Saturday 31 July 2021

24 tahun bergelar pendidik

 


1 Ogos 1997, kali pertama melapor diri ke SJK Lelaki Jalan Pasar, Pudu. Eh.... Encik salah sekolah. SK Jalan Pasar di sana, hanya seberang jalan kecil. Maka sekolah pertama secara rasmi ialah SK Jalan Pasar, Pudu KL. 

Tak lama di sini, tak sampai pun 3 tahun. Tapi banyak pengalaman digali. Sempat bersama dengan 4 guru besar. Tugas pertama yang digalas ialah Setiausaha PIBG dengan 2 YDP. En Hamid, YDP paling protokol dan sangat menjaga kerasmian. Manakan tidaknya, beliau merupakan Penolong Setiausaha Sulit kepada Menteri Pertahanan ketika itu. Semua urusan rasmi, surat menyurat dan minit mesyuarat ikut format Mindef. 

1 Januari 2000 berpindah ke SK Guru Kalghidar, Jalan Sungai Pari. 6 tahun di sana. Juga kekal sebagai Setiausaha PIBG. YDP seorang ahli perniagaan, bisnis rempah-ratus, apa-apa hal kena berjumpa beliau di kilang rempahnya. Dapat juga pengalaman sebagai Guru kanan Kurikulum dan menjalankan tugas pentadbiran sebab GK1 bersalin. 3 guru besar di sini. Ini sekolah luar biasa. Bangunan dimiliki oleh Dewan Guru Kalgidhar yang juga merupakan sekolah bantuan modal. Pengalaman yang sangat tidak terduga.

1 Januari 2006 ditukarkan (arahan tukar) ke SK Raja Di Hilir Ekram. Tapi tak dan lama mana. Berkenalan dengan guru besar yang merupakan orang kuat GPMS Perak. Banyak aktiviti dirancang tetapi hanya tinggal perancangan semata-mata.

Sebaik sahaja tamat sukan tahunan, guru besar panggil ke pejabat. Ada hal sangat mustahak. Ya, memang mustahak. 1 Mac dapat surat diarahkan tukar ke SK Taman Bersatu. Sempatlah tiga bulan bersama, pengalaman singkat yang juga bermakna malah maknanya amat tersirat.

Baru habis sukan, datang ke Sk Taman Bersatu, mereka sibuk pula nak bersukan. Wah tahun 2006 dapat bersukan dua kali. Di sini dapat meraih ilmu daripada 5 guru besar yang mesra. Juga masih dengan tugas Setiausaha PIBG bersama 3 YDP. Setiausaha Sukan & Kokurikukum, Ketua Panitia, Setiausaha Panitia, Guru lawatan, ICT dan macam-macam lagilah. Dan hingga kini masih di sini sebagai Setiausaha Peperiksaan Awam. Setiausaha peperiksaan terakhir dalam sejarah.

Sebelum itu, tahun 1995 berpraktikum selama 3 bukan di SK Seri Keledang, Slim River Selangor. Sebuah komuniti yang sangat unik, dan sangat mesra. Berada dalam negeri Selangor, Hulu Selangor. Penduduknya merupakan anak jati Perak, jadi interaksi masyarakatnya memang berbahasa Perak pekat. Kalau nak ke pekan, kena ke Slim River Perak. Murid sekolah rendah bersekolah di Selangor, manakala sekolah menengah pula bersekolah di negeri Perak. 

1996 praktikum dua selama 6 bulan SK Seri Gambut Tanjung Karang. Sebuah sekolah di daerah Kuala Selangor. Sempat juga menyertai aktiviti kesukarelaan bersama KPPMS Kuala Selangor. Kedua-dua praktikum berada dalam bukan Ramadhan dan kami sengaja memilih sekolah yang jauh dari bandar untuk bina pengalaman. Memang pengalaman itu sangat bernilai tinggi.

1 Ogos 2021, genap 24 tahun sebagai pendidik. Aku mahu jadi pendeta.  


Sk Seri Gambut, Tanjung Karang
Lawatan SK Jalan Pasar 1 ke Pantai Timur




Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit