Sunday 10 January 2021

Pantun Kain

 


Dari Solo singgah ke Kuang
Dapat selasih di pekan tamu
Kain topo usah dibuang
Buat pembersih di ruang tamu

Jika ingin pakai kemeja
Kain cita cantik disukat
Rasa ingin bukan sahaja
Ingin cinta ke hujung hayat

Habis ranap dahan leletup
Terbelah dua satu digemal
Kain rahap jika dilitup
Tiadalah guna mahu beramal

Memanglah cantik si kain rawa
Jadi selendang pergi kenduri
Memanglah cantik pandangan mata
Cantik dipandang sampai ke hati

Kain topo : kain buruk

Kain cita : kain kapas berbunga-bunga

Kain rahap : kain menutup mayat

Kain rawa : kain pelangi / berwarna warni

Selampuri dibawa dagang
Untuk hantaran pengantin baru
Kalau duri menusuk pinggang
Itu tandaan beroleh seteru

Kain tegarun berikan kami
Untuk disulam tanjak paduka
Tanah diperun menanam padi
Untuk menyuap anak manusia

Turun ke sawah mengetam huma
Kain kadut hamba pakaikan
Walau mewah harta berjuta
Takkan merebut kuasa Tuhan

Anak kecil kantuk di riba
Kain dondangan ibu gantungkan
Nampak comel dipandang mata
Comel dengan santun sopanan

Kain selempuri : kain tenunan India

Kain tegarun : sutera yang disulam benang emas

Kain kadut : kain karung

Kain dondangan : kain buaian

Kuah soto bercampur bawang
Enak lagi ditambah lada
Kain topo jika dibuang
Hilanglah seri di atas meja

Buah cermai masak di tangkai
Ambil tiga berikan tamu
Walau cindai enak dipakai
Rahap juga kain akhirmu

Kain rawa dijahit sembat
Letak kerawang bunga cempaka
Syurga neraka menjadi dekat
Itulah galang amalan kita

Jahitan sambat bersilang manik
Kain cita bercorak bunga
Hujan lebat air pun naik
Kadut juga kain berguna

No comments:

Post a Comment

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit