Saturday 3 June 2023

Resensi Buku : Kami

 


Buku 1616. Judul : Kami oleh Akiya seorang campuran Orang Asli + Cina. Buku terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia. 

Dengan bahasa yang polos lagi bersahaja dan menggunakan kata ganti nama diri Aku, merujuk kepada diri penulis, buku ini mengajak dan menerobos relung masa. Membalik ke zaman lampau. Zaman penulis sebagai anak Orang Asli Semai yang sedang membesar dengan penuh kenakalan di sempadan Perak Selangor, Sungai Erong.

Latar belakang tahun 50-an, 60-an, 70-an berkisar tentang aktiviti rutin kanak-kanak kampung. Melastik, curi buah, main pondok-pondok, main perang-perang, mendekut punai, mandi sungai dan segala macam aktiviti yang tidak ada istilah penat.

Membantu ibu bapa di kebun, kutip kayu api, angkat air dari telaga antara kerja-kerja yang dirasakan sangat penat berbanding dengan bermain seharian.

Karya ini memperincikan aktiviti-aktiviti tersebut. Dalam bermasyarakat pula ditulis tentang pesta joget lambak, sambutan perayaan tahun baru Cina yang melibatkan pelbagai kaum. Kuih bakul. Ah... Macam-macamlah. 

Semua yang dikarang dapat dipadankan dengan pengalaman ketika membesar di kampung dahulu. Walaupun Akiya, atau Anggur, atau Tak Ngu Na atau apa sahaja namanya merupakan Orang Asli, tetapi kisahnya sama seperti anak-anak kampung tradisional lain sebab penulis tinggal di kawasan kampung yang sangat hampir dengan kampung Melayu. Malah watak-watak orang Cina dan India turut terlibat.

Budak-budak kampung baik lelaki mahupun perempuan ada banyak nama. Nama rasmi pada surat beranak memang tak sama langsung dengan nama panggilan. Nama panggilan pula ada macam-macam. 


Membaca karya setelah lebih 300 halaman ini tidak melelahkan, sebaliknya amat menghiburkan dan mengundang tawa. Bagi anak-anak yang mahu tahu tentang kehidupan kanak-kanak zaman 80-an ke bawah, buku ini boleh menjadi satu rujukan.


#terusmembacatanpahenti 

#MalaysiaMembaca

No comments:

Post a Comment

Sites Bacaan Digital Edisi 06

https://sites.google.com/d/18U2yr6i-vDGsW_SusToDWgpUJBWZkBae/edit