantan atau jejarum tetapi lebih besar dengan bunga kuning keemasan. 

Pook ini ditemukan di Padang Polo Ipoh. Berbunga mengikut musim tertentu. Tetapi untuk tempoh yang agak lama, tidak pula ditemukan pokok ini berbunga.

Dalam carian saya, saya temukan pokok ini dengan beberapa nama; 

pokok talan : sejenus tumbuhan (pokok renek), gapih paya, paluh periuk, tudang puyuh, Saraca triandra; gapis kunyit = gapis gajah sj tumbuhan (pokok), gapis, gapih, gapis kunyit, Saraca declinata; rumput talan sejenis tumbuhan (herba), ruku hutan, rumput kucing-kucing, tasik-tasik, timba tasik, Adenosma capitatum.


Pantun gapis

Pokok gapis tinggi merimbun 

Bunga keemasanharum mewangi

Wang dan ringgit harta bertimbun

Hanya sedekah dibawa mati


Usah memanjat pokok gapis

Sekah dahan jatuh tersungkur

Kala munajat mata menangis

Menjadi taman di dalam kubur


Ada satu burung geroda

Patah gapis oleh kepaknya

Dunia itu sangat menggoda

Pandai iblis membuat angkara


Harum aroma bunganya gapis

Jika dipangkas banyak bertunas

Mengejar kuasa tak pernahlah habis

Cantas-mencantas tindas-menindas







Sunday 17 January 2021

KENYATAAN MEDIA PENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA SELURUH NEGARA

 Kementerian Pendidikan Malaysia

Kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia tentang pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM setelah mendapati kes civid semakin meningkat.






KENYATAAN MEDIA PENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

 Kementerian Pendidikan Malaysia


Berikutan pembukaan persekolahan bagi sesi persekolahan tahun 2021. Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Facebook Rasmi KPM telah membuat kenyataan media seperti berikut.





Perincian tentang pembukaan sekolah disiarkan secara langsung melalui sidang media
 


Saturday 16 January 2021

PdPR 2020

Pendamik Covid 19 yang melanda dunia menuntut satu wahana pendidikan norma baharu. Tanpa bersemuka pdpc perlu dilaksanakan dalam usaha memastikan proses pengajaran dan pembelajaran atau pemudahcaraan terus berlaku.

Kaedah pembelajaran dalam talian yang berbantukan perangkat elektronik menjadi satu bentuk pembelajaran digital antara guru dan anak murid. Dan sudah pasti ibu bapa memainkan peranan penting sebagai pemantau, pembantu, penggerak dan peneraju utama kepada anak-anak di rumah.

Pelbagai aplikasi digunakan dalam proses PdPR ini. Kumpulan whatsApp, Telegram, YouTube, Google classroom yang dalamnya tersedia pula aplikasi Google form, Google slide, Google Meet dan sebagainya. Quizizz, padlet, kahoot, zoom serta lain-lain aplikasi turut menjadi. Apa pun bergantung kepada kreativiti guru sebagai pemudah cara dan kesediaan di pihak murid, khususnya ibu bapa dan penjaga sebagai pemantau.

Ada dalam kalangan murid dapat mengikuti PdPR dengan sukses dan ada pula yang hanya mengikutinya sebahagian di samping ada juga yang tidak dapat mengikutinya langsung. Pelbagai kekangan terpaksa dihadapi. Antaranya ialah.

1. Masalah liputan internet

2. Tiada kemudahan perangkat seperti komputer, tablet dan telefon pintar

3. Berkongsi perangkat. Ini satu cabaran besar apabila perangkat terlalu sesak. Boleh 'hangus'.

4. Google classroom sukar diakses

5. Perangkat yang ada tidak sesuai dengan aplikasi yang diperlukan 

Bagi ibu bapa yang bekerja pula ada isu-isu yang mengekang penglibatan mereka dan anak-anak itu sendiri. 

1. Ibu bapa tidak dapat membantu anak-anak ketika kelas dalam talian dijalankan.

2. Berkongsi perangkat elektronik. Perangkat menjadi sangat sesak dengan pelbagai maklumat. Maklumat rasmi, maklumat kerja dan maklumat PdPR.

3. Anak-anak hanya boleh bertanya kepada ibu bapa apabila mereka pulang dari tempat kerja. Nak melayan karenah anak-anak dalam keadaan lesu memang melelahkan.

Di samping itu, perubahan sukatan pelajaran menjadikan ibu bapa sukar untuk membantu anak-anak. 

Dan sebagainya.

Justeru, manfaatkan PdPR ini sebaiknya. Bukan apa yang terdaya dan termampu. Usah terlalu memaksa kerana akan mengecewakan diri sendiri.

Sepanjang PdPR ni dapatlah jua dikumpulkan beberapa tugasan murid dalam Flipbook. Abadikan kesilapan ejaan, tanda baca serta susun atur yang kurang memuaskan.

Cerita Pendek PKP






Mari Berpantun PdPR

 


Herba @ SK Taman Bersatu


Kenali Herba, Tugasan Murid


Berbalas Pantun PdPR



Komik PdPR


Antologi Puisi PKP 2020


Satu Murid Satu Pokok

Beberapa cerita pendek karya Kendiri murid dikumpulkan dalam sebuah gerobok maya.

Karya Kendiri

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit